“Muslim or non-Muslim?” demikian sergah seorang ustaz, menyuruh pelajar menunaikan solat Jumaat ketika saya menuntut di ITM (kini UiTM) kira-kira 25 tahun lalu. Kalau seseorang itu menjawab “Muslim”, pastilah dia akan ‘dibasuh cukup-cukup’, mahu tidak mahu terpaksalah dia mengangkat punggung ke Medan Pelajar yang dijadikan tempat solat.
Penulis memahami maksud ustaz itu, kerana di UiTM, pelajarnya bukan 100 peratus Muslim, ada bumiputera terutama dari Sabah dan Sarawak yang tidak beragama Islam. Bagaimanapun pendekatan ustaz itu agak kasar, mungkin akan menyebabkan pelajar menjadi meluat dan semakin jauh daripada Islam. Pelajar bukan Islam pula mungkin terkejut besar, sekali gus dikhuatiri mempunyai tanggapan negatif terhadap Islam.
Penulis membawa kisah ini bagi mengaitkan apa yang penulis saksikan pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan ke-55 parti itu di Stadium Malawati Shah Alam pada 5-7 Jun lalu. Pada perbahasan itu, seorang perwakilan dengan suara lantang membelasah wartawan wanita (tidak dinyatakan yang Islam atau bukan Islam) yang membuat liputan, tidak berpakaian selayaknya termasuk memakai tudung.
Begitu sinis kecamannya sehingga berkata tidak ada peraturan pemberita wanita nak letak sapu tangan atau kain buruk atas kepala mereka sedangkan muktamar majlis mulia dan diberkati, dimulaikan dengan membaca al-Fatihah dan diakhiri dengan bacaan tasbih kifarah.
Penulis mahu kembali ke UiTM pada zaman penulis menuntut di sana pada awal tahun 1980-an berhubung usaha dakwah ini terutama soal pemakaian tudung. Ketika itu soal penampilan termasuk pakaian tidak ditekankan sangat. Penulis yang ketika itu termasuk dalam jenis ‘rock’ kerap mengenakan jeans biru pudar, kemeja T dan berselipar.
Budak perempuan pun ada yang berjeans, dipadankan dengan blaus atau kemeja T manakala sebahagian lagi berbaju kurung tetapi yang memakai tudung tidak sampai separuh daripada jumlah pelajar. Mereka yang memakai tudung pun, bukan daripada jenis labuh menutupi dada, tetapi jenis skaf, tudung sampul rambut saja (dedah leher), tudung ujungnya diikat di bawah leher dan beberapa jenis ikatan lagi.
Pelajar perempuan sama bidang dengan penulis (Komunikasi) kebanyakannya jenis ‘rugged’. Pada semester tertentu pelajar terpaksa mengambil mata pelajaran Komputer yang dikendalikan oleh kajian lain. Sesetengah pensyarah ini ‘alim-alim’ belaka, pada hari pertama pelajar Komunikasi mengikuti kelas berkaitan, mereka diberi amaran: “Lain kali kalau tak bertudung jangan masuk kelasi.”
Penulis perhatikan pelajar tidak peduli. Apabila pensyarah berkenaan dilihat kelibatnya sebelum memasuki kelas, barulah mereka bergegas mengeluarkan tudung dan menyerkupkan ke kepala. Kemudian selepas tamat kelas, sebaik pensyarah berkenan mengatur langkah keluar, mereka mencampakkan tudung itu ke dalam laci dan beg masing-masing.
Demikianlah gelagat siswi yang memakai tudung kerana terpaksa, bukan kerana kesedaran. Apabila diperlukan mereka pakai, apabila tiada keperluan, mereka tidak menghiraukannya.
Selepas memasuki alam pekerjaan, penulis berpeluang ke Iran sebanyak dua kali iaitu pada 1992 1997. Di sana pun dalam permasalahan pakaian menutup aurat , penulis saksikan senario hampir sama seperti di UiTM dan di Malaysia keseluruhannya.
Di luar memang betul hampir semua wanita Iran memakai cadur tetapi apabila berada dalam bangunan persendirian, sesetengah cadur yang dipakai wanita-wanita itu entah ke mana perginya. Ketika mengunjungi Kedutaan Malaysia, penulis perhatikan ada wanita termasuk warga Iran tidak bertudung, malah ada memakai skirt.
Selepas berlepas dari Lapangan Terbang Mehrabad untuk pulang, belum pun pesawat lama di udara, wanita Iran yang duduk berhampiran penulis, dilihat sudah menanggalkan cadur mereka, sebaliknya mempamerkan rambut perang yang diset rapi. Mereka berjeans dan berblaus ketat, kelihatan begitu sofistikated, seakan-akan wanita Barat lagak mereka.
Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman ini, penulis memahami apa yang disuarakan oleh satu-satunya Muslimat dalam AJK PAS Pusat, Dr Lo’ Lo’ Ghazali yang pada muktamar itu meminta supaya masyarakat dididik dan disedarkan secara berhikmah dalam menunaikan kewajipan termasuk menutup aurat sepenuhnya seperti amalan bertudung bagi Muslimat.
Penulis bersetuju bahawa orang ramai tidak boleh dipaksa begitu. Ini kerana berdasarkan pengalaman, paksaan selalunya tidak membawa kepada kejayaan. Fikir-fikirkanlah apa yang berlaku kepada rakan siswi penulis di UiTM dulu dan juga wanita terutama remaja Iran. Apabila keadaan memaksa, mereka mengikut perintah tetapi apabila berada di luar suasana itu mereka tidak mempedulikannya. Kemungkinan besar untuk golongan ini memberontak adalah tinggi, di depan ustaz mereka kelihatan baik-baik belaka, tetapi di belakang ustaz, mereka mengutuk tidak habis-habis dan bertindak lebih liar.
Demikianlah, kita tidak mahu melahirkan golongan atau generasi baru yang ‘alim-alim kucing’. Kita mahu melahirkan mereka yang benar-benar takut kepada Allah SWT sama seperti pemuda-pemudi pada zaman sahabat dulu. Kisah Umar Al-Khattab dengan seorang anak perempuan yang tidak mahu mencampurkan susu atau anak gembala yang tidak mahu menjual kambing milik tuannya semata-mata kerana takutkan Allah SWT sewajarnya menjadi panduan dalam mendidik generasi muda. Mereka semata-mata takutkan Allah SWT bukan takutkan sang penguasa.
Dalam dunia moden, kisah seorang wartawan Barat, Yvonne Ridley, yang memeluk Islam apabila melihatan kebaikan dan kehebatan Taliban sewajarnya dijadikan pengajaran dan sempadan. Penulis berpendapat kemungkinan besar anggota Taliban yang dituduh ganas dan jahat oleh media Barat dan kuncu-kuncu mereka tidak akan berkata kepada wartawan itu: “kenapa kamu tak pakai sapu tangan atau kain buruk atas kepala mu itu?”
1 comment:
thn 2001 saya blajar di salah sebuah Uitm cawangan.sorg ustaz cerita ada notis baru dikelurkan memberitahu pemakaian tudung tidak diwajibkan.sebelum ini memang banyak org tahu plajar islam uitm tidak diwajibkan memakai tudung tetapi menurut ustaz itu di cwngn tersebut semua islam pakai sebab provos suruh.memang benar masa tu saya tengok semua senior pakai tudung.batch saya pun no freehair in campus.
apa yg merisaukan ustaz tersebut dgn notis baru itu akan menggalakkan org tidak bertudung di cwngn tersebut.dengar cerita juga notis baru itu dikeluarkan sebab ada seorg anak org berpengaruh tidak berpuasa ati mengadu ke pihak atasan shah alam.saya minta maaf kalau ada pihak atasan uitm yg membaca & tahu cerita sebenar.
Masuk thn kedua saya di uim cwngn, saya lihat kebenaran kata2 ustaz tersebut. Thn akhir disana btambah ramai lagi tak pakai tudung.saya setuju ada benar kadang2 kita perlu paksa.dari kita biar dlm & luar uitm tak pernah pakai tudung
Post a Comment