Tuesday, February 2, 2021

Jamadilakhir 20, 1442: Merajuk tiada dalam kamus pejuang tulen...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


ADA sejumlah perkataan Melayu yang sukar diterjemahkan secara tepat ke dalam bahasa asing termasuk Inggeris. Misalnya 'amuk'; jika dirujuk kamus Melayu-Inggeris perkataan itu dikekalkan, kadang-kadang dieja 'amuck'. 


Demikian juga rajuk (merajuk), diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai 'to show unhappiness' yang dirasakan kurang tepat bagi menggambarkan seseorang yang berkecil atau retak hati seterusnya membawa atau memencilkan diri sehingga datang seseorang atau pihak untuk memujuknya!


Dalam persaingan politik, ramai pemimpin disingkir, tersingkir, difitnah dan pelbagai perkara negatif lain menyebabkan kebanyakannya merajuk lantas mengundurkan diri. Nama mereka beransur-ansur hilang daripada persada politik.


Namun bagi pejuang sebenar, merajuk tiada dalam kamus hidup mereka. Marilah kita renung sejenak akan kisah Nabi Muhammad s.a.w. yang membuktikan bahawa baginda tidak pernah merajuk (patah hati) dalam perjuangan menegakkan Islam. Sekalipun begitu berat beban dan fitnah ditanggung termasuk dihina kaum keluarga sendiri seperti dicop gila dan diboikot, Nabi Muhammad s.a.w. terus istiqamah dalam perjuangannya.


Apabila kaum Quraisy melihat Nabi Muhammad tidak sedikit pun merajuk atas segala tindak tanduk mereka, mereka mengemukakan tawaran yang sangat istimewa kepada Nabi Muhammad iaitu jawatan pemerintah Makkah, harta dan wanita dengan syarat Nabi s.a.w. menghentikan dakwahnya. Namun semuanya ditolak oleh baginda dengan berkata kepada bapa saudaranya Abu Talib...jika mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, aku tidak akan sekali-kali menghentikan dakwahku...


Sepanjang sejarah dunia, ramai  'orang baik-baik' termasuk ulama dipenjarakan kerana perjuangan mereka. Mereka termasuklah Imam Ahmad bin Hambal dan di rantau kita Buya Hamka. Apakah Imam Ahmad, pengasas Mahzab Hambali dan Hamka merajuk. Jawapannya tidak sekali-sekali kerana apabila dipenjarakan semangat mereka semakin kental misalnya Hamka dapat menyiapkan Tafsir Azhar dalam penjara!


Demikianlah, merajuk tiada dalam kamus seorang pejuang. Kita bagaimana? Kerap benar kita merajuk (patah hati), dalam perjuangan, hatta dalam hidup pun...

No comments: