Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, Lagi Maha Bijaksana." (Surah Luqman, ayat 27)
Dalam masyarakat Melayu, kerana ketelitian bangsa ini akan bahasanya , ada satu peribahasa menyebut 'masuk bakul angkat sendiri'.
Sekarang harga barangan keperluan naik mencanak. Apabila harga barangan keperluan atau harga minyak naik, ada orang atau pihak berkenaan yang masuk bakul angkat sendiri ini, akan berkata 'kenaikan ini tidak membebankan' atau 'jika harga ayam mahal, jangan makan ayam' atau jika harga telur mahal, kurangkan makan telur'.
Memang hebat fikiran orang Melayu dahulu. Mereka mencipta simpulan bahasa, peribahasa yang cantik-cantik itu sebagai iktibar untuk orang kemudian. Namun ada orang Melayu tidak faham kecantikan dan keindahan bahasa Melayu. Sebab itu mereka mahu ' menginggeriskan' banyak perkara.
Berbalik kita kepada peribahasa 'masuk bakul angkat sendiri'. Adalah norma dalam masyarakat, seseorang yang jahat tidak akan berkata dia jahat. Seorang pencuri tidak akan berkata dia pencuri.
Seorang penyamun tidak akan mengaku dirinya penyamun. Sebaliknya apabila berlaku sesuatu kecurian dalam sesebuah kampung, si pencuri yang terperangkap akan menjerit, mengejar orang lain dengan mengatakan orang lain sebagai pencuri.
Apa yang berlaku sepanjang zaman, seorang penyamun akan pura-pura buat baik bagi menutup 'kepenyamumannya'. Orang puasa dia puasa. Orang raya dia pun raya. Orang bayar zakat fitrah, dia pun bayar zakat fitrah. Orang naik haji, dia pun naik haji. Itulah penyamun tarbus namanya. Banyak filem sudah dibuat mengenai hal ini. Jadi apa nak dihairankan jika penyamun tarbus ketika harga barangan naik mencanak, mengaku dia terbaik di dunia ini.
Dalam masyarakat Melayu, adalah pelik seseorang itu mengaku dia baik. Orang Melayu ini pemalu. Orang Melayu yang baik tidak mendabik dada dia baik. Sebab baik itu adalah penilaian orang.
Apabila seseorang itu mengaku dia baik atau mengiklankan bahawa dia baik, tentulah ada yang tidak kena dengan dirinya. Apabila orang mendakwa dia baik, hampir pasti dia tidak baik atau ada 'wayarnya putus' (short-cicuit).
Orang Melayu halus dalam budi bicaranya. Ada yang gemar bercakap 'cara kebalikan' (reverse). Apabila seseorang anak terjatuh kerana memanjat pokok, bapanya akan berkata, "panjat, panjat, panjat lagi", tetapi hakikatnya si bapa tadi tidak mahu si anak memanjat pokok lagi. Demikian betapa hebatnya orang Melayu berbahasa!
No comments:
Post a Comment