Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
FAHMI Ismail dalam komentar beliau berhubung artikel terdahulu saya mengenai kenaikan harga barangan keperluan harian, menulis: "Dekat (Di) Kedah, kedai makan paling bajet yang pernah aku pi (kunjung) - ayaq (air) milo - RM1.20, nasi putih - RM0.70, teluq (telur) goreng - RM0.60, sayuq (sayur) campur - RM0.80; tu pun dah RM3.30...
Selain makan di kedai, suri rumah yang menyediakan juadah di rumah, mengetahui harga barangan keperluan harian seperti ikan dan sayur semakin lama semakin naik sehinggakan harga ikan kembong pun melambung sehingga RM18 sekilogram. Udang usah cakaplah, boleh mencecah RM30 sekilogram demikian juga RM20-RM30 bagi daging lembu.
Namun menjelang PRU-14 pada 9 Mei nanti, ramai pemimpin termasuk menteri bertindak 'membangang-bangang' (memperbodoh-bodohkan) rakyat dengan menawarkan diskaun besar kepada pengguna melalui pelbagai program jualan seperti Sentuhan Rakyat...sehubungan itu, sebagai rakyat yang tertekan dengan kehidupan hari ini, kita ingin menjerit...hoi 'mamat' rakyat makan tiga (3) kali sehari bukan lima tahun sekali. Kau orang makan masa pilihan raya aje ke atau makan hari-hari?
Hampir PRU-14 ini, menteri berlagak penjual melelong barangan keperluan seperti ayam sehingga RM5 seekor sedangkan rakyat yang kerap ke pasar dan kedai runcit basah sudah 'lali' harga ayam adalah antara RM15 - RM20 sekor. Pengguna pun tahu harga ikan sinonim dengan rakyat marhaen seperti kembong dan cencaru adalah antara RM8 - RM12 sekilogram.
Sedarlah wahai pemimpin termasuk PM dan menteri, makanan adalah antara tiga keperluan asas manusia selain rumah (kediaman) dan pakaian. Jadi mereka makan setiap hari...bermakna setiap harilah mereka perlu keluarkan wang yang banyak untuk membeli makanan. Harga barangan keperluan ini naik kerana sebahagian besarnya dikenakan GST sebanyak enam (6) peratus).
Sekarang kamu 'lelong' barangan keperluan ini, nanti esok lepas menang PRU kamu naikkan GST lapan (8) atau 10 peratus, kenapa lepas menang, kamu tak lelong lagi barang; adakah ini bermakna selepas PRU rakyat tak perlu lagi makan?
Hakikatnya, bagi keluarga miskin, sebahagian besar daripada pendapatan mereka (mungkin 60 peratus) digunakan untuk menampung keperluan makanan ini. Misalnya jika pendapatan isi rumah sebuah keluarga dengan empat anggota keluarga adalah RM500 sebulan, RM300 daripadanya digunakan untuk membeli makanan.
Semakin tinggi perolehan rakyat, semakin kuranglah peratusan pendapatan mereka digunakan untuk membeli makanan. Misalnya sebuah keluarga yang terdiri daripada suami isteri dan dua anak dengan pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan (seperti menteri?), jika mereka memperuntukan RM1,000 sekalipun untuk membeli makanan, itu hanya 10 peratus daripada pendapatan mereka.
Berdasarkan hujah ini, orang miskin perlu berhati-hati dalam perbelanjaan mereka hatta dalam membeli makanan sekalipun. Misalnya jika RM300 sudah diperuntukkan untuk membeli makanan, sedikit kenaikan dalam harga barangan keperluan akan menjejaskan kehidupan rumah tangga mereka. Jika berlaku peningkatan enam peratus (misalnya GST 6 peratus) dalam kenaikan harga barang, mereka sudah 'menggelupur'. Ini kerana sejumlah wang terpaksa 'dikorek' daripada baki wang RM300; jadi bertambah sukarlah mereka hendak menjelaskan bayaran lain seperti sewa rumah, perbelanjaan sekolah anak-anak dan tambang pengangkutan.
Keluarga yang berpendapatan RM10,000 atau RM20,000 seperti pak-pak menteri tadi tentunya tidak banyak terasa kenaikan barangan sebanyak enam peratus itu. Jika itu berlaku, pertambahan perbelanjaan makanan mereka hanya meningkat kecil saja. Pertambahan belanja makanan sebanyak RM100 atau RM200 tidak mendatangkan kesan apa-apa kepada mereka, jadi mereka tidak terasa apa-apa.
Orang berketurunan kaya dan berdarjat atau pak menteri yang tidak pernah terbabit secara terus membeli barangan keperluan seperti gula kopi, asam belacan dan ikan ayam (tidak pernah ke pasar), sebaliknya hanya tahu menikmati makanan lazat dihidangkan di atas meja berkilat oleh pembantu, lagilah tidak tahu akan kesan kenaikan harga barangan. Jika ditanya sekilogram harga beras pun mereka tidak tahu, apatah lagi barangan seperti ikan 'koman' makanan rakyat marhaen seperti cencaru, kembong dan gelama yang harganya sentiasa turun naik di pasaran. Mungkin mereka pun tidak tahu harga 'ikan makanan orang kaya' seperti parang dan tenggiri yang sudah melambung lebih RM20 sekilogram.
Antara kumpulan orang yang paling arif tentang harga barangan keperluan adalah suri rumah. Biasanya si suami akan menyerahkan perbelanjaan dapur kepada si isteri; katakan RM300 sebulan seperti contoh dinyatakan. Daripada RM300 itu; puratanya mereka hanya mampu berbelanja RM10 setiap hari. Apa yang dapat dibeli dengan RM10? Kasihan, pening suri rumah tadi memikirkan hal ini. Mereka perlu berbelanja SETIAP HARI bukan LIMA TAHUN sekali!
Harga ikan kembong paling murah pun sudah RM8 sekilogram; udang usah cakaplah sudah mencecah RM30 sekilogram; manakala sekilogram daging tempatan RM20-RM30 manakala ayam RM15-RM20 seekor! Itu baru lauk pauk, bagaimana bahan asas seperti beras, tepung, gula, kopi, asam garam dan minyak yang biasanya dibeli sekali untuk keperluan sebulan? Kalau keluarga yang ada bayi, bagaimana keperluannya seperti susu yang bukan murah; setin saja yang berjenama sudah mencecah RM50! Kemudian lampin pakai buang dan jika anak dihantar kepada pengasuh, kosnya sudah ratusan ringgit.
Inilah masalah yang dihadapi kebanyakan rakyat di negara ini. Harga barangan keperluan harian yang mahal inilah yang perlu pemerintah fikirkan, bukan seronok mempublisitikan makanan murah seperti pada program Sentuhan Rakyat yang diadakan menjelang PRU iaitu lima tahun sekali!
No comments:
Post a Comment