Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w
Renungan
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)
ISTERI saya bersara daripada jawatan gurunya baharu-baharu ini. Pada hari terakhir persekolahan, dia pulang dengan wajah bercahaya dan membawa masuk ke dalam rumah, hadiah yang tak cukup sebuah meja untuk menampungnya.
Isteri saya gembira, saya tumpang gembira. Selain hadiah, dia menerima banyak ucapan tahniah dan penghargaan. Hari pencen menjadi detik-detik menggembirakan. Demikianlah meninggalkan tempat bertugas selama puluhan tahun dan rakan-rakan serta anak murid, selain menyedihkan, ada 1,001 perasaan lain seperti kebahagiaan, kepuasan, kebanggaan dan pengharapan.
Terfikir di benak saya, jika bersara (meninggalkan alam pekerjaan) kita boleh dibuai rasa dihargai, bahagia, puas dan sebagainya, bagaimana nanti situasinya saat kita meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya (mati)? Adakah kita dapat rasakan kedamaian, bahagia, dihargai, terjamin masa depannya dan sebagainya?
Kenapa kita bahagia saat bersara? Antaranya kita tahu kita sudah membuat yang terbaik dalam pekerjaan, kita sudah membuat yang terbaik kepada pihak atasan, organisasi bidang kerja kita, rakan-rakan sekerja malah dengan semua pihak dan orang dan sekarang tibalah masa untuk kita menikmati saat-saat indah sebagai seorang pesara.
Namun tunggu dahulu...ada perkara terpenting yang menyebabkan kita bahagia iaitu jaminan mendapat pencen bagi menyara kehidupan sepanjang hidup kita selepas itu. Ya, ada jaminan untuk kita berduit bagi meneruskan kelangsungan hidup. Kalau tiada jaminan mendapat pencen, bolehkah kita rasa sebahagia orang dapat pencen setiap bulan?
Jika meninggalkan jawatan, tempat bertugas dan rakan-rakan (bersara), orang yang sudah melakukan yang terbaik dapat merasai kebahagiaan apatah lagi dengan jaminan wang pencen, demikianlah fikir saya orang yang meninggal dunia akan bahagia jika sudah melakukan yang terbaik dalam kehidupannya berdasarkan kehendak agama dan jaminan mendapat balasan baik (keredaan) Allah SWT.
Persoalannya di sini, kita akan tenang sebahagiannya jika mendapat jaminan kehidupan pada masa depan. Demikianlah diri saya tatkala mendapat 5A dalam Peperiksaan Penilaian Darjah Lima pada zaman sekolah rendah dahulu. Ada jaminan untuk melanjutkan pelajaran menengah di sekolah berasrama penuh ternama. Dalam hati ada rasa bahagia, bangga, puas dan sebagainya, mungkin sama seperti dialami isteri saya tatkala dia bersara.
Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) adalah garisan permulaan bagi saya mengerti kehidupan apabila saya memasukinya dalam usia menginjak 13 tahun. Zaman kanak-kanak yang dilalui sebelum itu hanya bagaikan mimpi kerana kebanyakan tingkah laku dan proses membuat keputusan adalah di tangan orang tua. Sebagai kanak-kanak, saya mengikut saja saranan orang tua termasuk tekun mentelaah pelajaran tetapi kesempatan membesar dan melalui alam remaja di MCKK menjadi pengajaran seumur hidup.
Di MCKK saya lalui pelbagai kisah yang menyentuh jiwa seterusnya menjadi pengajaran paling bermakna dan apa yang akan saya ceritakan di sini adalah salah satu daripadanya. Peristiwa ini mengajar saya menyelami erti kehidupan dalam usia agak mentah, iaitu ketika saya berusia 16 tahun dan dalam tingkatan empat.
Suatu hari saya menerima sepucuk surat berdaftar yang dihantar melalui pejabat sekolah. Pada zaman itu (1970-an) menerima surat berdaftar (registered letter) adalah saat dinanti-nanti kerana biasanya ia mengandungi wang yang dikirim pihak lain terutama ibu bapa.
Biasanya nama pelajar-pelajar penerima surat berdaftar diumumkan ketika makan tengah hari atau senarainya dipamerkan di papan kenyataan. Tentunya penerimanya tidak sabar-sebar mendapatan surat berdaftar itu yang perlu diambil daripada kerani di pejabat sekolah. Setiap penerima perlu menurunkan tandatangan mereka sebelum diberikan surat berdafar berkenaan.
Selepas menandatangani perakuan menerima surat berdaftar itu, saya meneliti tulisan di sampulnya. Saya hairan kerana tulisan itu lain benar daripada tulisan surat yang biasa saya terima. Saya tahu surat berkenaan bukan untuk saya walaupun jelas tertulis ‘Kepada…(nama penuh saya).
Tetapi tangan saya ‘gatal’ lalu cepat-cepat saya koyakkan sampul surat itu. Ada wang tunai $20 (ketika itu RM belum dipakai). Wow! Walaupun saya dididik supaya tidak mengambil hak orang lain, kerana hendak ‘enjoy’, fikiran saya berbelah bagi.
Ada kertas biru dalam surat itu. Sambil berbaring di katil saya pun mula membaca baris-baris ayat yang kurang sempurna tulisannya. Saya agak tentulah penulisnya bersekolah rendah saja. “Kepada anakanda…(nama penuh saya) semoga…” Saya tidak tertarik meneruskan pembacaan bab pertanyaan khabar bapa dan anak ini. Mata saya terus ke perenggan terakhir.
“Bersama-sama ini ayahanda kirimkan wang $20 untuk yuran persekolahan anakanda. Ayahanda berusaha mengumpulkan kulit siput untuk dijual bagi mendapatkan wang ini. Kadang-kadang kaki ayahanda berdarah terpijakkan kulit siput. Ayahanda harap anakanda dapat gunakannya secara bijaksana…”
Hah, si bapa mencari kulit siput bagi mengumpul duit untuk dihantar kepada anaknya. Hati saya bagaikan tersiat-siat dan terasa begitu sayu sekali. Saya dapat rasakan betapa besarnya pengorbanan seorang bapa untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anaknya. Saya tidak sampai hati untuk ‘membelasah’ wang titipan seorang bapa miskin kepada seorang anaknya yang sedang menuntut ilmu.
Cepat-cepat saya meneliti kembali sampul surat itu. Memang jelas perkataan ‘Kepada…(nama penuh saya). Tetapi alamatnya bukan Malay College Kuala Kangsar tetapi Sekolah Melayu Kuala Kangsar. Posmen yang menghantar surat itu sudah tersilap besar, menyangka Sekolah Melayu Kuala Kangsar sebagai Kolej Melayu Kuala Kangsar. Sepatutnya dia menghantar surat itu ke Sekolah Melayu dan bukannya Kolej Melayu.
Tanpa bertangguh, saya memulangkan surat itu kepada kerani sekolah. Saya tidak tahu sama ada pelajar yang sama namanya dengan nama saya di Sekolah Melayu itu menerima surat berdaftar yang saya pulangkan itu atau tidak.
Namun peristiwa itu memberikan saya pengajaran paling mengesankan dan cepat mematangkan saya dalam menilai makna selok belok kehidupan, termasuk pengorbanan seorang insan bernama ayah!
No comments:
Post a Comment