Sunday, November 29, 2009

Doa temui anak di Multazam dimakbulkan

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"...Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." - Maksud Ayat 31 Surah An-Nur
***

KEAZAMAN saya dan isteri untuk menunaikan rukun Islam yang kelima sudah lama terpahat di dada. Saya bertekad menunaikan fardu haji sebelum bersara daripada perkhidmatan kerajaan.

Memandangkan simpanan wang saya dan isteri sudah mencukupi, maka kami tidak berlengah lagi, terus mendaftar di pejabat Tabung Haji.

Saya memohon agar dapat pergi secepat mungkin. Setelah menunggu beberapa bulan, saya dimaklumkan oleh Tabung Haji bahawa permohonan kami untuk ke Makkah pada tahun 1999 telah diluluskan.

Saya dan isteri begitu gembira sekali lantas mengucap syukur ke hadrat Ilahi yang telah melimpah kurnia-Nya untuk kami menjadi tetamu-Nya.

Tetapi dalam kegembiraan, masalah baru timbul - anak saya yang sedang melanjutkan pelajarannya di Universiti Al-Azhar, Mesir telah menelefon kami, menyatakan hasratnya untuk menunaikan fardu haji pada tahun 1998.

Katanya pada tahun 1999 beliau tidak dapat ke Makkah kerana akan menghadapi peperiksaan tahun akhir.

Jadi saya terpaksa berurusan semula dengan pihak Tabung Haji melalui seorang kawan saya di Kuala Lumpur, bagi meminda tarikh, mempercepatkan keberangkatan daripada tahun 1999 ke tahun 1998. Ini kerana mengikut rekod Tabung Haji, kami telah layak ke Makkah sejak tahun 1997 lagi.

Alhamdulillah, kami berjaya mendapat tempat untuk menunaikan haji pada tahun 1998.

Sebelum bertolak, kami menerima panggilan telefon daripada anak kami di Mesir, memberitahu tarikh dan jadual urusan beliau ketika berada di Madinah dan Makkah. Beliau berjanji akan menemui kami di Makkah.

Pihak Tabung Haji pula telah menetapkan pemergian kami melalui penerbangan terakhir. Kami memilih menunaikan haji ifrad, bermakna kami perlu mengenakan ihram dan menunaikan haji sebelum melakukan umrah.

Sesampai di Makkah kami terus melakukan tawaf qudum, kemudian bersaie tanpa bercukur. Kami terus kekal dalam ihram sehinggalah selepas melontar di Jamrah.

Dalam kesibukan mengerjakan amal ibadat terutama di Masjidilharam yang ganjarannya 100,000 kali ganda daripada masjid biasa, tiba-tiba kami tersedar, tempoh kami berada di sana sudah masuk minggu kedua, namun anak kami yang berjanji untuk bertemu di Makkah masih belum ditemui.

Kami mula curiga kerana maklumlah dalam ratusan ribu manusia membanjiri Tanah Suci itu, di mana hendak dicarinya. Mengikut jadual, anak kami sudah berada di Makkah melewati seminggu tetapi di mana dia sekarang?

Saya sudah hilang kekuatan untuk mencarinya manakala isteri saya mula gelisah dan hampir-hampir menangis, maklumlah anak yang sudah lama berpisah, tentu sekali ingin menagih kasih sayang si ibu.

Pada suatu pagi, kami ke Masjidilharam lebih awal kerana terlintas di hati saya untuk pergi ke kawasan Multazam untuk bersolat sunat di samping berdoa agar permohonan kami diperkenankan Allah.

Tanpa disedari air mata berguguran di atas dua telapak tangan, menadah harapan semoga doa dikabul Allah - agar pertemuan ini dirahmati-Nya setelah berpisah hampir lapan tahun.

Dalam perjalanan pulang ke maktab tempat penginapan kami, saya dan isteri bungkam, terdiam tidak berkata apa-apa pun, masing-masing melayan perasaan sendiri.

Ada sebuah bilik kosong di maktab kami. Saya telah menghubungi pegawai Tabung Haji memohon kebenaran tinggal di situ. Beliau izinkan dengan syarat, sekiranya ada jemaah haji lain datang, kami kenalah keluar.

Bagaimanapun sehingga dua minggu tiada jemaah yang datang, maka kami tinggal bersama dengan keluarga, yang kebetulan dapat bersama ke Tanah Suci. Mereka terdiri daripada biras saya dan isterinya.

Sambil bersarapan bersama, kami berbual-bual pelbagai tajuk, termasuklah anak kami yang entah di mana. Dalam ingatan saya waktu Arab Saudi pada masa tersebut lebih kurang jam 10.00 pagi.

Masing-masing ingin berehat selepas sarapan. Tiba-tiba kedengaran ketukan pintu dengan ucapan salam dari luar. Saya agak terkejut kerana takut jemaah haji baru akan masuk ke situ, tapi dalam ingatan saya, penerbangan jemaah haji sudah habis, jadi saya pun bangun dalam keadaan longlai, takut juga pegawai Tabung Haji datang.

Sambil menjawab salam saya pun membuka pintu, alangkah terkejut, saya dapati anak saya yang berdiri tercegat sambil tersenyum, terus memeluk kami yang terpinga-pinga.

Kami macam tidak percaya, kerana badannya agak berisi kerana dalam tempoh lapan tahun berpisah, tentu ada perubahan. Alhamdulillah suatu pengucapan yang ikhlas terpancul dari mulut kami.

Apa yang ingin saya paparkan di sini ialah doa ikhlas yang dipohon di kawasan Multazam amat mustajab. Berdoalah dengan ikhlas, penuh harapan dan yakin, insya-Allah permohonan jemaah sebagai hamba dan tetamu-Nya akan dimakbulkan. - Nukilan JEMAAH HAJI 1998

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.

* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).

* Blog ini juga terbuka kepada sesiapa yang mahu memanfaat ruang iklan dengan sedikit bayaran. Sila hubungi penulis. Sekarang ini, blog ini ditatapi kira-kira 100 pelayar setiap hari (sila klik pada kotak empat segi kecil berwarna hijau pada bahagian paling bawah blog untuk rujukan).

***Nota: Tiada hak cipta. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berlipat ganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.

3 comments:

budisolutions said...

salam hormat,
jemput ke Budi Bookstore untuk melayari alam buku-buku motivasi dan kemajuan kendiri.
terima kasih.

Lanh Sr. said...

waalaikumusalam budisolutions, terima kasih, di mana budi bookstore, maksudnya alamat kedai, wassalam.

budisolutions said...

Tuan Lanh,
maaf saya tak terangkan dengan jelas. Budi Bookstore adalah kedai maya saya. Tuan boleh klik di nama saya, atau terus saja ke :

http://budibookstore.blogspot.com/

terima kasih.