Wednesday, July 20, 2022

Zulhijah 20, 1443: Berhijrahlah pada tahun baharu...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Apabila kamu musafir di bumi ini, maka tidak merupakan dosa atas kamu mengqasar solat jika kamu takut akan fitnah orang-orang kafir." (Maksud ayat 101 Surah An-Nisa')


TAK sampai 10 hari lagi, kita akan menyambut tahun baharu Hijrah 1444 semoga kita terus diberkati Allah SWT sekalipun kehidupan manusia semakin tinggi gelombangnya. Ya, zaman Nabi kita yang kita kasihi, Nabi Muhammad s.a.w. adalah yang terbaik selepas itu zaman sahabat, tabiin dan tabik tabiin sehingga ke zaman kita hari ini, nilai kemanusiaan semakin lama semakin teruk.


Mungkin kita di era internet kini berada di antara zaman kejahatan paling teruk sama ada di peringkat antarabangsa dan dalam negara. Kita berhadapan dengan jenayah dan maksiat yang semakin menjadi-jadi, pelbagai masalah kehidupan seperti di bidang politik, ekonomi, sosial hatta rumah tangga yang membuatkan kita cemas dan tertanya-tanya apakah kejahatan yang dilakukan manusia sudah terlalu melampaui batas. 


Mungkinkah Allah SWT menghukum kita dengan kejadian alam yang dahsyat; antaranya tsunami manakala manusia saling bunuh membunuh dalam perang dan sengketa yang tiada kesudahan. Di negara kita, kemalangan jalan raya sudah menjadi terlalu dahsyat seolah-olah tidak dapat dibendung lagi.

 

Selain tahun baharu Hijrah, kita juga di ambang untuk menyambut hari dan bulan kemerdekaaan. Janganlah hendaknya majlis keramaian ini ada caranya dipenuhi pesta-pestaan termasuklah konsert, pergaulan bebas lelaki perempuan. 


Di majlis seperti inilah berlaku pergaulan bebas lelaki perempuan dan daripadanya membawa kepada pelbagai kemungkaran seperti menogok minuman keras, melakukan mukadimah zina seterusnya berzina, meragut, mencuri malah sampai membunuh sekalipun.


Di negara kita, adalah begitu mudah mendapatkan minuman keras. Ia dijual secara terbuka termasuk di kedai mesra 24 jam. Sekali pun ditandai dengan perkataan kecil bahawa arak adalah haram kepada orang Islam dan penjualannya ditegah ke atas individu yang berusia kurang 18 tahun, penjualannya begitu berleluasa, anak-anak muda begitu bangga menogok air syaitan itu. 


Buktinya, selepas tamatnya perhimpunan ramai itu, akan ditemui bekas tin minuman keras, malahan di tepi-tepi pantai penemuan bekas tin minuman keras adalah biasa, menunjukkan betapa hebatnya anak-anak muda berpesta sakan.


Bagi kita perkembangan ini ada kaitan dengan gelagat sesetengah pemimpin yang cenderung kepada kegiatan merugikan yang membuka ruang-ruang maksiat. Pepatah Melayu ada menyebut, bapa borek anak rintik, bagaimana acuan begitulah kuihnya dan apa yang disemai itulah yang dituai. Jika pemimpin sebagai penyemai, menanam benih lalang, maka akan suburlah anak lalang di negara kita ini.


Ya, pemimpin masih ingatkah kita akan tragedi MH370 dan MH17; sebagai negara Islam contoh, kita terasa malu apabila maksiat berlaku secara nyata. Lihatlah, kedai-kedai judi tumbuh bagaikan cendawan, manakala premis menjual arak dibuat secara terbuka manakala iklannya berleluasa pula. 


Malah dalam kapal terbang pun dihidangkan arak! Baharu-baharu ini saya menaiki sebuah pesawat, untuk sebuah perjalanan antarabangsa, tertunduk malu saya apabila seorang pramugari  ketika mengedarkan minuman, mendendangkan hal ini kepada pelanggan - BEER, BEER, ANY ONE?


Satu lagi perkara memualkan adalah eksploitasi wanita secara terang-terangan yang mendapat dukungan pihak berkuasa. Ambil contoh penggunaan gadis-gadis litar yang berpakaian seperti tidak cukup kain di pesta perlumbaan seperti F1. Tidak cukup dengan syarikat minyak antarabangsa yang mempamerkan gadis seksi, Petronas yang menjadi kebanggaan kita pun tidak kurang hebatnya. Kita mahu bertanya pemimpin termasuk peneraju Petronas ada apa kaitan antara lumba kereta dengan gadis seksi? Apakah kehadiran gadis seksi akan membolehkan kereta atau motosikal dipecut lebih laju?


Kita nyatakan perkara ini kerana kita cinta dan sayangkan negara ini termasuk masyarakatnya. Kita tidak mahu Allah SWT turunkan bala kepada kita angkara maksiat yang semakin berleluasa termasuk yang disuburkan oleh sang penguasa. Sesungguhnya kemusnahan bumi Aceh akibat tsunami sewajarnya menginsafkan kita bahawa Allah SWT boleh pada bila-bila masa saja menghukum kita. 


Sekarang pun, bagi orang yang ada fikiran, mereka sudah merasakan bahana akibat daripada keterlanjuran kita menyuburkan maksiat. Tidak sedarkah kita bahawa kehidupan kita kini tidak seaman dulu walaupun pemimpin kerap menguar-uarkan negara kita paling aman dan makmur di dunia. Pembunuhan, perampokan, kejadian ragut, rogol dan aneka maksiat semakin berleluasa, seolah-olah tidak dapat dibendung lagi sedangan kehidupan rakyat semakin tertekan termasuk selepas kenaikan harga barangan keperluan termasuk minyak (masak)!

No comments: