Sunday, July 17, 2022

Zulhijah 17, 1443: 'Bagai Belanda minta tanah'...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Muhasabah diri

Umar r.a. berkata: "Cukuplah bagi seseorang jika dia melakukan tiga macam;

1. Mencela perbuatan orang padahal dia berbuat seperti itu.

2. Melihat kesalahan orang lain dan tidak melihat kesalahan diri sendiri.

3. Dan mengganggu kawannya dengan perbuatan yang tidak penting baginya.


KETIKA berada di Perancis, penulis (LanH) diminta memilih sama ada melanjutkan kunjungan benua Eropah ke Switzerland atau Belanda (Netherlands / Holland). Penulis menjawab Belanda, ya apa sebabnya?


Ini kerana penulis berpendapat pengaruh Belanda begitu besar impaknya kepada dunia dan orang Melayu dan hal ini mencetuskan banyak perasaan ingin tahu di hati penulis tetapi masih tak terjawab sehingga kini. 


Misalnya kenapa banyak perkataan bahasa Melayu dihubungkaitkan dengan Belanda misalnya paku belanda, durian belanda, ayam belanda dan kuih belanda. 


Kenapa begitu halnya...malahan ada peribahasa Melayu berbunyi 'bagai Belanda minta (dapat) tanah'. Tentu ada sejarah panjang hubungan orang Melayu dan Belanda...ini membuatkan saya memilih melawat Belanda, saya mahu saksikan 'sangat hebatkah' orang Belanda ini. Benarkah mereka begitu atau ada apa?


Sarjana ada menyebut di Belanda, termasuk di Universiti Leiden ada tersimpan banyak khazanah termasuk manuskrip lama orang Melayu. Dunia Melayu seperti Melaka dijajah ratusan tahun (1641-1795) oleh Belanda dan kerajaan-kerajaan di bumi sekarang bernama Indonesia lebih teruk lagi sehinggakan bahasanya lebih condong 'ke-Belanda-annya' misalnya 'gratis' (percuma = free) itu sebenarnya perkataan Belanda!


Sebelum berceloteh cerita kunjungan penulis di Belanda,kita jenguk dahulu apa yang Belanda dan Inggeris telah buat di Alam Melayu (kini negara bernama Malaysia dan Indonesia).. 


Penulis teringat pembelajaran Sejarah mengenai dasar 'pecah dan perintah'  penjajah British dan Belanda  di dunia Melayu. British yang licik apatah lagi Belanda (seperti peribahasa bagai Belanda minta tanah) mengambil pendekatan memecah-belahkan kerajaan-kerajaan di rantau sini dan kemudian mengambil kesempatan menjajah tanah air mereka.


Mula-mula British dan Belanda melakarkan garisan memecahkan rantau yang akan mereka jajah. Melalui Perjanjian British-Belanda (Perjanjian London 1824), mereka membuat garisan di tengah-tengah Selat Melaka; wilayah di sebelah barat dan selatan adalah 'milik' Belanda manakala di sebelah timur ada 'milik' British sedangkan ketika itu ada banyak kerajaan Melayu di sana. Salah satu kerajaan yang masyhur Johor-Riau akhirnya musnah akibat dasar ini.


Mula-mula bertukarlah Melaka yang dalam genggaman Belanda ke tangan Inggeris manakala Bengkulu (bagi orang Inggeris, Bencoolen) di Sumatera yang dulunya di tangan British kepada Belanda. Lama kelamaan Belanda yang bagaikan 'orang gila mendapat tanah' menjarah habis rantau yang kini bernama Indonesia manakala Inggeris bagaikan 'ulat bulu naik ke daun' - habis negeri-negeri Melayu 'disapunya'.


Kedua-dua penjajah ini menjarah Nusantara melalui kaedah 'pecah dan perintah', Negeri-negeri Melayu di Semenanjung dan Sumatera satu demi satu jatuh ke tangan Inggeris dan Belanda dengan mudah disebabkan perpecahan dan persaingan waris raja (sultan) dan hasutan ke atas rakyat.  


Di rantau lain seperti di kepulauan Jawa satu demi satu kerajaan ditundukkan,  malah Aceh di utara Sumatera yang sebelum ini memberi tentangan cukup hebat dan panjang, akhirnya jatuh ke tangan si keparat Belanda, sebahagiannya disebabkan oleh pengkhianat (tali barut = penjilat) anak bangsa. 


Sebenarnya, sepanjang sejarah Nusantara semenjak kedatangan kuasa Barat bermula dengan Portugis pada awal abad ke-16, kerajaan dan rakyat rantau ini memberi penentangan cukup hebat kepada penjajah. Portugis yang menawan Melaka pada 1511, tidak cukup dengan kejayaan itu, rakus untuk memecah dan menguasai wilayah lain di rantau ini. Namun tentangan diterimanya tersangat hebat.


Kalau roboh kota Melaka,

Papan di Jawa saya dirikan,

Kalau sungguh bagai dikata,

Nyawa dan badan saya serahkan.


Portugis selepas menawan Melaka, meluaskan pengaruhnya di Nusantara termasuk membina sebuah kota di Sunda Kelapa pada 1522. Bagaimanapun, mereka tidak disenangi oleh penduduk tempatan dan selepas berlaku pertempuran hebat pada 1527, angkatan Portugis yang gagah perkasa itu akhirnya ditewaskan oleh angkatan perang seorang pemerintah Islam bernama Fatahillah.


Sempena kejayaan itu, Fatahillah menamakan kota itu Jayakarta, yang kemudian terkenal dengan nama Jakarta sehingga hari ini. Kejayaan Fatahillah menewaskan Portugis adalah pembakar semangat kepada perjuangan anak watan. Ia membuktikan bahawa bangsa Asia adalah setaraf bangsa Eropah yang menjajah dan memporakperandakan kehidupan mereka melalui dasar pecah dan perintah.


Sekalipun Portugis, Belanda dan Inggeris berjaya menjajah dan menjarah rantau yang kini didirikan negara moden Malaysia dan Indonesia, mereka gagal dalam misi keagamaan mereka. Sebahagian besar penduduk rantau ini tetap Islam; sudah tentu ini satu hal sangat menarik untuk dibincangkan.


Berlainan dengan Portugis dan Belanda, penjajah Inggeris tidak campur tangan dalam cara hidup orang Melayu termasuk agama mereka; sebaliknya menumpukan perhatian mengaut sebanyak mungkin kekayaan Tanah Melayu untuk dihantar ke Britain. Orang Inggeris membiarkan orang Melayu dengan budaya dan cara hidup mereka.


Tanpa pegangan kuat kepada Islam, sebaliknya terlalu taksub kepada budaya nenek moyang, British mendapati kebanyakan orang Melayu boleh dilekakan, mereka tidak mendatangkan ancaman kepada pihak British. Ini adalah hakikat kerana kebanyakan penentang British termasuk MAT KILAU dan TOK JANGGUT adalah tokoh yang berpegang teguh kepada Islam; mereka tidak rela hidup di bawah naungan British dengan undang-undangnya termasuk kaedah pengutipan cukai.

No comments: