Thursday, November 26, 2009

Syor asingkan jemaah lelaki/wanita di Masjidil Haram

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"...Ya Rabb-ku kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku berbuat amal saleh terhadap yang telah aku tinggalkan..." - Maksud Ayat 99-100 Surah Al-Mukminun

***

KESESAKAN ketika menunaikan ibadah haji adalah lumrah. Antaranya ketika melakukan tawaf, saie dan melontar jamrah.

Demikian juga ketika menziarahi makam Rasulullah s.a.w. dan bersembahyang di Raudhah di Masjid Nabawi sebelum atau selepas menunaikan haji.

Ketika waktu puncak (hampir wukuf), masjid begitu sesak terutama ketika solat fardu dan Jumaat.

Nampaknya kesesakan ini dibiarkan berterusan. Izinkanlah saya menyentuh perkara ini untuk renungan bersama.

Pada pandangan saya, keadaan beribadat yang selesa menambahkan khusuk dan tawaduk jemaah haji seperti ketika tawaf, saie dan melontar jamrah.

Pertama kali saya menunaikan haji ialah 19 tahun lalu dan ketika kembali lagi baru-baru ini, saya dapati kesesakan ketika mahu melakukan tawaf, saie dan melontar jamrah masih sama.

Bagaimanapun saya akui kemudahan fizikal di Tanah Suci semakin canggih. Kawasan beribadat di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram semakin selesa dan besar.

Projek pembesaran yang meliputi ruang-ruang luaran dan bawah tanahnya serta kemudahan fizikal lain amatlah membanggakan.

Kubah-kubah bergerak serta payung terbuka dan menguncup di Masjid Nabawi amatlah mengkagumkan.

Perubahan fizikal lain berlaku di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Namun amatlah dikesali perubahan fizikal itu tidak diiringi dengan perubahan yang bertujuan mengelakkan kesesakan ketika solat, tawaf, saie dan melontar jamrah.

Saya gembira jemaah lelaki dan wanita diasingkan di Masjid Nabawi tetapi keadaan ini sukar dikuatkuasakan di Masjidil Haram.

Saya perhatikan di Masjid Nabawi ada kawasan khas untuk jemaah wanita. Tali rentang juga dipasang di luar masjid bagi mengelakkan jemaah wanita dan lelaki bercampur.

Laluan untuk menziarahi makam Nabi s.a.w. dan kawasan Raudhah juga diasingkan bagi wanita. Waktu melawat juga telah ditetapkan.

Ini adalah langkah terpuji yang membuktikan keselesaan jemaah boleh dipertingkatkan.

Malangnya di Masjidilharam, percampuran jemaah lelaki dan wanita ketika solat fardu sering berlaku.

Saya perhatikan ada kalanya, jemaah wanita bersolat di sisi jemaah lelaki dalam satu saf yang sama.

Kadang-kadang apabila angin bertiup kencang, pakaian jemaah perempuan menyapu tubuh jemaah lelaki. Ini amat membingungkan saya.

Jika kaedah pengasingan jemaah lelaki dan wanita di Masjid Nabawi dapat dipanjangkan ke Masjidilharam alangkah baiknya.

Dari segi keselesaan tawaf, saie dan melontar jamrah tentulah ada cara untuk mengurangkan kesesakan.

Pada musim haji yang lalu, sejumlah jemaah mati terpijak ketika melontar jamrah.

Pada pandangan saya, pembahagian masa membabitkan jemaah lelaki dan wanita ketika menunaikan rukun-rukun haji seperti tawaf, boleh mengelakkan kesesakan atau kejadian tidak diingini.

Bayangkan pada masa sekarang, jemaah lelaki wanita terpaksa berhimpit-himpit ketika menunaikan tawaf.

Pada pandangan saya pembahagian masa bertambah mudah kerana tawaf, saie dan melontar jamrah tidak mempunyai tempoh masa terhad, maknanya boleh dilakukan 24 jam sehari misalnya boleh dibahagikan untuk jemaah lelaki dan wanita.

Untuk mengelakkan percampuran jantina dan kesesakan,tali rentang atau lorong khas dalam bentuk sementara atau kekal boleh diadakan di samping memperuntukkan masa-masa tertentu untuk kelompok tertentu berdasarkan faktor tertentu seperti kumpulan umur - tua dan muda.

Jika ruang saie boleh dikhaskan untuk laluan sehala Safa-Marwah dan sebaliknya, kaedah yang sama juga boleh dilakukan di kawasan Jumratul Ula, Wusta dan Aqabah.

Kesesakan ketika solat fardu di Masjid Haram juga boleh dikurangkan dengan mengadakan sistem pintu keluar masuk yang berasingan serta mengadakan tali rentang di luar dan di dalam masjid.

Keadaan sesak di jalan raya menuju masjid sebelum dan selepas solat boleh dielakkan dengan melarang peniaga menjalankan kegiatan mereka di tepi atau di tengah-tengah jalan.

Dengan adanya langkah pengasingan wanita dan lelaki di Masjidil Haram termasuk ketika melakukan tawaf, tidaklah berbangkit masalah bertaklid kepada mazhab Hambali ketika berwuduk untuk mengelakkan batalnya wuduk seperti mana yang diamalkan oleh kebanyakan pengikut mazhab Shafie selama ini.

Kesesakan kenderaan pada musim haji juga tidak banyak berubah. Masih berlaku kesesakan perjalanan dari Makkah ke Arafah, Muzdalifah, Mina dan kembali ke Makkah.

Terbayang dalam fikiran ini kalaulah sistem LRT atau seumpamanya sama ada dalam tanah, di atas tanah ataupun bertingkat-tingkat dapat dibina alangkah bertuahnya jemaah haji!

Betapa tidak, jika bukit-bukau berbatu pejal dapat dijadikan terowong, tidak mustahil kemudahan ini boleh diadakan.

Kemudahan ini adalah bagi menggantikan perkhidmatan bas dan kenderaan lain yang berpusu-pusu seperti semut di jalan raya pada setiap musim haji.

Kesesakan yang berlaku amat teruk sehingga pada musim haji lalu, saya dan jemaah lain terpaksa berjalan kaki dari Muzdalifah ke Mina kira-kira 10 kilometer. - Nukilan AHLI JEMAAH 1423 HIJRAH

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.

* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).

* Blog ini juga terbuka kepada sesiapa yang mahu memanfaat ruang iklan dengan sedikit bayaran. Sila hubungi penulis. Sekarang ini, blog ini ditatapi kira-kira 100 pelayar setiap hari (sila klik pada kotak empat segi kecil berwarna hijau pada bahagian paling bawah blog untuk rujukan).

*** Nota: Tiada hak cipta. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berlipat ganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.

No comments: