Friday, August 28, 2009

Berhikmah dalam berdakwah

“Muslim or non-Muslim?” demikian sergah seorang ustaz, menyuruh pelajar menunaikan solat Jumaat ketika saya menuntut di ITM (kini UiTM) kira-kira 25 tahun lalu. Kalau seseorang itu menjawab “Muslim”, pastilah dia akan ‘dibasuh cukup-cukup’, mahu tidak mahu terpaksalah dia mengangkat punggung ke Medan Pelajar yang dijadikan tempat solat.

Penulis memahami maksud ustaz itu, kerana di UiTM, pelajarnya bukan 100 peratus Muslim, ada bumiputera terutama dari Sabah dan Sarawak yang tidak beragama Islam. Bagaimanapun pendekatan ustaz itu agak kasar, mungkin akan menyebabkan pelajar menjadi meluat dan semakin jauh daripada Islam. Pelajar bukan Islam pula mungkin terkejut besar, sekali gus dikhuatiri mempunyai tanggapan negatif terhadap Islam.

Penulis membawa kisah ini bagi mengaitkan apa yang penulis saksikan pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan ke-55 parti itu di Stadium Malawati Shah Alam pada 5-7 Jun lalu. Pada perbahasan itu, seorang perwakilan dengan suara lantang membelasah wartawan wanita (tidak dinyatakan yang Islam atau bukan Islam) yang membuat liputan, tidak berpakaian selayaknya termasuk memakai tudung.

Begitu sinis kecamannya sehingga berkata tidak ada peraturan pemberita wanita nak letak sapu tangan atau kain buruk atas kepala mereka sedangkan muktamar majlis mulia dan diberkati, dimulaikan dengan membaca al-Fatihah dan diakhiri dengan bacaan tasbih kifarah.

Penulis mahu kembali ke UiTM pada zaman penulis menuntut di sana pada awal tahun 1980-an berhubung usaha dakwah ini terutama soal pemakaian tudung. Ketika itu soal penampilan termasuk pakaian tidak ditekankan sangat. Penulis yang ketika itu termasuk dalam jenis ‘rock’ kerap mengenakan jeans biru pudar, kemeja T dan berselipar.

Budak perempuan pun ada yang berjeans, dipadankan dengan blaus atau kemeja T manakala sebahagian lagi berbaju kurung tetapi yang memakai tudung tidak sampai separuh daripada jumlah pelajar. Mereka yang memakai tudung pun, bukan daripada jenis labuh menutupi dada, tetapi jenis skaf, tudung sampul rambut saja (dedah leher), tudung ujungnya diikat di bawah leher dan beberapa jenis ikatan lagi.

Pelajar perempuan sama bidang dengan penulis (Komunikasi) kebanyakannya jenis ‘rugged’. Pada semester tertentu pelajar terpaksa mengambil mata pelajaran Komputer yang dikendalikan oleh kajian lain. Sesetengah pensyarah ini ‘alim-alim’ belaka, pada hari pertama pelajar Komunikasi mengikuti kelas berkaitan, mereka diberi amaran: “Lain kali kalau tak bertudung jangan masuk kelasi.”

Penulis perhatikan pelajar tidak peduli. Apabila pensyarah berkenaan dilihat kelibatnya sebelum memasuki kelas, barulah mereka bergegas mengeluarkan tudung dan menyerkupkan ke kepala. Kemudian selepas tamat kelas, sebaik pensyarah berkenan mengatur langkah keluar, mereka mencampakkan tudung itu ke dalam laci dan beg masing-masing.

Demikianlah gelagat siswi yang memakai tudung kerana terpaksa, bukan kerana kesedaran. Apabila diperlukan mereka pakai, apabila tiada keperluan, mereka tidak menghiraukannya.

Selepas memasuki alam pekerjaan, penulis berpeluang ke Iran sebanyak dua kali iaitu pada 1992 1997. Di sana pun dalam permasalahan pakaian menutup aurat , penulis saksikan senario hampir sama seperti di UiTM dan di Malaysia keseluruhannya.

Di luar memang betul hampir semua wanita Iran memakai cadur tetapi apabila berada dalam bangunan persendirian, sesetengah cadur yang dipakai wanita-wanita itu entah ke mana perginya. Ketika mengunjungi Kedutaan Malaysia, penulis perhatikan ada wanita termasuk warga Iran tidak bertudung, malah ada memakai skirt.

Selepas berlepas dari Lapangan Terbang Mehrabad untuk pulang, belum pun pesawat lama di udara, wanita Iran yang duduk berhampiran penulis, dilihat sudah menanggalkan cadur mereka, sebaliknya mempamerkan rambut perang yang diset rapi. Mereka berjeans dan berblaus ketat, kelihatan begitu sofistikated, seakan-akan wanita Barat lagak mereka.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman ini, penulis memahami apa yang disuarakan oleh satu-satunya Muslimat dalam AJK PAS Pusat, Dr Lo’ Lo’ Ghazali yang pada muktamar itu meminta supaya masyarakat dididik dan disedarkan secara berhikmah dalam menunaikan kewajipan termasuk menutup aurat sepenuhnya seperti amalan bertudung bagi Muslimat.

Penulis bersetuju bahawa orang ramai tidak boleh dipaksa begitu. Ini kerana berdasarkan pengalaman, paksaan selalunya tidak membawa kepada kejayaan. Fikir-fikirkanlah apa yang berlaku kepada rakan siswi penulis di UiTM dulu dan juga wanita terutama remaja Iran. Apabila keadaan memaksa, mereka mengikut perintah tetapi apabila berada di luar suasana itu mereka tidak mempedulikannya. Kemungkinan besar untuk golongan ini memberontak adalah tinggi, di depan ustaz mereka kelihatan baik-baik belaka, tetapi di belakang ustaz, mereka mengutuk tidak habis-habis dan bertindak lebih liar.

Demikianlah, kita tidak mahu melahirkan golongan atau generasi baru yang ‘alim-alim kucing’. Kita mahu melahirkan mereka yang benar-benar takut kepada Allah SWT sama seperti pemuda-pemudi pada zaman sahabat dulu. Kisah Umar Al-Khattab dengan seorang anak perempuan yang tidak mahu mencampurkan susu atau anak gembala yang tidak mahu menjual kambing milik tuannya semata-mata kerana takutkan Allah SWT sewajarnya menjadi panduan dalam mendidik generasi muda. Mereka semata-mata takutkan Allah SWT bukan takutkan sang penguasa.

Dalam dunia moden, kisah seorang wartawan Barat, Yvonne Ridley, yang memeluk Islam apabila melihatan kebaikan dan kehebatan Taliban sewajarnya dijadikan pengajaran dan sempadan. Penulis berpendapat kemungkinan besar anggota Taliban yang dituduh ganas dan jahat oleh media Barat dan kuncu-kuncu mereka tidak akan berkata kepada wartawan itu: “kenapa kamu tak pakai sapu tangan atau kain buruk atas kepala mu itu?”

Thursday, August 27, 2009

Kematian Teoh: Mengapa akhbar arus perdana dibakar?

Zainul Arifin Mohammed Isa sahabat lama saya. Kini beliau menjadi Pengarah Urusan Kumpulan NSTP, jawatan eksekutif tertinggi di Kumpulan NSTP yang menerbitkan akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro selain akhbar-akhbar mingguannya.

Saya masih ingat bersama-sama Zainul menyelusuri kebun dan desa membuat liputan mengenai klon koko Mardi di Ulu Dong, Raub pada tahun 1987. Kami seangkatan, bersama-sama bermula dari bawah, bintangnya bersinar cepat sehingga ke jawatan sekarang. Dulu kolumnya ada dalam akhbar New Straits Times tetapi sejak dilantik ke jawatan baru kira-kira sebulan lalu, beliau ada kolum di Berita Minggu yang logonya hanya memakai gambar dan namanya.

Pada Ahad 19 Julai lalu, Zainul menulis mengenai kematian Setiausaha Politik seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock. Sebagai pembaca yang menghormati idea bernas beliau, kali ini saya terperanjat apabila beliau dalam artikel ‘Kematian Teoh timbulkan pelbagai spekulasi politik’ berusaha bersungguh-sungguh mengaitkan isu ini sebagai sesuatu yang bersifat perkauman.

Isu Teoh bukan bersifat perkauman tetapi apa diperjuangan adalah keadilan dan ketelusan. Secara kebetulan yang terbunuh adalah seorang pemuda Cina, tetapi kalau kematian itu membabitkan seorang Melayu apakah ia perlu didiamkan saja kerana secara kebetulan juga peneraju dan majoriti petugas agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah orang Melayu?

Zainul juga mempertikai dan merendah-rendahkan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dengan menulis: “Kenapa, contohnya perlu kerajaan Selangor mahukan pakar bedah swasta untuk siasat kematian Teoh? Adakah pakar hospital kerajaan tidak layak? Atau tidak boleh dipercayai?

“Kenapa Menteri Besar Selangor, SEORANG MELAYU, meragui kebolehan orang sebangsanya bertindak tulus dengan adil? Bukankah banyak pegawai agensi atau institusi kerajaan orang Melayu? Adakah polis, hakim, guru, penyiasat, doktor, pensyarah Melayu semuanya tidak boleh dipercayai?”

Saya percaya Khalid tidak pernah meragui kemampuan dan kejujuran orang sebangsanya tetapi apa ditekankan adalah ketelusan dan keadilan. Tidak usahlah penulis seperti Zainul melepaskan panahan beracun sehingga mendakwa Khalid tidak mempercayai bangsanya sendiri. Adakah Zainul bermaksud orang Melayu mesti menyakini orang Melayu sekalipun dia korup dan diselimuti 1,001 perkara negatif lain?

Ambil contoh mudah ini; saya seorang Melayu Islam, jika mahu mengamanahkan sejumlah wang sebelum saya ke luar negara, tentulah saya tidak sewenang-wenangnya menyerahkan kepada seorang individu Muslim yang saya diyakinkan tidak amanah. Dalam Islam, memanglah salah untuk menyatakan seseorang itu munafik tetapi sifat munafik itu boleh diketahui, iaitu jika dia berjanji dia mungkir; jika bercakap dia bohong; dan jika diberi amanah dia khianat.

Jika seseorang itu sekalipun Muslim ada ciri-ciri demikian (dan sudah diketahui umum) adalah bodoh bagi saya untuk menyerahkan wang itu kepadanya. Jika saya melakukannya juga bermakna saya bukan saja bodoh tetapi telah mengkhianati orang lain yang mempunyai kepentingan ke atas wang itu seperti isteri dan anak-anak saya.

Bagi saya, Zainul telah menulis artikel itu berdasarkan semangat meluap-luapnya untuk menghentam Pakatan Rakyat sejak daripada awal lagi. Ini dapat dilihat daripada peranggan pembuka (intro) beliau yang berbunyi: “Adakah ahli dan penyokong Pakatan Rakyat saja yang berasa sedih ke atas kematian Teoh Beng Hock.”

Beliau menyambung dengan nada sinis: “Tentu sekali jika dilihat dari(pada) muka-muka sama yang bergegas mengepali tunjuk perasaan apabila saja ada kejadian seperti ini…”

Pada para ketiga beliau menulis: “Oportunisme politik boleh merampas kesedihan untuk dijadikan modal politik. Kematian boleh dijadikan pemangkin untuk naikkan kemarahan, dan juga batu hikmat menarik sokongan.”

Wahai sahabatku Zainul, memanglah kematian menyedihkan semua (kecualilah mereka yang dapat mengaut keuntungan seperti pengurus rumah mayat), tetapi apabila berlaku kematian meragukan, penyiasatan telus diperlukan. Apabila tidak berlaku keadilan, timbullah rasa tidak puas hati, bantahan seterusnya demonstrasi dan revolusi.

Hal ini tidak ada sangkut paut dengan perkauman. Dan hal yang sama tidak terbatas di negara ini saja. Di luar negara pun sama, apabila ketidakadilan tidak terlihat, tidak terzahir; maka berlakulah kebangkitan rakyat yang membawa kejatuhan sesebuah kerajaan.

Zainul mengakhiri artikel dengan menulis: “Janganlah termakan kata-kata orang, yang agendanya kadang-kadang hendak mempersoalkan kebolehan orang Melayu.” Hakikatnya tiada siapa mempersoalkan kebolehan orang Melayu, dan akibat daripada tuduhan inilah sesetengah pihak bertindak membakar akhbar yang diterajui Zainul!

Tuesday, August 25, 2009

Kisah kegelapan malam, Israk Mikraj

Memandu jauh pada waktu malam jarang saya lakukan. Tetapi 17 dan 18 Julai lalu, saya berupaya memandu dari Melaka ke Pulau Pinang mulai jam 10.00 malam sehingga 3.00 pagi; tanpa henti kecuali mengisi minyak di Seremban.

Saya sendiri tidak menyangka dapat melakukannya. Sebenarnya ada inspirasi kenapa saya boleh berbuat demikian. Pada siang hari sebelum itu, berlaku kematian di kampung saya. Si mati ketika sakitnya pernah saya ziarahi. Kini dia sudah kembali ke rahmatullah, siang tadi jenazahnya dimasukkan ke lubang kubur.

Sambil memandu saya membayangkan perjalanan jauh allahyarham. Perginya tidak kembali. Suatu hari saya juga akan mati, jadi saya membayangkan diri dimasukkan ke dalam kubur. Alangkah gelap dan sempitnya. Saya pernah masuk ke sebuah bilik sempit dan gelap; rimasnya tak tertanggung menyebabkan saya cepat-cepat keluar.

Sepanjang minggu terakhir ini, pada kebanyakan kelas pengajian di masjid yang saya hadiri, ustaznya membicarakan bab mati. Seorang ustaz memberitahu apabila berlaku kematian, roh akan diiringi malaikat melepasi tahap-tahap langit untuk ke Sidratulmuntaha menemui Allah SWT.

Apabila tiba di langit pertama; berlaku dialog dengan penjaga langit pertama. Amalannya dibuka, apabila ia buruk, roh akan dilemparkan kembali ke tubuhnya. Jika di langit pertama saja sudah tidak lulus, bagaimana mahu ke langit kedua dan seterusnya?

Selepas jenazah dimasukkan dalam kubur, bagaimana nasib si fulan, demikian fikirku sepanjang perjalanan itu. Si fulan itu bukan siapa, tetapi diri aku. Masuk kubur seorang diri, tiada berteman. Mahu tidak mahu setiap orang akan masuk ke dalam kubur. Enam kaki di dalam bumi. Kubur yang gelap dan mengerikan itu. Ada kala jengking, ulat, ular, oohh aku tidak dapat bayangkan nasib aku nanti.

Ulat dan cacing akan mencungkil biji mataku, kemudian meratah tubuh badanku. Ngeri aku memikirkannya menyebabkan mataku terbuka luas, tidak terasa mengantuk. Apabila membayangkan kedahsyatan termasuk kegelapan dalam kubur; tidak terasa kegelapan di lebuh raya itu. Lagipun di lebuh raya kerap ada cahaya lampu kenderaan tetapi bagaimana dalam kubur? Tidakkah ia gelap, segelap-gelapnya!

Segera aku teringat ceramah Israk Mikraj seorang pakar motivasi, Dr Rozey Baba di sebuah masjid berhampiran rumahku. Kata beliau, setiap tahun kita menyambut Israk dan Mikraj sehinggakan kisahnya sudah kita hafaz tetapi apakah ia sudah mengubah hidup kita? Adakah kita sudah bertukar menjadi baik atau makin lama makin buruk?

Beliau berkata keseluruhan kisah Israk dan Mikraj bertujuan mentauhidkan Allah SWT yang semuanya sudah disampaikan oleh Rasul-Nya, Muhammad s.a.w. Apabila seseorang itu yakin kepada Allah, dia mesti meyakini Malaikat-Nya, Kitab-Kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, Hari Kiamat dan Qada dan Qadar-Nya. Perkara yang diyakini inilah dinamakan Rukun Iman.

Dr Rozey bertanya adakah sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w., kehidupan harian kita berpandukan ajaran dan sirah baginda. Adakah suami hari ini mencontohi baginda dan isteri mencontohi isteri-isteri baginda, terutama Khadijah Al-Khauwalid r.a.?

Misalnya, pada kali pertama menemui Malaikat Jibrail, Nabi Muhammad s.a.w. balik ke rumah dengan keadaan tubuh menggigil. Khadijah menyambutnya dengan baik sekali, membaring dan kemudian menyelimutkan baginda. Sesudah pulih barulah Khadijah membuka mulut, bertanya apa yang berlaku.

Tetapi apa yang berlaku hari ini apabila suami balik dari pejabat atau tempat kerja dalam keadaan kusut masai. Isteri akan menambah beban suami dengan bertanya itu dan ini; ada tidak mempedulikan si suami dan apa pula yang mengadu hal, mengherdik dan memarahi si suami kerana penghasilan suami tidak memuaskan hatinya.

Nabi Muhammad s.a.w. pula menunjukkan contoh teladan suami paling baik dengan menjahit sendiri pakaian dan kasutnya yang koyak, tetapi apakah suami hari ini melakukannya atau mengherdik si isteri. Demikianlah betapa jauhnya kita yang mengaku umat Muhammad ini jauh daripada suri teladan yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w. serta isteri-isteri serta sahabat-sahabat baginda.

Ironinya setiap tahun kita menyambut Israk Mikraj; masjid penuh dengan hadirin termasuk jemaah wanita tetapi perangai kita tidak berubah. Bagi wanita bukankah Allah dan Rasul-Nya sudah menyuruh menutup aurat termasuk rambut tetapi masih ramai yang degil. Jadi untuk apa kita mendengar kisah Israk Mikraj yang diulang-ulang setiap tahun sedangkan sikap kita tidak berubah, tanya Dr Rozey.

Bukankah dalam Israk Mikraj itu Nabi ditunjukkan wanita yang diseksa kerana mendedahkan aurat, tetapi sesetengah wanita mendengarnya saja saban tahun tetapi tetap enggan berubah. Mereka tetap berfesyen dengan pakaian yang mampu menggegarkan iman tok imam berserban tebal sekalipun.

Nabi juga diperlihatkan golongan lain seperti yang menghantuk kepala (tidak solat), perut besar (makan riba), makan daging busuk (penzina) dan bibir besar dan dubur disula (makan harta anak yatim), tetapi apakah semua ini menginsafkan kita yang saban tahun mendengar kisah Israk Mikraj?

Misalnya, muamalat kita; apakah urusan jual beli kita bebas daripada unsur riba? Adakah rumah atau kereta yang kita beli itu betul-betul menepati kehendak Islam? Jawapannya tidak, kita hanya pandai bercakap sedangkan amalan kita tersasar jauh daripada ajaran Islam.

Dr Rozey berkata sudah berbuih mulut penceramah mengulangi-ulangi kisah Israk Mikraj tetapi ummah masih begitu juga sedangkan orang bukan Islam mendapat banyak pengajaran daripadanya.

Misalnya penciptaan kapal terbang dan roket adalah berdasarkan iktibar Israk Mikraj. Orang Barat dalam tertanya-tanya bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. boleh bergerak begitu pantas antara Makkah dan Palestin, kemudian ke langit; mencipta kenderaan mempercepatkan perjalanan tetapi kebanyakan umat terus terngangga mulut mengikuti kisah Israk Mikraj saban tahun!

Thursday, August 20, 2009

Asyik-asyik mat rempit, hukumlah sama datuk dangdut

Ketika ini masyarakat begitu prihatin terhadap isu mat rempit sehingga polis mengesyorkan istilah itu ditukar kepada samseng jalanan dan mereka yang didapati bersalah dikenakan hukuman lebih keras termasuk penjara mandatori.

Apa dan siapa mat rempit? Ensiklopedia Wikipedia bahasa Melayu, menjelaskan mat rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan motor kapcai atau skuter.

“Ia merupakan satu gejala sosial remaja di Malaysia sekarang. Minah rempit pula boleh jadi seorang pelumba perempuan, atau teman wanita mat rempit. Walaupun kebanyakan mat rempit sering berlumba, ada juga yang cuma menunggang secara berbahaya. Dianggarkan di Malaysia terdapat 200,000 mat rempit.”

“Betul,” kata seorang ustaz dalam kelas pengajian mingguannya di masjid berhampiran kediaman penulis baru-baru ini, “masalah mat rempit perlu ditangani segera tetapi ia hanya salah satu bahana yang mengundang kemurkaan Allah SWT.”

Menurutnya, negara bukan saja digegarkan masalah mat rempit tetapi pelbagai gejala yang jika dibiarkan akan mengundang bahana daripada Allah SWT. Beliau mengingatkan jika Allah Taala menurunkan bala seperti tsunami di Aceh yang mengorbankan 200,000 penduduknya, semua orang termasuk yang baik-baik akan terbabit.

Kebanyakan mat rempit adalah golongan muda, tetapi bagaimana kes maksiat di kalangan orang tua boleh dibiarkan berleluasa, tanya ustaz. Beliau berkata sekarang ini pusat menjual minuman keras, tempat berjudi dan hiburan berkembang bagaikan cendawan selepas hujan.

Orang muda bermaksiat secara orang muda tetapi ramai juga orang tua yang hampir masuk kubur berfoya-foya, apa ceritanya? Ustaz mendedahkan sekarang ini banyak kelab dan pub dangdut; yang ramai pengunjungnya orang tua.

“Kubur kata mari, dunia kata pergi, tetapi golongan ini asyik dengan dangdut. Buruk benar kalau orang tua buat maksiat ini,” kata ustaz. Beliau berkata kenapa pihak berkuasa asyik sibuk dengan golongan muda tetapi tidak sibuk bertindak ke atas orang tua yang bermaksiat.

Selain berhibur di pub dan kelab dangdut ada orang tua yang gemar minum arak dan main ekor. Sekarang ini mudah betul membeli arak, di kedai serbaneka 24 jam pun ada manakala kedai empat nombor makin banyak. Orang berwajah Melayu, tua dan muda, tidak segan-segan membeli nombor ekor.

Kenapa maksiat semakin banyak? Orang pun tidak malu, malah tidak takut melakukannya. Macam mana maksiat tak berleluasa, kata ustaz, pusat-pusatnya semakin banyak manakala undang-undang pencegahan tidak ada, apatah lagi melaksanakan undang-undang Islam.

Ustaz bertanya kenapa pihak berkuasa begitu sibuk mahu menghukum mat rempit tetapi tidak peduli akan Datuk dan datuk berhati muda yang keluar masuk kelab dangdut, main ekor dan minum arak. Asyik-asyik mahu bertindak ke atas mat rempit, kenapa tidak hukum orang tua ganyut di pub dan kelab dangdut? Katanya, mereka ini perlu diambil tindakan, kalau berjudi dan minum arak hukumlah berdasarkan undang-undang Islam.

Ini tidak, tempat minum arak dan judi makin banyak. Jika dibiarkan apa akan jadi pada masyarakat dan negara? Ustaz bimbang suatu hari nanti negara akan dilanda bala seperti di Aceh. Katanya, marilah diajak orang-orang tua ini bertaubat, kalau tidak mahu; berserah pada Allah, semoga Allah SWT menyelamatkan orang beriman, orang yang tidak mahu terpulanglah kepada Allah. Nasib kaum Nabi Lut dan Nuh sewajarnya menjadi panduan, orang beriman terselamat manakala yang bermaksiat dihancurkan.

Selain itu, apa nak jadi dengan negara ini, tanya ustaz. Rasuah, zina, bunuh, rompak dan aneka jenayah lain menjadi-jadi. Ini menunjukkan negara semakin jauh daripada barakah, punca utamanya hukum-hakam Allah tidak dilaksanakan sebaliknya nafsu menjadi raja.

Sekarang ini bukan mat rempit saja tidak boleh diharap, datuk pun sama. Seorang rakan baru-baru ini memberitahu dia membaca berita seorang bilal masjid merogol seorang budak sekolah berusia lapan. Lelaki tua sekarang ini sudah menepati peribahasa ‘haruan makan anak’. Manusia tua dan muda, semakin tidak terkawal nafsu serakah syaitan mereka.

Ada sepuluh jenis manusia, yang memiliki sepuluh sifat tercela, sangat dibenci oleh Allah SWT, mereka termasuklah orang tua yang cinta harta dan orang tua yang berzina (bermaksiat).

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah membenci orang tua yang suka berzina, orang kaya yang berbuat zalim, orang fakir yang sombong, peminta-minta yang memaksa, dan Allah menghapus pahala orang yang memberi namun mengungkit-ungkit (pemberiannya). Allah juga membenci orang yang suka pamer dengan kekayaannya lagi pendusta!” (Mizan al-Hikmah hadis no. 1757, Bihar al-Anwar 72:145)

Kenapa orang tua semakin banyak berbuat maksiat? Sejajarnya dengan keterangan tadi, kini semakin ramai orang tua cintakan harta dan terbabit dalam perzinaan.

Orang politik, tokoh korporat dan pemimpin masyarakat kerap berbincang dan bercakap mengenai projek, wang dan kuasa. Tidak ada dalam kepala mereka melainkan menjadi lebih kaya, lebih berkuasa dan lebih masyhur. Oleh itu mereka peduli apa tentang halal haram. Pemimpin kini sanggup merampas kuasa, merasuah, hatta membunuh.

Apabila sudah banyak wang dan ada kuasa, ke mana ia hendak dihamburkan kalau tidak ke meja judi, arak dan perempuan. Kalau dalam negara takut orang tahu, lakukannya di luar negara. Kini bertambahlah orang tua yang cinta harta, pangkat dan kuasa yang sekali gus kerap bermaksiat.

Jika mat rempit mahu dipenjara; apakah hukuman tepat untuk si tua ini? Pokoknya janganlah mahu menghukum si mat rempit, hukumlah sama Datuk dan datuk yang bermaksiat di pub, kelab dangdut, meja judi dan todi, tidak kiralah mereka pemimpin, berkuasa, kaya raya atau ternama.

Tuesday, August 18, 2009

Keindahan Pulau Lumut (Indah) kian pudar

Baru-baru ini penulis mengunjungi rumah seorang saudara di Pandamaran, Klang. Dari arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan, penulis memasuki susur keluar ke KLIA dan Ipoh, seterusnya Lebuh Raya Kesas menuju Pulau Indah (nama lamanya Pulau Lumut).

Susah juga mencari rumah saudara di Pandamaran Jaya itu. Sejam penulis berpusing-pusing di Pandamaran, bertanya arah kepada hampir 10 orang. Memeranjatkan kerana hampir semua ditanya orang Indonesia dan Bangladesh. Mungkin benarlah dakwaan sesetengah pihak negara kita kini dipenuhi pendatang asing.

Di lebuh raya melihat papan tanda tertulis Pulau Indah dan Shah Alam (di mana PAS akan mengadakan Muktamar ke-55 pada 5-7 Jun ini), membuatkan penulis senyum sendirian. Kenangan di Pulau Lumut kira-kira 25 tahun lalu, menggamit penulis menukilkan sebuah kisah di sini.

Ketika itu Pulau Lumut sebuah kawasan hutan bakau dengan kampung-kampung Melayu menghiasai landskapnya. Tetapi hari ini, di sinilah terletak pelabuhan hebat bernama Inggeris, Westport. Selain itu, ada zon perindustrian bersepadu bernilai berbilion ringgit dan juga pusat pelancongan terkemuka.

Di sini juga ‘berpusat’ skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang memalukan negara itu. Diberitakan perbelanjaan modal (capital expenditure) Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang asalnya RM2 bilion akhirnya melonjak ke paras melepasi paras RM12 bilion dalam pembangunan PKFZ itu.

Kisah penulis di Pulau Lumut adalah pada 1984, selepas selesai membuat pendaftaran semester baru di UiTM. Bagi mengatasi kebosanan lantaran kelas pengajian belum bermula, penulis bersama seorang rakan ‘kamceng’, Zack, meninggalkan kampus Shah Alam, menuju Pelabuhan Klang dengan sebuah motosikal kapcai.

Selepas puas melepak di pelabuhan, pada petang itu kami menaiki bot penambang ke Pulau Lumut. Penulis teringatkan gambar lama, menunjukkan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (kini Almarhum) berbasikal di Pulau Lumut. Baginda mengayuh basikal di hadapan, diikuti pegawai-pegawainya. Gambar itu sungguh mengasyikan, menggamit penulis berkunjung ke Pulau Lumut.

Jika Sultan berbasikal di Pulau Lumut, tentulah kenderaan besar seperti kereta dan bas tiada di sana, demikian fikir penulis. Oleh itu alangkah seronoknya jika dapat ke Pulau Lumut. Penulis bertambah gembira apabila pemilik bot penambang mengizinkan kapcai dibawa bersama. Perjalanan ke Pulau Lumut mengambil masa setengah jam.

Kami kemudian meronda Pulau Lumut dengan kapcai itu. Memang betul di pulau itu tiada kereta. Laluan yang ada hanya boleh dilalui basikal dan motosikal. Kebanyakan penduduk menggunakan basikal, motosikal jarang kelihatan. Maka dengan bangganya, penulis dan Zack menyanyi, ‘berdondang sayang’ di atas motosikal, menjelajah pulau itu.

Ketika itu musim durian, banyaklah durian dimakan penulis dan Zack. Kaedah ‘makan free’ tidak susah, apabila tiba di tempat pengumpulan durian di dusun, buat-buatlah nak beli, tetapi apabila durian yang hendak dibeli itu sebiji atau dua saja, pemiliknya tidak mahu duit kami, sebaliknya menyedekahkannya.

Sibuk makan, kami tidak sedar hari sudah lewat petang. Kami bergegas ke jeti untuk pulang, malangnya diberitahu tiada perkhidmatan bot penambang selepas jam 6.00 petang.

Kami panik, di mana mahu bermalam di pulau itu. Senja itu, berdasarkan alunan azan, kami tiba di sebuah surau. Selepas solat maghrib, kami pun menuju ke penjuru masjid, mencari tempat untuk ‘landing’. Nampaknya terpaksalah kami bertemankan nyamuk dalam keadaan sejuk dan sepi di surau itu.

Namun sebelum isyak, kami berkenalan dengan seorang lelaki pertengahan usia yang kami panggil pakcik yang sedia menumpangkan kami di rumahnya. Selepas isyak, kami ke sana. Untuk makan malam, kami dihidangkan nasi, beberapa jenis lauk dan tempoyak. Selepas itu, kami dihidangkan buah durian.

Pada malam itu, pakcik itu menunjukkan kami album keluarganya. Dia menunjukkan gambar semua anggota keluarganya, termasuk seorang anak perempuan remaja yang katanya bersekolah asrama di Klang. Kami mengiya dan tersengih, tidak melayan sangat kerana mahu cepat tidur.

Esoknya, pagi-pagi lagi pakcik itu kejutkan kami. Kami mengambil wuduk menggunakan air dari tempayan. Selepas bumi disimbahi cahaya matahari, kami pun pergi mandi. Cara mandinya unik, tidak dapat saya lupakan.

Kami diminta menuruni sebuah tangga dalam sebuah perigi. Apabila kaki dan badan menyentuh air terasa begitu dingin sekali. Tidak sampai seminit kami sudah naik ke tanah, tubuh menggigil kesejukan.

Pagi itu kami bersarapan kuih muih berperisa durian. Kami dihidangkan buah durian lagi. Demikianlah kami makan durian sehingga tidak mampu makan lagi. Apabila pulang, pakcik itu mahu membekalkan kami dengan beberapa biji durian tetapi kami menolaknya dengan baik kerana tahu ia akan membebankan termasuk membawanya ke dalam bot penambang.

Memang, penduduk Pulau Lumut begitu baik hati. Alam semula jadinya indah, tidak banyak terusik. Kebanyakan penduduk berbasikal, itulah agak saya Sultan Salahuddin memilih menunggang basikal ketika melawat pulau ini.

Itu dulu, tetapi apa sudah jadi sekarang? Dengar khabar tidak lama dulu penduduk diberi tanah bakau persisiran pantai di atas nama Koperasi Pulau Lumut. Setelah menjual tanah diberi itu, setiap seorang ahli koperasi atau penduduk Pulau Lumut mendapat RM300-RM500.

Tanah yang dijual diletak pada nilai sangat rendah oleh pembeli yang juga merupakan proksi kepada pemimpin Umno bahagian Kapar. Cerita selanjutnya hanyalah sejarah berulang bagaimana kerja menjual tanah serta kepentingan orang Melayu dilakukan dulu, kini dan selamanya oleh Umno dan kuncu-kuncunya.

Kini Pulau Lumut sudah ‘terlalu maju’ sehinggakan namanya ditukar kepada Pulau Indah. Apa yang indah entahlah, penulis hanya dapat mengenangkan nostalgia manis di pulau bernama Lumut, 25 tahun lalu!

Monday, August 17, 2009

Kenapa media Indonesia marah-marah dengan Malaysia?

Pada Februari 2005, selepas lebih seminggu membuat liputan keadaan mangsa tsunami di Meulaboh dan Banda Aceh, saya ke rakan-rakan kembali ke Medan; bersiap untuk pulang ke tanah air. Ketika menunggu penerbangan, kami berkunjung ke beberapa pusat membeli-belah. Sungguh terasa hebat kerana kebanyakan jurujual berpendapat kami kaya raya belaka, ringkasnya orang Malaysia hidup penuh kemewahan.

Seorang jurujual bersungguh-sungguh meminta saya membeli alat senaman peribadi; katanya, harga barangan sebanyak dua juta rupiah itu tidak ada apa-apa bagi orang Malaysia yang kaya seperti saya. Memanglah dua juta rupiah itu hanya kira-kira RM600; tetapi saya bukan orang kaya yang boleh membuat pembelian sesuka hati.

Demikianlah saya membuat andaian, orang Indonesia menganggap orang Malaysia kaya; sama seperti orang Malaysia mengandaikan orang Brunei kaya raya belaka. Orang Malaysia juga mengadaikan orang Kuwait dan Arab Saudi hidup dalam timbunan wang.

Hakikatnya tidak begitu. Di mana saja ada orang kaya dan orang miskin. Ketika menunaikan haji pada 2005 dulu, di Makkah saya perhatikan ramai orang Indonesia menginap di hotel lima bintang seperti Hilton, beraya sakan membeli gelang dan rantai emas dan makan-makan di restoran mewah termasuk KFC.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis, tanggapan orang Malaysia kaya dan berstatus tinggilah yang penyebab orang Indonesia, khususnya koran (akhbar) di negara itu cemburu, sekali gus cepat melenting jika tercetus isu membabitkan kedua-dua negara.

Saya masih ingat bagaimana pada tahun-tahun 70-an dan 80-an (semasa saya remaja), dalam kebanyakan bidang orang Malaysia berkiblatkan Indonesia tetapi kini tidak lagi.

Ada perkara berkaitan Indonesia membabitkan diri penulis. Misalnya ketika itu penulis asyik dengan filem-filem Indonesia yang hangat di pasaran dengan aktor dan artisnya seperti Roy Marten, Lenny Marlina, Christine Hakim dan Yenny Rachman. Penyanyi seperti Emilia Contessa dan Brorey Marantika juga mendapat tempat.

Penulis-penulis Indonesia juga disanjungi. Penulis agama seperti Hamka disegani manakala karya Pramodeya Ananta Toer, Keluarga Gerilya dijadikan buku teks Kesusasteraan Melayu Tingkatan Enam.

Sirnanya kekaguman rakyat Malaysia kepada Indonesia dapat difahami berdasarkan apa yang diungkapkan oleh editorial sebuah akhbar Indonesia tidak lama dulu: “Malaysia semakin memperlihatkan keangkuhannya. Negara yang pernah ‘berguru’ kepada Indonesia itu, sekarang menginjak-injak kedaulatan bangsa ini.” (Akhbar ini merujuk kepada isu Ambalat, kepulauan di luar Sabah-Kalimantan yang menjadi perselisihan Malaysia-Indonesia).

Betulkah dulunya Malaysia murid, Indonesia guru seperti diungkapkan akhbar itu? Ataupun dalam bahasa yang lembut, dalam hubungan ‘abang-adik’ Indonesia-Malaysia; dulunya Malaysia adalah adik manakala Indonesia abang; tetapi apakah perubahan status sekarang ini menyebabkan media Indonesia cepat terasa dan melenting apabila timbul isu berkaitan kedua-dua negara?

Hakikatnya orang dan pemerintah Indonesia sudah acap kali berkecil hati dengan banyak perkembangan membabitkan rakyat mereka di Malaysia. Daripada isu pembantu rumah didera kepada pekerja yang tidak dibayar gaji, pendatang haram yang dihalau balik dan terkini kes model Manohara Odelia Pinot yang mendakwa didera suaminya seorang putera raja Kelantan, semuanya memperlihatkan seolah-olah orang Malaysia berlaku zalim kepada mereka.

Oleh itu apabila tercetusnya isu membabitkan kedua-dua negara, media massa Indonesia cepat melenting, menaikkan semangat rakyat sedangkan isu yang sengaja dijadikan panas di Indonesia itu ditangani dengan tenang di Malaysia.

Sebagai contoh isu pertindihan tuntutan ke atas Ambabat dijadikan permasalahan nasional oleh media Indonesia; rakyat diapi-apikan untuk bertindak ke atas Malaysia sehingga ada yang melancarkan kempen ‘ganyang’ Malaysia. Malah dalam perkembangan terbaru, Manohara dan ibunya dilaporkan turut serta dalam kempen Lasykar Merah ‘mengganyang’ Malaysia.

Dalam hal ini, sikap sederhana dan bersabar pemerintah Indonesia dipuji kerana walaupun isu Ambalat ini yang sudah bertahun-tahun diapi-apikan oleh media massa Indonesia, mereka masih bersedia mencari jalan damai dengan berunding dengan pemimpin tertinggi Malaysia termasuk panglima angkatan tentera selain ketua kerajaan kedua-dua negara.

Bayangkan bagaimana panasnya isu Ambalat ini tidak lama dulu apabila sesetengah akhbar Indonesia, membuat laporan dan editorial mencemaskan dengan tajuk seperti ‘DPR desak pemerintah tembak kapal Malaysia’, ‘Meninjau kesiapan persenjataan’, ‘Pesawat F-16 disiagakan untuk Ambalat’, ‘Empat F-16 RI ke perbatasan’, ‘Malaysia tembak nelayan kita’ dan ‘DPI setuju perang: RI kerahkan F-16’.

‘DPI setuju perang?’ – bunyinya sungguh menakutkan; tidak dapat dibayangkan jika terjadi perang Malaysia-Indonesia. Namun, satu perkembangan melegakan, walaupun media Indonesia mengapi-apikan keadaan, hubungan rakyat Malaysia-Indonesia sebenarnya amat erat, bertepatan dengan ungkapan abang-adik yang masyhur itu.

Persoalannya, siapa abang dan siapa adik? Dulu mungkin Malaysia adik, Indonesia abang atau seperti yang diungkapan oleh koran Indonesia yang disebut sebelum ini, ‘Malaysia berguru dengan Indonesia’ (ertinya Malaysia murid, Indonesia guru), tetapi bagaimana status hari ini?

Bagi penulis status atau kedudukan itu tidak penting; apa yang nyata Malaysia dan Indonesia saling perlu memerlukan. Kedua-duanya berkongsi banyak perkara; malah suatu ketika dulu kedua-dua wilayah Malaysia dan Indonesia berada dalam pemerintahan yang sama seperti ketika kemuncak kuasa Empayar Sriwijaya, Melaka, Johor-Riau dan Aceh yang berkuasa di kedua-dua belah Selat Melaka, sebelum dipecah dan perintah oleh penjajah Inggeris dan Belanda.

Friday, August 14, 2009

Jadikan gerakan Islam sandaran ummah sedunia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Akhir-akhir ini kezaliman ke atas umat Islam semakin menjadi-jadi; terbaru sejumlah jemaah solat isyak Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan, Sungai Golok, selatan Thailand ditembak mati dengan kejam.

Berhubung perkembangan ini, kita menyambut baik desakan PAS melalui Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mahu tindakan keras diambil ke atas pihak yang melakukan keganasan tersebut.

Presiden PAS itu juga berkata pihaknya bersedia berperanan penting bagi menyelesaikan konflik selatan Thailand jika mendapat jemputan.

Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen mengakhiri konflik berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.

Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di selatan Thailand bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.

Pada ketika Presiden PAS membuat tawaran berperanan dalam konflik selatan Thailand, kita tertanya-tanya akan sikap membisu negara dan umat Islam dan organisasi yang memayungi mereka iaitu Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Organisasi yang ditubuhkan pada 1969 dengan keanggotaan lebih 45 negara kini, semakin sirna peranannya; malah tidak langsung bersuara dalam isu membabitkan ummah akhir-akhir ini seperti permasalahan Palestin, pelarian Lembah Swat (Pakistan), kekejaman rejim Yangon ke atas Muslim Rohingya dan nasib umat Islam golongan minoriti seperti di selatan Thailand dan Filipina.

Mengapakah OIC semakin lemah peranannya pada ketika umat Islam memerlukan kehadirannya? Jika dulu terdengar juga suara OIC dalam isu umat Islam di Bosnia-Herzegovina dan Palestin malah selatan Filipina tetapi kini ia benar-benar menyepikan diri.

Nampaknya OIC semakin tidak relevan; mungkinkah sudah sampai masanya untuk ummah memikirkan pendekatan alternatif agar umat Islam tidak berterusan diinjak-injak bukan saja di negara bukan Islam tetapi juga di negara Islam.

Sehubungan itu kita berpendapat usaha mesti dilakukan oleh pergerakan Islam seluruh dunia seperti Ikhwan Muslimin, Jemaat Islami dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi mendepani masalah ummah ini kerana kerajaan-kerajaan ummah hari ini dan OIC tidak berkesan dalam menangani permasalahan ummah sejagat.

Berkaitan perkara ini, kita menyambut baik usaha memantapkan pergerakan Islam termasuk dalam bidang ekonomi seperti penganjuran Kongres Antarabangsa Komuniti Muslim ke-18 di Istanbul, Turki anjuran Ekonomik ve Sosyal Arastirmalar Merkezi yang dihadiri sendiri oleh Tuan Guru Abdul Hadi yang diberi peluang berucap.

Kita berharap melalui usaha-usaha ini pergerakan Islam sedunia dapat dimantapkan, seterusnya mengambil peranan besar dalam memastikan kesejahteraan ummah selepas kerajaan-kerajaan umat Islam dan OIC gagal bertindak dengan berkesan.

Kita percaya ini dapat dilakukan, lebih-lebih Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dalam ucapan bersejarahnya di Universiti Kaherah baru-baru ini, menunjukkan keazaman membaiki hubungan Washington-dunia Islam termasuk pergerakan Islam.

Kita percaya pergerakan Islam akan mempunyai tempat dan peranan besar dalam memastikan keamanan global selepas ini. Namun demikian, kita berharap ia tetap berhati-hati kerana sejarah dan perkembangan semasa menunjukkan banyak pergerakan Islam dikhianati.

Misalnya pada ketika Amerika menghulur ‘ranting zaitun’ pada masa yang sama sekutunya seperti Pakistan membedil habisan-habisan pejuang Taliban di barat laut negara itu yang menyebabkan kebanjiran 1.5 juta pelarian di Lembah Swat.

Dalam perang menghancurkan Taliban yang didakwa mahu melaksanakan undang-undang Islam yang keras di wilayah dikuasai mereka, Amerika diberitakan begitu bermurah hati menyediakan peruntukan AS$100 juta bagi membendung masalah pelarian. Tidakkah ada udang di sebalik batu di atas kebaikannya itu?

Thursday, August 13, 2009

PPSMI: Usah harap Umno-BN minta maaf

Akhirnya pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dikembalikan ke dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan. Meskipun tempohnya agak lama lagi (2012); pengembalian status itu membuktikan pemerintah Umno-BN gagal sekali lagi dalam projek-projek raksasanya yang menelan kos berbilion-bilion ringgit.

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) anjuran kerajaan BN yang diterajui pemimpin Umno gagal sekalipun mereka tidak mengakuinya. Tetapi seperti biasa selepas melakukan kesilapan yang merugikan rakyat secara besar-besaran, tidak terkutik pun pemimpin mereka untuk meminta maaf kepada rakyat, mereka buat ‘donno’ saja, seolah-olah tiada langsung kesalahan kepada rakyat.

Demikian juga projek-projek hebat lain sebelum ini seperti Islam Hadhari, Jambatan Bengkok dan koridor sana koridor sini, mereka telah gagal tetapi seperti biasa tiada permintaan maaf dibuat kepada rakyat.

Islam Hadhari yang dipandang hebat sikit masa dulu; dicanang ke sana sini, tetapi apa sudah jadi; tiada siapa bercakap mengenainya lagi. Apabila berakhirnya kuasa pelopor Islam Hadhari ini, ia pun tenggelam ditelan zaman, tetapi tiada pihak yang bertanya berapa banyak masa, tenaga selain wang ringgit telah dihamburkan kepada projek yang kini senyap sepi saja.

Kini Satu (1) Malaysia pula dicanangkan; banyak masa dan tenaga serta wang akan dilaburkan, tetapi bagaimana pencapaiannya nanti tiada siapa yang tahu. Mungkinkah nasibnya akan sama seperti Islam Hadhari, apabila pelopornya tiada lagi berkuasa maka sirnalah gagasan muluk mereka.

Dalam isu PPSMI, kegopohan pemimpin Umno-BN dalam melaksankannya telah menyebabkan pelbagai pihak menanggung derita; masa depan pelajar (generasi muda) diperjudikan; ada yang gagal disebabkan kekangan bahasa, guru-guru merana manakala pejuang bahasa sakit jiwa; tetapi apakah pemimpin Umno-BN berlapang dada untuk meminta maaf kepada rakyat?

Jawapannya tidak sama sekali, mereka tidak akan berbuat begitu. Bukanlah taraf dan kedudukan pemimpin BN terutama Umno untuk meminta maaf, hatta untuk mengaku kesilapan pun mereka enggan melalukannya; mereka hanya berkata PPSMI tidak mencapai matlamat, bukannya gagal.

Sebagai pihak yang mengasari rakyat dengan penggunaan FRU ketika bantahan 100,000 rakyat terhadap PPSMI pada 7 Mac lalu, pemimpin Umno-BN tidak tersentuh langsung akan rakyat diasapi dengan gas pemedih mata dan dikejar bagaikan anjing di negara sendiri. Rakyat inilah pejuang, tetapi apakah pemimpin Umno yang bersidang dalam bilik eksklusif ada hati untuk meminta maaf. Oh, rasanya tidak sama sekali.

Itulah dia wajah Umno-BN yang sebenarnya. Selepas memerintah secara tunggal sejak negara merdeka lebih 50 tahun lalu, mereka terus mendabik dada sebagai pihak paling betul hakikatnya dalam dunia yang cepat berubah sekarang ini, sikap ego ini akan menyegerakan penalkinan Umno-BN.

Kini apabila tersepit, apabila tidak lagi disokong rakyat, mereka ubah pendirian, memansuhkan PPSMI yang dulunya mereka paksakan ke atas rakyat bagaikan diktator, tiada perundingan, tidak bertanya khabar apakah mampu anak-anak desa mengikutinya.

Kini mereka menyedapkan cerita, pemansuhan ini tidak ada kaitan langsung kemerosotan sokongan rakyat kepada mereka. Ini dilakukan semata-mata bagi menjamin masa depan anak bangsa. Waduh senangnya mereka berkata begitu; jika memikirkan nasib anak bangsa kenapa tidak melakukannya sebelum pelaksanaannya pada tahun 2003 dulu? Kini selepas anak bangsa hanyut masuk longkang barulah dikatakan langkah ini demi untuk masa depan mereka.

Jika sekarang ini baru difikir untuk anak bangsa, yang dibuat dulu itu untuk apa? Demikianlah wajah sebenar pemimpin Umno-BN, tidak akan sekali-kali mengaku salah apatah lagi meminta maaf kepada rakyat.

Budak-budak tingkatan satu sekarang ini adalah perintis kepada projek pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Ketika mahu dimulakan dulu, pemimpin politik bukan main heboh lagi bahawa teknologi terkini seperti komputer riba dan LCD akan digunakan. Jadi apa khabar anak-anak ini, apakah mereka sekarang ini sudah pandai Sains dan Matematik dan ‘speaking’?

Hasil pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tentulah telah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid-murid, dalam kes ini anak-anak luar bandar, seperti diberitahu pemimpin negara. Agak-agaknya budak-budak kampung pedalaman sekarang ini ramai agaknya sudah hebat berbahasa Inggeris?

Hakikatnya berdasarkan pendedahan seorang pemimpin kerajaan tidak lama dulu - 120,000 murid sekolah rendah tidak tahu membaca dan menulis! Mereka merangkumi pelajar atau 2.2 peratus daripada 3.1 juta pelajar yang didapati didapati tidak tahu membaca dan menulis.

Berdasarkan kajian yang sama dibuat oleh Kementerian Pelajaran tidak lama dulu, turut didapati seramai 42,000 atau 0.8 peratus daripada 2.2 juta pelajar sekolah menengah juga tidak tahu membaca dan menulis.

Apabila begitu ramai pelajar tidak tahu membaca dan menulis, tentulah mereka tidak tahu langsung bahasa Inggeris. Dan sudah tentu mereka tidak tahu Sains dan Matematik. Jadi apa sebenarnya sudah berlaku dalam dunia pendidikan kita? Tetapi apakah dengan kegagalan ini pemimpin Umno-BN sedia meminta maaf kepada rakyat. Jawapannya tidak, jauh panggang daripada api!

Tuesday, August 11, 2009

Petunjuk di Mina, kesengsaraan di Xinjiang

Ibadah haji memerlukan pengorbanan dan kesabaran tinggi. Misalnya ketika berada di dalam khemah di Mina selama tiga hari tiga malam, ribuan jemaah terpaksa berkongsi tandas dan bilik air. Pada hampir setiap masa (kecuali dinihari), ada barisan panjang jemaah menunggu giliran; jadi berlakulah pelbagai kejadian, ada melucu dan ada menyakitkan hati. Hanya sabar dapat menenangkan diri.

Ada jemaah berlakon menunjukkan dia sudah tidak tahan lagi, lalu terus berlari ke depan, mempamerkan muka ‘seposen’, ada pura-pura bersembang dan kemudian masuk barisan, dan apa pula mengambil masa terlalu lama dalam tandas sehingga mereka di luar menjerit dan menggoncang pintu tandas.

Semasa beratur, menunggu giliran memasuki tandas di Mina ketika saya menunaikan haji pada 1426 Hijrah (2005) saya perhatian, beberapa jemaah lelaki dari negara China menyelusup menyertai barisan. Khemah dan tandas di situ adalah untuk kegunaan jemaah Tabung Haji Malaysia, tetapi saya berpendapat tidak salah membenarkan jemaah China yang sudah terdesak menggunakannya.

Bagaimanapun nasib malang menimpa jemaah itu apabila ada jemaah Malaysia yang berbaris panjang, menjerit-jerit, meminta mereka meninggalkan tempat itu. Jemaah China mengangkat tangan, tanda memohon izin tetapi jemaah Malaysia tidak mempedulikannya, mereka mendesak jemaah China beredar.

Maka terpaksalah mereka pergi, saya berasa kasihan kepada mereka yang tidak mendapat simpati langsung sesama jemaah. Memang secara zahirnya jemaah haji China dilihat agak daif di Makkah; pemergian mereka ke Tanah Suci dengar khabarnya terpaksa melalui proses amat ketat; daripada kira-kira 50 juta umat Islam di sana hanya segelintir berupaya menunaikan rukun Islam kelima.

Di Tanah Suci, penulis berpeluang berinteraksi dengan sejumlah jemaah China, tetapi tiada apa dapat dibualkan. Seorang cakap bahasa itik, seorang bahasa ayam. Apa yang mampu saya ucapkan: “China? Good, Good,” sambil menunjukkan isyarat jari tanda bagus sambil menepuk-nepuk bahunya.

Si jemaah China mengangguk-angguk kepala sambil tangannya dirapatkan ke dada. Saya perhatian kebanyakan jemaah dari China tua-tua belaka, tidak pernah saya ketemui yang muda, manalah tahu golongan muda ini dapat berbahasa Inggeris, bolehlah saya bertanya khabar.

Kini Muslim China, khususnya orang Uighur yang mendiami Xinjiang dilaporkan ditekan pemerintah. Orang Uighur dikatakan mempunyai persamaan keturunan dengan orang Afghan, tetapi ada juga yang menyatakan mereka berketurunan Turki dan itulah sebabnya sesetengah pihak mendakwa mereka berjuang bagi mewujudkan sebuah negara merdeka bernama Turkestan Timur.

Penulis yang pada tahun 1992 dulu berpeluang ke beberapa negara bekas republik Soviet Union di Asia Tengah yang bersempadanan atau berhampiran dengan China iaitu Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan dan Turmenistan; menyedari bahawa penduduk rantau ini condong kepada Turki dan ada mendakwa mereka berketurunan Turki.

Rantau Asia Tengah di mana terletak Laluan Sutera menyaksikan penduduknya memeluk Islam sejak ekspedisi Saad Ibnu Waqas ke negara China pada abad ke-7. Orang Turkmen, Kyrgyz, Uzbek, Kazakh, Tajik dan Uighur, Tatar adalah penganut Islam yang taat di rantau Asia Tengah yang menyaksikan kuasa besar silih berganti sehinggalah wilayah itu dikuasai gergasi dunia Soviet Union dan China.

Soviet meletakkan orang Islam Turkmen, Kyrgyz dan sebagainya di bawah kekuasaannya manakala orang Uighur tertakluk di bawah China melalui Parti Komunis pimpinan Mao Zedong pada 1949. Komunis China berusaha mengasingkan umat Islam berdasarkan latar belakang etnik dan bukan agama, menyebabkan orang Islam begitu tertekan termasuk tidak dapat mengamalkan ajarannya seperti solat, apatah lagi haji.

Sepanjang Revolusi Budaya, identiti umat Islam semakin terhakis berikutan serangan bertalu-talu kerajaan komunis China. Sama seperti di bawah kuasa Soviet Union yang menekan Muslim Kazakh, Tatar, Uzbek dan sebagainya, pemerintah China bertindak serupa. Di Soviet Union, republik yang bermajoritikan orang Islam seperti di Uzbekistan, masjid ditutup atau dijadikan setor; demikian juga halnya di republik yang bermajoritikan orang Islam di China seperti Xinjiang.

Berdasarkan satu statistik lama (1936), jumlah penduduk Islam di China dinyatakan hampir 50 juta tetapi kerajaan komunis China kemudian menyatakan jumlahnya antara 10-20 juta orang. Persoalannya, mana pergi 30-40 juta penduduk Muslim itu? Perkara yang amat memeranjatkan ini tidak pernah dijelaskan oleh kerajaan komunis China dan Kuomintang.

Orang Islam China menghadapi tekanan demi tekanan seperti orang Islam minoriti di negara bukan Islam lain seperti Myanmar (Burma), selatan Thailand, selatan Filipina, Kashmir (India), tetapi apakah yang telah dilakukan oleh saudara seagama terutama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang memayungi mereka?

OIC dari sehari ke sehari semakin lemah, dan dalam kes terbaru di Xinjiang, tiada langsung kenyataan dikeluarkan oleh pertubuhan 47 negara Islam ini. Dulu semasa krisis di Bosnia (1992-1995) ada dikeluarkan kenyataan menyelar; tetapi kini sepi tanpa sebarang berita.

Dulu pada persidangan kemuncak OIC dan juga mesyuarat tergempar, ada dibincangkan krisis Palestin, Kashmir dan selatan Filipina; tetapi hari ini apabila umat Islam dizalimi di selatan Thailand, di selatan Filipina, di Myanmar dan di Xinjiang (China), OIC membisu manakala umat Islam keseluruhannya masih dalam mimpi.

Sama seperti apa yang penulis saksikan di Mina di mana jemaah dari China dihalau; demikianlah yang berlaku kepada umat Islam seluruh dunia hari ini. Derita umat Islam China, Myanmar (kaum Rohingya), Chechnya, Kashmir dan sebagainya bukan masalah mereka, jadi untuk apa mereka mengambil tahu, apatah lagi melakukan sesuatu. Itulah nasib ummah hari, masing-masing membawa hal sendiri, menepati peribahasa bagai enau melepaskan pucuk masing-masing!

Monday, August 10, 2009

Kenapa negara kaya, rakyat susah?

Sempena ulang tahun pertama debat Anwar Ibrahim-Ahmad Shabery Cheek pada 15 Ogos tahun lalu dan ketika berlaku kekecohan isu royalti minyak yang dituntut kerajaan dan rakyat Kelantan, kita rujuk kepada artikel ini.

Sungguh menghairankan mengapa secara tiba-tiba Petronas mendedahkan sumbangannya kepada perbendaharaan kerajaan persekutuan pada tahun ini (2008) berjumlah RM62.8 bilion.

Presidennya, Mohd Hassan Marican berkata bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, lalu, keuntungan pracukai Kumpulan Petronas meningkat kepada RM95.5 bilion, naik 25.2 peratus daripada RM76.3 bilion sebelum ini, manakala keuntungan bersih meningkat kepada RM61 bilion atau 31.5 peratus daripada RM46.4 bilion.

Kata beliau lagi, perolehan melonjak kepada RM223.1 bilion, meningkat 21.2 peratus daripada RM184.1 bilion dalam 2007, pada ketika suasana industri minyak dan gas yang semakin mencabar.

Apa yang hendak ditegaskan di sini, sumbangan Petronas kepada kerajaan sebanyak RM62.8 bilion itu, di mana dan ke mana digunakan. Bagi rakyat biasa, tidak berfaedah untuk mereka mendengar Petronas menyumbang atau untung berbilion ringgit sedangkan kehidupan mereka macam itu, macam itu juga atau lebih teruk lagi akibat kenaikan harga minyak dan barangan makanan keperluan.

Mohd Hassan berkata pecahan pembayaran kepada kerajaan persekutuan, royalti berjumlah RM4.7 bilion, dividen RM30 bilion, cukai pendapatan petroleum RM20.6 bilion, cukai pendapatan korporat RM5.4 bilion dan duti eksport, RM2.1 bilion.

Duit yang diperolehi kerajaan adalah banyak, tetapi adakah ia barakah, dapat dinikmati semua rakyat? Jika kerajaan dapat diibaratkan sebuah rumah tangga, orang tua-tua berpesan, biar gaji atau pendapatan kecil tetapi hidup penuh keberkatan (barakah). Keluarga yang ketuanya bergaji kecil tetapi hidup barakah, hidupnya sentiasa mencukupi, tidak mengeluh-ngeluh malah dapat membantu orang lain pula.

Berlainan pula orang yang bergaji besar tetapi hidupnya tiada barakah. Hidupnya penuh keluh-kesah, baru setengah bulan gajinya sudah habis, untuk meneruskan penghidupan, dia berhutang di sana sini. Hidupnya tiada barakah, mungkin disebabkan pendapatannya daripada sumber haram atau syubahat.

Orang yang hidupnya mempunyai keberkatan akan membelanjakan pendapatannya di jalan yang diredai Allah. Setiap sen yang dititipkan akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Jarang benar kita menyoroti erti barakah membabitkan kelompok lebih besar seperti masyarakat dan negara.

Jika negara kita mempunyai pendapatan berbilion-bilion dolar, ertinya negara kita adalah negara kaya sama seperti sebuah keluarga yang kaya (demikian kita dihebohkan melalui keuntungan Petronas dan sebagainya), pembaca boleh membuat penilaian sama ada negara kita ini penuh keberkatan atau tidak.

Sama seperti sebuah keluarga yang hidup penuh keberkatan jika ahlinya dapat hidup dalam keadaan mencukupi (tidak berhutang ke sana sini), adakah negara kita juga dapat hidup dalam keadaan yang serba mencukupi? Kenapa pula negara kita sibuk berhutang ke sana ke sini?

Jika sebuah keluarga dikatakan hidup penuh keberkatan jika ia dapat memuaskan hati semua anggotanya dari segi pemberian nafkah dan keperluan hidup, adakah negara dapat memuaskan majoriti rakyat dari segi nilai penghidupan mereka?

Mengapa akhir-akhir ini rakyat semakin keras keluhan mereka, barangan keperluan semakin meningkat, harga minyak naik mendadak, dan kadar tol turut meningkat.
Sebuah keluarga yang barakah tidak akan sesekali menindas ahlinya malah ia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada orang lain pula. Sesebuah keluarga yang hidup barakah juga tidak akan membazirkan wang dengan sia-sia sebaliknya tahu kewajipannya untuk membayar zakat, cukai, segala macam bil dan sebagainya.

Jika demikian ukurannya, mengapa pula negara membazirkan wang rakyat dengan pelbagai macam pesta, membakar bunga api bernilai jutaan ringgit, mengadakan jamuan di sana, jamuan di sini sedangkan orang yang hadir itu sebenarnya tidak lapar dan bukannya miskin pula!

Jamuan dan pesta hari ulang tahun kelahiran VIP adalah tidak perlu, orang yang diraikan sudah cukup makan, yang tidak cukup makan ialah rakyat-rakyat miskin, anak-anak petani, nelayan dan anak-anak mangsa tahanan ISA nun jauh di ceruk kampung di pedalaman.

Ada pula pesta peragaan pakaian dan tarian yang sudah tentu wang kosnya diambil daripada khazanah negara yang membabitkan wang si petani, nelayan, pekedai, penoreh getah, pekebun kelapa sawit dan sebagainya yang membayar cukai tanah dan pelbagai lesen.

Sebenarnya rakyat miskin bukan lapar untuk makan di Jamuan Hari Raya, Deepavali atau Krismas Kebangsaan tetapi mereka mengeluh dan terpaksa mengerah tenaga dan menyabung nyawa di laut untuk menyekolahkan anak, membesarkan mereka agar menjadi 'orang' pada masa akan datang.

Jika dalam sesebuah keluarga, pada zahirnya keluarga yang tiada keberkatan ialah yang porak-peranda, anak tidak mendengar cakap ibu bapa, isteri dan suami selalu bertekak, anak isteri terbabit dengan maksiat, pendeknya keluarga ini tidak mengendahkan perintah Allah SWT.

Berdasarkan gejala keruntuhan akhlak yang semakin teruk di kalangan masyarakat sekarang ini manakala jenayah seperti bunuh, rogol, ragut dan rasuah semakin berleluasa, di mana sebenar kedudukan negara kita, penuh keberkatan atau maksiat?

Ini belum diambil kira kedudukan negeri-negeri yang dilaporkan muflis sana, muflis sini. Oleh itu, marilah sama-sama kita jawab persoalan ini dengan jujur dan kemudian bertindak segera untuk membetulkan keadaan.

Thursday, August 6, 2009

Kecewa kerana rugi pada hari demo: Ingatlah untung, rugi di tangan Allah SWT

Sekarang ini sesetengah pihak mengheboh dan mengulang-ulang kisah peniaga rugi akibat tunjuk perasaan aman di ibu kota 1 Ogos lalu. Kita menumpang sedih dan bersimpati kepada mereka yang menanggung kerugian.

Tetapi janganlah terlalu bersedih hati dan terbawa-bawa perasaan kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya. Insya-Allah, Allah SWT akan menggantikan yang hilang itu dengan kadar tidak ditentukan-Nya jika kita reda. Apabila reda, di dunia kita akan diganjari, apatah lagi di akhirat.

Bukankah Nabi kita yang kita kasihi ada mengingatkan, jika kita menanam pokok, jika buahnya di makan burung atau binatang lain, kita akan dapat ganjarannya. Demikian juga, jika ada orang berteduh di bawahnya kita akan mendapat ganjaran besar.

Aplikasikanlah hadis ini dalam kehidupan. Alangkah besarnya keuntungan peniaga, jika orang dikasari masa tunjuk perasaan hari itu, kita santuni dengan memberi minum atau sekurang-kurangnya menyedekahkan air untuk mereka membasuh muka. Tak apalah kita rugi sedikit di dunia asalkan untung besar di akhirat.

Marilah kita fikir dan renung akan nasib orang lain. Jangan terlalu taksub kepada diri sendiri, termasuk memikirkan untung dan untung semata-mata. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. ada mengingatkan bukanlah daripada kalangan umatnya, orang yang kenyang gendut sedangkan jirannya kebuluran tidak makan. Nabi sudah memberi amaran, jadi janganlah kita buat-buat lupa.

Ada di kalangan peniaga sudah untung sepanjang tahun. Jadi apabila diuji dengan satu hari rugi, janganlah terlalu mengikut perasaan untuk bising-bising. Fikirkan sama mangsa ISA, dirinya sendiri dan keluarganya. Selama mereka dalam tahanan (kini ada sehingga tujuh tahun) apakah ada kita fikirkan siapa yang beri anak isteri mereka makan? Apakah kita pernah berfikir ketika kita kekenyangan, apakah mereka dan anak-anak mereka dapat makan? Pernahkah kita ambil tahu akan nasib mereka?

Sesungguhnya manusia tidak ada daya upaya. Urusan memberi makan dan minum itu adalah Allah SWT. Jika Allah SWT menginginkan seekor ulat dalam batu hidup, ulat itu akan hidup juga. Sedarlah rezeki, jodoh, maut, untung dan rugi itu semua dalam ketentuan-Nya. Manusia hanya merancang, Allah SWT tentukan.

Fikir-fikirkanlah jika kamu kata kamu akan untung besar jika tiada demo, esoknya Allah Taala hendak rugikan kamu apa kamu nak buat? Jika Allah Taala datangkan bala seperti banjir, apa akan jadi kepada kamu? Tak ingatkah kamu bahawa kamu juga pernah rugi besar ketika banjir landa KL tidak lama dulu?

Sekarang ini Allah Taala sudah datangkan bala jerebu dan selesema babi. Tidakkah kamu nampak dan sedar? Kalau Allah mahu musnahkan segala harta kamu apa kamu hendak kata? Tak nampakkah kamu banyak institusi sudah tutup gara-gara selesema babi? Sekolah tutup, universiti tutup dan ada premis niaga juga sudah ditutup?

Kenapa kamu tidak hitung kerugian akan penutupan ini? Tidakkah berjuta malah berbilion ringgit sudah habis? Kenapa tiada pemimpin yang mahu menaksir kerugian ini? Kamu mahu tuntut kepada siapa akibat kerugian ini?

Demikianlah manusia dalam kehidupan ini amat lemah. Semuanya bergantung kepada qada dan qadar Allah SWT. Hari ini rugi, esok untung. Hari ini untung esok rugi. Tetapi biarlah kita rugi di dunia asalkan kita tidak rugi di akhirat.

Demikianlah reda amat penting. Ambil contoh HUJAN untuk dijadikan iktibar. Ada orang tidak suka hujan sebab sukar pergi kerja. Ada orang bimbang tak dapat keluar menoreh getah. Tetapi ada orang suka hujan. Petani suka hujan, pokok padinya dapat air. Makhluk lain seperti ikan dan katak suka, sebab sudah lama tidak hujan, air parit pun hampir kering.

Masa tunjuk perasaan aman 1 Ogos lalu, ada orang untung ada orang rugi. Sesetengah peniaga dakwa rugi, peniaga lain seperti tauke kedai makan antaranya Restoran Yusuf berhampiran Pasar Seni itu ketawa berdekah-dekah. Masakan tidak dia untung besar. Restorannya mengalahkan majlis kahwin pada hari itu.

Demikianlah rugi dan untung kerja Tuhan, bukan kerja manusia. Kalau tidak ada tunjuk perasaan pun, Allah SWT sudah tetapkan awak nak rugi, awak akan rugi juga.

Kisah ini diharapkan dapat menginsafkan, saya dan pembaca juga. Hampir setiap hari penulis melalui bahagian depan sebuah kedai keranda ketika menuju ke sebuah restoran, tetapi tidak ambil peduli kegiatan di situ kecuali melihat-lihat peti keranda daripada kayu jenis baik dan mahal.

Suatu hari penulis memberanikan diri, bertanyakan harga peti keranda yang pada fikiran penulis dijual. “Tidak, kami tidak menjualnya,” kata salah seorang pekerja di situ, mengejutkan penulis.

“Kami sebenarnya menawarkan pakej pengkebumian,” katanya, matanya mengawasi penulis penuh curiga kerana masakan seorang ‘pak aji’ mahu membeli keranda yang jelas bukan untuk orang Islam. Walau bagaimanapun, dia mempersilakan penulis duduk, sambil dia dan kawannya meneruskan sejenis permainan seolah-olah ‘scrabble’.

“Boleh awak beritahu saya kos satu pakej pengkebumian?” tanya penulis. Lelaki itu teragak-agak untuk menjawab, tetapi kemudian memandang seorang kawannya dan lama kemudian berkata: “Tengok juga, awak mahu yang macam mana; dalam negeri ke atau luar negeri. Kemudian urusan macam mana; bakar atau apa, yang mati itu agama apa?”

Penulis membuat cerita kononnya mahu bertanyakan harga itu bagi pihak seorang rakan bukan Islam. Akhirnya dia berkata; “Yang murahnya antara RM2,000 hingga RM5,000. Pakej yang ada kelas ada berharga RM10,000; RM20,000; RM30,000 dan RM50,000!”

Sekalipun kakitangan dalam kedai itu kurang mesra, penulis terus bertanya, dalam sehari mereka boleh dapat berapa pelanggan. Mereka tidak menjawab; penulis menukar soalan kepada beberapa kematian mereka kendalikan dalam sebulan. Seorang lelaki menjawab: “Lebih kurang 80 kematian.”

Kalau ada 80 kematian, katakan semuanya ambil pakej RM5,000; wang diperolehi sudah RM400,000 sebulan. Jumlah wang ini begitu besar, untung ‘lebat’ nampaknya bisnes mengendalikan urusan orang mati, demikian fikir penulis.

Demikianlah, apabila berlaku sesuatu kematian bukan semua orang sedih; ada mendapat manfaatnya; mereka termasuklah golongan mendakwa profesional yang menjadikan kematian seseorang untuk mengaut untung.

Penulis sengaja merujuk kepada kedai pengurusan mayat itu bagi membandingkannya dengan pihak yang menjadikan kematian Raja Pop, Michael Jackson sebagai satu bisnes yang meraih keuntungan lumayan.

Sejak kematiannya pada 25 Jun lalu, Michael Jackson menjadi bahan carian tertinggi di internet. Tempoh waktu panjang daripada kematiannya sehingga dia dikebumikan, memberi peluang keemasan kepada golongan kapitalis dan oportunis mengaut untung besar-besaran.

Penulis berpandangan jika Jackson dikebumikan dengan segera, akan hilanglah atau hanya ada peluang kecil untuk pihak-pihak ini mengaut keuntungan. Tetapi dengan menangguhkan pengkebumian sehingga hampir dua minggu, pelbagai jenis perniagaan yang berkaitan Jackson dapat dijayakan.

Peminat akan sentiasa tertanya-tanya jadi selain barangan kenangan mengenai raja pop itu, akhbar dan majalah yang memuatkan berita mengenai Jackson juga laris; demikian juga dengan paparan dalam internet termasuk laman web.

Daripada buku biografi yang disifatkan sebagai ‘collector’s item’ hinggalah pertunjukan terbesar (yang dihajatkan Michael sebagai ‘the greatest show on earth’) membabitkan artis ternama dan 11,000 peminat; semuanya berselindung di sebalik kesedihan kematian bintang pop itu bagi mengaut keuntungan.

Keranda bagi pengkebumian Jackson dilaporkan bersalut emas berharga AS$25,000 (RM87,500). Pendeknya daripada penjual kemeja-T dan bunga kepada syarikat hiburan bernilai berbilion dolar, semuanya mencari peluang daripada kematian Jackson untuk menambah kekayaan.

Tempoh antara kematian Jackson dan tarikh pengkebumian dimanfaat sepenuhnya golongan oportunis termasuk syarikat yang menganjurkan lawatan ke kediaman di mana bintang itu mati dan juga tempat beliau disemadikan.

Penganjur konsert atas nama memperingati dan menghargai Michael Jackson boleh mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit; kesedihan peminat dieksploitasi sepenuhnya oleh mereka yang bijak bersandiwara di pentas hiburan dunia.

Demikianlah dunia hari ini dipenuhi oleh orang-orang bijak yang berupaya menukarkan kelemahan, kesedihan dan kehendak orang lain kepada kilauan emas permata dalam genggaman mereka.

Berbicara mengenai kebijaksanan golongan kapitalis ini, penulis teringat akan iklan di televisyen dan akhbar yang sudah menyebut mengenai persediaan menyambut hari raya. Sekalipun sekarang ini baru bulan Rejab (sebulan lebih lagi sebelum berpuasa), jurukempen barangan sudah memikirkan strategi untuk memenangi hati pembeli sempena sambutan Aidilfitri.

Kini sudah dikempenkan kereta dan perabot hari raya dan tidak lama lagi akan muncullah iklan barangan lain seperti langsir, pakaian, kuih muih dan kelengkapan rumah.

Ramadan adalah bulan untuk meningkatkan ibadat tetapi golongan oportunis sudah mula memulakan langkah masing-masing. Iklan untuk berniaga di bazar Ramadan sudah lama dikeluarkan, kemungkinan besar permohonan untuk mendapatkan lot gerai tidak lagi dilayan.

Demikianlah manusia dilalaikan dengan dunia termasuklah kemegahan dan kekayaan masing-masing sehinggalah mereka masuk ke dalam kubur. Bukan saja Michael Jackson masuk ke dalam kubur, kita juga akan menyusulnya. Kematian Jackson pada usia ‘muda’ (50 tahun) sewajarnya menyedarkan diri kita; bilakah agaknya giliranku ke sana.

Jackson memilih untuk hebat di dunia, oleh itu peminatnya, oportunis dan kapitalis menghadiahkan beliau dengan ‘kehebatan dunia’ juga; tetapi bagaimana diri kita? Apakah kita hendak menghiasi saki baki hidup kita yang singkat itu dengan mengejar nama, kemegahahan dan kemashyuran dunia?

Ingatlah Surah ‘At-Takaatsur’ di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bermegah-megahan telah melalaikan kamu (ayat 1) sampai kamu masuk ke dalam kubur.” (ayat 2)

Tuesday, August 4, 2009

‘Hadiah ke-12’ sebagai merealisasikan rakyat diutamakan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, salam dan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak sempena sambutan 100 hari menerajui negara, mengumumkan 11 hadiah untuk rakyat; antaranya pengurangan bayaran ujian mengambil lesen motosikal dan pengeluaran 3,000 permit teksi kepada individu persendirian.

Kita menyambut baik ‘hadiah’ itu yang diumumkan sebelum pilihan raya kecil Dun Manek Urai, jika benar hasrat pihaknya mengurangi beban rakyat kebanyakan, tetapi amat dukacita kerana tidak lama selepas itu kerajaan mengumumkan kenaikan tambang pengangkutan awam.

Sebelas hadiah itu tidak membabitkan keseluruhan rakyat tetapi kenaikan tambang pengangkutan awam membabitkan hampir kesemua rakyat apatah lagi di kalangan golongan berpendapatan rendah. Tentunya kebanyakan rakyat bergantung kepada bas berhenti-henti, bas sekolah dan bas ekspres yang semuanya terbabit dalam kenaikan tambang berkuat kuasa 1 Ogos.

Kita cukup khuatir ‘hadiah ke-12 untuk rakyat’ akan diikuti banyak lagi ‘hadiah’ kerana pihak-pihak berkepentingan seperti Tenaga Nasional sudah berura-ura menaikkan kadar tarif elektrik. Kenaikan seperti ini akan membabitkan semua rakyat, sekali gus memberi tekanan kepada kehidupan mereka pada masa ekonomi negara dan dunia merundum.

Berkenaan ‘hadiah ke-12’, kita turut dukacita kerana media arus perdana tidak melapor dan membicarakannya secara besar-besaran seperti dilakukan terhadap ‘11 hadiah istimewa’ sempena 100 hari kepimpinan Najib. Mereka hanya melaporkan pengumuman kenaikan itu dan kemudian mematikan isu itu seolah-olah rakyat merestuinya.

Hakikatnya kenaikan 1.2 sen sehingga RM31.70 itu amat membebankan terutama bagi rakyat berpendapatan sederhana dan rendah yang terpaksa menggunakan perkhidmatan awam setiap hari. Bayangkan jika seorang pengguna perlu menokok RM3 dalam tambang mereka setiap hari, dalam sebulan ia hampir RM100 dan jika ia membabitkan empat orang dalam sebuah keluarga, kos tambahannya adalah RM400.

Tanggal 1 Ogos sudah berlalu, kenaikan tambang bas sekolah adalah paling ketara peningkatannya. Kebanyakan pengusaha melakukan kenaikan sebanyak 50 peratus. Jika dulu tambang RM25, ia menjadi RM37. Jika sebuah keluarga ada lima anak bersekolah, cuba bayangkan berapa banyak kenaikan perbelanjaannya.

Kenaikan baru itu dijustifikasikan oleh menteri terbabit dengan mendakwa kali terakhir tambang pengangkutan awam naik adalah pada Mei 2005 dan April 2006 (bagi bas sekolah); tetapi hakikatnya tambang itu sudah naik sejak sebulan sebelum Aidilifitri tahun lalu (2008) dalam bentuk surcaj sebanyak 30 peratus. Surcaj itu dikekalkan sehingga sekarang membawa kepada tambang baru pada 1 Ogos.

Kita sudah cukup muak dengan janji kementerian dan pihak penguasa bahawa kenaikan tambang itu akan diikuti peningkatan khidmat kepada pengguna. Janji ini pernah diberi ketika kenaikan harga petrol sedikit masa lalu yang dikatakan dapat menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM4 bilion. Penjimatan ini, menurut menteri, dapat digunakan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam tetapi sehingga kini mutunya seperti dulu menyebabkan masih ramai rakyat menggunakan kenderaan persendirian sehingga berlaku kesesakan teruk di jalan raya di ibu kota saban pagi dan petang.

Penumpang di ibu kota masih merungut kurangnya perkhidmatan bas pengantara (feeder bas) di terminal kereta api aliran ringan manakala di kawasan luar bandar dan pinggir kota, pengguna terpaksa menunggu berjam-jam sebelum bas tiba. Kita difahamkan bahawa pengusaha perkhidmatan bas berhenti-henti terutama di kawasan luar bandar mengalami kerugian teruk disebabkan pelbagai faktor dan masalah.

Bagi kita kerajaan perlu membuat pelaburan yang besar dalam memajukan pengangkutan awam sehingga menjadi efisyen. Di negara-negara maju, pengangkutan awam menjadi pelaburan utama kerajaan memungkinkan perkhidmatannya begitu berkesan sehingga menjadi pilihan orang ramai.

Sebagai contoh perkhidmatan kereta api bawah tanah (tube) kota London yang berselirat bagaikan sesawang itu begitu cekap, murah dan popular menyebabkan penduduknya tidak gemar berkenderaan sendiri kerana terpaksa menanggung pelbagai jenis cukai dan bayaran. Persoalannya, bila kita boleh mencapai tahap seperti itu?

Monday, August 3, 2009

ISA: Kenapa tunggu pencen baru akui kezaliman?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Bijak pandai mengungkapkan hidup umpama roda; ada kalanya di atas dan ada kalanya di bawah; seseorang itu ada ketika berada di kedudukan paling tinggi dan ada masanya di tahap paling rendah.

Pemimpin juga mengalami nasib yang sama. Selepas berada di puncak kuasa, akhirnya dia akan jatuh; tetapi apa dikesalkan ramai pemimpin ketika kekuasaan berada dalam genggaman, sesetengah tindakannya kurang rasional tetapi selepas tidak berkuasa, mulai nampak jalan kebenaran.

Sebagai contoh Perdana Menteri ke-5, Dato’ Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi, ketika berkuasa tidak mengacuhkan rayuan rakyat terhadap kekerasan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri dipetik sebagai berkata: "ISA sebagai suatu akta sudah dicemari dengan stigma sebagai unsur negatif kepada agenda pemerkasaan demokrasi negara dan untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani untuk melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru dalam melakukan perubahan seumpamanya seperti memansuhkan ISA.”

Mengapa Abdullah yang sudah pencen mengesyorkan kepimpinan sekarang memansuhkan ISA tetapi tidak beliau sendiri melakukannya ketika berkuasa? Abdullah ketika berada di puncak roda, bertindak keras ke atas pembantah ISA, malah sejumlah perhimpunan aman anti-ISA disuraikan pasukan keselamatan di bawah arahannya secara zalim. Oleh itu pandangan Abdullah sebagai tokoh yang tidak lagi berkuasa begitu menghairankan tetapi itulah sikap kebanyakan pemimpin.

Sindrom ‘membuka mata terhadap kebenaran’ ini dialami pemimpin-pemimpin terkemuka dunia. Mereka bijak bercakap mengenai kemanusiaan, keadilan dan sebagainya, tetapi sayang seribu kali sayang, perkara itu dilakukan apabila mereka tidak lagi berkuasa. Ketika berkuasa mereka bagaikan helang, menyambar mangsa tetapi apabila kuasa sudah sirna, mereka terjelepok kepada kebenaran.

Sebagai contoh, bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter tidak lama dulu dipetik sebagai berkata: “Rakyat awam Palestin kini dilayan seperti binatang seolah-olah mereka telah didapati bersalah kerana melakukan satu jenayah besar. Ini adalah semata-mata kerana mereka telah mengundi calon-calon daripada gerakan Hamas. Amerika kini menjadi kuasa utama bagi menghalang rakyat awam Palestin daripada menikmati hak mereka. Mereka di nafikan sebarang bantuan hatta bagi memenuhi keperluan hidupan harian mereka sendiri."

Mengapa Carter bercakap mengenai penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin selepas dia tidak lagi berkuasa? Apakah semasa menjadi Presiden Amerika, dia meluangkan masa memikirkan akan rakyat Palestin.

Carter dan 'geng pencennya' seperti Bill Clinton, Mikhail Gorbachev, Margaret Thatcher (dan terkini mungkin Tony Blair dan George W Bush), berani bercakap mengenai ketidakadilan dan kerakusan pemimpin kerajaan yang bersemayam di Washington, London, Moscow dan Paris. Hakikatnya mereka berani sebab tidak lagi berkuasa.

Semuanya ada rekod buruk mengenai kemanusiaan. Tetapi selepas tidak lagi berkuasa, tahu pula mereka mana yang baik dan mana yang buruk. Lantang pula bercakap mengenai kesamarataan dan keadilan.

Jika dikaji sejarah peradaban manusia, ada tokoh ternama insaf selepas tidak lagi berkuasa atau nyawa sudah berada di halkum. Firaun pada zaman Musa adalah salah satu contoh. Selepas hampir lemas, barulah dia mengakui kebenaran dan Tuhan Nabi Musa a.s. tetapi semuanya sudah terlambat. Banyak kisah raja-raja besar dunia mengungkap perkara sama.

Harun Al-Rashid, Khalifah Abassiyah yang terkenal dan mempunyai kerajaan dari Timur ke Barat, melolong bertanya, mana barisan askar-askarnya hebat dan lengkap bersenjata itu untuk menghalang kedatangan Malaikat Maut.

Harun insaf sekuat mana dan sebanyak mana kuasanya, dia pasti mati. Keinsafan datang ketika berada di katil pembaringan, menunggu maut. Bagi kita pemimpin perlu sedar segala tindak-tanduknya ketika berkuasa dan bukan selepas pencen atau sudah hampir ke kubur!

Saturday, August 1, 2009

Anak Pasti akan akhiri kebobrokan pengamal media, politikus songsang

Seorang kenalan saya di Britain memberitahu dia mengetahui beberapa negeri di Semenanjung sudah jatuh ke tangan pembangkang mulai jam 3.00 petang (11.00 malam waktu Malaysia) pada hari pengundian 8 Mac lalu. Malangnya sebahagian besar rakyat Malaysia tidak menyedarinya sehingga menatap akhbar pada keesokan harinya.

Demikian betapa ‘lembapnya’ media massa elektronik (TV dan radio) dalam menyiarkan keputusan pilihan raya. Dari satu segi alangkah anehnya senario ini kerana pada zaman kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat masakini, TV dan radio Malaysia ketinggalan 10 tahun ke belakang daripada perkembangan semasa. Entah kenapa siaran TV dan radio ini mahu terus kekal sebagai alat perhubungan ketinggalan zaman.

Pada malam berkenaan, pada mulanya saya dan keluarga bergantung kepada siaran TV untuk mendapatkan maklumat terkini. Selepas jam 10 malam, saya menjadi hampa dan marah kerana yang kerap disiar dan ulang siar adalah keputusan di Sabah dan Sarawak yang dimenangi mudah calon-calon BN.

Menjelang jam 11.00 malam, diumumkan kerajaan BN berjaya dibentuk di beberapa negeri seperti Melaka dan kira-kira jam 2.00 pagi, BN diumumkan berjaya membentuk kerajaan Pusat dengan majoriti mudah. Ketika menunggu keputusan, pengacara berbual dengan beberapa tokoh jemputan seperti Pengerusi Bernama, Dato’ Anuar Zaini.

Sembang-sembang mereka memual dan mengecewakan. Pengacara dan sebahagian besar jemputan kerap menggunakan ‘kita’ bagi merujuk BN dan membayangkan pembangkang seolah-olah bukan rakyat, sebaliknya pendatang asing yang cuba menawan negara ini.

Pembangkang digambarkan telah melakukan kesalahan, hakikatnya penyertaan pembangkang dalam pilihan raya adalah memperkaya dan memperkukuhkan lagi proses demokrasi yang diperakui di negara ini. Pengacara menunjukkan sikap buruk apabila mempamerkan reaksi dan mimik kecewa apabila mengumumkan kerus-kerusi utama seperti Sungai Siput, Bangsar dan Titiwangsa sudah jatuh ke tangan pembangkang.

Pengacara dan jemputan terus berbual-bual yang isinya entah apa-apa, sedangkan rakyat seperti saya dahagakan maklumat. Selepas jam 11.00 malam, saya yang sudah terlampau geram, membuka internet dan melayari laman-laman berita dan blog tertentu. Ternyata laman ini lebih pantas menyalurkan maklumat, mereka melaporkan beberapa negeri sudah jatuh ke tangan pembangkang.

Siaran TV berterusan dengan perbualan sehinggalah menamatkan siaran liputan keputusan pilihan raya itu kira-kira jam 3.00 pagi. Ketika menamatkan liputan itu, keputusan pilihan raya negeri-negeri masih tergantung. Penonton tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Mereka dibiarkan tertunggu-tunggu sedangkan siaran TV menyiarkan rancangan-rancangan ulangan yang membosankan.

Inilah TV dan radio di Malaysia yang menunjukkan bahawa ia betul-betul menepati peribahasa ‘katak di bawah tempurung’. Masakan tidak kerana orang di seantero dunia sudah tahu Menteri Penerangan, Zainudin Maidin (kini bekas) sudah tewas teruk sedangkan orang di Malaysia sendiri masih belum mengetahuinya. Syabas TV dan radio di Malaysia yang agaknya cuba membawa rakyat Malaysia ke Zaman Batu!

Selain marah dengan sesetengah orang media, saya juga marah dengan orang politik. Pada hari sambutan Maulidur Rasul, 20 Mac lalu, saya tidak berminat langsung mengikuti siaran langsung di TV mengenai acara berkenaan. Saya sudah serik dengan permainan TV Malaysia. Saya masih marah dengan sandiwara murahan pengacaranya ketika pilihan raya lalu. Bagi saya tengok TV boleh, percaya jangan.

Ramai orang politik pandai berslogan dan bercakap perkara muluk-muluk termasuk ketika sambutan Maulidur Rasul. Ada yang berkata contohilah Nabi, tetapi mereka berkelahi merebut kuasa dan pangkat di negeri-negeri seperti Perlis dan Terengganu.

Ada orang bekas menteri besar di negeri seperti Kedah dan Selangor memecah masuk pejabat kerajaan negeri dan merosakkan fail dan dokumen. Tentulah perbuatan ini menyalahi kehendak Islam. Sewajarnya mereka mencontohi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon yang menyerahkan kuasa secara berhemah.

Tanggal 22 Mac, saya membawa seorang anak saya yang belajar di Pasti, menyertai perarakan majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Sistem Pengurusan Pasti Berpusat Kota Melaka (SPPBKM) dan PAS Kawasan Kota Melaka. Kira-kira 100 anak-anak dan ibu bapa mereka berarak dari Padang Temu ke Permatang Pasir.

Melihat ketabahan anak-anak yang jernih wajah mereka, berselawat di sepanjang jalan sejauh hampir dua kilometer, menyejukkan hati. Pada anak-anak inilah terletak harapan untuk menggembalikan semula maruah dan kesucian Islam yang telah dicemari oleh penganutnya yang tidak berprinsip dalam apa jua bidang termasuk politik dan media massa.

Harapan saya itu nampaknya dikongsi bersama oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Melaka, Ustaz Kamarulzaman Ab Rahim (kini bekas0 yang pada perasmian majlis itu berkata, generasi akan datang perlu ditanamkan kecintaan pada Rasul sejak awal bagi membolehkan mereka membela Islam apabila dewasa.

Beliau berkata adalah menjadi harapan pihaknya agar tunas-tunas Islam ini (anak-anak Pasti) dapat menggembalikan keagungan Islam seperti pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dulu.

Katanya, pencinta Islam perlu menguar-uarkan kepada jiran-jiran dan sahabat agar menghantar anak-anak mereka ke Pasti bagi membolehkan generasi muda dididik mencinta, menghayati seterusnya mengamalkan segala ajaran Rasulullah s.a.w.

Beliau yakin dengan pendekatan itu, insya-Allah, hukum-hakam Islam dapat ditegakkan kembali di bumi Melaka yang PAS gagal memenangi satu kerusi pun pada pilihan raya umum lalu. Di bahu anak-anak Pastilah tergalas harapan untuk mengakhiri kebobrokan manusia dalam pelbagai bidang termasuk di kalangan pengamal media dan politikus.