Friday, July 29, 2022

Zulhijah 29, 1443: Bebaskan diri daripada 'berat' wang syiling...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


MUSIM haji 1443 berakhir sudah. Malah tahun 1443 Hijrah juga akan berakhir hari ini. Kita akan menyambut 1 Muharam (Maal Hijrah) 1444 esok (30 Julai).


Kepada para hujjaj (jemaah haji), diucapkan 'Selamat Pulang', semoga mendapat haji mabrur yang dikekalkan sehingga tiba keyakinan pada diri (mati).


Sepanjang keberadaan jemaah haji di Tanah Suci terutamanya melazimi dua masjid agung - Masjidilharam dan Masjid Nabawi - tentunya jemaah menyedari dan mengalami hal ini - membeli barangan dan mendapatkan perkhidmatan di sini hanya membabitkan wang kertas, paling kecil satu riyal (SR1) yang bersamaan kira-kira RM1.


Wang syiling 'tidak terpakai' di kalangan jemaah haji. Ini bermakna jemaah tidak terbeban untuk membawa wang syiling dalam poket atau dompet. Ringkasnya, jemaah 'bebas' daripada wang syiling dan keadaan ini tidak pula membebankan jemaah (dari segi kewangan).


Apa kata, 'kebebasan' daripada wang syiling ini jemaah 'lanjutkan' di tanah air. Apabila kita berbelanja, lebihan wang syiling masukkan saja dalam tabung-tabung derma yang sekarang ini ada di kaunter hampir setiap kedai peniaga Muslim. Jangan bawa pulang wang syiling. 'Bebaskan diri' daripada membawa wang syiling.


Dengan cara ini poket dan dompet kita akan lebih ringan. Apabila menjadi ringan, lebih mudah dan ringkas untuk kita bergerak. Namun yang paling penting derma wang syiling kita akan menjadi saham akhirat yang amat membantu nanti, insya-Allah.


Jika sehari kita 'lupuskan' sejumlah RM2 dalam tabung derma, sebulan sudah ada RM60, setahun sudah ada RM720; dalam 10 tahun sudah RM7,200...demikianlah fikir-fikir betapa banyak 'keuntungan' kita akan perolehi nanti


'Melupuskan' wang syiling ke dalam tabung derma adalah satu nasihat berdasarkan apa dilihat dan dilalui di Tanah Suci, berikut diberikan beberapa nasihat ulama bagi orang yang baru saja pulang daripada menunaikan haji, semoga hal ini bermanfaat bagi kita semua:


1. Bersyukur kepada Allah Taala kerana kita telah berhasil menyelesaikan kewajiban yang agung dan penuh barakah ini. "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku (Allah) akan menambah (nikmat) kepadamu." (QS. Ibrahim: 7)


2. Hendaknya haji menjadi titik tolak perubahan dalam hidup kita. "Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." (QS. Ar-Ra'du: 11)


3. Banyak orang pulang haji dengan membawa hidayah, yang paling pokok adalah kita pulang haji dengan membawa hidayah. "Tunjukilah kami jalan yang lurus." (QS. Al-Fatihah: 7)


4. Kita baru saja meninggalkan pendidikan dan pelatihan iman dan amal, kewajiban kita melanjutkan apa yang sudah kita pelajari. "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran." (QS. Al-'Ashr: 1-3)


5. Jangan lupakan, "Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara." (QS. Al-Hujurat: 10)


6. Betapa seringnya engkau angkat tanganmu berdoa kepada Allah pada hari-hari yang baik itu, maka jangan engkau hentikan, "doa adalah ibadah." (HR. Abu Dawud, Nasai, Ibnu Maja dan dishahihkan oleh at-Tirmidzi)


7. Jadikan seluruh hidupmu sesuai dengan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan bersungguh-sungguhlah untuk mengamalkannya. "...Tidaklah hamba-Ku senantiasa mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan amal-amal sunnah hingga Aku mencintainya..." (HR. Bukhari)


8. Engkau telah kembali dengan membawa prasangka baik kepada Allah. Dosa-dosamu juga telah terlebur. Kondisimu laksana bayi yang baru dilahirkan oleh seorang ibu. Maka janganlah engkau padamkan cahaya di hatimu dengan lumpur dosa. 


9. Boleh jadi engkau juga telah berjanji kepada Allah untuk bertaubat (meninggalkan dosa), maka jangan engkau ulangi lagi. "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami..." (QS. Ali Imran: 8)


10. Saranan yang utama untuk meneguhkan keistiqamahanmu adalah dengan melaksanakan dakwah (mengajak manusia) kepada Allah. "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?" (QS. Fushilat: 33)

No comments: