Monday, February 15, 2021

Rejab 3, 1442: Refleksi 7: Benci tapi rindu...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sesiapa yang membaca Ayat Al-Kursi pada penghujung setiap solat fardu (iaitu selepas solat), tidak akan menegahnya daripada masuk syurga melainkan ianya meninggal dunia." - Hadis diriwayatkan oleh Imam Nasai' dan Ibnu Hibban di dalam sahihnya daripada Abu Umamah.



SEBAGAI bekas 'budak kolek' (MCKK), tentulah penulis 'terasa sesuatu' apabila diuar-uarkan sekolah berasrama penuh ternama itu menyambut ulang tahunnya ke-100 tidak lama dahulu.

Penceritaan kehebatan MCKK di dada-dada akhbar pada sambutan ke-100 tahun, menggembalikan nostalgia mengenai kehidupan penulis sepanjang lima tahun melalui liku-liku kehidupan remaja di sana.

Menyorot kehidupan di sana - ia merangkumi segala perasaan - suka, duka, derita, bahagia, hampa, kecewa, pahit, manis dan 1,001 rasa lagi. Banyak peristiwa membawa bahagia tetapi tidak kurang jua yang membawa kepada rasa kecewa.

Banyak sebab untuk berasa kecewa (berdasarkan tanggapan dan tahap pemikiran penulis sebagai remaja ketika itu), antaranya, layanan tidak setara antara pelajar anak orang kaya/miskin dan penyuburan cara hidup tidak sihat dari segi agama. 

Rasa kecewa ini membawa kepada perasaan benci dan penulis tidak pernah kembali untuk menyambut 'Hujung Minggu Bersama Murid Tua' (Old Boys' Weekend) yang diadakan saban tahun di MCKK.

Bagaimanapun, publisiti sambutan 100 tahun, mengembalikan semua kenangan lama mengenai MCKK. Dalam benci, ada rasa rindu, sama seperti tajuk sebuah lagu popular, 'Benci Tapi Rindu'. Dengan niat mengembalikan ikatan sesama saudara seagama, apatah lagi rakan sekelas, sebilik tidur, setingkatan, sepermainan, semeja makan, sepersekolahan, penulis kembali ke alma mater.

Penulis meronda kawasan asrama bermula dengan 'The West Wing', di depannya terdapat 'The Big Tree' yang mahsyur itu. Penulis masuk bilik air di tingkat atas. Penulis termenung. Barisan 'kamar mandi' semuanya tidak berpintu. Yang berpintu hanya 'kamar buang air besar'.

Terfikir penulis, bagaimana 'budak kolek' mandi. Mungkin mereka mandi bogel atau pun pakai 'short'. Dahulu masa zaman penulis, ada tirai plastik. Apabila dikomplen kenapa tidak dipasang pintu, jawapannya ialah susah pasang engsel sebab keadaan bilik mandi 'sudah nazak'.

Penulis melintasi sebuah bilik air lain. Deretan kamar mandinya pun begitu, tanpa pintu atau tirai. Di tingkat bawah, keadaannya pun sama. Nampaknya selepas berpuluh-puluh tahun, MCKK masih 'mengekalkan kegemilangan silamnya'. Di luar sana, pada ketika arus kebangkitan Islam sedang mengorak laju, pelajar MCKK mungkin masih mandi dalam keadaan mendedahkan aurat.

MCKK juga ada kolam renang. Ia siap dibina ketika penulis masih belajar di sana. Salah satu acara dalam Pendidikan Jasmani (PE) ialah renang. Penulis malu mendedahkan aurat kerana terpaksa memakai 'seluar katuk' (swimming trunk). Jadi selalulah penulis ponteng dengan pelbagai alasan. Kini, tidaklah diketahui pelajar MCKK pakai 'swimming trunk' atau pakaian menutup aurat.

Cara hidup seperti inilah yang dibenci penulis. Sebahagian daripada penghidupan ala-MCKK memang tidak selari dengan rasa hati penulis, misalnya berseluar pendek ketika bersukan, disogokkan wayang setiap minggu, tarian tradisi, kecenderungan makan di kedai bukan Islam dan sebagainya, jadi timbul rasa kurang senang yang berpanjangan sehingga kini. Tepatlah, kata-kata 'benci tetapi rindu'.

Bagaimanapun dalam meronda-ronda itu, pertemuan penulis dengan seorang rakan lama yang kini berjinak-jinak dengan sebuah tarikat, mengubah sedikit sebanyak persepsi penulis mengenai ungkapan 'benci' itu. Dalam pertemuan sejenak tetapi penuh makna itu terhamburlah 'mutiara-mutiara' yang membuatkan penulis berfikir...berfikir dan terus berfikir.

Lima tahun di MCKK adalah hanya sebahagian daripada penghidupan seseorang yang mungkin mempunyai hayat 50, 60 atau 70 tahun. Lima tahun yang 'habis' di MCKK itu boleh 'dikaji balik, direnung-renung, dikenang-kenang, diambil pengajaran', pendeknya dimuhasabahkan, tetapi apabila sesesorang itu sudah habis hayatnya, dia tidak berpeluang lagi melakukan semua itu.

Ringkasnya, dia sudah berada di alam barzakh, dia sudah meninggalkan dunia ini. Dia akan menerima pembalasan baik atau jahatnya dan dia tidak berpeluang kembali ke dunia fana ini.

Berlainan halnya dengan seseorang yang meninggalkan MCKK. Dia boleh kembali semula, sekali pun tidak dapat mengulangi semula penghidupan lalu. Yang paling mustahak dia berpeluang membaiki diri berdasarkan pengalaman beberapa tahunnya di MCKK, menjadi seorang yang benar-benar beruntung di dunia dan akhirat.

Agamawan kerap kali mengingatkan bahawa yang lepas itu termasuk semalam, biarkan ia berlalu. Ia tidak dapat digapai (sudah jadi sejarah). Yang ada hanya sekarang sedangkan esok belum pasti.

Jadi kenapa mesti ada perasaan benci? Semuanya sudah berlalu dan takkan kembali lagi. Kenyataannya, yang hidup SEKARANG perlu meneruskan penghidupan. Yang hidup perlu dicintai dan mencintai.

MCKK dan semua institusi pendidikan wajib disemarakkan dengan dengan cahaya ke-Islaman supaya akan lahirlah anak-anak bangsa yang cintakan agamanya lebih daripada dirinya sendiri. Akan lahirlah anak-anak bangsa yang cintakan Allah dan Rasul-Nya lebih daripada segala-galanya.

Tugas ini amat berat, dan antara orang bertanggungjawab adalah saya dan kamu wahai saudaraku, kata kawan itu membuatkan penulis tersentak. Kamu penulis, kamu berkewajipan menulis untuk menyedarkan anak bangsa kamu, berusaha menyelamatkan diri kita semua daripada seksaan dan kehinaan dunia dan akhirat, katanya.

Inilah antara saham atau tempat pelaburan kamu untuk masa depan kamu. Tukarlah rasa benci itu kepada sayang; sayang kepada saudara seagamamu, katanya. Nabi s.a.w. pun amat sayang kepada umatnya, lebih daripada kepada dirinya sendiri.

Semua orang berpeluang mengubah diri. Sebuah hadis menyatakan walaupun seseorang itu sudah hampir di pintu neraka tetapi apabila dia bertaubat dia berpeluang ke syurga manakala seseorang yang hampir memasuki syurga, akan dihumbankan ke neraka jika dia tergelincir pada saat akhir.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Orang yang pandai ialah orang yang mahu menilai nafsunya dan beramal untuk bekal kehidupan sesudah mati. Dan orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya dan berangan-angan terhadap Allah (dengan angan-angan yang sia-sia). - Hadis riwayat Imam Ahmad

Syariat dan hukum Islam hendaklah dipatuhi; penghayatan Islam amat penting bukan bergantung kepada majlis-majlis sambutan, kebesaran sahaja, tetapi berterusan, detik demi detik, sepanjang masa sampailah kita menemui 'keyakinan' (mati).

No comments: