Memandu jauh pada waktu malam jarang saya lakukan. Tetapi 17 dan 18 Julai lalu, saya berupaya memandu dari Melaka ke Pulau Pinang mulai jam 10.00 malam sehingga 3.00 pagi; tanpa henti kecuali mengisi minyak di Seremban.
Saya sendiri tidak menyangka dapat melakukannya. Sebenarnya ada inspirasi kenapa saya boleh berbuat demikian. Pada siang hari sebelum itu, berlaku kematian di kampung saya. Si mati ketika sakitnya pernah saya ziarahi. Kini dia sudah kembali ke rahmatullah, siang tadi jenazahnya dimasukkan ke lubang kubur.
Sambil memandu saya membayangkan perjalanan jauh allahyarham. Perginya tidak kembali. Suatu hari saya juga akan mati, jadi saya membayangkan diri dimasukkan ke dalam kubur. Alangkah gelap dan sempitnya. Saya pernah masuk ke sebuah bilik sempit dan gelap; rimasnya tak tertanggung menyebabkan saya cepat-cepat keluar.
Sepanjang minggu terakhir ini, pada kebanyakan kelas pengajian di masjid yang saya hadiri, ustaznya membicarakan bab mati. Seorang ustaz memberitahu apabila berlaku kematian, roh akan diiringi malaikat melepasi tahap-tahap langit untuk ke Sidratulmuntaha menemui Allah SWT.
Apabila tiba di langit pertama; berlaku dialog dengan penjaga langit pertama. Amalannya dibuka, apabila ia buruk, roh akan dilemparkan kembali ke tubuhnya. Jika di langit pertama saja sudah tidak lulus, bagaimana mahu ke langit kedua dan seterusnya?
Selepas jenazah dimasukkan dalam kubur, bagaimana nasib si fulan, demikian fikirku sepanjang perjalanan itu. Si fulan itu bukan siapa, tetapi diri aku. Masuk kubur seorang diri, tiada berteman. Mahu tidak mahu setiap orang akan masuk ke dalam kubur. Enam kaki di dalam bumi. Kubur yang gelap dan mengerikan itu. Ada kala jengking, ulat, ular, oohh aku tidak dapat bayangkan nasib aku nanti.
Ulat dan cacing akan mencungkil biji mataku, kemudian meratah tubuh badanku. Ngeri aku memikirkannya menyebabkan mataku terbuka luas, tidak terasa mengantuk. Apabila membayangkan kedahsyatan termasuk kegelapan dalam kubur; tidak terasa kegelapan di lebuh raya itu. Lagipun di lebuh raya kerap ada cahaya lampu kenderaan tetapi bagaimana dalam kubur? Tidakkah ia gelap, segelap-gelapnya!
Segera aku teringat ceramah Israk Mikraj seorang pakar motivasi, Dr Rozey Baba di sebuah masjid berhampiran rumahku. Kata beliau, setiap tahun kita menyambut Israk dan Mikraj sehinggakan kisahnya sudah kita hafaz tetapi apakah ia sudah mengubah hidup kita? Adakah kita sudah bertukar menjadi baik atau makin lama makin buruk?
Beliau berkata keseluruhan kisah Israk dan Mikraj bertujuan mentauhidkan Allah SWT yang semuanya sudah disampaikan oleh Rasul-Nya, Muhammad s.a.w. Apabila seseorang itu yakin kepada Allah, dia mesti meyakini Malaikat-Nya, Kitab-Kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, Hari Kiamat dan Qada dan Qadar-Nya. Perkara yang diyakini inilah dinamakan Rukun Iman.
Dr Rozey bertanya adakah sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w., kehidupan harian kita berpandukan ajaran dan sirah baginda. Adakah suami hari ini mencontohi baginda dan isteri mencontohi isteri-isteri baginda, terutama Khadijah Al-Khauwalid r.a.?
Misalnya, pada kali pertama menemui Malaikat Jibrail, Nabi Muhammad s.a.w. balik ke rumah dengan keadaan tubuh menggigil. Khadijah menyambutnya dengan baik sekali, membaring dan kemudian menyelimutkan baginda. Sesudah pulih barulah Khadijah membuka mulut, bertanya apa yang berlaku.
Tetapi apa yang berlaku hari ini apabila suami balik dari pejabat atau tempat kerja dalam keadaan kusut masai. Isteri akan menambah beban suami dengan bertanya itu dan ini; ada tidak mempedulikan si suami dan apa pula yang mengadu hal, mengherdik dan memarahi si suami kerana penghasilan suami tidak memuaskan hatinya.
Nabi Muhammad s.a.w. pula menunjukkan contoh teladan suami paling baik dengan menjahit sendiri pakaian dan kasutnya yang koyak, tetapi apakah suami hari ini melakukannya atau mengherdik si isteri. Demikianlah betapa jauhnya kita yang mengaku umat Muhammad ini jauh daripada suri teladan yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w. serta isteri-isteri serta sahabat-sahabat baginda.
Ironinya setiap tahun kita menyambut Israk Mikraj; masjid penuh dengan hadirin termasuk jemaah wanita tetapi perangai kita tidak berubah. Bagi wanita bukankah Allah dan Rasul-Nya sudah menyuruh menutup aurat termasuk rambut tetapi masih ramai yang degil. Jadi untuk apa kita mendengar kisah Israk Mikraj yang diulang-ulang setiap tahun sedangkan sikap kita tidak berubah, tanya Dr Rozey.
Bukankah dalam Israk Mikraj itu Nabi ditunjukkan wanita yang diseksa kerana mendedahkan aurat, tetapi sesetengah wanita mendengarnya saja saban tahun tetapi tetap enggan berubah. Mereka tetap berfesyen dengan pakaian yang mampu menggegarkan iman tok imam berserban tebal sekalipun.
Nabi juga diperlihatkan golongan lain seperti yang menghantuk kepala (tidak solat), perut besar (makan riba), makan daging busuk (penzina) dan bibir besar dan dubur disula (makan harta anak yatim), tetapi apakah semua ini menginsafkan kita yang saban tahun mendengar kisah Israk Mikraj?
Misalnya, muamalat kita; apakah urusan jual beli kita bebas daripada unsur riba? Adakah rumah atau kereta yang kita beli itu betul-betul menepati kehendak Islam? Jawapannya tidak, kita hanya pandai bercakap sedangkan amalan kita tersasar jauh daripada ajaran Islam.
Dr Rozey berkata sudah berbuih mulut penceramah mengulangi-ulangi kisah Israk Mikraj tetapi ummah masih begitu juga sedangkan orang bukan Islam mendapat banyak pengajaran daripadanya.
Misalnya penciptaan kapal terbang dan roket adalah berdasarkan iktibar Israk Mikraj. Orang Barat dalam tertanya-tanya bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. boleh bergerak begitu pantas antara Makkah dan Palestin, kemudian ke langit; mencipta kenderaan mempercepatkan perjalanan tetapi kebanyakan umat terus terngangga mulut mengikuti kisah Israk Mikraj saban tahun!
1 comment:
bagi saya saya amat malu bila kita kata yang kita ni umat rasullullah.. bila lihat kehidupan kita terlalu jauh dari apa yang quran dan rasul ajar..
Post a Comment