Monday, November 9, 2009

Cedera selepas kelam-kabut dalam Masjidilharam

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka kecuali bisikan daripada orang yang menyuruh manusia memberi sedekah, berbuat kebaikan ataupun mendamaikan sesama manusia. Sesiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, kelak Allah memberi pahala yang besar kepadanya." - Surah An-Nisa', ayat 114
***

KATA orang menunaikan haji bukan mudah kerana kita akan menghadapi pelbagai dugaan dan cubaan. Bermacam-macam cerita aku dengar daripada jemaah haji yang pulang ke tanah air menjadikan diriku sedikit takut apabila sampai di Tanah Suci.

Bagaimanapun dengan izin Allah SWT, aku bersama isteri dan kakak iparku dapat menjalani ibadat haji tersebut dengan baik dan tenang pada tahun musim 2004/05.

Satu peristiwa yang masih jelas dalam ingatanku adalah ketika berada di Masjidilharam, masjid suci penuh sejarah yang menempatkan Kaabah.

Uztaz Haji Abdul Ghani yang membawa kami menasihatkan supaya beringat dan berwaspada di masjid ketika hampir hari wukuf di mana orang semakin ramai dan keadaan terlalu sesak ketika waktu sembahyang.

Katanya, jangan biarkan diri terdedah daripada dirempuh orang takut tercedera, susah nanti hendak mengerjakan rukun dan wajib haji.

Alhamdullilah kejadian buruk tidak pernah berlaku kecuali sekali sekala dilanggar penjaja haram di kaki lima masjid ketika mereka melarikan diri daripada pihak berkuasa yang menyerbu.

Apabila pulang daripada bermalam di Mina, kami dapati orang masih bersesak di masjid, menyelesaikan rukun haji iaitu tawaf dan saie.

Yang lainnya seperti aku meluangkan masa untuk bersembahyang, membaca al-Quran dan wirid.

Pada suatu hari terjadilah kejadian yang tidak dapat saya lupakan. Pada hari perisitiwa itu, aku berada di masjid, menunggu waktu Isyak.

Aku duduk di tingkat satu berhadapan dengan pancuran emas Kaabah. Kurang 10 saf di depanku ramai orang tawaf.

Jemaah yang duduk beribadat tidak berapa ramai kerana ada yang pulang selepas Maghrib.

Sedang kusyuk membaca al-Quran, tiba-tiba aku terdengar bunyi bising suara orang yang ramai dari arah kananku seolah-olah sedang berlari berserta bunyi seperti enjin lori yang besar. Serentak dengan itu kurasa lantai masjid bergegar.

Aku menjadi keliru kerana orang yang tawaf dari arah kiri pergi ke kanan. Kenapa pula mereka berlari beramai-ramai secara mengundur.

Apabila aku toleh ke kanan, aku lihat pemandangan yang kabur dan kawasan masjid seolah-olah berasap.

Aku mencapai al-Quran dan beg selendangku dan bingkas bangun apabila melihat jemaah di kananku bangun beramai-ramai dan berlari ke arahku.

Ada yang kena langgar dan ada yang jatuh. Dalam keadaan kelam kabut ingatanku hanya satu iaitu mencari tiang masjid untuk berlindung daripada rempuhan orang ramai.

Tidak sampai satu minit bunyi rempuhan dan bising tiba-tiba hilang. Semua jemaah yang lari lintang pukang tadi terpinga-pinga hairan.

Aku cuba melihat kalau ada tanda rusuhan atau gangguan kumpulan jemaah yang ingin mengacau tapi tiada.

Pengawal masjid mengarahkan semua orang duduk. Keadaan kembali tenang dan jemaah dapat menunaikan sembahyang Isyak selepas itu seperti biasa.

Pulang dari masjid baru terasa pergelangan kaki kiriku sakit mungkin terseliuh semasa melarikan diri.

Alhamdullilah kerja hajiku sudah selesai, kalau tidak tentu terganggu kerana selepas tiga hari aku masih lagi berjalan terhenjut-henjut.

Selang beberapa hari kejadian yang sama berulang di tempat itu juga. Kali ini semasa aku dan jemaah sudah berdiri dalam saf bersedia untuk menunaikan sembahyang Subuh.

Tiada jemaah yang lari kali ini, mungkin masing-masing teringat kejadian yang pertama. Kejadian tersebut tidak terhad di tingkat satu sahaja kerana pada masa sama yang berada di tingkat bawah dan bumbung juga mengalaminya.

Ada yang mengatakan terasa angin sejuk lalu di depan muka mereka dan ada yang melihat seperti cahaya naik ke langit.

Bermacam teori dikemukakan oleh mereka yang mengalami kejadian tersebut seperti malaikat turun dan kemudian naik ke langit membawa amalan jemaah haji, makhluk Allah selain manusia mengerjakan amalan haji dan bermacam-macam telahan. Wallahu a'lam.

Namun pasti yang terjadi adalah sesuatu yang ghaib yang di luar jangkauan pemikiran manusia, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Perbuatan jemaah bangun dan lari tanpa memikirkan keselamatan orang lain di dalam masjid adalah tindakan tidak bijak yang mengundang malapetaka kepada jemaah yang dilanggar atau dipijak.

Sesungguhnya masjid adalah tempat berlindung yang paling selamat apatah lagi Masjidilharam dan tidak perlulah kita lari lintang pukang keluar masjid seperti yang dilakukan oleh sesetengah jemaah ketika kejadian.

Syukur aku dan isteriku tidak mengalami kecerderaan yang teruk.

Sehingga hari ini kejadian tersebut kekal jelas dalam ingatanku menggambarkan betapa besarnya kekuasaan Allah SWT dan sesuatu yang berlaku sudah tentu mempunyai hikmahnya untuk kita renungi dan jadikan iktibar. - Nukilan SHAM

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam

No comments: