Tuesday, November 10, 2009

Tersesat sehingga ke Masjid Jin

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Lambung mereka jauh daripada tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan menaruh harapan; dan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan itu, mereka belanjakan." - Maksud Ayat 16 Surah As-Sajadah
***

WALAUPUN sudah banyak tahun mengerjakan fardu haji, kisah di Makkah ini tidak dapat saya lupakan sehingga ke hari ini.

Saya menunaikan fardu haji setahun sebelum bersara daripada jabatan kerajaan, iaitu pada April 1992.

Melalui sebuah syarikat swasta, Citra, saya dan rombongan bertolak dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Tanah Suci.

Kami yang bercadang mengerjakan haji tamattuk, bertolak terus ke Madinah Al-Munawarrah selepas tiba di Jeddah. Kami berada di Madinah selama lapan hari, jadi dapatlah kami solat fardu 40 waktu di Masjid Nabawi yang agung lagi mulia itu.

Kami juga berpeluang menziarahi tempat-tempat bersejarah di Madinah seperti ke Jabal Uhud dan Masjid Quba. Untuk menambah pengalaman, kadang-kala saya berjalan seorang diri apabila ada masa terluang.

Selepas lapan hari, akhirnya kami ke Makkah untuk menunaikan umrah. Mengikut kaedah menunaikan haji, apabila seseorang itu berniat dan berazam menunaikan haji tamattuk, dia hendaklah terlebih dahulu mengerjakan umrah sebelum menunaikan haji. Kaedah haji tamattuk memerlukan seseorang jemaah itu membayar dam, iaitu seekor kambing.

Setelah sekian lama berada di Tanah Suci Makkah menunggu keberangkatan ke Arafah bagi menunaikan haji, saya terasa seakan-akan sudah biasa, macam di tanah air pula.

Saya tidaklah berapa berminat berjalan ke sana ke sini mengikut anggota rombongan lain, oleh itu saya menggunakan peluang itu menumpukan perhatian kepada beramal ibadat saja.

Saya berpendapat bermadailah saya ke Tanaim dan Jarranah sebagai tempat permulaan untuk mengerjakan umrah sunat.

Rupa-rupanya niat saya untuk bersendirian dalam mengerjakan umrah semacam tidak direstui Allah SWT.

Suatu hari semasa sendirian beredar dari Masjidilharam untuk balik ke hotel, selepas solat subuh, saya tidak nampak tempat penginapan saya sekalipun sudah beberapa kali saya berlegar-legar di sekitar Hotel Al-Ansar yang saya diami.

Hendak bertanya segan, mulut seakan bisu, kaki bertambah lesu hinggalah terik matahari baru dapat saya kembali ke bilik hotel!

Ketika itu jam hampir 12.00 tengah hari. Ketika saya mahu masuk ke hotel, jemaah lain pula sibuk meninggalkan tempat penginapan, menuju ke masjid untuk menunaikan solat zuhur.

Pada pagi keesokan harinya, dalam perjalanan balik dari Masjidilharam ke hotel, nasib saya serupa juga, malah lebih teruk. Kali ini saya tersesat lebih jauh. Saya tebalkan muka, membuka mulut bertanya orang ramai.

Saya berpegang pada pepatah 'segan bertanya sesat jalan'. Pada jam 3 petang, saya sampai ke sebuah kantor pos, saya memasukinya, kononnya untuk membeli setem, tetapi sebenarnya untuk bertanya di mana hotel penginapan saya.

Nasib baik kerani pos itu tahu di mana kedudukan hotel saya itu.

Pada kali ketiga, cabaran lagi hebat. Mana tidaknya, selepas solat Isyak, saya yang cuba kembali ke hotel, tersesat lagi.

Kali ini sehingga matahari terbit pada keesokan harinya barulah saya menemui hotel penginapan.

Pada malam 'penuh bersejarah' itu, saya sempat singgah di sebuah gerai tepi jalan sebelum meneruskan perjalanan.

Ketika berjalan, saya perasan jalan itu agak sunyi dan menghala ke kubur Sayidatina Siti Khadijah (Perkuburan Ma'la).

Semasa berjalan-jalan mencari jalan pulang, saya mula perasaan orang mula tiada di jalan raya. Hati saya mula cemas.

Saya berjalan lagi dan ternampak ada seorang hamba Allah di sisi kedainya yang sudah ditutup.

Dari jauh saya ucapkan salam dan bertanya: "Mina Haram?"

Dia menunjukkan ke arah sebuah masjid. Saya pun menuju ke arah yang ditunjukkan. Akhirnya saya sampai di Masjid Jin!

Ada dua orang perempuan di situ. Seorang ibu dan anaknya meminta saya menunjukkan mereka jalan ke Kedai Makan Malaya.

Saya kata: "Saya pun sesat, Hajah."

Kami pun bersama-sama mencari jalan keluar, dan akhirnya selepas diizinkan Allah, selepas matahari terbit pada keesokan harinya barulah saya ketemui orang yang dapat membantu kami.

Selepas kejadian itu, saya mohon keampunan dan taubat, setelah itu kejadian buruk tidak lagi menimpa diri saya. - Nukilan HAJI HASHIM MAT NASIB

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.

* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).

Sekian, wassalam

No comments: