***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Perkataan yang baik dan pemberian maaf adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan perasaan orang yang menerimanya. Allah Maha Kaya Lagi Maha Penyantun." - Maksud Ayat 263 Surah Al-Baqarah
***
TAHUN 2005, azam saya menunaikan umrah pada bulan Ramadan akhirnya terkabul jua. Alhamdulliah. Dua tahun lalu, saya juga berpeluang mengerjakan umrah pada akhir Ramadan tetapi secara seorang diri. Kali ini bersama isteri.
Pada 2 Oktober kami memulakan perjalanan ke Tanah Suci. Dipendekkan cerita pada 3 Oktober rombongan kami pun sampai di Madinah.
Kami menyambut permulaan Ramadan pada malam tersebut. Pada 4 Oktober, ketika berpuasa, saya berulang alik ke Masjid Nabawi, beribadah dan berdoa agar ibadah saya diterima Allah.
Pada tanggal 6 Oktober, kami berangkat ke Makkah. Sampai di kota suci itu waktu zuhur. Setelah solat zuhur kami mengerjakan umrah.
Semasa tawaf teringin di hati saya untuk mengucup Hajaral Aswad. Dalam hati berkata bahawa pada tahun 1991 saya dapat kucup Hajaral Aswad, kali ini mungkin Allah izinkan sekali lagi.
Setiap hari hati ini tergerak untuk mengucup Hajaral Aswad. Namun masa yang sesuai belum saya temui.
Waktu malam ramai orang mengerjakan solat tarawih. Waktu pagi pula orang bersesak mengerjakan umrah.
Pada usia 40-an, saya rasa masih segar dan bertenaga. Di masjid saya sering cuba mendapat tempat di saf-saf hadapan.
Kekadang terpaksa melangkah di hadapan orang solat. Saya sering memohon ampun pada Allah dengan tingkah laku saya yang kasar itu.
Pada 10 Oktober kira-kira jam 8.00 pagi ketika berada di hotel, saya tergerak hati untuk ke Masjidilharam dengan tekad untuk mengucup Hajaral Aswad.
Saya terus menukar pakaian yang saya fikirkan sesuai iaitu memakai T-shirt pagoda dan berseluar panjang menuju ke Kaabah.
Saya solat hajat dua rakaat di belakang Makam Ibrahim, memohon pertolongan Allah untuk saya dapat mengucup Hajaral Aswad.
Setelah solat saya teruskan hasrat dan bergerak melalui tepi Hijir Ismail terus ke dinding Kaabah dimulai dari penjuru Yamani.
Selama hampir 20 minit saya beratur dengan sabar mengikut arus manusia untuk ke penjuru Hajaral Aswad.
Akhirnya tangan kanan saya dapat mencapai bingkai Hajaral Aswad. Saya dengan penuh syahdu dan kesyukuran akhirnya berjaya mengucup Hajaral Aswad sepuas-puasnya.
Tetapi apabila hendak keluar dari tempat tersebut manusia terlalu ramai dan saya terhimpit. Kaki kanan saya dapat terlepas tetapi kaki kira saya tersepit di celah-celah lautan manusia.
Saya bertakbir sekuat hati dan satu keajaiban berlaku di mana tiba-tiba seorang hamba Allah dengan perkasanya dapat mengeluarkan saya dari himpitan manusia dengan mengangkat dan mencampakkan saya ke belakang.
Apabila saya keluar dari himpitan manusia saya rasakan bahawa kaki saya seolah-olah seperti patah.
Saya heret perlahan-lahan di celah ribuan manusia dan saya duduk jauh di belakang bertentangan Maqam Ibrahim.
Saya sujud syukur dan solat secara duduk. Saya dapati kaki saya terseliuh dengan kecederaaan tendon.
Saya mohon keampunan Allah SWT, mungkin ini merupakan salah saya kerana kaki ini sering kali melangkah di hadapan orang solat terutamnya di kawasan berhadapan Kaabah.
Pada malamnya saya menemui seorang tua bernama Haji Abdul Hamid. Beliau orang Indonesia yang telah bermustautin di Makkah selama 31 tahun.
Beliau menganjurkan saya solat sunat secara duduk apabila dilihat kaki saya agak cedera dan saya tunjukkan lutut saya yang berbalut dengan 'knee gourd'.
Dua malam saya solat tarawih secara duduk. Saya sering solat taubat meminta ampun dan memohon pada Allah, di berikan kesihatan sebelum balik.
Akhirnya saya cuba solat sunat secara berdiri dan Allah kabulkan doa saya.
Apabila kembali ke Malaysia, saya terus berjumpa doktor dan mendapatkan nasihatnya.
Berdasarkan pemeriksaan tersebut, doktor mengesahkan tidak ada masalah dan saya sihat dan pulih seperti biasa. Satu keajaiban kerana saya dapat rasakan pengalaman sakit tetapi kini sudah sembuh sepenuhnya. - Nukilan HAJI ABAS
***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN
Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’
* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam
No comments:
Post a Comment