DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
MELIHAT keghairahan anak-anak generasi baharu terhadap gadget teknologi maklumat, kita berpendapat alangkah molek dan bermanfaat besar untuk kita memaksimumkan penggunaan teknologi bagi memantapkan usaha-usaha dakwah sekali gus melawan aneka penyelewengan termasuk dari segi akidah yang berleluasa dalam masyarakat hari ini seperti mempercayai hal mengarut seperti rasul Melayu, agama Melayu atau pun hanya parti tertentu dapat menyelamatkan orang Melayu.
Pada era masa kini, dakwah melalui teknologi baru ini tersangat penting; jangan sama sekali kita biarkan anak-anak kita hanyut dalam dunia negatif sedangkan kita gagal menyediakan input-input dakwah menyegarkan melalui kemudahan teknologi ini.
Jika difikir-fikirkan secara positif, perkembangan teknologi komunikasi sekarang ini lebih memudahkan seseorang mendekatkan dirinya kepada Penciptanya, Allah SWT. Misalnya, dalam telefon selular boleh dimasukkan cip bacaan al-Quran sebanyak 30 juzuk, jadi bolehlah seseorang itu menghayati bacaan al-Quran sepanjang masa dan di mana saja dia berada. Ya, kemajuan teknologi boleh mendekatkan seseorang kepada Tuhan, tetapi jika digunakan secara negatif, maka seseorang itu akan semakin jauh daripada Allah.
Berhubung kemajuan teknologi masa kini, seorang sarjana antara lain menulis: “Dengan meningkatnya teknologi komunikasi canggih bermakna meningkatlah darjah persaingan antara pelbagai kelompok, badan dan pertubuhan serta organisasi-organisasi untuk memenangi hati massa.
“Kini badan perniagaan dan korporat, parti politik, agensi pelancongan, badan budaya dan pengusaha industri hiburan terlibat dalam perang maklumat (infowar) yang sengit sekali. Dalam kebisingan dan hiruk pikuk seperti ini, mesej agama selalunya menjadi terpencil dan tidak didengari. Apatah lagi kalau badan-badan dakwah dan gerakan Islam memilih untuk menarik diri daripada perlumbaan yang hebat ini, pastilah suara dakwah menjadi bertambah perlahan.
“Kita yakin bahawa mesej Illahi adalah perutusan unggul yang harus ditebar seluas-luasnya. Allah sendiri menegaskan, “siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang mengajak kepada Allah? (terjemahan al-Quran, surah Fussilat 41:33). Namun tanpa ikut serta dalam ‘technological leap’ yang pantas kini, dakwah akan hanya mampu menguasai ‘market share’ yang kecil sahaja seperti yang disebut dalam American Demographics, ‘God may not be dead, but the mass market is’.
"Walaupun survival gerakan Islam tidak banyak bergantung kepada teknologi maklumat komunikasi, tanpa impak daripada operasi dakwahnya yang merupakan raison d’etre kehadirannya bergantung besar kepada kaedah dan media yang dimanfaatkan.”
Disebabkan begitu 'takutnya' kita kepada 'perubahan', dakwah kita asyik-asyik kepada orang sama. Kaedah tradisional memperlihatkan hanya segelintir orang mengikuti kelas pengajian di masjid. Mereka mungkin terdiri daripada 20 orang daripada seluruh penduduk kariah atau kampung seramai 2,000 atau 3,000 orang.
Jika orang dewasa di kampung itu ada 2,000 orang, kehadiran hanya 20 orang menunjukkan betapa gagalnya pentadbiran masjid dalam mendidik orang Islam. Tentunya masjid gagal diimarahkan kerana dengan tidak hadirnya 1,980 daripada 2,000 penduduk lelaki dewasa atau lebih 99 peratus penduduk kampung bermaksud mesej Islam gagal disampaikan secara berkesan.
Jadi bagaimana mahu berkomunikasi dengan lebih 99 peratus penduduk itu? Tentunya kaedah tradisional di mana ustaz duduk menghadap 20 ‘murid tua’ itu perlu diperkemaskan agar seruannya dapat didengar dan dimanfaatkan oleh seluruh penduduk kampung.
Melalui perkembangan teknologi maklumat, pengurusan masjid boleh mengusahakan bagaimana tazkirah itu dapat dipanjangkan kepada ratusan atau ribuan penduduk kariah yang tidak hadir berbanding dengan 20 jemaah tetap masjid.
Berdakwah kepada 20 ahli tetap masjid ini amatlah baik tetapi alangkah besar manfaat dan ganjarannya jika ribuan penduduk kampung dapat disampaikan ilmu dan maklumat. Memang betul, anak murid perlu mencari guru tetapi alangkah beruntung jika kita dapat memanfaatkan teknologi komunikasi yang kini berada di depan mata untuk menyeru seluruh penduduk ke arah kebaikan.
Bayangkan apa yang dapat dilakukan sekiranya organisasi dakwah mempunyai ‘linkage’ rangkaian telekomunikasi dengan setiap penduduk yang ada gadjet tertentu dengan data dan maklumat yang sedia dimanfaatkan oleh semua pihak. Ya, apa kata kita wujudkan telekomunikasi antara masjid dengan penduduk dan rumah mereka dalam sesebuah kariah itu. Dengan itu apa saja sesi tazkirah di masjid boleh diikuti di mana-mana, tetapi harap-harap ia tidak disalahgunakan oleh penduduk lelaki dewasa untuk tidak hadir ke masjid.
Mungkin orang lelaki akan berterusan dipujuk ke masjid tetapi dengan wujudnya hubungan telekomunikasi masjid-penduduk itu boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan perempuan terutama suri rumah yang terlalu sibuk dengan anak-anak dan urusan rumahtangga.
No comments:
Post a Comment