Friday, April 20, 2018

Titipan Seorang Pesara (28): Berundur secara terhormat jika kalah PRU...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

KETIKA membuat catatan celoteh ini saya berada di Parit Buntar, Perak selepas mengembara dari Melaka ke Bangi, Bandar Seri Iskandar di Perak seterusnya ke Parit, Kuala Kangsar, Taiping dan Bagan Serai mengikut jalan persekutuan (lama).

Apa yang saya lihat di sepanjang perjalanan, 'pertarungan bendera' adalah antara BN dan PAS - satu lagi kumpulan yang diuar-uarkan sebagai pesaing terkuat, Pakatan Harapan yang bersetuju memakai satu logo dan bendera iaitu milik KeADILan (PKR) - masih dalam keadaan 'segan-segan'.

Malah di Parit Buntar yang sebelum pembubaran Parlimen yang membawa ke PRU-14 berwakilkan MP Amanah (PAN) yang meninggalkan perjuangan PAS, jalan rayanya 'dimonopoli' oleh bendera dan kain rentang BN dan PAS.

Amat menarik dan menggelikan hati melihat 'pertarungan' PAS dan BN - banyak bendera kedua-dua pihak di pasang di puncak-puncak tiang lampu, yang paling mengujakan ada tiang lampu keseluruhannya - dari bawah ke atas - ditutupi bendera parti berkenaan.

Jika dilihat dan diukur dari 'kehadiran' bendera sekarang ini, bekas wakil rakyat PAN yang diuar-uarkan akan mempertahankan kerusi, ternyata 'sudah tewas' (setakat ini). Namun hakikatnya tiada siapa tahu siapa akan menang di sini, malah penamaan calon pun belum berlangsung - manusia hanya merancang, Allah menentukan segalanya.

Berceloteh mengenai kalah-menang ini, kedua-dua pihak sewajarnya bersikap matang kerana ini adalah adat dunia. Tokoh yang menang, lebih-lebih lagi yang kalah perlu berlapang dada, mungkin adalah baik jika kita merujuk kepada aneka peristiwa di belahan dunia yang lain.

Di negara maju adalah biasa untuk sesebuah parti politik itu silih berganti bagi menerajui negara. Di Amerika Syarikat pertarungan utamanya adalah antara parti Demokratik dan Republikan. Pemimpin parti yang tewas akan berundur secara terhormat, tidak timbul langsung akan mempertahankan Rumah Putih ke titisan darah terakhir seperti diucapkan sesetengah pemimpin kita.

Di Britain kita dapat saksikan bagaimana secara terhormat perdana menterinya melepaskan kuasa; demikian juga di Perancis dan Jerman, pemimpin mereka dapat menerima kekalahan dengan terhormat.

Kalah dan menang dapat diterima ‘seadanya’ tetapi di negara sedang membangun termasuk negara kita,  kebanyakan pemimpinnya tidak bersedia menerima kekalahan apatah lagi untuk berundur secara berhormat. Mereka mahu menang saja, itulah sebabnya sebelum pilihan raya pun, dijalankan pelbagai langkah bagi memenangkan parti masing-masing seperti melakukan persempadan semula kawasan pilihan raya. Yang penting ‘aku mahu berkuasa’ dulu kini dan selamanya, tidak kisahlah sama ada kaedah Machiavelli (matlamat menghalalkan cara) diguna pakai.

Sebagai negara di ambang status negara maju (pemimpin kerap menguar-uarkan negara akan mencapai status ini pada 2020), diharapkan pemimpin kita dapat mencontohi kesediaan pemimpin negara maju berundur secara terhormat jika mereka tidak mendapat sokongan rakyat atau tewas dalam pilihan raya.

Pemimpin perlu menyedari sejarah mencatat mereka yang berada terlalu lama di puncak kuasa, menjadi kebencian rakyat. Ferdinand Marcos (Filipina), Suharto (Indonesia) dan Idi Amin (Uganda) adalah contohnya. Mereka disusuli diktator Zine el Abidine Ben Ali (Tunisia). Hosni Mubarak (Mesir) dan Muammar Gaddafi (Libya).

Di Syria,  Bashar Al-Assad (Syria) tidak sesekali mahu menyerah kedudukan presiden sekalipun ratusan ribu rakyatnya sudah mati dalam konflik tidak berkesudahan. Orang ramai membencinya tetapi dia terus mahu berkuasa.

Dalam dunia politik antarabangsai, nama bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela (meninggal dunia pada Disember 2013) tetap terpelihara. Penerima Hadiah Nobel Keamanan ini hanya menjadi presiden sepenggal cuma (selama lima tahun selepas menang pilihan raya pelbagai kaum pertama Afrika Selatan pada April 1994).

Pada pilihan raya umum Afrika Selatan 1999, Mandela yang memimpin Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berpeluang menang besar dan kembali menjadi presiden buat penggal kedua, tetapi tokoh yang pernah meringuk 27 tahun dalam penjara memilih untuk berundur, memberi peluang kepada timbalannya, Thabo Mbeki menerajui negara.

Mandela adalah contoh negarawan hebat, beliau enggan berada di puncak kuasa buat tempoh masa lama, bagi beliau cukuplah sekadar meletakkan asas kepada pembentukan negara Afrika Selatan baru yang didirikan di atas kuburan dasar aparteid yang membelenggu negara itu berabad-abad lamanya.

Hal ini amat berlainan dengan diktator-diktator dunia Arab yang mahu terus berkuasa ‘dulu, kini, dan selamanya’ semata-mata berdasarkan keputusan pilihan raya yang menunjukkan mereka dapat sokongan hebat – lebih daripada 90 peratus undi.

Mubarak, Saddam Hussein (Iraq) dan Ali Abdullah Saleh (Yaman) bukannya tidak melalui pilihan raya malah setiap kali kemenangan lebih 90 peratus dicatatkan, menyakinkan mereka untuk terus berkuasa. Jelas rakyat tidak dapat mengubah mereka melalui pilihan raya yang tidak telus dan adil tetapi cara lain termasuk melalui jalan raya.

Tentunya kita tdak mahu hal ini berlaku di negara kita, oleh itu wahai pemimpin yang tidak mendapat sokongan rakyat, bersedialah berundur secara terhormat. Berundurlah bagaikan ‘gentleman’ seperti ditunjukkan Cameron, Blair, Nicholas Sarkozy (Perancis)  tetapi percayalah pemimpin yang berdegil untuk berkuasa ‘dulu, kini dan selamanya’ seperti Marcos dan Suharto 'dinyahkan' rakyat manakala Bashar Al-Assad, insya-Allah juga akan ditunjuk jalan keluar!

No comments: