***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sesungguhnya solat itu terasa amat berat sekali kecuali akan akan terasa ringan oleh orang yang khusyuk." - Maksud Ayat 45 Surah Al-Baqarah
***
"Setiap kali aku mendengar azan dilaungkan dari Masjidilharam atau Masjid Nabawi di Madinah, hatiku bagai diruntun-runtun sayu. Dengan tidak aku sedari, air mataku merembes keluar."
Kata-kata ini diluahkan oleh seorang sahabatku, Haji Yahya sewaktu dia menceritakan secebis kisah pengalamannya yang manis di Tanah Suci Makkah dan Madinah semasa menunaikan fardu haji pada tahun 1992.
Seorang lagi sahabatku, Haji Kosnin juga menceritakan pengalamannya yang menarik di Tanah Suci Makkah sewaktu menunaikan rukun Islam kelima pada tahun 1984.
Katanya, waktu dinihari dia dan isterinya berjalan kaki keluar dari tempat penginapannya di Kaughar menuju ke Masjidilharam yang terletak tidak jauh dari hotelnya.
Sebelum itu, pada sebelah petang, bumi Makkah disirami hujan. Air bertakung, membentuk lopak-lopak.
Tergerak pula dia bertanya kepada isterinya. "Di Makkah ni tak nampak anjing, ya?"
"Adalah, bang," kata isterinya. "Masa pergi ke Tanaim hari tu, saya nampak anjing di tepi jalan. Ada anjing berkeliaran di pinggir-pinggir bukit atau di luar kawasan Masjidilharam."
Haji Kosnin beranggapan, di Tanah Suci Makkah tentu tidak ditemui anjing, binatang yang dikategorikan najis dan haram disentuh.
Ini sesuai dengan taraf Makkah sebagai Tanah Suci dan Tanah Haram, demikian fikirnya.
Agaknya Tuhan hendak memperlihatkan kebesaran-Nya kepada Haji Kosnin. Atau mungkinkah balasan tunai kepada niatnya.
Tiba-tiba dia melihat tiga ekor anjing bertinggung di hadapan sebuah lopak air. Seekor ibu dan dua ekor anaknya. Si ibu berbulu putih, berbadan besar seperti anjing Alaska. Dua ekor anaknya, seekor berbulu hitam dan seekor lagi berbulu kuning.
Haji Kosnin melihat si ibu itu duduk mencangkung. Lidahnya terjelir keluar seperti kebiasaan anjing kalau ia duduk. Agaknya ia haus. Sementara dua ekor anaknya berlari-lari riang menggelilingi ibunya seolah-olah anak manusia yang suka bermain dan berkejar-kejaran.
Sementara dia memerhatikan ibu anjing itu menjilat air dalam lopak, dia mendengar suara azan dilaungkan dari menara Masjidilharam.
Azan yang pertama waktu menjelang pukul tiga pagi waktu Makkah. Panggilan azan, mengajak insan beribadat kepada Tuhan. Orang mula berduyun-duyun menuju ke Masjidilharam.
Dia berhenti sejenak mendengar alunan merdu suara bilal mengajak orang bersembahyang. Waktu dinihari yang syahdu itu alunan suara azan itu terasa menggamit hati dan menusuk kalbunya.
Dengan tidak disedari mulutnya mengikuti kalimah-kalimah syahadat itu perlahan-lahan.
"Allah Maha Besar. Allah Maha Besar. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah."
Dalam keadaan yang mempesonakan hatinya mendengar suara alunan azan itu, dia melihat si ibu anjing tadi duduk meniarap menghadap ke Kaabah.
Kedua-dua belah kaki hadapannya dilunjurkan ke hadapan. Kepalanya mendongak ke langit, memandang menara Masjidilharam yang tersergam menjulang dengan cahaya lampu terang benderang, tempat keluarnya suara azan itu.
Anak-anaknya masih berkejar-kejaran di kelilingnya. Setiap kali azan dilaungkan, 'Allahu Akbar, Allahu Akbar', ibu anjing itu menundukkan kepalanya.
Kemudian perlahan-lahan kepala itu diangkat ke atas mengikut alunan suara azan itu. Mulutnya seolah-olah menyahut kalimah azan itu dengan bunyi keluhan sayu yang keluar perlahan-lahan dari kerongkongnya. Mungkinkah ia menghayati kalimah azan itu, fikir Haji Kosnin.
Haji Kosnin dan isterinya terpegun di situ melihat kelakuan anjing yang ganjil itu hingga tidak disedari azan sudah selesai.
"Tenguk, bang. Anjing di Makkah begitu takzim mendengar azan. Ganjil betul, ya," kata isterinya sambil berjalan menuju ke Masjidilharam.
"Di Makkah memang banyak perkara ganjil. Agaknya Tuhan hendak menunjukkan iktibar kepada kita. Mungkinkah anjing di Makkah pun tahu menghormati azan,"katanya.
Haji Kosnin teringat suasana di kampung. Bilal azan, orang berbual-bual atau bercakap-cakap dengan kawan-kawan mereka dalam masjid.
Kalau orang sedang bermesyuarat, mereka tidak mengendahkan panggilan bilal mengajak umat menunaikan solat. Mereka terus bermesyuarat hingga sampai petang.
Kalau bermain bola di padang, ada yang berhenti sebentar. Kemudian meneruskan permainan. Tetapi ramai tidak peduli langsung.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Kalau mendengar azan orang masih berbual atau bercakap-cakap menunjukkan pintu hati orang itu sudah tertutup."
Dalam perjalanan menuju ke Masjidilharam, Haji Kosnin berfikir. Apakah ini iktibar yang ditunjukkan oleh Tuhan kepada dirinya?
Dia tadi ingin benar hendak melihat anjing di Makkah. Tuhan tunjukkan perumpamaan anjing itu. Binatang yang dipandang najis dan haram tetapi betulkah yang dilihat tadi, seolah-olah binatang pun tahu menghormati azan.
Sampai sekarang dia tidak dapat melupakan peristiwa anjing itu. Dia mula muhsabah diri. Azan selalu dilaungkan di masjid atau di surau.
Tapi dia sendiri selalu lupa, bercakap dan berbual-bual dengan kawan-kawannya. Dia menganggap ini perkara kecil dan dipandang remeh. Tapi tidakkah ini boleh menjejaskan keikhlasan hati untuk beribadat kepada Tuhan?
"Maha suci Allah!" Haji Kosnin mengeluh. - Nukilan HAJI KASIRON daripada buku kisah perjalanan haji yang sedang diusahakan penulis.
***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN
Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’
* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam
No comments:
Post a Comment