Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Bijak pandai mengungkapkan hidup umpama roda; ada kalanya di atas dan ada kalanya di bawah; seseorang itu ada ketika berada di kedudukan paling tinggi dan ada masanya di tahap paling rendah.
Pemimpin juga mengalami nasib yang sama. Selepas berada di puncak kuasa, akhirnya dia akan jatuh; tetapi apa dikesalkan ramai pemimpin ketika kekuasaan berada dalam genggaman, sesetengah tindakannya kurang rasional tetapi selepas tidak berkuasa, mulai nampak jalan kebenaran.
Sebagai contoh Perdana Menteri ke-5, Dato’ Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi, ketika berkuasa tidak mengacuhkan rayuan rakyat terhadap kekerasan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri dipetik sebagai berkata: "ISA sebagai suatu akta sudah dicemari dengan stigma sebagai unsur negatif kepada agenda pemerkasaan demokrasi negara dan untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani untuk melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru dalam melakukan perubahan seumpamanya seperti memansuhkan ISA.”
Mengapa Abdullah yang sudah pencen mengesyorkan kepimpinan sekarang memansuhkan ISA tetapi tidak beliau sendiri melakukannya ketika berkuasa? Abdullah ketika berada di puncak roda, bertindak keras ke atas pembantah ISA, malah sejumlah perhimpunan aman anti-ISA disuraikan pasukan keselamatan di bawah arahannya secara zalim. Oleh itu pandangan Abdullah sebagai tokoh yang tidak lagi berkuasa begitu menghairankan tetapi itulah sikap kebanyakan pemimpin.
Sindrom ‘membuka mata terhadap kebenaran’ ini dialami pemimpin-pemimpin terkemuka dunia. Mereka bijak bercakap mengenai kemanusiaan, keadilan dan sebagainya, tetapi sayang seribu kali sayang, perkara itu dilakukan apabila mereka tidak lagi berkuasa. Ketika berkuasa mereka bagaikan helang, menyambar mangsa tetapi apabila kuasa sudah sirna, mereka terjelepok kepada kebenaran.
Sebagai contoh, bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter tidak lama dulu dipetik sebagai berkata: “Rakyat awam Palestin kini dilayan seperti binatang seolah-olah mereka telah didapati bersalah kerana melakukan satu jenayah besar. Ini adalah semata-mata kerana mereka telah mengundi calon-calon daripada gerakan Hamas. Amerika kini menjadi kuasa utama bagi menghalang rakyat awam Palestin daripada menikmati hak mereka. Mereka di nafikan sebarang bantuan hatta bagi memenuhi keperluan hidupan harian mereka sendiri."
Mengapa Carter bercakap mengenai penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin selepas dia tidak lagi berkuasa? Apakah semasa menjadi Presiden Amerika, dia meluangkan masa memikirkan akan rakyat Palestin.
Carter dan 'geng pencennya' seperti Bill Clinton, Mikhail Gorbachev, Margaret Thatcher (dan terkini mungkin Tony Blair dan George W Bush), berani bercakap mengenai ketidakadilan dan kerakusan pemimpin kerajaan yang bersemayam di Washington, London, Moscow dan Paris. Hakikatnya mereka berani sebab tidak lagi berkuasa.
Semuanya ada rekod buruk mengenai kemanusiaan. Tetapi selepas tidak lagi berkuasa, tahu pula mereka mana yang baik dan mana yang buruk. Lantang pula bercakap mengenai kesamarataan dan keadilan.
Jika dikaji sejarah peradaban manusia, ada tokoh ternama insaf selepas tidak lagi berkuasa atau nyawa sudah berada di halkum. Firaun pada zaman Musa adalah salah satu contoh. Selepas hampir lemas, barulah dia mengakui kebenaran dan Tuhan Nabi Musa a.s. tetapi semuanya sudah terlambat. Banyak kisah raja-raja besar dunia mengungkap perkara sama.
Harun Al-Rashid, Khalifah Abassiyah yang terkenal dan mempunyai kerajaan dari Timur ke Barat, melolong bertanya, mana barisan askar-askarnya hebat dan lengkap bersenjata itu untuk menghalang kedatangan Malaikat Maut.
Harun insaf sekuat mana dan sebanyak mana kuasanya, dia pasti mati. Keinsafan datang ketika berada di katil pembaringan, menunggu maut. Bagi kita pemimpin perlu sedar segala tindak-tanduknya ketika berkuasa dan bukan selepas pencen atau sudah hampir ke kubur!
No comments:
Post a Comment