Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sesiapa yang membaca 'Astaghfirullah al Lazi La Ilaha' illa Hual Hayyul Qayyum Wa Atubu Ilahi' (Aku meminta keampunan daripada Allah Taala yang tiada Tuhan melainkan-Nya, yang hidup lagi berdiri dengan sendiri-Nya, dan aku meminta taubat kepada-Nya), diampunkan dosanya walaupun dianya lari dari medan perang." (HR. Imam Abu Daud, Tarmizi dan Al-Hakim)
DI Belanda, saya sempat solat Jumaat di Masjid Fatih, di kawasan Rozengracht, Amsterdam. Sama seperti di Perancis tak ada orang Belanda 'nak cakap dalam bahasa Inggeris' dengan saya.
Namun, selain di pintu masuk utama yang ditulis 'Fatih Moskee Entree' di papan notis masjid, ada saya ketemui catatan dan petikan kata-kata hikmah dalam bahasa Inggeris. Antaranya, 'Be silent. Only the hand of God can remove the burden of the heart.' (Rumi) dan 'Hope is the wild ride between peace and fear' (Elizabeth Able).
Ada catatan hadis Nabi Muhammad s.a.w. "Kindness is a mark of faith, and whoever is not kind has no faith."
Saya juga melihat beberapa gambar lama yang menunjukkan bagaimana masjid itu dibangunkan melalui kerja-kerja pengubahsuaian daripada sebuah bangunan gereja.
Ada gambar menunjukkan tanda salib diturunkan dan digantikan dengan lambang bulan bintang. Namun tahunnya tidak dicatatkan, jadi tidaklah diketahui bila peristiwa itu berlaku.
Ada maklumat menyatakan bangunan masjid ini asalnya adalah Gereja Saint Ignatiuskerk.
'Kian banyak gereja menjadi masjid' - ya, perkembangan ini mencemaskan banyak pihak di Eropah termasuk Belanda. Seperti di kebanyakan negara Eropah lain, Islam berkembang pantas di Belanda dan kini dianggarkan umat Islam merangkumi 1.2 juta daripada 17 juta penduduknya.
Sama seperti di negara-negara Eropah lain, warganya terutama generasi muda mulai meninggalkan agama. Belanda kini antara negara Eropah yang tertinggi penduduknya tanpa agama.
Wikipedia mencatatkan penduduk Islam Belanda adalah pelbagai. Salah satu kumpulan pertama yang menubuhkan sebuah tempat tetap di Belanda adalah orang yang berasal dari Indonesia. Pada waktu itu, Indonesia adalah tanah jajahan Belanda dan orang dari Indonesia dibenarkan belajar di negara itu.
Selain kemasukan penghijrah dari negara jajahan seperti Maghribi, Algeria dan negara Afrika lain, warga tempatan juga semakin ramai tertarik dengan Islam.
Lebih kurang 10 tahun lalu berlaku kegemparan apabila seorang politikus Belanda penghina Islam dengan membikin filem Fitna, Arnoud Van Doorn mendapat hidayah.
Daripada pencerca Islam dan umatnya, Arnoud kini berjuang mengetengahkan kehadiran Islam dalam arus masyarakat dengan menubuhkan Parti Islam Demokrat dan mendirikan Yayasan Dakwah Eropah.
Arnoud yang dahulunya daripada Partai Kebebasan (PVV) milik Geert Wilders bersama-sama bergabung tenaga membikin filem anti-Islam berjudul Fitna yang kontroversial serta mencetuskan bantahan di seluruh dunia.
Tokoh ini membuat kejutan bagi masyarakat Belanda dan Wilders sendiri apabila mengumumkan keislamannya dan segera ke Tanah Suci menunaikan haji dan memohon kemaafan kepada orang Islam dan penyesalan di hadapan para ulama di Makkah dan Madinah di atas keterlanjurannya.
Arnould mengatakan bahwa reaksi umat Muslim di seluruh dunia terhadap filemnya, membuatnya tertarik belajar hal ehwal Islam yang berhujung dengan keputusannya memeluk Islam.
Beliau dipetik sebagai menyatakan, “Sampai sekarang saya masih sangat menyesal kerana telah mendistribusikan filem (Fitna) itu. Saya merasa bertanggungjawab untuk memperbaiki kesalahan yang telah saya lakukan pada masa lalu.
Dilaporkan putera tertuanya telah memeluk Islam pada 2014 setelah melihat perubahan ayahnya semenjak menjadi seorang Muslim. Kini Arnoud antara lain berjuang agar non-Muslim dan Muslim Eropah dapat hidup bersama dan kepada orang Islam beliau mengingatkan supaya bersatu padu, memberi contoh baik dan harus belajar membikiri diri setiap hari.
Sebagai seorang pengunjung, saya tertarik bagaimana Belanda sebagai sebuah negara kecil di Eropah dengan penduduk yang kecil (kini 17 juta) boleh menjadi kuasa besar dunia dengan menjajah dan menjarah sebahagian besar dunia termasuk rantau kita (dunia Melayu).
Saya bercita-cita mencari keterangan dan fakta mengenai hal ini, tetapi 'digagalkan' hakikat saya 'buta' akan bahasa Belanda. Cuma ada satu catatan ringkas ini yang mungkin dapat membantu.
Disebutkan pada abad ke-15 (ketika puncak kehebatan Kesultanan Melayu Melaka) Belanda muncul sebagai kuasa perkapalan yang menguasai perdagangan di Eropah.
Ini sebahagiannya disebabkan oleh kemajuan aktiviti perladangannya, berikutan kemajuan teknologi seperti penggunaan kincir angin dan tenaga buruh yang murah.
Ekonomi yang pada mulanya berteraskan pertanian berkembang menjadi ekonomi perindustrian di Belanda. Ini menandakan bermulanya kehebatan kuasa ekonomi perniagaan dan perdagangan Belanda.
No comments:
Post a Comment