Monday, April 9, 2018

Akta Berita Tidak Benar: Sedia ruang rakyat berekspresi...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

SEJAK di universiti pada tahun 1980-an saya tertarik membaca sebuah akhbar bahasa Inggeris yang kini digelar 'old timer' (orang tua) punya 'paper' (akhbar); salah satu sebab rencana-rencananya dipersembahkan secara kreatif.

Pada zaman itu, pada setiap 1 April hampir keseluruhan bahan dalam  seksyen keduanya adalah berita dan rencana 'temberang' sebab hari itu adalah April Fool! Kalau kita tak sedar hari itu April Fool, kita pun membaca dengan penuh perasaan tetapi akhir sedar 'kita kena kencing'.

Wartawan dan penulis ketika itu bebas berekspresi tetapi pada hujung berita dan rencana mengakui paparan itu hanya bahan temberang...kebanyakan pembaca tak marah pun...ya pada hari ini ketika orang ramai heboh Akta Berita Tidak Benar 2018, saya teringat pengalaman saya sebagai pembaca, wartawan, editor dan kini sebagai penulis kolum akhbar sejak puluhan tahun lalu.

Akta ini yang akan diperbuat oleh Parlimen Malaysia, akan berkuat kuasa pada tarikh ditetapkan menteri melalui pemberitahuan dalam Warta. Dalam Akta ini, melainkan konteksnya menghendaki makna yang lain - 'berita tidak benar' termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Organisasi wartawan seperti Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) menyifatkan akta itu mempunyai implikasi besar terhadap media kerana penalti yang dikenakan ke atas sumber, penerbit dan penyumbang dana.

"Walaupun ia mensasarkan orang-orang yang mereka berita palsu, organisasi media mungkin akan ditindas," Setiausaha Agung NUJ, Chin Sung Chew dipetik sebagai berkata.

Chin berkata, NUJ prihatin terhadap fasal yang menyatakan bahawa sebarang perintah oleh kerajaan yang mahu penerbitan untuk menarik keluar 'berita palsu' tidak boleh diketepikan.

"Kebenaran sebelah pihak mempunyai kuasa yang tidak boleh dipersoalkan untuk menarik keluar artikel yang tidak dipersetujui (mereka), (peraturan itu) akan mudah disalahgunakan," katanya.

Sesiapa yang didapati menyediakan bantuan kewangan akan menghadapi hukuman yang sama, manakala sesiapa yang gagal membuang penerbitan yang mengandungi berita palsu boleh didenda sehingga RM100,000.

Di negara kita, sebenarnya, banyak 'avenue' (tempat dan kemudahan) untuk rakyat berekspresi sudah dikongkong. Misalnya, akhbar Suara Keadilan ini sebagai media alternatif dinafikan haknya untuk mendapat permit penerbitan walaupun sudah membuat permohonan sejak sekian lama dan sah pula di sisi undang-undang.

Hakikatnya adalah penting untuk akhbar atau media massa alternatif diberi hak dan tempatnya dalam proses membangunkan masyarakat. Ya, adalah amat relevan untuk masyarakat disedarkan kehadiran media massa alternatif yang semakin berkembang dalam masyarakat menjunjung demokrasi.

Di sesetengah negara maju, media massa alternatif mempunyai peranan besar bagi mengetengahkan kehidupan golongan atau kumpulan minoriti sehinggakan banyak sarjana dan cendekiawan memfokuskannya dalam kajian mereka. 

Media alternatif secara tradisinya dilihat sebagai suara kumpulan minoriti tetapi tidak mustahil ia boleh mewakili golongan majoriti.

Chris Atton dalam artikelnya 'A Reassessment of The Alternative Press' dalam jurnal 'Culture & Society (Volume 21, Number 1, January 1999)' menulis bahawa 'Alternatives in Print Media' mengesyorkan tiga kriteria mudah mendefinisikan penerbit alternatif.

Mereka berpendapat bahawa sesebuah penerbit itu boleh dikatakan sebagai penerbit alternatif jika ia memenuhi salah satu syarat ini:

1. Penerbit bukanlah bersifat komersial, mempamerkan keprihatinan asas idea dan bukannya keuntungan sebagai matlamat penerbitannya.

2. Subjek perkara penerbitan mereka sewajarnya memfokus kepada tanggungjawab sosial atau ekspresi kreatif atau biasanya kedua-duanya sekali.

3. Akhir sekali, penerbit mempunyai bukti cukup bagi mendefinisikan dirinya sebagai penerbit alternatif.

'Royal Commission on the Press 1997' dalam laporannya mengenai akhbar alternatif British menegaskan sesebuah penerbitan alternatif mengetengahkan pandangan kumpulan minoriti, menjadi suara kepada golongan berpandangan melampau kepada yang mempunyai pandangan yang sama dengan orang ramai dan mengetengahkan pandangan atau membicarakan perkara yang tidak dibuat liputan oleh akhbar biasa.

Berdasarkan definisi ini jelas sekali dalam masyarakat yang teguh demokrasinya peranan media alternatif diiktiraf sekali gus diberi ruang mengambil peranan sebagai sebahagian sistem masyarakat.

Di peringkat antarabangsa pentingnya peranan media alternatif dapat dilihat daripada laporan Perang Iraq yang begitu berat sebelah oleh sesetengah media massa Barat bagi menjaga kepentingan Amerika dan sekutunya.

Pembunuhan wartawan Al-Jazeera dan Reuters di Baghdad ketika kemuncak pencerobohan tentera bersekutu, membuktikan betapa sesetengah kerajaan Barat tidak senang dengan laporan mengenai kezaliman mereka.

Sikap berat sebelah itu lebih terserlah apabila wartawan Peter Arnett dipecat tetapi keterbukaan masyarakatnya terbukti apabila wartawan veteran ini diambil oleh Daily Mirror tidak sampai 24 jam beliau dipecat oleh NBC.

Berdasarkan perkembangan ini, satu hal yang perlu diakui, dunia Barat masih memberi ruang kepada mereka yang mempunyai pandangan berbeza menyatakan pandangan melalui media massa alternatif.

Bagaimanapun, perkara ini agak terbalas dalam senario dunia kewartawanan di tanah air. Peluang untuk menyatakan pandangan berbeza ini terbatas - buktinya media alternatif tidak diberi ruang untuk bernafas malah dianggap sebagai pembohong pula. Banyak perkembangan dalam negara membuktikan suara golongan minoriti, malah boleh jadi kumpulan majoriti (mereka bersikap mendiamkan diri) tidak diketengahkan oleh media massa yang didakwa sebagai arus perdana.

Sebagai contoh, bantahan dan demonstrasi rakyat berhubung kenaikan harga minyak tidak disiarkan oleh kebanyakan media massa tempatan. Ertinya kumpulan rakyat ini dinafikan hak mereka mendapat tempat dalam media massa arus perdana.

Apabila dinafikan hak mereka oleh media arus perdana, adalah penting untuk media alternatif memikul tanggungjawab itu. Malangnya di negara kita yang mendakwa mengamalkan demokrasi, hak media alternatif disekat atau lebih teruk lagi dilabel 'akhbar pembohong'!

No comments: