Sunday, February 28, 2021

Rejab 16, 1442: Berkorbanlah sebagai ibu bapa, anak...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."

"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)


SALAH satu aspek diberi penekanan pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) Tronoh yang saya hadiri tidak lama dahulu adalah kepentingan kepada graduan mengasihani, menghormati dan mengenang budi ibu bapa masing-masing.


Yalah, pada majlis graduasi UTP itu, bekas pelajarnya akan memasuki pasaran industri dan mula mendaki tangga kejayaan dan kebanggaan hidup satu demi satu; jadi peringatan daripada pihak tertinggi universiti termasuklah Pro Canselornya ketika itu, Tan Sri Sidek Hassan pada ucapan penutup, pada saya adalah tepat pada ketika masyarakat kita semakin hilang nilai kemanusiaan dan keagamaannya sebagai ibu bapa dan anak. Biasanya orang akan bercakap mengenai anak (dalam kes ini graduan universiti) yang perlu menilai pengorbanan ibu bapa masing-masing sehingga mereka mengecapi kejayaan tetapi jarang pemikiran orang melampaui kepada hakikat bahawa sebagai ibu atau bapa kita juga adalah seorang anak, persoalannya di manakah ibu dan bapa kita semasa kita berasa bangga terbabit dalam pembinaan kejayaan anak-anak kita.


Sebenarnya, kejayaan awal (mendapat ijazah) daripada pelbagai pancoraba yang akan ditempoh anak kita itu adalah perhatian dan pengorbanan banyak pihak daripada kita sebagai ibu bapa, datuk neneknya, guru, ustaz, pengasuh, orang gaji, jiran, sahabat, pensyarah, tukang masak, tukang sapu, pemandu bas, makcik kantin dan sebagainya. Pendeknya, semua anggota dan institusi masyarakat (seperti sekolah, media massa dan masjid) mempunyai saham masing-masing.


Pada hari mulia Aidiladha ini, alangkah baiknya jika merujuk kepada kisah-kisah pengorbanan insan-insan mulia yang kisah mereka direkodkan dalam al-Quran. Antaranya kisah keluarga Nabi Ibrahim a.s. yang menyaksikan bukan saja Nabi Ibrahim berkorban sebagai seorang bapa (yang diperintah Allah menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s) tetapi juga sebagai seorang anak (mendakwah bapanya), sebagai seorang suami dan pelbagai peranan lagi. Demikian juga Nabi Ismail a.s. dan ibunya Siti Hajar yang berkorban diri bagi mendapat reda Illahi.


Secara kebetulan ketika saya berada di UTP, saya membawa buku bertajuk ‘Air Mata Ibu’ (terbitan BSP) karya Norani Abd Hamid dan sempatlah saya ‘mencuri-curi’ membacanya pada waktu terluang. Apabila saya membaca kisah-kisah sedih mengenai nasib ibu yang dipaparkan penulis, perasanlah saya bahawa dalam banyak kes bukan seseorang anak itu menjadi sombong sejak azali tetapi dibentuk demikian. Antaranya, mereka menjadi sombong dan derhaka kerana pengaruh isteri (mahukan kehidupan mewah dan benci ibu mentua), kawan (terbabit dalam dunia dadah) dan pesona kehidupan duniawi. Kisah terbanyak dipaparkan adalah pengaruh isteri di atas kederhakaan seseorang anak.


Berdasarkan ini, pada pendapat saya adalah tepat untuk universiti mengingatkan graduannya supaya sentiasa kasih, menghormati dan mengenang jasa orang tua mereka. Ya, ketika baru melangkah dunia pekerjaan, insya-Allah semuanya ‘baik-baik’ belaka, tetapi selepas meniti kejayaan demi kejayaan dan terpaksa mengharungi desakan hidup seperti kesuntukan masa dalam membina kerjaya dan kepenatan membesarkan anak-anak dan ditimbuni hutang piutang, dikhuatiri sedikit demi sedikit mereka mula menyisihkan ibu bapa masing-masing. Apatah lagi jika pasangan masing-masing adalah daripada ‘jenis sombong bodoh’, pengaruh mereka akan membuatkan si anak lupakan daratan. Kata orang, kerana isteri yang cantik punya hal, ibu bapa pun ditolak ke tepi. Itulah kisahnya yang dipaparkan melalui buku yang saya baca itu seperti ‘Si Tanggang Moden’, ‘Ikut Telunjuk Isteri’ dan ‘Buang Ibu di Rumah Kebajikan’. Si Tanggang dulunya adalah ‘anak ibu’ (anak baik) tetapi selepas berjaya dalam pelayaran dan memperisterikan wanita hartawan, tidak mahu mengaku ibunya sendiri.


Demikianlah kita berdoa bersungguh-sungguh agar anak-anak kita termasuklah yang bergelar graduan dijauhkan diri daripada sifat Si Tanggang itu (mulanya baik tetapi berakhir dengan menderhaka kepada ibu bapa sendiri) semata-mata kerana diri mula diulit dengan harta dunia, pasangan (isteri atau suami) cantik atau kacak, kemasyhuran dan kuasa. Jadi pada pandangan hamba yang daif ini, adalah tepat untuk universiti mengingatkan anak didiknya untuk sentiasa berbakti kepada orang tua sepanjang hayat mereka malah selepas kematian seperti mendoakan dan berbakti atas nama mereka.

No comments: