Tuesday, February 16, 2021

Rejab 4, 1442: Sudah tua, tetapi menyimpan untuk masa depan? (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah."


KADANG-KADANG saya menceritakan kepada rakan-rakan akan kisah ini yang membuat kami tergelak besar. Ada seorang tua bukan Islam, usianya lebih 70 tahun, tidak lama dulu dipilih sebagai penyimpan terbaik sebuah bank. Saya yang 'berfikiran jahat' berkata; "apa nak fikir masa depan lagi...kan kubur sudah kata mari!" 

Secara kebetulan baru-baru ini saya ada menerima e-mel daripada seorang rakan yang memberi panduan bagaimana untuk 'terus selamat' pada usia tua yang pada penghujung artikel dinyatakan...paling penting sekali WANG! Inilah 'kuasa terakhir' anda ketika usia tua. 

"Jika kamu tiada wang pada usia tua, tiada siapa, hatta anak kamu sekalipun tidak akan mendekati anda. Jika kamu tiada wang, isteri kamu pun tidak akan hormat kamu. Jika kamu tiada wang ketika usia tua kamulah parasit. Wang boleh 'membeli kuasa' apabila kamu sangat perlukannya masa tua kamu. Tiada wang, tiada bicara! 

"Maaf, tetapi ini adalah benar! Tiada wang bermakna tiada 'sayang', tiada percutian, tiada kawan, tiada kehidupan sosial, tiada panggilan telefon, tiada e-mel, tiada apa-apa dan tiada WAIN." Apabila disebut 'wain' fahamlah kita bahawa ini adalah panduan hidup untuk orang bukan Islam. Bagi sesetengah mereka, wang adalah segala-galanya apatah lagi ketika menghadapi usia tua. Tiada wang tiada bicara. Apakah ini bermakna jika artikel ini TIDAK DIBAYAR (tiada wang) maka saya akan berhenti setakat ini saja...'bye,bye'!

Namun saya menyambungnya semula. Ini kerana saya orang Islam yang panduan hidup saya adalah al-Quran dan hadis yang ditafsirkan dan dihuraikan oleh ulama. 

Berlawanan daripada apa disyorkan cendekiawan Barat mengenai kepentingan mempunyai wang yang banyak pada usia senja, sesetengah ulama mengesyorkan seseorang itu sentiasa mengingati mati dan berusaha keras menjalani kehidupan berpandukan perintah Allah SWT, apatah lagi apabila umur sudah lanjut. 

Ulama menegaskan bahawa usia tua adalah tanda hampir kematian. Namun tidak dinafikan ada 'putik kelapa pun jatuh'. Nabi Muhammad s.a.w. ada bersabda bermaksud: "Masa penuaian umur umatku dari 60 hingga 70 tahun." (Riwayat Imam Muslim dan Nasai) 

Tidak kira si kaya atau si miskin, tua atau muda, raja atau perdana menteri berupaya mengelakkannya. Yang pasti kematian itu pasti datang dan inilah digeruni semua orang apatah lagi orang sudah tua. Tua adalah sinonim dengan kematian. 

Jadi, mempunyai WANG BANYAK pada masa tua bukanlah sesuatu yang berupaya mendamaikan anda. Ini adalah pandangan sarjana Barat, jadi marilah kita tinjau kehidupan orang tua di Barat bagi mengetahui sama ada mereka bahagia atau tidak. 

Pengalaman saya di negara Barat tidaklah banyak namun saya adunkan dengan apa yang dilihat dan alami oleh rakan-rakan yang tinggal di negara berkenaan bagi renungan kita bersama. 

Orang tua Barat zahirnya bahagia...tetapi kata sesetengah kawan saya hakikatnya tidak begitu. Mereka sebenarnya hidup kekosongan, tiada pegangan. 

Masa tua mereka dihabiskan dengan bersungguh-sungguh melakukan aktiviti keduniaan agar dapat melupakan kesepian dan kekosongan diri. Maka ramailah pasangan tua yang suka 'shopping'. Ada yang membeli sesuatu barang, tetapi tak lama kemudian menjualnya di 'car boot sale' sekalipun belum pernah menggunakannya. 

Jika orang Islam beriman ada matlamat kehidupan iaitu menuju keredaan Illahi, apakah yang dapat dilakukan oleh orang tak beragama yang tidak percaya kepada hari kebangkitan semula?

Mereka percaya bahagia ada di dunia saja, selepas berlaku kematian tamatlah kisah hidup mereka; jadi mungkinkah sebab ini mereka mengatakan WANG adalah perkara terpenting pada masa tua. 'Tiada wang tiada bicara, jadi saya berhenti di sini sajalah!'


No comments: