Sunday, February 21, 2021

Rejab 9, 1442: Refleksi 8 - Perguna 5 sebelum datang 5...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya ialah waktu ia sujud, oleh kerananya maka perbanyaklah doa ketika itu." (Sahih Muslim)


MENULIS celoteh ini, saya baharu pulang dari sebuah hospital swasta...ceritanya begini. Pada Khamis, 11 Februari selepas mengalami sakit perut dan pinggang beberapa hari, saya ke sebuah klinik berhampiran. 


Saya ada rekod di klinik itu, jadi mudahlah doktor mengdiagnosis saya ada batu karang dalam buah pinggang. Saya di'skan' - memang betul ada tanda-tanda hitam pada buah pinggang kanan.


Doktor itu menginskripsi tiga jenis ubat untuk saya - satu pecah batu, dua ubat tahan sakit dan ketiga ubat Ural (Effervescent Granules) yang berbuih macam Eno apabila dimasukkan ke dalam air.


Hari Sabtu (13 Februari) selepas makan tengah hari, tatkala ke tandas, terkejut saya melihat air kencing berdarah. Selepas itu, asyik nak buang air kecil sahaja...daripada air kencing berdarah menjadi kencing berdarah...saya panik.


Saya sudah berpeluh-peluh, keluarga mengejarkan saya ke sebuah hospital swasta. Sekarang ini bukan mudah nak masuk hospital...kena 'check' itu dan ini. Dipendekkan cerita, saya memang ada masalah batu karang...daripada perbualan isteri dan doktor, saya ada dengar-dengar kos rawatan lanjutan - 15K ke 20K.


Selepas diberi ubat dan ditetapkan temujanji dengan doktor pakar, saya dibawa pulang. Alhamdulillah, kencing semakin kurang berdarah...sakit pun mulai surut; saya mohon pembaca berdoalah kepada Allah semoga Allah SWT memberikan keafiatan kepada saya dan semua yang kurang sihat. Amin.


Apabila sakit begini, teringat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas; Nabi s.a.w. bersabda, bermaksud: "Perguna 'lima' sebelum datang 'lima' - masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kamu berada (kaya) sebelum jatuh papa (miskin), masa lapangmu sebelum sibuk dan masa hidupmu sebelum mati."


Kehidupan satu perjalanan cukup singkat; masanya diibaratkan berteduhnya seorang pengembara di bawah sebatang pokok sebelum berangkat pergi. Hidup perlu diisi segala keperluannya, apabila bertemu Allah nanti tidaklah kita membawa tangan kosong, atau lebih malang, membawa onar dan keburukan diri.


Tidak lama dahulu, rakan-rakan lama mengadakan majlis 'reunion' (perjumpaan semula). Ketika perpisahan puluhan tahun lalu, kami remaja menginjak ke usia dewasa. Pada pertemuan semula ini, ada yang 'berkelakuan gila-gila' bagaikan remaja, hakikatnya kami sudah menginjak ke usia tua - 'dunia kata pergi, kubur kata mari!'


Tidak sedarkah sejumlah daripada rakan-rakan sudah meninggal dunia dan ada yang sakit-sakit seperti diri ini?


Seorang rakan mendapat teguran, mengapa dia berlagak begitu. Jawapannya mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang merasakan lucu, tidak kurang mengambil sikap 'selamba' manakala ada menyatakan rasa meluat kepada pengakuan bahawa; "Well, I am a young man trapped inside an old body" (aku seorang muda yang terperangkap.dalam tubuh seorang tua). 


Ada yang berkomen: "Saya dari pusat ke atas saja nampak tua, dari pinggang ke bawah muda weh!" Berfikirlah dengan keras untuk memahami apa maksud 'mamat tua' ini! 


Subhanallah, sudah tua mengaku muda. Sudahlah tu, perhati dan telitilah bagaimana berbezanya 'rasa badan' ketika berusia 20-an dulu berbanding 50 dan 60-an kini. Ada seorang bijak pandai merumuskan begini: ohh, alangkah malangnya nasibku ketika tua, ketika mataku diperlukan untuk dibuka (seperti di kelas pengajian masjid malah ketika solat) ia kerap tertutup pula (tidur) tetapi apabila diperlukan untuk ditutup pada dinihari (tidur) ia terbuka pula (terjaga). 


Badan kerap sengal-sengal manakala pelbagai 'penyakit tidak berjangkit' seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan gaut mula menyerang menyebabkan seseorang itu tidak boleh lagi bermewah-mewah menikmati makanan sedap seperti durian, rambutan, hasil laut dan daging sebaliknya terpaksa berpuas hati dengan memakan bijirin, biskut dan roti kering.


Sebagai seorang 'tak berapa muda',  eloklah saya celotehkan pembaca terutama yang masih muda supaya mempergunakan sepenuhnya masa muda  untuk melakukan ibadah semaksimumnya, yalah sebelum kamu menjadi tua. 


Apabila sudah tua, apatah apabila penyakit 'sudah datang', sukar menunaikan ibadat dengan selesa. Misalnya, jika Allah SWT uji kita dengan 'kerap-kerap kencing' atau 'kencing tak tos' atau tak boleh kencing (kerana pembesaran prostat -atau ada batu karang, nauzubillah), tahulah kita tinggi rendah dunia ini. Demikian juga jika kita 'dianugerahkan' penyakit gaut, untuk bergerak sikit saja sendi-sendi rasa berbisa apatah lagi untuk berdiri lama dan berbongkok ketika solat. Kemudian, apatah lagi jika kita sudah terlantar di katil di rumah atau wad hospital. Untuk menunaikan solat waktu yang wajib itu pun ramai yang tak buat apatah lagi nak buat ibadat sunat.


Untuk menunaikan ibadah haji, seseorang itu perlu sihat tubuh badannya termasuk dari segi fizikalnya. Terlalu banyak aktiviti memerlukan pergerakan tubuh badan malah untuk berulang alik antara tempat kediaman dan Masjidilharam untuk solat waktu juga memerlukan kemantapan tubuh apatah lagi bagi menjayakan rukun dan wajib haji dan umrah seperti berwukuf di Arafah, bermalam di Mudzalifah dan Mina serta melontar di Jamrah. 


Demikianlah, pergunakah masa muda untuk memaksimumkan ibadah. Namun sebagai manusia, kita sentiasa leka. Ada bijak pandai berkata dalam kehidupan ini mudah benar seseorang itu tersadung; ketika kanak-kanak dan remaja, ilmu tiada pengalaman pun tiada jadi tersadunglah kita; kemudian apabila muda, tenaga banyak, ilmu dan pengalaman kurang maka tersadung juga kita; kemudian apabila sudah tua, ilmu dan pengalaman sudah banyak, malangnya tenaga sudah habis, maka akhirnya tersadung juga kita.


No comments: