Thursday, April 5, 2018

Titipan Seorang Pesara (26): Surat terbuka untuk guru-guruku khasnya di MCKK

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

MALAM Sabtu, hari Jumaat 30 Mac 2018 berlangsung 'reunion dinner' (makan malam pertemuan semula) murid-murid MCKK 75-79 dan guru-guru di sebuah hotel di Ipoh. Alhamdulillah sebagai anggota keluarga besar ini, saya dapat hadir.

Bagi saya ini adalah pertemuan pertama dengan guru sejak meninggalkan sekolah pada 1979. Tentunya semuanya sudah pencen hatta bekas murid mereka seperti saya pun sudah meninggalkan kerjaya hakiki. Sedih apabila diberitahu sejumlah guru dan murid 'tidak dapat hadir' kerana mereka sudah meninggalkan alam fana ini. Kita bacakan Al-Fatihah dan doakan mereka mendapat keredaan Ilahi.

Saya yang 'pemalu' dan bersifat 'introvert' (suka menyendiri...yalah macam The Lone Ranger) kadang-kadang dapat merasakan diri ini tidak menggunakan peluang sepenuhnya dalam pertemuan itu untuk membuat 'apa sewajar dibuat' sebagai seorang insan Muslim yang sedang belajar dan berusaha mengamalkan ilmu dipelajari.

Dalam pertemuan itu saya hanya berupaya mendakap dan didakap dua tiga orang guru saja. Seorang guru yang biarkan namanya saya rahsiakan, mendakap erat diri sebanyak dua kali - kali pertama ketika bersua muka, mendaftar nama masuk bilik hotel dan kali kedua ketika majlis makan malam.

Sungguh dia mendakap saya begitu erat sekali...perbuatan beliau itu membuatkan diri ini dapat merasakan dia benar-benar kenal akan diri ini...kalaulah kita fikirkan secara logik kebanyakan guru tidak akan kenal atau ingat anak-anak murid didikannya yang ribuan orang itu.

Tetapi guru ini saya fikir melalui perbuatannya cuba menyelami atau mempraktikkan pendekatan Rasulullah s.a.w. yang menyebabkan sahabat-sahabat baginda merasakan merekalah orang yang paling disayangi...ya setiap insan yang menyantuni Rasul akan diberi tumpuan 100 peratus...baginda memusingkan badan menghadap orang terbabit sekalipun baginda amat sibuk dengan pelbagai peranan dan tugas! Malah isteri-isteri baginda pun setiap orang dapat merasakan dialah paling disayangi.

Tetapi kita baru berjawatan tak seberapa...bagaimana sikap yang kita pamerkan? Subhanallah, ada yang 'eksyen' macam nak mati...tak teringat semua itu hanya dipinjamkan-Nya, hatta sekarang ini pun kita kena pencen, meninggalkan pangkat dan kuasa...malah nanti, cukup masa dan ketika kita kembali kepada-Nya.

Dakapan kali kedua guru itu, lebih mengharu dan menginsafkan diri ini. Saya yang cuba mengingat-ingatkan pesanan tok-tok guru apa perlu dibuat tatkala berjumpa orang tua yang alim dan warak...lantas berkata kepadanya...apa nasihat cikgu kepada saya...selepas dia mengetahui saya penulis bernama LanH dan beliau ada mengikuti tulisan-tulisan saya. "Ohh, inilah LanH itu..." katanya mengeratkan dakapannya.

Jawapan guru ini seakan-akan merumuskan rahsia keberjayaan perjuangan insan-insan yang menuju kepada-Nya. Katanya, berjuanglah dengan penuh kasih sayang dan ikhlas. Semua manusia perlulah kasih sayang dan kasih sayanglah pendekatan untuk mendekati dan memenangi manusia.

Sebagai penulis, tulislah dengan penuh kasih sayang dalam hati. Tulislah dari lubuk hati sedalam-dalamnya...untuk membawa manusia bersama-sama (termasuk diri sendiri) mendapat keredaan Illahi sama ada semasa hidup di dunia atau di alam baqa' sana. Penulis adalah guru semua peringkat manusia...berusahalah dengan penuh kasih sayang untuk mendekatkan semua orang kepada-Nya!

Sungguh 'terpukul' saya dengan kata-kata nasihat guru ini. Di ruang terhad ini izinkan saya memohon maaf kepada semua guru-guru termasuk yang 'not yet Muslim' (didoakan mereka mendapat hidayah Illahi) bagi saya yang nakal dan 'jahat' dulu. 

Ampunkan saya....banyak sungguh dosa saya pada cikgu-cikgu sekalian...kesalahan kepada guru 'not yet Muslim' juga akan dituntut nanti, sungguh kecut hati ini...jadi maafkan saya cikgu...semoga cikgu-cikgu sekalian mendapat hidayah-Nya dan marilah kita sama-sama berusaha dengan penuh kasih sayang untuk mendapat keredaan-Nya. Amin, ya Allah, ya Tuhan kami! 

Ya, saya sayang semua cikgu termasuk yang 'non yet Muslim'...tidak tergamak melihat bagaimana keadaan kita di sana nanti kalau kita tak beriman...jadi marilah kita bersama-sama beriman kepada Yang Maha Kuasa dan Rasul-Nya Muhammad s.a.w., insya-Allah dengan penuh kasih sayang-Nya kita semua akan terselamat nanti. Insya-Allah.

No comments: