Saturday, July 23, 2022

Zulhijah 23, 1443: Filem Mat Kilau, hero cilik, wira angkat bakul...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesiapa yang membaca 'Astaghfirullah al Lazi La Ilaha' illa Hual Hayyul Qayyum Wa Atubu Ilahi' (Aku meminta keampunan daripada Allah Taala yang tiada Tuhan melainkan-Nya, yang hidup lagi berdiri dengan sendiri-Nya, dan aku meminta taubat kepada-Nya), diampunkan dosanya walaupun dianya lari dari medan perang." (HR. Imam Abu Daud, Tarmizi dan Al-Hakim)


Hero cilik 1

HANS seorang budak lelaki Belanda. Berumur lebih kurang lapan tahun. Dia, sama seperti kebanyakan kanak-kanak Belanda sudah maklum bahawa keselamatan negara dan masyarakat bergantung kepada keteguhan daik (dyke).


Suatu petang dia diminta membeli barangan runcit oleh makciknya. Berjalan di sepanjang tepian bawah daik, dia terperasan sebuah lubang kecil, yang menyebabkan air mengalir masuk.


Menyedari lubang itu boleh membesar dan air mengalir deras apatah lagi jika tembok itu pecah dan seluruh kampung banjir, dia memasukkan jarinya ke dalam lubang itu bagi menghalang kemasukan air dan berharap ada orang datang untuk menolongnya.


Malangnya, sepanjang malam tiada orang lalu di situ, dan Hans ditemui pada keesokan harinya dalam keadaan kaku disebabkan cuaca dingin. Namun dia masih hidup dan kisah ini memasyhurkan dirinya yang dikenali sebagai 'The Little Hero of Holland' (Hero Cilik Belanda).


Hero cilik 2


Hang Nadim, seorang kanak-kanak di Tumasek / Temasek (kini Singapura), selepas melihat ramai penduduk pulau itu mati kerana 'menayangkan' paha dan betis  bagi mempertahankan pulau itu daripada serangan ikan todak, mengesyorkan supaya dibuat benteng daripada batang pisang.


Apabila todak menerjah, muncungnya tersekat di batang pisang. Oleh itu senanglah orang Singapura membunuh musuh itu. Kebijaksanaan Hang Nadim mencemaskan pembesar Singapura. Jika masih budak-budak, Hang Nadim sudah menunjukkan kehebatannya, apa pula akan dilakukannya apabila besar nanti, kata mereka.


Ya, hampir semua pihak sudah maklum akan kisah Hang Nadim, yang mencadangkan batang-batang pisang sebagai benteng sedangkan pembesar negara mengerahkan rakyat menahan serangan todak dengan paha masing-masing. Kebijaksanaan Hang Nadim menyebabkan pembesar Singapura iri hati seterusnya menabur fitnah dan akhirnya budak itu dihukum mati. 



Filem Mat Kilau dan Mat Kilau


Selepas tidak masuk pawagam hampir 30 tahun, akhirnya saya mengalah dengan menonton filem 'Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan'. Jika ditanya 'rating' daripada saya, saya berikan empat daripada lima bintang.


Dari segi 'sinematografi' (cinematography) dan urusan pembikinan filem, serahkan urusannya kepada orang pakarnya. Demikian juga ketepatan fakta daripada sejarahnya. Boleh rujuk kepada pakar bidang ini.


Cuma pada pendapat hamba yang kurang arif ini, mestilah ada perbezaan antara filem Mat Kilau dan Mat Kilau sebenarnya. Jika ia sebagai sebuah filem, insya-Allah, semua masyarakat berbilang bangsa dapat menerimanya tetapi jika dikaitkan dengan sejarah, inilah yang 'tidak menyedapkan' hati sesetengah pihak.


Filem-filem P Ramlee mengesahkan perkara ini. Walaupun dalam sesetengah filem P Ramlee, ada watak-watak bukan Melayu, pembawaan watak mereka secara bersahaja dan berseloroh, tidak 'menyakitkan hati' golongan ini.


Ada di kalangan generasi muda bukan Melayu, mengatakan mereka juga sukakan filem P Ramlee. Malah ada yang ketawa berdekah-dekah melihat adegan membabitkan kaum mereka seperti seorang lelaki Cina mahu membunuh diri dalam filem 'Madu Tiga' yang bersuara: "Haiya... Hidup pun susah, mati pun susah."


Interlok


Apa kaitan antara 'Hero Cilik 1', 'Hero Cilik 2' dan 'Mat Kilau'? Jika kita amat-amati, orang Belanda amat menghargai jasa anak bangsa mereka. Hatta seorang budak yang memasukkan jarinya ke lubang kecil daik, diberi penghormatan sebagai 'Hero Cilik Belanda'.


Kebanyakan orang Melayu pula melalui kisah Hang Nadim (catatan Sejarah Melayu) tidak mengenang sikit pun jasa budak yang menyelamatkan Singapura. Budak itu yang sepatutnya diberi julukan 'Hero Cilik Temasek', dibunuh pula.


Filem Mat Kilau (sedang hangat diperkatakan) pula menggambarkan sebahagian daripada kehidupan pahlawan Mat Kilau yang dianggap British sebagai 'rebel' (pemberontak). Dari segi konten sejarah dan ketepatan fakta, perkara itu perlu dirujuk kepada pakar.


Berdasarkan ketiga-tiga kisah tadi, apa yang hendak penulis rumuskan adalah bahawa semua orang (kita semua) adalah hero dalam kehidupan masing-masing.


Kalau budak Belanda itu membuat kebaikan seperti memasukkan jari dalam lubang daik, ada daripada kita telah berbuat lebih daripada itu. Namun tak ada 'kamera' yang memfokus pada diri kita, jadi kita taklah diangkat menjadi 'hero'. Orang putih menyifatkannya sebagai 'the unsung hero' (hero tak didendang).


Pada zaman serba canggih sekarang ini, ada macam-macam pahlawan...ada pahlawan siber le, pahlawan dakwah le, imam muda le, dai muda le dan tak terlupakan 'pahlawan masuk bakul, angkat sendiri'. Yalah, dia 'buat satu kebaikan', rakam gambar sendiri dan viralkan. Kalau dia ikhlas, tak apalah, tetapi kalau  sengaja nak digelar 'hero' atau 'wira' atau 'orang baik-baik'...itulah masalahnya.


'Kamera' manusia boleh menipu, namun, ingatlah 'kamera' Allah sentiasa memfokus pada diri kita. Hero di sisi manusia tak semestinya hero di sisi Allah. Tak menjadi hero di sisi manusia 'tak pa' tetapi yang teramat penting berusaha keras semaksimum mungkin untuk mendapat keredaan-Nya.


No comments: