Saturday, November 14, 2009

Kisah Pak Long Belon di Tanah Suci

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Sesungguhnya berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap, oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang yang mendustakan (Rasul-rasul)." - Maksud Ayat 137 Surah Ali Imran.
***

SYUKUR kepada Allah SWT yang telah memberi kesempatan kepada aku, isteriku Siti Rukiyah Ismail, ibu bapa mentuaku Haji Ismail dan Hajah Che Tom, adikku Hajah Rodziah dan suaminya Haji Abdullah Zakaria, bapa mentua adikku, Haji Zakaria (kini allahyarham) dan Mak Ndah Puan kerana dapat menunaikan fardu haji pada tahun 2000.

Kami pergi melalui Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan penerbangan KT33menggunakan pesawat Air Asia.

Kami menunaikan haji tamattuk, iaitu mengerjakan umrah dulu sebelum menunaikan haji. Dua lagi kaedah ialah haji ifrad (mengerjakan haji dulu sebelum umrah) dan haji qiran (menunaikan haji dan umrah serentak).

Dari Pulau Pinang kami terus ke Jeddah dan kemudian ke Madinah dengan bas. Kami sampai di Madinah ketika hampir waktu subuh.

Setelah tergesa-gesa menyimpan beg di hotel, kami sempat menunaikan solat subuh berjemaah di Masjid Nabawi, buat kali pertamanya dalam sejarah hidup kami.

Betapa indahnya suasana subuh di Masjid Nabawi pada pagi itu yang tidak pernah aku alami sebelum ini.

Kami ditempatkan di tingkat 8, di sebuah hotel yang tidak berapa jauh dari Masjid Nabawi. Selama berada lapan hari di Madinah kami sempat menunaikan 40 waktu solat waktu sebelum bertolak ke Makkah.

Suatu pagi seperti biasa, selepas solat subuh di Masjid Nabawi, kami pulang ke hotel untuk bersarapan. Ketika menunggu lif aku terdengar suara seorang lelaki veteran (umurnya dalam lingkungan lewat enam puluhan)sedang merungut-rungut dan membebel seorang diri sambil memegang sebungkus buah kurma.

Lantas aku cuba bertanya lelaki itu; "Kenapa pak cik dok bercakap seorang diri ni, ada apa masalah yang boleh saya bantu?"

Lelaki itu menjawab: "Ni, Pak Long dah terkena, sambil menunjuk buah kurma di tangannya. "Tadi di tengah-tengah perjalanan, Pak Long membeli buah kurma dengan harga 10 riyal untuk tiga kilo.

"Pak Long ingat dah cukup murah, tapi apabila sampai di tepi hotel ini, ada orang jual buah kurma lagi murah dengan harga 10 riyal untuk lima kilo."

Sejak pertemuan pertama dengan lelaki yang membahasakan diri Pak Long itu, persahabatan aku dengannya bertambah erat.

Rupa-rupanya lelaki itu juga satu penerbangan dengan aku. Pak Long Mat berasal dari Kampung Belon, di daerah Kulim, Kedah.

Beliau ke Makkah seorang diri, tanpa ditemani keluarga atau kawan-kawan. Pak Long Mat betul-betul berserah kepada Allah.

Apabila sudah mesra, kami semua panggil lelaki veteran itu Pak Long Belon, sempena nama kampungnya.

Setelah lapan hari di Madinah kami bertolak ke Makkah. Di kota suci itu kami tinggal bersebelahan bilik di sebuah hotel di Jalan Ajyat.

Sementara menunggu hari wukuf, aku sempat beberapa kali mengerjakan umrah sunat di samping beramal sebanyak mungkin di Masjidilharam yang sangat banyak kelebihannya itu.

Aku tidak lupa juga mengajak Pak Long Belon untuk sama-sama mengerjakan umrah dan beramal di masjid, tapi beliau seringkali menghidap deman dan tidak mampu bergerak kuat.

Dalam suasana beginilah dapat dirasakan pemergian ke Tanah Suci perlunya ditemani keluarga atau rakan taulan untuk menjaga, mengawasi dan bertanya khabar dan hal-hal lain yang berkaitan dengan ibadat haji.

Pak Long Belon agak bernasib baik, walaupun pemergiannya seorang diri, beliau sentiasa ditemani dan dijaga oleh kumpulan kami, terutama adik ipar saya dan almarhum bapanya Haji Zakaria yang tinggal sebilik dengan Pak Long Belon.

Dalam masa yang sama aku teringat gelagat seorang pak cik dari Pahang yang juga seorang diri menunaikan haji pada tahun yang sama dengan aku.

Aku menemuinya pada suatu pagi di dalam Masjid Nabawi selepas sembahyang subuh. Pak cik itu walau pun sudah berada dalam Masjid Nabawi, masih bertanya kepada aku: "Di mana Masjid Nabi nak, pak cik hendak masuk Raudhah untuk berdoa."

Dalam hati aku berkata inilah akibat datang menunaikan haji berseorangan.

Apabila hampir hari wukuf kami berangkat ke Arafah. Aku ditakdirkan dapat tinggal dalam satu khemah bersama Pak Long Belon.

Setelah selesai wukuf kami bertolak pula ke Mina (Muassim) dan di Mina aku tinggal bersebelahan khemah yang dihuni Pak Long Belon. Hubungan kami bertambah erat. Pak Long Belon tak renggang daripada kami, termasuk berjalan bersama pergi melontar ketiga-tiga jamrah.

Kami lebih suka pergi melontar pada waktu petang selepas Asar dan terus bermalam di sana sehingga melebihi jam 12.00 tengah malam, baru balik ke khemah semula.

Pada petang hari kedua melontar seperti biasa aku bersama Pak Long Belon dan Almarhum Haji Zakaria pergi melontar.

Jemaah sangat ramai pada masa itu. Haji Zakaria memegang pinggang aku dan Pak Long Belon pula memegang pinggang Haji Zakaria.

Sebaik sahaja hampir sampai kawasan tiang melontar, tiba-tiba Pak Long Belon terlepas daripada pegangan pinggang Haji Zakaria kerana rempuhan jemaah lain.

Waktu hampir maghrib. Selesai melontar kumpulan kami sama-sama mencari Pak Long Belon di merata tempat di sekitar tempat melontar itu, tapi tidak berjumpa juga.

Kami sungguh risau atas kehilangan Pak Long Belon kerana beliau kurang sihat pada masa itu. Kami sentiasa berdoa agar Pak Long Belon selamat dilindungi Allah SWT.

Sehingga tengah malam masih tidak berjumpa dengan Pak Long Belon, kami pun pulang ke khemah. Betapa bersyukurnya kami kerana Pak Long Belon selamat dan didapati sedang nyenyak tidur dalam khemahnya.

Tuhan telah makbulkan doa kami. Keesokan harinya Pak Long Belon memberitahu, selepas beliau terpisah daripada kami ketika melontar, beliau menumpang seorang jemaah dari Kelantan untuk selesaikan lontarannya dan pulang ke khemah.

Setelah selesai mengerjakan rukun, wajib dan sunat haji, kami bersiap sedia untuk pulang ke tanah air. Sekali lagi berlaku satu 'kejadian malang' membabitkan Pak Long Belon.

Ketika berjalan dari bas ke terminal untuk menaiki kapal terbang, beg Pak Long Belon tiba-tiba terkoyak dan bertaburanlah segala isinya.

Pak Long Belon sudah tak sanggup lagi mengambil barang-barangnya. Dia membiarkannya di situ kerana terlalu penat. Tapi atas ihsan Almarhum Haji Zakaria, ditolongnya mengutip barang-barang itu untuk dibawa menaiki kapal terbang.

Di dalam kapal terbang ditakdirkan Pak Long Belon duduk bersebelahan dengan aku dan isteriku.

Sambil berbual-bual Pak Long Belon memberitahu aku, beliau sangat-sangat bersyukur kepada Tuhan kerana telah dipertemukan beliau dengan kami di Tanah Suci.

Dia berterima kasih kerana kami sentiasa melayan, menjaga, memberi tunjuk ajar kepadanya dan perkara-perkara lain dengan bersungguh-sungguh, melebihi layanan keluarganya. Pada masa itu aku melihat air mata Pak Long Belon meleleh di pipinya.

Setelah selamat pulang ke tanah air, aku pernah sekali menziarahi Pak Long Belon di kampungnya.

Ketika itu dapat lihat Pak Long Belon sedang menceritakan kepada beberapa orang kawannya mengenai amal ibadat haji dan pengalamannya di Tanah Suci.

Antara nasihat Pak Long Belon kepada kawan-kawannya yang hendak menunaikan haji ialah perlunya bekalan ilmu yang banyak berkaitan ibadat haji dan pergi hendaklah dengan keluarga atau berteman, jika tiada halangan. - Nukilan MOHD

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.

* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).

* Blog ini juga terbuka kepada sesiapa yang mahu memanfaat ruang iklan dengan sedikit bayaran. Sila hubungi penulis. Sekarang ini, blog ini ditatapi kira-kira 100 pelayar setiap hari (sila klik pada kotak empat segi kecil berwarna hijau pada bahagian paling bawah blog untuk rujukan).

***Nota: Tiada hak cipta. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berlipat ganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.

No comments: