Monday, April 30, 2018

'Pecah tetapi tak perintah'...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

BEBERAPA hari lalu seorang tokoh politik Melayu yang beliau dan saya saling kenal mengenali terserempak; kami bertegur sapa...dia ramah bercerita, insya-Allah dia menjadi calon Adun partinya di Dun yang dulu pengundinya hampir seimbang antara Melayu dan Cina tetapi sekarang bermajoritikan pengundi Melayu selepas operasi persempadan semula.

Beliau nampak ceria dan 'konfiden' (berkeyakinan tinggi) untuk bertanding di sebuah kawasan pinggir bandar; menaruh harapan separuh pengundi Melayu akan memilihnya dan ditambah dengan sokongan sejumlah pengundi bukan Melayu, insya-Allah dia akan menang...

Demikianlah diperkhabarkan melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya,  wujudlah Dun dan Parlimen yang peratus dan jumlah pengundinya daripada satu kaum adalah tinggi; ini seolah-olah satu 'signal' kepada pihak penyaing - kamu menanglah sepuas-puas hati kamu di Dun atau Parlimen itu, tetapi ingat ia hanya menyumbangkan 1 (satu) kerusi saja!

Bercakap mengenai persempadan semula kawasan pilihan raya ini, mengingatkan penulis mengenai dasar 'pecah dan perintah' yang dilakukan penjajah British dan Belanda  ke atas negara yang kini bernama Malaysia dan Indonesia.

British yang licik apatah lagi Belanda (ada peribahasa Melayu berbunyi 'bagai Belanda mendapat tanah') mengambil pendekatan memecah-belahkan kerajaan-kerajaan di rantau sini dan kemudian mengambil kesempatan untuk menjajah tanah air mereka.

Mula-mula British dan Belanda melakarkan garisan memecahkan rantau yang akan mereka jajah. Melalui Perjanjian British-Belanda (Perjanjian London 1824), mereka membuat garisan di tengah-tengah Selat Melaka; wilayah di sebelah barat dan selatan adalah 'milik' Belanda manakala di sebelah timur ada 'milik' British sedangkan ketika itu ada banyak kerajaan Melayu di sana. 

Mula-mula bertukarlah Melaka yang dalam genggaman Belanda ke tangan Inggeris manakala Bengkulu (bagi orang Inggeris, Bencoolen) di Sumatera yang dulunya di tangan British kepada Belanda. Lama kelamaan Belanda yang bagaikan 'orang gila mendapat tanah' menjarah habis rantau yang kini bernama Indonesia manakala Inggeris bagaikan 'ulat bulu naik ke daun' - habis negeri-negeri Melayu 'disapunya'.

Kedua-dua penjajah ini menjarah Nusantara melalui kaedah 'pecah dan perintah', sekarang ini kerajaan SEMENTARA Umno BN mengulangi perkara yang sama; salah satu kaeadahnya adalah melalui pelakaran persempadan semula kawasan pilihan raya.

Kerajaan sementara ini melalui 'aparatus'nya selain memecah sempadan, 'memecah' parti-parti yang menentangnya. Jika dulu, negeri-negeri Melayu satu demi satu jatuh ke tangan Inggeris dengan mudah disebabkan perpecahan pemerintah (raja) dan rakyat  serta menghadapi masalah dalaman, hari ini hal serupa dilakukan Umno BN ke atas pesaingnya.

Di rantau yang kini bernama Indonesia, Belanda juga bertindak sama. Satu demi satu kerajaan di Jawa ditundukkan, demikian juga kerajaan-kerajaan Melayu di Sumatera - yang terakhir adalah Aceh yang sebelum ini memberi tentangan cukup hebat dan panjang.

Sebenarnya, sepanjang sejarah Nusantara semenjak kedatangan kuasa Barat bermula dengan orang Portugis pada awal abad ke-16, kerajaan dan rakyat rantau ini memberi penentangan yang cukup hebat kepada penjajah. Portugis yang menawan Melaka pada 1511, tidak cukup dengan kejayaan itu tetapi rakus untuk memecah dan menguasai wilayah lain di rantau ini. Namun tentangan diterimanya tersangat hebat.

Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Nyawa dan badan saya serahkan.

Portugis selepas menawan Melaka, meluaskan pengaruhnya di Nusantara termasuk membina sebuah kota di Sunda Kelapa pada 1522. Bagaimanapun, mereka tidak disenangi oleh penduduk tempatan dan selepas berlaku pertempuran hebat pada 1527, angkatan Portugis yang gagah perkasa itu akhirnya ditewaskan oleh angkatan perang seorang pemerintah Islam bernama Fatahillah.

Sempena kejayaan itu, Fatahillah menamakan kota itu Jayakarta, yang kemudian terkenal dengan nama Jakarta sehingga hari ini. Kejayaan Fatahillah menewaskan Portugis adalah pembakar semangat kepada perjuangan anak watan. Ia membuktikan bahawa bangsa Asia adalah setaraf bangsa Eropah yang menjajah dan memporakperandakan kehidupan mereka melalui dasar pecah dan perintah.

Seperti kepahlawanan Fatahillah yang menewaskan penjajah Portugis,  kita mengharapkan pendekatan 'pecah dan perintah' oleh pemerintah ke atas rakyat seperti dilakukan kerajaan SEMENTARA Umno BN dapat dihentikan...satu cara adalah dengan tidak mengundinya pada PRU-14 ini!!! Ya, mereka boleh pecah, tetapi INI KALILAH mereka tak boleh perintah!!!

Friday, April 27, 2018

Titipan Seorang Pesara (29): Ikhlaskan diri hatta ketika pilih pemimpin...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

BERSYUKUR ke hadrat-Nya kita diberikan peluang untuk melalui bulan penuh barakah Rejab, Syaaban dan insya-Allah, tidak lama lagi Ramadan. 

Ramadan disambut penuh kesyukuran; inilah masanya untuk menggandakan amalan termasuk ibadat khusus di mana yang wajib diberi ganjaran 70 kali ganda manakala yang sunat bagaikan amalan wajib sebagaimana sabda junjungan Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardu, dan amal fardu diberi balasan 70 kali ganda...” 

Dalam menjalani kehidupannya terutama aktiviti harian, seseorang Muslim itu tertakluk kepada lima hukum Islam iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan mubah. Wajib adalah perbuatan yang apabila dikerjakan mendapatkan pahala namun apabila tidak dikerjakan akan mendapatkan dosa; sunat iaitu amalan yang apabila dikerjakan mendapat pahala dan jika tidak dikerjakan tidak berdosa; haram iaitu perbuatan yang apabila dikerjakan mendapatkan dosa dan apabila ditinggalkan mendapatkan pahala; makruh pula adalah amalan yang apabila dikerjakan tidak berdosa dan apabila ditinggalkan mendapatkan pahala manakala mubah pula adalah amalan yang apabila dikerjakan dan ditinggalkan tidak mendapatkan pahala dan tidak berdosa. 

Jika seseorang Muslim itu terpandu dengan hukum ini, insya-Allah kehidupannya akan melalui jalan penuh kebahagiaan, mudah, penuh barakah yang penting sekali, dia selamat di dunia dan juga di akhirat. Inilah yang kita dambakan seperti doa yang sentiasa kita pohon; “Rabbana atina fiddunya hasanah, wafil akhirati hasanah, waqina adzabannar” yang bermaksud: “Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahkanlah kepada kami kebahagiaan di dunia dan di akhirat dan hindarkanlah kami daripada azab api neraka-Mu.”

Semua perbuatan manusia adalah tertakluk kepada dosa dan pahala. Jika yang menjanjikan pahala terus istiqamah melakukannya manakala yang berdosa, tinggalkannya. Perbuatan yang dianggap remeh dan hanya untuk suka-suka oleh sesetengah orang seperti berkelamin dengan isteri juga diberi ganjaran oleh Allah SWT sebagaimana sebuah hadis yang bermaksud: “Sekiranya kamu bersetubuh dengan isteri kamu, kamu akan mendapat pahala.” 

Para sahabat kehairanan lantas bertanya, takkanlah seorang datang memuaskan nafsu dengan isterinya pun dapat pahala? Rasul dengan hikmah menjawab: “Benar, bukankah jika seorang itu memuaskan nafsunya dengan sesuatu yang haram tentulah baginya dosa, begitu juga dengan persetubuhan yang halal.” - riwayat Muslim, juga merupakan hadis ke-25 dalam Arbain Nawawi.

Jika bersetubuh dengan isteri pun diberi ganjaran oleh Allah SWT, apatah lagi apabila kita menunaikan amanah-Nya dalam memilih pemimpin melalui pilihan raya. Sama ada kita sebagai pengundi dan pemimpin – semuanya- tertakluk kepada lima hukum yang dinyatakan iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan mubah. Apabila kita berpandukan hukum ini, kita akan melalui kehidupan secara tenang; dan kuncinya adalah ikhlas dalam setiap perbuatan kita.

Pemimpin yang ikhlas tidak akan keluh kesah dalam menghadapi keputusan pilihan raya (pemilihan rakyat). Kalah dan menang bukan pekerjaannya – semuanya ketentuan Illahi. Dia akan menerima keputusan dengan penuh keredaan kerana sedar itu sebahagian itu Qada’ dan Qadar Allah SWT sebagai antara Rukun Iman yang wajib diyakini. Jadi, tidaklah timbullah ugutan dan amaran tidak dapat menerima keputusan rakyat seperti; “kita akan mempertahankan...sehingga ke titisan darah terakhir.” 

Sejajar dengan kehadiran Ramadan yang awalnya menjanjikan rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada neraka, kita menyeru semua Muslim termasuk diri sendiri agar mengaut janji Allah ini dengan segenap tenaga dalam segala apa yang kita lakukan termasuklah dalam bab pilihan raya. Insya-Allah kita akan termasuk dalam golongan orang yang mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat sepertimana yang sering kita pohon. - Lanh14.blogspot.com

Tuesday, April 24, 2018

Rakyat makan 3 kali sehari, bukan 5 tahun sekali...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

FAHMI Ismail dalam komentar beliau berhubung artikel terdahulu saya mengenai kenaikan harga barangan keperluan harian, menulis: "Dekat (Di) Kedah, kedai makan paling bajet yang pernah aku pi (kunjung) - ayaq (air) milo - RM1.20, nasi putih - RM0.70, teluq (telur) goreng - RM0.60, sayuq (sayur) campur - RM0.80; tu pun dah RM3.30...

Selain makan di kedai, suri rumah yang menyediakan juadah di rumah, mengetahui harga barangan keperluan harian seperti ikan dan sayur semakin lama semakin naik sehinggakan harga ikan kembong pun melambung sehingga RM18 sekilogram. Udang usah cakaplah, boleh mencecah RM30 sekilogram demikian juga RM20-RM30 bagi daging lembu.

Namun menjelang PRU-14 pada 9 Mei nanti, ramai pemimpin termasuk menteri bertindak 'membangang-bangang' (memperbodoh-bodohkan) rakyat dengan menawarkan diskaun besar kepada pengguna melalui pelbagai program jualan seperti Sentuhan Rakyat...sehubungan itu, sebagai rakyat yang tertekan dengan kehidupan hari ini, kita ingin menjerit...hoi 'mamat' rakyat makan tiga (3) kali sehari bukan lima tahun sekali. Kau orang makan masa pilihan raya aje ke atau makan hari-hari?

Hampir PRU-14 ini, menteri berlagak penjual melelong barangan keperluan seperti ayam sehingga RM5 seekor sedangkan rakyat yang kerap ke pasar dan kedai runcit basah sudah 'lali' harga ayam adalah antara RM15 - RM20 sekor. Pengguna pun tahu harga ikan sinonim dengan rakyat marhaen seperti kembong dan cencaru adalah antara RM8 - RM12 sekilogram.

Sedarlah wahai pemimpin termasuk PM dan menteri, makanan adalah antara tiga keperluan asas manusia selain rumah (kediaman) dan pakaian. Jadi mereka makan setiap hari...bermakna setiap harilah mereka perlu keluarkan wang yang banyak untuk membeli makanan. Harga barangan keperluan ini naik kerana sebahagian besarnya dikenakan GST sebanyak enam (6) peratus).

Sekarang kamu 'lelong' barangan keperluan ini, nanti esok lepas menang PRU kamu naikkan GST lapan (8) atau 10 peratus, kenapa lepas menang, kamu tak lelong lagi barang; adakah ini bermakna selepas PRU rakyat tak perlu lagi makan?

Hakikatnya, bagi keluarga miskin, sebahagian besar daripada pendapatan mereka (mungkin 60 peratus) digunakan untuk menampung keperluan makanan ini. Misalnya jika pendapatan isi rumah sebuah keluarga dengan empat anggota keluarga adalah RM500 sebulan, RM300 daripadanya digunakan untuk membeli makanan. 

Semakin tinggi perolehan rakyat, semakin kuranglah peratusan pendapatan mereka digunakan untuk membeli makanan. Misalnya sebuah keluarga yang terdiri daripada suami isteri dan dua anak dengan pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan (seperti menteri?), jika mereka memperuntukan RM1,000 sekalipun untuk membeli makanan, itu hanya 10 peratus daripada pendapatan mereka. 

Berdasarkan hujah ini, orang miskin perlu berhati-hati dalam perbelanjaan mereka hatta dalam membeli makanan sekalipun. Misalnya jika RM300 sudah diperuntukkan untuk membeli makanan, sedikit kenaikan dalam harga barangan keperluan akan menjejaskan kehidupan rumah tangga mereka. Jika berlaku peningkatan enam peratus (misalnya GST 6 peratus) dalam kenaikan harga barang, mereka sudah 'menggelupur'. Ini kerana sejumlah wang terpaksa 'dikorek' daripada baki wang RM300; jadi bertambah sukarlah mereka hendak menjelaskan bayaran lain seperti sewa rumah, perbelanjaan sekolah anak-anak dan tambang pengangkutan. 

Keluarga yang berpendapatan RM10,000 atau RM20,000 seperti pak-pak menteri tadi tentunya tidak banyak terasa kenaikan barangan sebanyak enam peratus itu. Jika itu berlaku, pertambahan perbelanjaan makanan mereka hanya meningkat kecil saja. Pertambahan belanja makanan sebanyak RM100 atau RM200 tidak mendatangkan kesan apa-apa kepada mereka, jadi mereka tidak terasa apa-apa. 


Orang berketurunan kaya dan berdarjat atau pak menteri yang tidak pernah terbabit secara terus membeli barangan keperluan seperti gula kopi, asam belacan dan ikan ayam (tidak pernah ke pasar), sebaliknya hanya tahu menikmati makanan lazat dihidangkan di atas meja berkilat oleh pembantu, lagilah tidak tahu akan kesan kenaikan harga barangan. Jika ditanya sekilogram harga beras pun mereka tidak tahu, apatah lagi barangan seperti ikan 'koman' makanan rakyat marhaen seperti cencaru, kembong dan gelama yang harganya sentiasa turun naik di pasaran. Mungkin mereka pun tidak tahu harga 'ikan makanan orang kaya' seperti parang dan tenggiri yang sudah melambung lebih RM20 sekilogram.

Antara kumpulan orang yang paling arif tentang harga barangan keperluan adalah suri rumah. Biasanya si suami akan menyerahkan perbelanjaan dapur kepada si isteri; katakan RM300 sebulan seperti contoh dinyatakan. Daripada RM300 itu; puratanya mereka hanya mampu berbelanja RM10 setiap hari. Apa yang dapat dibeli dengan RM10? Kasihan, pening suri rumah tadi memikirkan hal ini. Mereka perlu berbelanja SETIAP HARI bukan LIMA TAHUN sekali!

Harga ikan kembong paling murah pun sudah RM8 sekilogram; udang usah cakaplah sudah mencecah RM30 sekilogram; manakala sekilogram daging tempatan RM20-RM30 manakala ayam RM15-RM20 seekor! Itu baru lauk pauk, bagaimana bahan asas seperti beras, tepung, gula, kopi, asam garam dan minyak yang biasanya dibeli sekali untuk keperluan sebulan? Kalau keluarga yang ada bayi, bagaimana keperluannya seperti susu yang bukan murah; setin saja yang berjenama sudah mencecah RM50! Kemudian lampin pakai buang dan jika anak dihantar kepada pengasuh, kosnya sudah ratusan ringgit. 

Inilah masalah yang dihadapi kebanyakan rakyat di negara ini. Harga barangan keperluan harian yang mahal inilah yang perlu pemerintah fikirkan, bukan seronok mempublisitikan makanan murah seperti pada program Sentuhan Rakyat yang diadakan menjelang PRU iaitu lima tahun sekali!

Friday, April 20, 2018

Titipan Seorang Pesara (28): Berundur secara terhormat jika kalah PRU...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

KETIKA membuat catatan celoteh ini saya berada di Parit Buntar, Perak selepas mengembara dari Melaka ke Bangi, Bandar Seri Iskandar di Perak seterusnya ke Parit, Kuala Kangsar, Taiping dan Bagan Serai mengikut jalan persekutuan (lama).

Apa yang saya lihat di sepanjang perjalanan, 'pertarungan bendera' adalah antara BN dan PAS - satu lagi kumpulan yang diuar-uarkan sebagai pesaing terkuat, Pakatan Harapan yang bersetuju memakai satu logo dan bendera iaitu milik KeADILan (PKR) - masih dalam keadaan 'segan-segan'.

Malah di Parit Buntar yang sebelum pembubaran Parlimen yang membawa ke PRU-14 berwakilkan MP Amanah (PAN) yang meninggalkan perjuangan PAS, jalan rayanya 'dimonopoli' oleh bendera dan kain rentang BN dan PAS.

Amat menarik dan menggelikan hati melihat 'pertarungan' PAS dan BN - banyak bendera kedua-dua pihak di pasang di puncak-puncak tiang lampu, yang paling mengujakan ada tiang lampu keseluruhannya - dari bawah ke atas - ditutupi bendera parti berkenaan.

Jika dilihat dan diukur dari 'kehadiran' bendera sekarang ini, bekas wakil rakyat PAN yang diuar-uarkan akan mempertahankan kerusi, ternyata 'sudah tewas' (setakat ini). Namun hakikatnya tiada siapa tahu siapa akan menang di sini, malah penamaan calon pun belum berlangsung - manusia hanya merancang, Allah menentukan segalanya.

Berceloteh mengenai kalah-menang ini, kedua-dua pihak sewajarnya bersikap matang kerana ini adalah adat dunia. Tokoh yang menang, lebih-lebih lagi yang kalah perlu berlapang dada, mungkin adalah baik jika kita merujuk kepada aneka peristiwa di belahan dunia yang lain.

Di negara maju adalah biasa untuk sesebuah parti politik itu silih berganti bagi menerajui negara. Di Amerika Syarikat pertarungan utamanya adalah antara parti Demokratik dan Republikan. Pemimpin parti yang tewas akan berundur secara terhormat, tidak timbul langsung akan mempertahankan Rumah Putih ke titisan darah terakhir seperti diucapkan sesetengah pemimpin kita.

Di Britain kita dapat saksikan bagaimana secara terhormat perdana menterinya melepaskan kuasa; demikian juga di Perancis dan Jerman, pemimpin mereka dapat menerima kekalahan dengan terhormat.

Kalah dan menang dapat diterima ‘seadanya’ tetapi di negara sedang membangun termasuk negara kita,  kebanyakan pemimpinnya tidak bersedia menerima kekalahan apatah lagi untuk berundur secara berhormat. Mereka mahu menang saja, itulah sebabnya sebelum pilihan raya pun, dijalankan pelbagai langkah bagi memenangkan parti masing-masing seperti melakukan persempadan semula kawasan pilihan raya. Yang penting ‘aku mahu berkuasa’ dulu kini dan selamanya, tidak kisahlah sama ada kaedah Machiavelli (matlamat menghalalkan cara) diguna pakai.

Sebagai negara di ambang status negara maju (pemimpin kerap menguar-uarkan negara akan mencapai status ini pada 2020), diharapkan pemimpin kita dapat mencontohi kesediaan pemimpin negara maju berundur secara terhormat jika mereka tidak mendapat sokongan rakyat atau tewas dalam pilihan raya.

Pemimpin perlu menyedari sejarah mencatat mereka yang berada terlalu lama di puncak kuasa, menjadi kebencian rakyat. Ferdinand Marcos (Filipina), Suharto (Indonesia) dan Idi Amin (Uganda) adalah contohnya. Mereka disusuli diktator Zine el Abidine Ben Ali (Tunisia). Hosni Mubarak (Mesir) dan Muammar Gaddafi (Libya).

Di Syria,  Bashar Al-Assad (Syria) tidak sesekali mahu menyerah kedudukan presiden sekalipun ratusan ribu rakyatnya sudah mati dalam konflik tidak berkesudahan. Orang ramai membencinya tetapi dia terus mahu berkuasa.

Dalam dunia politik antarabangsai, nama bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela (meninggal dunia pada Disember 2013) tetap terpelihara. Penerima Hadiah Nobel Keamanan ini hanya menjadi presiden sepenggal cuma (selama lima tahun selepas menang pilihan raya pelbagai kaum pertama Afrika Selatan pada April 1994).

Pada pilihan raya umum Afrika Selatan 1999, Mandela yang memimpin Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berpeluang menang besar dan kembali menjadi presiden buat penggal kedua, tetapi tokoh yang pernah meringuk 27 tahun dalam penjara memilih untuk berundur, memberi peluang kepada timbalannya, Thabo Mbeki menerajui negara.

Mandela adalah contoh negarawan hebat, beliau enggan berada di puncak kuasa buat tempoh masa lama, bagi beliau cukuplah sekadar meletakkan asas kepada pembentukan negara Afrika Selatan baru yang didirikan di atas kuburan dasar aparteid yang membelenggu negara itu berabad-abad lamanya.

Hal ini amat berlainan dengan diktator-diktator dunia Arab yang mahu terus berkuasa ‘dulu, kini, dan selamanya’ semata-mata berdasarkan keputusan pilihan raya yang menunjukkan mereka dapat sokongan hebat – lebih daripada 90 peratus undi.

Mubarak, Saddam Hussein (Iraq) dan Ali Abdullah Saleh (Yaman) bukannya tidak melalui pilihan raya malah setiap kali kemenangan lebih 90 peratus dicatatkan, menyakinkan mereka untuk terus berkuasa. Jelas rakyat tidak dapat mengubah mereka melalui pilihan raya yang tidak telus dan adil tetapi cara lain termasuk melalui jalan raya.

Tentunya kita tdak mahu hal ini berlaku di negara kita, oleh itu wahai pemimpin yang tidak mendapat sokongan rakyat, bersedialah berundur secara terhormat. Berundurlah bagaikan ‘gentleman’ seperti ditunjukkan Cameron, Blair, Nicholas Sarkozy (Perancis)  tetapi percayalah pemimpin yang berdegil untuk berkuasa ‘dulu, kini dan selamanya’ seperti Marcos dan Suharto 'dinyahkan' rakyat manakala Bashar Al-Assad, insya-Allah juga akan ditunjuk jalan keluar!

Wednesday, April 18, 2018

Persempadanan semula = alih tiang gol?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

KEDUDUKAN (ranking) pasukan bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa semakin merosot, melebihi 170; syukur dalam perlawanan terbaru mereka menewaskan Bhutan 7-0 tetapi tidak perlu berbangga sangat kerana negara di Himalaya itu berada di kedudukan 188 dunia.

Untuk menaikkan tahap Harimau Malaya, pelbagai usaha perlu dilakukan termasuk memantapkan pasukan itu, tidak bolehlah diambil pendekatan berdasarkan peribahasa Melayu ini - tak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket.

Sama seperti pasukan bola sepak Malaysia, Umno BN (Perikatan) yang memerintah negara sejak negara merdeka pada 1957 sehingga pembubaran Parlimen Sabtu, 7 April lalu, semakin lama semakin merosot di mata rakyat. Pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 pada 2013 Umno BN hanya meraih 47 peratus undi popular.

Perpecahan Umno sebagai parti teras BN sudah amat teruk dan bagi menghadapi PRU-14, kerajaan Umno BN sebelum pembubaran Parlimen, 'menyegerakan' akta persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dun. Ia diluluskan Parlimen secara tergesa-gesa dan diiringi Akta Berita Tidak Benar sebelum Parlimen dibubarkan.

Ketika Umno BN berpecah belah dengan pemimpin-pemimpin terutama ketuanya bermasalah besar malah kronik, pembangkang melalui Pakatan Harapan dapat menyediakan 'pasukan terbaik dan terkuat' dan bagi menghadapi cabaran in. Umno BN sebagai kerajaan sebelum pembubaran Parlimen, mengambil kesempatan mengusahakan pendekatan terakhir (melakukan persempadan semula kawasan pilihan raya, mungkin menyamai mengalih tiang gol dalam permainan bola sepak).

Dalam apa juga pertandingan termasuk sukan diminati ramai (bola sepak) ada pengadil. Selain itu ada dua penjaga garisan yang boleh dianggap pengadil juga. Namanya saja sudah membayangkan sifatnya - adil - tidak boleh berat sebelah, orang putih kata 'bias'.

Dalam negara demokrasi jika diadakan pilihan raya, pengadilnya adalah seumpama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di negara kita. Sama seperti pertandingan bola sepak yang mana pengadil diberikan amanah, pengendali pilihan raya perlu adil, telus dan mendukung ciri-ciri baik lain.

Dua penjaga garisan boleh diberi peranan kepada sejumlah pihak lain seperti polis dan badan kehakiman. Malah media massa juga boleh berperanan dengan syarat ia juga adil, telus, bebas dan tak 'bias'.

Dalam pertandingan bola sepak, pengadil bukan saja perlu adil tetapi dilihat adil. Jika tidak, akan berlaku perkara-perkara tidak diingini termasuklah rusuhan oleh penonton. Sering kali kita mendengar penyokong sesuatu pasukan berpuas hati hatta pasukan mereka tewas dalam sesuatu pertarungan hebat yang 'diadili' oleh 'pengadil hebat'!

Tetapi bagaimana jika pengadil 'lousy' (teruk)? Silap-silap haribulan belum habis permainan, kasut dan botol serta tin minuman sudah dilontar ke arahnya. Itu permainan bola sepak; jika pengadil pilihan raya sejak sebelum pilihan raya lagi bertindak 'lousy', sudah pasti rakyat berteriak - sebagai bukti di negara kita dibuat persempadanan semula sekalipun ada kes berkaitan masih dalam perbicaraan mahkamah.

Persoalannya sebab apa? Berdasarkan perkembangan terkini, SPR melaksanakan persempadan semula kawasan pilihan raya dan didakwa memindah pengundi. Siapa yang meminta ini semua kalau bukan pemerintah Umno BN yang pada pilihan raya lalu tewas berdasarkan undi majoriti (mendapat 47 peratus jumlah undian)? Namun disebabkan negara kita mengamalkan sistem perebutan kerusi 'first-past-the-post', Umno BN masih boleh berkuasa tetapi dalam situasi 'sangat bahaya'!

Umum mengetahui pilihan raya diadakan di negara kita bukan di atas padang yang sama rata. Sebagai parti pemerintah sekalipun sekarang sebagai kerajaan sementara (caretaker government), Umno BN memperkuda semahu-mahunya pelbagai jentera termasuk milik kerajaan untuk menang pilihan raya. Malah media massa tradisional dipergunakan secara maksimum bagi kepentingan mereka.

Persempadanan semula (pecah sempadan) kawasan Dun dan Parlimen jika dalam permainan bola sepak boleh dianggap sebagai mengalihkan tiang gol.

Apabila pihak lawan didapati semakin 'menyengat' iaitu hampir menjaring gol, tidak mahu tidak pelbagai taktik licin dilakukan termasuklah mengalih tiang gol. Selain itu pemain (pengundi yang menyokong mereka) secara tiba-tiba bertambah pula; persoalannya dari mana mereka datang?

Jika 'di sebelahnya', tiang gol dialihkan, di kawasan gawang gol lawan pula, pengadil sudah disuapi agar tindakan 'mencuri ayam' dibenarkan. Jadi dengan cara ini ditambah 'pemain import' (Bangla, Indon, Nepal?), yang ramai, mudahlah pihak berkenaan menyumbat gol sebanyak-banyaknya pada PRU-14 nanti.

Realitinya sekarang, rakyat bermain bola sepak di padang tak sama rata, tiang gol dialihkan ke sana sini, manakala pengadil pula daripada jenis 'cap ayam'...apa adakah kita boleh terus berdiam diri? Ya, rakyat perlu bertindak dengan keluar beramai-ramai bagi 'stop the thief' (hentikan pencuri) yang bukan setakat mencuri ayam tetapi...