DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
SYUKUR alhamdulillah, musim haji 1443 sudah tamat; jemaah haji mula berbondong-bondong kembali ke tanah air masing-masing. Hari ini (30 Julai) kita menyambut tahun baharu Hijrah 1444 maka bermulalah kalendar baharu amalan kita diawali bulan mulia Muharam.
Seorang tuan guru dalam tazkirahnya yang saya hadiri baru-baru ini mengingatkan jemaah akan kepentingan meningkatkan amalan pada 30 hari setahun iaitu pada 10 hari pertama bulan Muharam, 10 hari terakhir Ramadan dan 10 hari terawal Zulhijah.
Berceloteh mengenai bab haji, kali ini izinkan saya menyiarkan celoteh seorang haji muda yang usahlah saya sebutkan namanya mengenai 'bilik berkat' (kamar khas yang boleh disewa pasangan suami isteri) di Makkah ketika musim haji.
Bagi sesetengah orang bilik berkat adalah 'hal kecil (remeh)', tetapi kita perlulah berlapang dada kerana 'manusia tidak sama' - ada yang menganggap perkara itu sebagai 'perkara pokok' yang dapat menyumbang kepada kebahagiaan suami isteri yang akhirnya membawa seseorang bakal haji dan hajah fokus kepada ibadah.
Ketahuilah wujud perbezaan lelaki-perempuan dari segi perasaan, emosi, fikiran, tanggapan, dan sebagainya. Apabila mengetahui perbezaan itu, diharapkan suami isteri bermuhasabah diri seterusnya sedia 'melakukan pengorbanan'.
Yalah, bukankah haji itu pengorbanan, pasangan suami isteri perlu melakukan pengorbanan menjaga hati (perasaan) dan naluri pasangan masing-masing demi keutuhan hubungan suci mereka. Mentelaahan godaan 'untuk tidak berkesefahaman' adalah tersangat tinggi di Tanah Suci', ya iblis dan syaitan kuat mengacau..
Menurut sesetengah ustaz, ada suami isteri veteran 'terlajak' ketika ihram, yalah kenapa tidak 'menyalurkannya' dengan jalan betul pada masa yang betul...bukankah bilik berkat boleh diperolehi dengan sedikit bayaran; agar hubungan suami isteri tidak keroh dan pada masa yang sama jemaah dapat menunaikan rukun, wajib dan sunat umrah dan haji dengan sempurna dengan gembira bagi memperolehi haji mabrur yang balasannya tiada lain melainkan syurga!
Berikut adalah celoteh jemaah haji muda itu: "Saya terpanggil untuk memberi sedikit komentar mengenai bilik berkat di Tanah Suci bagi jemaah haji Malaysia. Mengerjakan haji pada ketika usia muda dan bertenaga memang ada banyak kelebihan. Bakal haji dan hajah muda boleh berulang alik dari bilik hotel ke masjid sehingga lima kali sehari jika mahu.
"Saya sangat bersimpati dengan bakal haji dan hajah veteran; yang memang tidak dapat sepenuhnya untuk ke masjid lima kali sehari khususnya pada waktu kemuncak musim haji. Ini kerana kesesakan dan jauh.
"Sebelum saya ke Tanah Suci ada rakan-rakan yang juga sebaya (40-an) dan telah mengerjakan haji, mengusik dan mengingatkan saya jangan malu 'menempa' bilik berkat di Makkah ketika 'naik' haji. Dia menambah di Tanah Suci tahap 'libido' kita agak tinggi dan kalau tidak diuruskan dengan baik kita mungkin kurang fokus dan dikhuatiri akan melilau dalam beribadah.
"Saya hanya tersenyum mendengar nasihat sahabat-sahabat tersebut... sehinggalah saya sendiri mengalaminya. Betul kita tidak boleh menolak naluri kita sebagai manusia. Jika kita tidak berada di dalam ihram dan tidak terikat dengan pantang larangnya - kenapa tidak...khususnya selepas menyelesaikan umrah bagi jemaah yang mengerjakan haji tamattuk dan menunggu masa untuk menunaikan haji.
"Pada saya bukan aktiviti dalam bilik berkat itu yang menjadi fokus. Tetapi urusan ibadah di Tanah Suci akan jadi lebih 'tenteram' dan kita menjadi 'fokus' setelah perasaan dan naluri kita sebagai suami isteri ditundukkan mengikut fitrahnya.
"Ada jemaah yang mempunyai kemampuan menyewa bilik di hotel lain bagi tujuan 'berdua' suami isteri, itu terpulanglah kepada mereka. Apa yang pasti ada jemaah haji muda (malah veteran) perlu menerima hakikat - ada 'masanya' kita perlu untuk menggunakan bilik tersebut dan menunaikan 'tanggungjawab'. Percayalah selepas itu seseorang jemaah itu akan kelihatan sangat ceria dan santai dan bolehlah dia fokus kepada ibadah. Sebaliknya ada jemaah terutama lelaki sentiasa 'marah-marah' dan kelihatan amat tertekan.
Tak perlulah kita menyeksa diri dengan menjauhi isteri selama 43- 53 hari semata- mata kerana berada di Tanah Suci...Asal sahaja kita tidak berada di dalam pantang larang ihram,,,'go ahead'.
"Saya pernah bertemu dan berbual dengan seorang jemaah muda yang merungut dan memarahi staf Tabung Haji yang padanya sengaja berdolak dalik mengenai bilik berkat apabila dia memohonnya.
"Jelas kelihatan 'tension' di muka jemaah tersebut. Kebetulan kami ditakdirkan memilih sudut dan saf yang sama setiap kali ke masjid. Puas jugalah saya mendengar keluhan beliau. Saya akhirnya faham apabila melihat beliau dan isterinya yang sangat muda ketika usai solat dan pulang dari masjid.
'Moral of the story'...jangan malu-malu memohon dan guna bilik berkat...insya-Allah ia membantu kita fokus, tenteram, ceria dan gembira untuk beribadah. Semoga sentiasa dalam rahmat Allah."
No comments:
Post a Comment