Monday, April 2, 2018

Titipan Seorang Pesara (25): Belajar erti kemanusiaan di Riau...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

KETIKA berada di Riau, Indonesia baru-baru ini, penduiduk yang saya ketemui memberitahu jarang ada orang Malaysia ke provinsi itu, apa yang berlaku adalah sebaliknya - orang Indonesia berbondong-bondong ke Malaysia terutama untuk bekerja.

Kesempatan berada di sana, saya manfaatkan termasuk menyantuni golongan daif seperti pencari 'barangan berharga' di tempat pembuangan sampah. Apa yang menginsafkan saya, barangan dikutip itu tiada nilainya di tanah air kita tetapi bagi mereka 'benda' itu adalah penyambung hidup...

Suatu petang selepas menunaikan solat jamak zuhur/asar di Masjid Paripuirna Rahmat Illahi, Kampung Dalam, Pekanbaru, saya menyantuni seorang wanita pertengahan umur bernama Yati - dia sedang tekun mengutip 'sesuatu' daripada timbunan sampah sarap.

Terpegun saya menyaksikan Yati sedang mengutip sisa-sisa kertas surat khabar pembungkus yang lembap dan basah...kata wanita Mandaling yang berasal dari Medan itu, 'benda' itu nanti boleh dijemur dan apabila kering boleh dijual. 

Pemandangan Yati mengumpulkan kertas kotor, basah dan sudah berkecai itu adalah sesuatu yang asing bagi diri ini...di negara kita kertas surat khabar lama yang kering pun tak dipedulikan orang apatah lagi yang lunyai dan basah!

Di Dumai, satu petang dari kejauhan saya perhatikan sosok dua orang - mungkin seorang ibu dan anak kecil perempuannya sedang menyiat-yiat dan 'meraba' plastik bungkusan makanan yang dibuang berhampiran tong sampah. Saya tidak pergi dekat, kerana bau di kawasan itu mungkin boleh membuatkan seseorang muntah. 

Subhanallah, mereka sedang 'meraba-raba' dan mencari sisa makanan seperti daging ayam dan ikan yang mungkin masih baik bagi mereka untuk diasingkan dan dimasukkan ke dalam sebuah bekas. Mungkin mereka akan bawa pulang 'makanan' itu dan dimasak semula untuk menjadi 'santapan' keluarga...ya kita di tanah air membazir-bazir dan boros dengan makanan sedangkan di sini, ya Allah!

Di Dumai juga, di depan sederetan gerai buah-buahan, saya perhatikan seorang anak muda berjanggut dan berjambang sedang mencangkung seolah-olah 'betapa' menghadap tiga raga sampah sisa buah-buahan busuk yang akan dilemparkan pekedai.

Seorang pekedai saya nampak mencampakkan dua tiga biji limau busuk. Si pemuda tidak bergerak...tetapi tidak lama kemudian dia mengambil limau itu. Dia menciumnya tetapi mencampakkannya balik. Mungkin limau itu sudah terlalu busuk. 

Datang lagi seorang pekedai mencampakkan dua tiga biji pisang busuk. Seperti tadi, pemuda itu diam saja, tetapi tidak lama kemudian dia mengambil pisang itu. Dia menciumnya dan kali ini dia menggigit sedikit dan kemudian mencampakkannya balik. Mungkin sebahagian saja pisang itu masih boleh dimakan.

Selepas mengunjungi Indonesia beberapa kali, saya akui negara ini adalah tapak untuk mempelajari erti kemanusiaan, mungkin ia  salah sebuah universiti kemanusiaan terhebat di dunia.

Indonesia dengan penduduk kira-kira 250 juta orang, tidak dapat menyembunyikan kemiskinan sejumlah penduduknya; di hampir setiap tempat ada saja golongan merempat; penampilan dan wajah-wajah mereka menceritakan penderitaan yang bukan dibuat-buat, tidak sama seperti ‘pengemis lakonan’ yang sekali-sekala meminta wang daripada kita di tanah air.

Jarang kita ketemui orang Indonesia yang gemuk atau boroi tidak seperti generasi baru penduduk Malaysia yang gemuk gedempol serta lembik. 'Kerasnya'mereka mencari rezeki, menjadikan sebahagian daripada mereka 'kasar' dan ketika saya berada di Pekanbaru saya ada terbaca laporan dalam akhbar Pekanbaru Tribun yang menyiarkan desakan beberapa pihak yang mahu Indonesia memutuskan hubungan dengan Malaysia gara-gara TKI (tenaga kerja Indonesia) terutama pembantu rumah didera dan dianiaya sehingga membabitkan kematian.

Benar, orang Indonesia sudah acap kali berkecil hati dengan banyak perkembangan membabitkan 'orang mereka' di Malaysia. Daripada isu pembantu rumah didera kepada pekerja yang tidak dibayar gaji, pendatang haram yang dihalau balik, semuanya memperlihatkan seolah-olah orang Malaysia berlaku zalim kepada mereka; demikianlah yang boleh dirumuskan apabila membaca 'koran' (akhbar-akhbar) Indonesia.

Namun dalam hal ini, sikap sederhana dan bersabar pemerintah Indonesia dipuji kerana mereka masih bersedia mencari jalan damai dengan berunding dengan pemimpin tertinggi Malaysia.

Ya, amat nyata Malaysia dan Indonesia saling perlu memerlukan. Kedua-duanya berkongsi banyak perkara; malah suatu ketika dulu kedua-dua wilayah Malaysia dan Indonesia berada dalam pemerintahan yang sama seperti ketika kemuncak kuasa Empayar Sriwijaya, Melaka, Johor-Riau dan Aceh yang berkuasa di kedua-dua belah Selat Melaka, sebelum dipecah dan perintah oleh penjajah Inggeris dan Belanda. 

No comments: