Wednesday, April 18, 2018

Persempadanan semula = alih tiang gol?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

KEDUDUKAN (ranking) pasukan bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa semakin merosot, melebihi 170; syukur dalam perlawanan terbaru mereka menewaskan Bhutan 7-0 tetapi tidak perlu berbangga sangat kerana negara di Himalaya itu berada di kedudukan 188 dunia.

Untuk menaikkan tahap Harimau Malaya, pelbagai usaha perlu dilakukan termasuk memantapkan pasukan itu, tidak bolehlah diambil pendekatan berdasarkan peribahasa Melayu ini - tak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket.

Sama seperti pasukan bola sepak Malaysia, Umno BN (Perikatan) yang memerintah negara sejak negara merdeka pada 1957 sehingga pembubaran Parlimen Sabtu, 7 April lalu, semakin lama semakin merosot di mata rakyat. Pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 pada 2013 Umno BN hanya meraih 47 peratus undi popular.

Perpecahan Umno sebagai parti teras BN sudah amat teruk dan bagi menghadapi PRU-14, kerajaan Umno BN sebelum pembubaran Parlimen, 'menyegerakan' akta persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dun. Ia diluluskan Parlimen secara tergesa-gesa dan diiringi Akta Berita Tidak Benar sebelum Parlimen dibubarkan.

Ketika Umno BN berpecah belah dengan pemimpin-pemimpin terutama ketuanya bermasalah besar malah kronik, pembangkang melalui Pakatan Harapan dapat menyediakan 'pasukan terbaik dan terkuat' dan bagi menghadapi cabaran in. Umno BN sebagai kerajaan sebelum pembubaran Parlimen, mengambil kesempatan mengusahakan pendekatan terakhir (melakukan persempadan semula kawasan pilihan raya, mungkin menyamai mengalih tiang gol dalam permainan bola sepak).

Dalam apa juga pertandingan termasuk sukan diminati ramai (bola sepak) ada pengadil. Selain itu ada dua penjaga garisan yang boleh dianggap pengadil juga. Namanya saja sudah membayangkan sifatnya - adil - tidak boleh berat sebelah, orang putih kata 'bias'.

Dalam negara demokrasi jika diadakan pilihan raya, pengadilnya adalah seumpama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di negara kita. Sama seperti pertandingan bola sepak yang mana pengadil diberikan amanah, pengendali pilihan raya perlu adil, telus dan mendukung ciri-ciri baik lain.

Dua penjaga garisan boleh diberi peranan kepada sejumlah pihak lain seperti polis dan badan kehakiman. Malah media massa juga boleh berperanan dengan syarat ia juga adil, telus, bebas dan tak 'bias'.

Dalam pertandingan bola sepak, pengadil bukan saja perlu adil tetapi dilihat adil. Jika tidak, akan berlaku perkara-perkara tidak diingini termasuklah rusuhan oleh penonton. Sering kali kita mendengar penyokong sesuatu pasukan berpuas hati hatta pasukan mereka tewas dalam sesuatu pertarungan hebat yang 'diadili' oleh 'pengadil hebat'!

Tetapi bagaimana jika pengadil 'lousy' (teruk)? Silap-silap haribulan belum habis permainan, kasut dan botol serta tin minuman sudah dilontar ke arahnya. Itu permainan bola sepak; jika pengadil pilihan raya sejak sebelum pilihan raya lagi bertindak 'lousy', sudah pasti rakyat berteriak - sebagai bukti di negara kita dibuat persempadanan semula sekalipun ada kes berkaitan masih dalam perbicaraan mahkamah.

Persoalannya sebab apa? Berdasarkan perkembangan terkini, SPR melaksanakan persempadan semula kawasan pilihan raya dan didakwa memindah pengundi. Siapa yang meminta ini semua kalau bukan pemerintah Umno BN yang pada pilihan raya lalu tewas berdasarkan undi majoriti (mendapat 47 peratus jumlah undian)? Namun disebabkan negara kita mengamalkan sistem perebutan kerusi 'first-past-the-post', Umno BN masih boleh berkuasa tetapi dalam situasi 'sangat bahaya'!

Umum mengetahui pilihan raya diadakan di negara kita bukan di atas padang yang sama rata. Sebagai parti pemerintah sekalipun sekarang sebagai kerajaan sementara (caretaker government), Umno BN memperkuda semahu-mahunya pelbagai jentera termasuk milik kerajaan untuk menang pilihan raya. Malah media massa tradisional dipergunakan secara maksimum bagi kepentingan mereka.

Persempadanan semula (pecah sempadan) kawasan Dun dan Parlimen jika dalam permainan bola sepak boleh dianggap sebagai mengalihkan tiang gol.

Apabila pihak lawan didapati semakin 'menyengat' iaitu hampir menjaring gol, tidak mahu tidak pelbagai taktik licin dilakukan termasuklah mengalih tiang gol. Selain itu pemain (pengundi yang menyokong mereka) secara tiba-tiba bertambah pula; persoalannya dari mana mereka datang?

Jika 'di sebelahnya', tiang gol dialihkan, di kawasan gawang gol lawan pula, pengadil sudah disuapi agar tindakan 'mencuri ayam' dibenarkan. Jadi dengan cara ini ditambah 'pemain import' (Bangla, Indon, Nepal?), yang ramai, mudahlah pihak berkenaan menyumbat gol sebanyak-banyaknya pada PRU-14 nanti.

Realitinya sekarang, rakyat bermain bola sepak di padang tak sama rata, tiang gol dialihkan ke sana sini, manakala pengadil pula daripada jenis 'cap ayam'...apa adakah kita boleh terus berdiam diri? Ya, rakyat perlu bertindak dengan keluar beramai-ramai bagi 'stop the thief' (hentikan pencuri) yang bukan setakat mencuri ayam tetapi...

No comments: