Friday, November 13, 2009

Berdoa di depan Kaabah agar dihilangkan selipar

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Janganlah kamu menjerumuskan dirimu ke dalam kebinasaan." (Maksud Ayat 195 Surah Al-Baqarah)
***

SYUKUR kepada Allah SWT, saya berpeluang menunaikan umrah bersama keluarga sewaktu saya di tingkatan empat (pada usia 16 tahun) dan ada sekelumit cerita nakal dari Makkah untuk dikongsi bersama pembaca.

Perasaan hati tidaklah melonjak sangat sewaktu ayahanda saya mengajak menunaikan umrah. Maklumlah jiwa main-main dan kenakalan saya masih menyerlah dan sedang dalam proses 'menggilapnya'.

Namun demikian, dalam diam-diam saya mendengar dan mengutip koleksi-koleksi kisah-kisah ajaib, pelik serta unik yang dikhabarkan oleh jemaah haji dan umrah yang pulang ke tanah air.

Mereka terdiri daripada kaum kerabat dan rakan taulan ayah saya. Pun begitu, ada juga saya membaca artikel di majalah dan akhbar bagi menyemarakkan semangat saya untuk ke sana.

Antara cerita ajaib, pelik ialah seperti tidak jumpa jalan pulang, tidak nampak pintu keluar Masjidilharam, bertemu hamba Allah yang unik seumpama dikerumuni lalat seluruh tubuh, dibantu oleh hamba Allah yang tidak dikenali, balasan bala dengan kadar segera akibat takbur dan bermacam caca merba lagi.

Taksub dan tertarik dengan cerita tersebut maka di dalam hati selain beribadat di Tanah Suci, saya telah menyimpan hasrat untuk menjalankan satu 'misi sulit.' Misi untuk menguji kebenaran cerita-cerita yang telah saya kutip dan ingin melihat bukti kekuasaan Allah SWT. Betapa dangkalnya fikiran saya pada masa itu.

Setelah berada di Madinah, kami berangkat pula ke Makkah dan pada hari kedua di sana, saya tekad untuk meneruskan misi tanpa pengetahuan ayah atau sesiapa pun.

Di luar Masjidilharam, saya membungkus selipar saya yang berwarna hijau dengan plastik dan saya letakkan di rak yang disediakan. Saya camkan betul-betul dan terus ke hadapan Kaabah untuk solat Sunat.

Setelah selesai, lantas mengangkat tangan seraya berdoa: "Ya-Allah sekiranya benarlah keajaiban dan mustajabnya doa serta Maha Kuasa-Nya engkau, maka hilangkanlah seliparku untuk Kau buktikan. Buktikanlah Ya-Allah."

Selesai berdoa saya berlari-lari anak ke tempat rak meletak kasut tersebut. Sudah terang lagi bersuluh, bagai dikata, dikotakan. Terbukti, selipar saya hilang.

Hairan juga, siapalah yang ingin mencuri selipar buruk tersebut malah kesemua jemaah sana mempunyai kasut dan selipar. Lagipun sekiranya tertangkap, para jemaah dan penduduk Makkah sudah tahu hukumannya yang berat. Tidak ada sesiapa yang berani mencuri. Setelah puas mencari, saya pun pulang ke hotel berhampiran dengan berkaki ayam akibat keceluparan dan kenakalan saya.

Benarlah janji Allah dan balasan tunai untuk hamba-Nya yang berdosa. Saya kehilangan selipar sekali lagi yang baru dibeli pada keesokan harinya. Paling pedih ia berlanjutan seterusnya sehingga enam kali!

Gelisah saya dibuatnya sehingga penjaga hotel, tersenyum sambil menggeleng kepala melihat saya seorang sahaja yang berkaki ayam di ruang legar hotel tersebut setiap hari.

Khuatir dimarahi ayah dan malu ditertawakan orang, saya ke Kaabah sekali lagi dengan selipar saya yang ketujuh. Dengan bulat dan nekad, saya perlu membatalkan misi saya sebelum ia bertambah parah dan memalukan.

Dengan rasa aib, malu dan rendah diri serta rasa bersalah yang amat sangat kerana kenakalan untuk menguji kebesaran-Nya, saya lantas berdoa semula memohon ampun kepada Yang Esa dan meminta supaya tidak 'dihilangkan' selipar sekali lagi.

Seperti tempoh hari, saya melihat bukti keagungan Tuhan, tersentap dada, selipar saya yang ke tujuh tidak terusik dan tersimpan elok di rak tersebut. Menangis kesal saya dan berjanji tidak mengulangi kecabulan mulut lagi. Semenjak itu saya tidak kehilangan selipar sehingga pulang ke tanah air.

Di tanah air, barulah saya terfikir, kenapalah saya tidak berdoa kepada Allah pada mulanya sewaktu saya menguji, supaya tidak hilang selipar dari hari pertama sampai ke Masjidilharam sehinggalah pulang ke Malaysia. Pasti Allah memakbulkannya. Terbalik pula yang saya minta. Bebal sungguh.

Alhamdullillah juga saya tidak pesong fikiran sehingga minta yang bukan-bukan di hadapan Kaabah tempoh hari. Nyaris jugalah Allah tidak menghukum saya dengan bala yang teruk. Hanya sekadar ujian kecil yang saya rasa amat besar kesannya sehingga kini.

Janganlah celupar dan cuba untuk menduga dan menguji kuasa Tuhan. Hanya akur dan taat sahaja pada-Nya dan pintalah yang baik-baik, nescaya Allah permudahkan. - Nukilan MUHAMMAD AZAMIN

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.

* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).

* Blog ini juga terbuka kepada sesiapa yang mahu memanfaat ruang iklan dengan sedikit bayaran. Sila hubungi penulis. Sekarang ini, blog ini ditatapi kira-kira 100 pelayar setiap hari (sila klik pada kotak empat segi kecil berwarna hijau pada bahagian paling bawah blog untuk rujukan).

***Nota: Tiada hak cipta. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berlipat ganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.

No comments: