Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Maksud Surah Ar-Rum: 21)
SEBELUM berangkat ke Perancis, saya tertarik dan berulang kali membaca artikel dalam Harakah cetak (saya tak ingat tarikh terbitannya) tulisan Dato' Iskandar A Samad (Bendahari PAS Pusat) yang bertajuk 'Warisan hilang, sejarah terpadam'.
Beliau menyatakan kekesalan kerana sejumlah bangunan bersejarah negara seperti Stesen Kereta Api Kuala Lumpur terbiar. Iskandar menulis: "Mungkin pada mulanya kita memadamkan memori bangunan-bangunan tersebut tetapi akhirnya sedikit demi sedikit sejarah akan terpadam."
Di Perancis, saya 'salut' orangnya yang menjaga dengan tersangat baik bangunan bersejarah negara. Pelbagai bangunan berumur ratusan tahun dikekalkan dalam keadaan asal sebagai tarikan pelancong atau dijadikan muzium. Orang luar melihat Muzium Louvre (muzium kedua terbesar dunia dan menempatkan potret Monalisa) sebagai lambang kehebatan tamadun Perancis.
Muzium Orsay pula adalah bekas Stesen Kereta Api Orsay (di Paris) yang dibina pada 1909. Muzium ini menempatkan karya-karya seni abad ke-19 dan pengunjung boleh menikmati karya Renoir, Gauguin, Monet, Manet dan Van Gogh.
Ya, boleh tak Stesen Kereta Api KL mencontohinya? Bagi saya, stesen ini menyimpan banyak memori diri ini. Pada tahun-tahun 1970-an dulu, stesen ini menjadi tumpuan saya yang berulang alik dari sebuah sekolah berasrama penuh di Perak ke Melaka. Stesen ini menjadi pusat perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu.
Pelajar dari Melaka turun atau naik kereta api di Stesen Tampin (kini Pulau Sebang). Kini Stesen (lama) Tampin sudah menjadi sejarah (sudah dirobohkan dan didirikan bangunan baharu). 'Selamat jalan' Stesen Tampin, sekarang adakah kita mahu mengucapkan 'selamat jalan' juga kepada Stesen Kereta Api Kuala Lumpur? Fikir-fikirkanlah...
Saya berkesempatan mengunjungi bangunan Dewan Bandar Raya Compiegne yang mana di lamannya kedapatan patung wirawati Perancis Joan of Arc (hidup pada awal abad ke-15) dan Chateau (Istana) de Pierrefonds (dibina pada abad ke-14).
Bangunan-bangunan ini dipulihara, sentiasa 'dirawat, dikekalkan dalam bentuk asalnya hatta tak bercat baharu pun. Bagi orang luar macam saya, bangunan ini nampaknya macam istana drakula...ohhh maafkan saya wahai orang Perancis.
No comments:
Post a Comment