Wednesday, November 11, 2009

Kisah capal dan doa yang dimakbulkan

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Hendaklah kamu tolong menolong dalam kebajikan dan takwa." - Maksud Ayat 2 Surah Al-Maidah
***

KAMI bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat menunaikan ibadat haji musim 2004/2005 dengan baik tanpa sebarang halangan yang besar.

Aku dan isteriku kali pertama menunaikan haji disertai kakak iparku yang menunaikan ibadah itu buat kali kedua.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah kisah capalku yang dibeli lebih kurang seminggu sebelum bertolak.

Ia berwarna hijau dengan jalur oren di kiri kanan, buatannya kukuh dengan tapak tebal dan tali ikatan velcro.

Sambil membeleknya di kedai, aku berdoa agar Allah membenarkan aku memakai capal tersebut menunaikan ibadat hajiku dengan sempurna sehingga selamat balik ke Malaysia.

Setibanya di Madinah, kasut kulit yang aku pakai dalam perjalanan, aku simpan di dalam beg dan capal itu aku sarung untuk pergi sembahyang di Masjid Nabawi.

Sejak saat itu capal tersebut tidak pernah kutukar dengan yang lain baik pergi sembahyang di masjid, bersiar-siar membeli-belah mahupun keluar ziarah ke tempat-tempat bersejarah.

Di Masjid Nabawi dan Masjidilharam, ia di letakkan sama ada di petak-petak kasut di pintu masuk atau atas para-para kecil di dalam masjid.

Tidak pernah ia diletakkan di sebelah semasa sembahyang atau dijinjing semasa melakukan tawaf atau saei.

Isteriku sendiri kehilangan kasutnya sekali di Masjidilharam dan kakak iparku sehingga empat pasang di masjid dan di Padang Arafah.

Hairan juga kerana aku meletakkan capalku di luar bilik atau khemah mahupun di masjid seperti mereka juga.

Mabit di Mina adalah waktu yang tidak dapat kulupakan. Khemah jemaah kami di tempatkan di sempadan bertanda Mina/Mudzalifah iaitu sejauh 3.8 kilometer dari jamrah.

Berjalan kaki mengambil masa lebih 30 minit untuk sampai ke tempat melontar di jamrah.

Pada tengah hari 12 Zulhijah angin mula bertiup kencang. Dinding khemah berterbangan menyebabkan debu dan pasir masuk ke dalam, ke atas tempat tidur kami.

Lebih kurang jam 3.00 petang, hujan mula turun mencurah-curah. Tanah gurun yang jarang ditimpa hujan tidak meresap air dengan cepat maka air bergenang di
sekeliling khemah dan jalan di depan dan belakang.

Perkemahan kami menjadi sungai yang deras mengalirkan air ke kawasan yang lebih rendah.

Sewaktu sibuk menjaga dinding khemah agar air hujan tidak masuk ke dalam, aku terlupakan capalku yang diletakkan di luar khemah bersama selipar jemaah lain.

Hujan reda lebih sejam kemudian dan aku mula mencari capalku. Puas kucari di sekeliling khemah, namun tidak kutemui.

Yang ada bertaburan hanya selipar-selipar jemaah lain yang kehilangan pasangannya, yang selebihnya hanyut dibawa arus air.

Aku nekad hendak mencari capalku lalu berjalan ke arah tanah rendah selepas menyarungkan selipar berlainan pasang yang kujumpa di tengah jalan.

Selepas berjalan lebih setengah kilometer, di kawasan rendah tersebut aku lihat khemah jemaah lain tenggelam separas pinggang, sampah sarap bertaburan namun capalku tidak kutemui.

Hampa dalam hatiku kerana aku amat sayang capalku itu. Mungkin tidak ada rezeki memilikinya lagi.

Selepas aku ambil selipar-selipar sepadan yang terapung di dalam air untuk isteri dan kakak iparku, aku pun balik ke khemah.

Alangkah terperanjatnya aku apabila sampai di sana kerana betul-betul di depan pintu khemahku terletak dengan baik capalku, walaupun basah tetapi tidak kotor dan tidak rosak sikit pun.

Amat hairan kerana tidak ada langsung selipar atau kasut orang lain berhampirannya.

Aku menadah tangan mengucap syukur kehadrat Allah SWT. Sungguh terasa kebesaran-Nya dan sungguh terasa kehadiran-Nya rapat denganku waktu itu. Sesungguhnya Dia mengabulkan doa hamba-Nya.

Ibadat hajiku selepas itu berjalan dengan baik dan selamat. Sehingga hari ini capal itu masih berada dalam simpananku mengingatkan pada keajaiban dan kemurahan Allah di tanah haram-Nya. - Nukilan SHAM

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.

* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).

Sekian, wassalam

No comments: