Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan lalai daripada (hal) ini, maka Kami singkapkan daripadamu (yang menutupi) matamu, maka penglihatanmu pada hari itu amat tajam." (Maksud Ayat 22 Surah Qaf)
SUATU pagi saya ke kedai motosikal yang biasa saya kunjungi. Pemiliknya, seorang Cina muda yang kenal benar saya kerana terlalu kerap dia membaiki motosikal lama saya yang selalu rosak, sehingga tidak bimbang dia mendedahkan sejumlah rahsia kepada saya.
Pagi itu dia menyembur saya: "Tak guna punya haji-haji pakai kopiah, selalu sembahyang punya orang tapi hutang tak nak bayar. Dah buat hutang sini, ratus-ratus ringgit tapi tak nak bayar!"
Aiii, ini sudah 'over'. Saya raba kepala, ada kopiah di situ. Mulalah terasa panas di muka. Tetapi disebabkan yakin 'semburannya' tidak ditujukan kepada saya (kerana saya berurusan secara 'cash'), saya mendengar saja bebelannya.
Selepas merasakan dia sudah puas berleter, saya bertanya balik; "Ramai ke orang berkopiah buat perangai macam tu?"
"Bebelapa olang (beberapa orang). Sikalang (sekarang) ini orang kopiah ke, orang serban ke, saya tak percaya. Besar punya serban dan selalu sembahyang pun saya tak percaya. Gua bisnes 'cash' saja," katanya.
Bagi meyakinkan saya akan dakwaannya, dia memberi nama 'pak haji berkopiah dan berserban' yang disenaraihitamkannya. Syukur, nama saya tak tersenarai...heh, heh, heh.
Demikianlah, apa guna berkopiah atau berserban jika kelakuan dan perangai buruk kita mempalit arang ke muka orang lain di samping memberi tanggapan buruk kepada agama kita sendiri.
Berdasarkan ini sewajarnya 'orang berkopiah dan berserban' berhati-hati dalam tindak tanduk mereka, harap-harap kita tidak membawa dan memberi imej buruk kepada saudara seagama dan yang penting sekali Islam.
Seorang penceramah juga mengkisahkan betapa buruk imej dipaparkan oleh segelintir orang berkopiah dan berserban. Ada seorang 'pak haji berkopiah' kerjanya jual air tebu di gerai tepi jalan. Ketika menanti pelanggan, di jarinya terjepit rokok berasap. Haiii, 'pak aji' merokok di tempat awam; buruk nampaknya.
Kemudian dia ternampak seorang 'pak aji' memandu kereta cantik berhenti di persimpangan jalan berlampu isyarat. Pak Aji menurunkan cermin kereta, lantas membuang kulit rambutan. Aiii, 'pak aji' perbuatan seperti ini memalukan 'orang berkopiah dan berserban' lain.
Ya, membuang sampah dari tingkap kenderaan sudah biasa kita lihat. Pelakunya bukan saja 'pak aji' tetapi semua golongan. Suatu hari saya lihat seorang 'amoi' dengan gaya bersahaja memberhentikan keretanya, membuka pintu dan meletakkan cawan kertas bekas minuman di atas jalan raya. Kemudian dia menutup pintu, menekan pedal minyak dan 'blah'.
Antara 'pak aji' dan 'si amoi', yang mana agaknya kita lebih marah? Tentunya si pak aji berkopiah, kerana dia yang mempamerkan imej Islamik, menjejaskan nama dan kesucian ajaran Islam. Bagi si amoi, orang boleh setakat berkata; "muka saja cantik tapi perangai teruk" dan ini tidaklah menjejaskan mana-mana agama atau pihak.
Orang berkopiah sinomin dengan 'pak haji' termasuk yang baru balik dari Makkah musim ini. Sama seperti orang berkopiah atau berserban, orang berpangkalkan haji (dan juga hajah) pada nama mereka, perlu sentiasa menjaga maruah dan perlakuan masing-masing.
Bagi orang yang ada cahaya keimanan; dia tahu kopiah di kepalanya atau jpanggilan haji oleh orang terhadap dirinya berupaya menghalangnya daripada melakukan perkara-perkara tak elok. Misalnya jika matanya asyik gatal nak melihat aurat perempuan, 'kopiah di kepalanya akan mengingatkannya'; "ehh malulah jika orang berkopiah (atau haji) buat perkara tak senonoh ni."
Demikian juga jika mahu melangkah ke tempat maksiat seperti kedai ekor atau pentas dangdut dia terhalang apabila berfikir; "eh malulah takkan orang berkopiah mahu main ekor atau berjoget." Setidak-tidak dia akan 'campakkan' kopiahnya terlebih dulu sebelum masuk kedai ekor atau ke pentas dangdut.
Jadi kepada mereka yang berkopiah atau berserban; kalau mahu pergi ke bengkel motosikal (atau pusat perniagaan lain) dan menimbunkan hutang dengan hajat tidak melunaskannya, tolonglah TANGGALKAN kopiah atau serban anda terlebih dahulu!
Ini kerana dengan 'berkopiah atau berserban' tetapi berkelakuan jelek, anda telah memalukan 'pak aji-pak aji lain' dan agama Islam yang suci murni!
No comments:
Post a Comment