Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
TEMPOH hari ketika menghadiri majlis pertemuan semula rakan-rakan sekolah, seorang sahabat bertanyakan mengenai kisah saya di Riau, Indonesia yang disiarkan di akhbar ini.
Pertanyaan sahabat itu mengingatkan saya ada lagi pengamatan yang dapat saya coretkan dalam ruangan ini; kali ini saya ingin mengisahkan betapa banyaknya masjid di propinsi negara tetangga kita ini terutama di Dumai.
Masjid paling 'akrab' (selalu saya kunjungi) tatkala berada di sana adalah Masjid At-Taqwa yang terletak di Jalan Jeneral Sudirman (saya dapati di kebanyakan bandar besar di Indonesia, jalan utama dan terpanjangnya dinamakan Jalan Jeneral Sudirman).
Berdasarkan ini, tentunya jeneral bernama Sudirman ini adalah 'tokoh ternama dan disanjungi di Indonesia, fikir saya, Lantas saya mencari info mengenai beliau. Mengenai jeneral ini, Wikipedia mencatatkan: Jenderal Besar Raden Soedirman (EYD: Su dirman; lahir 24 Januari 1916 – meninggal 29 Januari 1950 pada umur 34 tahun adalah seorang perwira tinggi Indonesia pada masa Revolusi Nasional Indonesia. Menjadi panglima besar Tentara Nasional Indonesia pertama, ia secara luas terus dihormati di Indonesia.
Di pekan Dumai ini saya amat-amati ada banyak masjid yang kebanyakannya berdekatan antara satu sama lain. Mungkin boleh dikatakan pada setiap lorong ada masjid atau 'musalla' (surau). Ketika masuk waktu solat, azan yang dikumandangkan bagai bersahut-sahutan; demikian betapa hebatnya syiar Islam di bumi bertuah ini.
Suatu hari ketika membaca Al-Quran di Masjid At-Taqwa saya terperasan pada helaian kosong di muka surat permulaan kitab itu ada satu cop tertulis: Masjid Bandar Diraja Klang Utara, Jalan Pasar 41400, Klang, Selangor Darul Ehsan.
Subhanallah, bagaimana kitab Al-Quran dengan cop itu boleh berada di sebuah masjid di Dumai? Mungkinkah ada hubungan istimewa di antara pemerintah, pegawai masjid atau rakyat Indonesia dan Malaysia?
Sekalipun banyak masjid di pekan Dumai ini, saya amat-amati kehadiran jemaah adalah sama seperti di Malaysia - setiap kali solat waktu, makmumnya sebaris atau dua dan pada waktu subuh lagi kurang.
Bagi mengalakkan kehadiran jemaah pada waktu subuh, pelbagai usaha dan kempen dilakukan. Di sisi pintu masuk Masjid At-Takwa, saya terlihat sebuah 'banner' (seakan kain rentang) yang tertulis: Gerakan Shalat Subuh Berjama'ah Masjid Al-Taqwa - Jadilah pejuang shalat subuh mulai sa'at ini.
Juga tertulis petikan ayat al-Quran - "...sesungguhnya shalat subuh itu selalu disaksikan para malaikat." (Q.S. Al-Isra': 78)
Untuk menarik jemaah, ada ditulis - Khusus setiap Ahad pengajian subuh, sarapan gratis (sarapan percuma disediakan).
Berbual-bual dengan beberapa jemaah, mereka mengakui solat subuh paling kurang dihadiri jemaah jadi pelbagai usaha perlu dilakukan.
Mengenai kepentingan solat subuh berjemaah ini, ada cendekiawan menyatakan ia adalah indikator mengenai tahap keimanan dan kekuatan ummah. Jika ramai umat Islam dapat 'mewakafkan diri mereka' untuk solat subuh berjemaah, umat ini insya-Allah akan berada di puncak kejayaan dan digeruni oleh golongan kufar.
Di kalangan sahabat-sahabat 'Jemaah Tabligh' yang kerap merantau, mereka memberitahu sekarang ini Muslim di Sri Lanka dan India adalah yang paling hebat sekali melakukan pengimarahkan masjid pada waktu subuh - mereka berbondong-bondong memenuhi masjid untuk solat subuh berjemaah.
Alhamdulillah, bagi pihak dan individu bertanggungjawab yang sedar akan kepentingan solat subuh berjemaah, mereka mengusaha meramaikan jemaah termasuk menyediakan makanan percuma atau di sini disebut 'gratis'. Moga-moga Islam di Dumai terus subur sehingga ke akhir zaman!
No comments:
Post a Comment