Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Jalan Mudah Menuju Syurga
Abu Darda' r.a. menyatakan, Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: "Barang siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah mempermudahkan baginya suatu jalan menuju syurga. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayapnya bagi orang yang menuntut ilmu kerana redanya dengan apa yang mereka perbuat.
"Sesungguhnya orang yang berilmu itu dimohonkan ampun oleh makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi termasuk ikan-ikan di dalam air. Dan kelebihan orang berilmu daripada orang yang beribadah (tanpa ilmu) itu adalah bagaikan kelebihan bulan daripada seluruh bintang yang lain.
"Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi itu tidak mewariskan dinar atau dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Barang siapa mengambilnya, maka dia mengambil bahagian yang baik." (HR. Abu Daud dan Termizi) - Hidayah Rabiulakhir 1433/Mac 2012
*****************
Teruja sungguh saya mendengar taklimat mengenai Perbankan Islam di sebuah masjid berhampiran rumah saya baru-baru ini. Ceramah dengan tajuk 'Perbankan Islam: Satu Kewajipan' oleh seorang pegawai kanan Bank Muamalat itu antara lain menyentuh perjuangan getir umat Islam negara ini menegakkan sistem perbankan mengikut syariah terutama bagi membendung amalan riba yang membawa kepada penubuhan Bank Islam pada 1983.
Perjuangan ini berterusan sehinggalah bank konvensional juga akhirnya menawarkan produk-produk Islam dan kini lesen sudah diberikan kepada 17 institusi kewangan bagi menjalankan Perbankan Islam. Kini banyak IPT menawarkan pengajian Perniagaan Islam, Kewangan Islam dan Perbankan Islam. Semua ini bagi menyelamatkan umat Islam daripada bahana menjalani kehidupan menyimpang daripada ajaran Islam terutama amalan riba yang orang berterusan mengamalkannya diberi amaran bahawa Allah dan Rasul-Nya mengisytiharkan perang terhadap mereka.
Syabas kepada 'orang bank' yang menjalankan peranan dan menjayakan tugas mereka. Dalam kehidupan singkat ini, saya percaya setiap orang hanya mampu berperanan dalam bidang masing-masing. Jika 'orang bank' boleh tersenyum dengan kejayaan Perbankan Islam, bagaimana pula dengan 'orang surat khabar (media)', apakah kini sudah wujud 'Kewartawanan Islam'. Sebagai seorang wartawan inilah bidang saya, apa yang sudah dilakukan oleh wartawan Islam termasuk diri ini dalam memurnikan amalan dunia kewartawanan sehingga ia sejajar dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya?
Beberapa artikel saya sebelum ini menyentuh mengenai penubuhan Sekolah Kewartawanan Islam yang lulusannya diharapkan dapat mengimbangi graduan-graduan keluaran sekolah kewartawanan sekular yang berkiblatkan dunia ilmu Amerika dan Eropah, tetapi usaha melahirkan wartawan tawaduk yang tunduk kepada halal dan haram nampaknya bergerak terlalu perlahan.
Malah dunia kewartawanan tanah air semakin dicemari paparan dan amalan tidak beretika; tidak payahlah kita bercakap mengenai Kewartawanan Islam, etika kewartawanan yang dipelajari di sekolah-sekolah kewartawanan sekular pun dilanggar semahu-mahunya. Wartawan bukan lagi bersifat pelapor; tetapi menyebelahi pihak-pihak yang disokong dan mahu dimenangkannya.
Tataplah paparan akhbar harian yang dikatakan media arus perdana itu atau ikuti buletin TV dan radio, hampir semua bahannya menyokong satu pihak dan mencerca pihak lawannya. Pihak disokong diberi liputan meluas untuk membelasah lawannya, malangnya yang dibelasah tidak diberi ruang sedikit pun untuk membela diri. Apakah perkara seperti ini diajar di sekolah-sekolah kewartawanan?
Semasa saya menuntut dulu, seorang pensyarah kewartawanan berbuih-buih mulutnya menyatakan seseorang wartawan itu tidak boleh membabitkan dirinya (seperti memberi pendapat, pandangan dan rasa hati) dalam penulisan berita dan rencananya.
Masih terngiyang-ngiyang peringatan itu walaupun sudah hampir 30 tahun berlalu. Laporkan saja sesuatu kejadian kerana awak pelapor bukan pengulas, katanya. “Tugas awak macam posmen, menghantar surat, isi dalam surat itu tidak ada kena mengena dengan awak,” tegasnya.
Tetapi hari ini apabila membaca berita dan rencana, terasa apa yang dikuliahkan pensyarah itu tidak terpakai lagi. Pelapor (wartawan) sudah mengambil bahagian dalam pemberitaan. Mungkin si wartawan membuat laporan seadanya tetapi telah ditambah itu sang editor, menjadikan laporan itu kelihatan ‘senget’ (bias). Sekarang ini, keadaannya 'terlalu senget' sehingga orang awam pun berasa jijik dengan sesetengah media massa.
Perkembangan ini membuat hati ini tertanya-tanya apakah prinsip asas kewartawanan itu terpakai lagi. Atau apakah penulis tersilap tafsir asas kewartawanan yang diajar oleh pensyarah dulu?
Bagi penulis, seseorang wartawan Muslim itu bukan hanya perlu tahu dan mengamalkan etika kewartawanan, tetapi lebih penting tahu dan mengamalkan asas-asas Islam. Mereka perlu peka tentang perkara halal dan haram.
Sebelum memulakan kerja, mereka tahu dan sedar Yang Maha Berkuasa sedang memerhatikan mereka. Bersandarkan ilmu yang menyuluh, mereka tahu yang mana halal dan haram.
Melaporkan berita secara tepat adalah halal tetapi memesongkan berita adalah haram. Menyiarkan berita pihak berkuasa menggempur kedai judi adalah kerja kebajikan tetapi menyiarkan keputusan empat nombor ekor adalah haram. Tetapi menyiarkan keputusan judi inilah menjadi amalan akhbar-akhbar kini; apakah perlakuan haram ini mahu dilakukan dulu, kini dan selamanya...
Wartawan beriman juga tahu menyiarkan kisah artis mencari jalan pulang (mencari Tuhan) adalah bagus tetapi mereka juga tahu menyiarkan gambar artis terlondeh sana, terbuka sana adalah haram; jadi mereka akan buat yang halal dan meninggalkan yang haram. Inilah yang kita mahu dalam dunia kewartawanan kita. Bersediakah wartawan-wartawan kita berubah, berhijrah?
Mengenai etika kewartawanan Islam seorang penulis menyatakan ia ada sedikit perbezaan dengan etika kewartawanan Barat yang mengutamakan kebebasan tanpa batasan dalam semua perkara.
Seorang wartawan Islam perlu sedar dia adalah seorang pelapor yang merakamkan kejadian sebenar seperti lensa kamera; mereka sentiasa merasai diri dalam pemerhatian Allah SWT. Wartawan Islam dibatasi dengan hukum-hukum syariat halal-haram.
Seorang wartawan Islam itu sekali gus seorang pendakwah. Lembut lidah pendakwah dalam menyampaikan risalah Allah, lembutlah bahasa wartawan. Tinggi hemah ulama, tinggilah hemah wartawan. Tajam pandangan ulama,, tajamlah pandangan wartawan. Keras ulama mencegah kemungkaran, begitulah sikap wartawan. Wartawan juga perlu menjawab segala kebohongan yang dilemparkan terhadap Islam.
Berikut adalah sebahagian daripada etika kewartawanan Islam yang boleh dijadikan panduan:
1. Betulkan niat iaitu bekerja semata-mata untuk mencari keredaan Allah.
2. Memulakan setiap kerja dengam Bismillah dan apabila selesai mengucap Alhamdulillah.
3. Berada di medan penulisan kerana melaksanakan kewajipan dan fardu kifayah.
4. Kekalkan pendirian menulis hanya atas dasar kejujuran.
5. Bercita-cita menegakkan yang makruf dan mencegah/ menentang kemungkaran.
6. Melaksanakan Islam dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia dengan mengambil kira hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Membenci dan meninggalkan perkara yang haram dan makruh.
7. Menimba ilmu Islam melalui pengajian (berguru) di samping pembacaan dan pemerhatian.
Penulis ini mengingatkan bahawa pena adalah pedang jihad bukan senjata yang memuntahkan peluru-peluru fitnah, tohmahan dan seumpamanya. Sentiasa menimbang akan dosa dan pahala sebelum melakukan penulisan.
No comments:
Post a Comment