***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Abu Ayyub menyatakan, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barang siapa yang memisahkan antara ibu dan anaknya, nescaya Allah akan memisahkan orang itu dengan para kekasihnya pada hari kiamat kelak." (Maksud hadis riwayat Termizi)
***
KISAH dari Tanah Suci yang ingin penulis nukilkan kali ini benar-benar terjadi pada seorang guru besar yang soleh yang tinggal di sebuah desa di utara Johor.
Dia seorang daei (pendakwah) Angkatan Pemuda Islam yang aktif dalam pelbagai program tarbiyah seperti usrah, ziarah, rehlah, qiamulail dan mencintai solat lima waktu di masjid di mana bapanya adalah imam masjid desa itu.
Setelah tamat kursus ekonomi dan pendidikan di Universiti Malaya pada tahun 75-an, ia telah berkahwin dengan seorang gadis jelita di sebuah desa selatan Negeri Sembilan.
Berkat penikahan itu mereka dikurniakan Allah enam anak yang comel, cerdas dan cerdik - empat lelaki dan dua perempuan.
Pemuda Islam dan murid-murid di sana memanggilnya 'Cikgu Haji'. Jika kelihatan sebuah kereta 'second hand' meluru ke arah masjid pada waktu subuh atau maghrib setiap hari, itu kemungkinan besar kereta Cikgu Haji.
Cikgu Haji juga membawa anak-anak lelakinya bersama, melatih mereka sejak kecil untuk solat berjemaah di rumah Allah di samping mengamalkan wirid Al-Ma'thurat dan amalan lain.
Walaupun 'Cikgu Siti', isteri Cikgu Haji juga seorang guru sekolah kebangsaan dan lulusan MPSI Tanjung Malim (kini UPSI) yang dedikasi, namun memandangkan enam anak-anak mereka memerlukan penjagaan yang lebih di rumah, dia telah reda berhenti kerja.
"Apabila anak-anak telah besar nanti, bolehlah dinda menyambung kembali tugas dan profesyen sebagai guru, insya-Allah," bisik suaminya.
Keluarga daei dan haraki ini, bolehlah dikatakan 'famili mithali' di desa itu dan amatlah disegani.
Meskipun hidup mereka agak selesa, rezekipun murah, hayat yang bahagia, rukun dan damai; hidup yang 'sederhana' tetap mereka abadikan dalam sebuah rumahtangga nan sentosa, sejahtera yang penuh ujian llahi.
Ditakdirkan Allah pada tahun 80-an, Cikgu Siti telah mengandung kali ketujuh.
Apabila anak dalam rahimnya berusia tujuh bulan, dadanya terasa sakit. Apabila diperiksa oleh doktor dia didapati mengalami 'masalah jantung'.
Pihak hospital membekalkannya ubat. Di rumah dia cuba memakannya. Tetapi pil-pil itu tidak serasi dengan sakitnya.
Pada suatu malam sakitnya terasa tenat. Setelah selesai Cikgu Haji membacakan surah Yasin dan syahadah, tiba-tiba Cikgu Siti telah menyahut panggilan Ilahi dengan wajah yang reda, tenang dan berseri-seri.
Tinggallah sekalian anak-anaknya yang masih muda dan kecil itu sebagai yatim tanpa ibu dicintai. Kandungannya juga telah mati dalam rahim.
Cikgu Siti disemadikan di kuburan desa bersama-sama kandungan tujuh bulan dalam rahimnya, sebagai seorang syahid.
Hadis Nabi Muhammad (s.a.w.) pernah mengistilahkan ibu sepertinya sebagai ibu muslimat yang mendapat darjat 'syahid kecil'.
Alangkah sedihnya seluruh desa dengan kematian ibu muda yang solehah itu. Inilah ujian awal yang menimpa nasib Cikgu Haji, menggetarkan nian jiwanya.
Daripada wang KWSP isteri dan pendapatannya yang halal, Cikgu Haji telah berjaya menunaikan haji, sekali lagi ke kota suci Makkah beberapa tahun kemudian, untuk menunaikan haji atas nama arwah isterinya, Cikgu Siti.
Di Makkah kota suci yang penuh dengan jutaan kehebatan, keagungan, kemuliaan (karamah) dan beraneka petunjuk dan pembalasan tunai akibat kesalahan hamba-Nya itu, beliau telah dapat menunaikan ibadat haji dengan sebaik-baiknya.
Semoga ibadat haji itu mabrur dan diterima Maghfirah arwah isterinya menjadi ahli syurga yang tertinggi.
Demikianlah doa restu beliau ke hadrat Illahi di sisi Kaabah, Makkah Al-Mukarramah.
Ditakdirkan Allah, pada suatu hari sedang Cikgu Haji beribadat di sisi Kaabah, tiba-tiba muncul wajah arwah isterinya yang sedang duduk, seolah-olah meriba anaknya yang ketuhuh.
Wajahnya lembut, manis berseri, memakai tudung putih dan berbaju labuh yang putih bersih persis pakaian para hajah dari negara ini.
Nampaknya arwah Cikgu Siti turut menunaikan haji di alam ghaib tanpa disedari. Inilah kuasa dan keagungan Allah yang tiada tolok bandingnya terjadi di kota suci itu.
Lantaran cinta dan kerinduan selama ini, Cikgu Haji terus mendekati wajah arwah Cikgu Siti tadi di sisi Kaabah untuk mendakap bayinya yang ketujuh tadi.
Tetapi tidak berjaya. Seperti ada dinding cermin yang memisahkan kedua suami isteri yang saling mencintai dan merindui itu.
Dengan suatu senyum simpul yang manis dan terakhir, maka ghaiblah wajah arwah isterinya tadi. Di sinilah Cikgu Haji telah menangis dengan hebatnya, tidak dapat lagi menahan air mata keinsafannya.
Benarlah pendapat Imam Al-Ghazzali (r.h.) dan alim ulama, bahawa ruh orang soleh dan solehah bisa berkumpul di Tanah Suci Makkah pada musim haji dengan keizinan Allah.
Bayi comel yang turut mati dalam rahim ibunya dulu, telah 'dilahirkan' dengan selamat di alam barzah dengan kudrat Allah dan diperlihatkan kepada bapanya yang soleh yang sedang khusyuk beribadah di sisi Kaabah.
Berjuta-juta keajaiban bisa menjelma di kota suci Makkah, untuk meningkatkan keinsafan, keyakinan, keimanan dan ketakwaan bani insani sebagai hamba dan makhluk-Nya untuk sejahtera dan bahagia di alam dunia dan akhirat yang kekal abadi selama-lamanya. Amin - Nukilan ALAM SEMESTA
***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN
Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’
* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.
* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).
* Blog ini juga terbuka kepada sesiapa yang mahu memanfaat ruang iklan dengan sedikit bayaran. Sila hubungi penulis. Sekarang ini, blog ini ditatapi kira-kira 100 pelayar setiap hari (sila klik pada kotak empat segi kecil berwarna hijau pada bahagian paling bawah blog untuk rujukan).
*** Nota: Tiada hak cipta. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berlipat ganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.
1 comment:
Assalamualaikum... masih adakah dijual buku2 tersebut.. sila email di nieazman@gmail.com
Post a Comment