Sunday, February 28, 2010

Kisah burung kecil wajar jadi iktibar

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Aswad bin Yazid meriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Ubatilah orang-orang kamu yang sakit dengan (mengeluarkan) sedekah dan bentengilah harta-harta kamu dengan (mengeluarkan) zakat dan siapkan untuk (menjauhi) bala dengan berdoa.” (HR. Baihaqi)
***

SEORANG sahabat lama Sikh, tidak lama dulu mengunjungi saya. Sambil minum kami pun berbual, menyentuh pelbagai isu negara. Antaranya persoalan sekolah agama rakyat (SAR).

Selepas mendengar hujah saya mempertahankan SAR, sahabat saya itu bertanya: “Kalau ‘you’ yakin dengan SAR, adakah ‘you’ hantar anak-anak ‘you’ ke SAR?”

Terkejut besar saya dengan pertanyaannya itu. Lama kemudian baru saya menjawab: “Tidak.”

“Kenapa?” tanyanya.

Saya hanya membatu, tidak tahu menjawab pertanyaan itu.

Sahabat saya itu kemudian meneruskan luahan hatinya. Katanya, dia bimbang jika ada satu-satu kumpulan rakyat yang bercampur sesama sendiri saja (dalam kes ini pelajar Islam di SAR), mereka akan janggal untuk menghadapi realiti kehidupan apabila mereka dewasa.

Apabila ‘terjun’ menjadi anggota masyarakat, mereka akan berhadapan dengan orang bukan Islam yang terdiri daripada kaum dan golongan Cina, India, Sikh dan sebagainya. Malah di peringkat global, mereka akan berurusan dengan manusia pelbagai bangsa.

Saya mengakui pandangan sahabat saya itu, malah berasa amat malu kerana jahil dengan sebuah institusi pengajian Islam seperti SAR. Jika saya sebagai seorang Muslim tidak memahami soal SAR, bagaimana pula tanggapan orang bukan Islam?

Oleh itu apabila timbul kata-kata seperti ‘sekolah agama rakyat tidak mengajar Islam sebenar’, ‘sekolah agama mengajar membenci pemimpin’ dan ‘guru sekolah agama mengajar murid memijak gambar pemimpin’, ia mencetuskan perasaan ingin ingin tahu di hati saya (malah sebahagian besar rakyat) mengenai institusi pengajian ini.

Daripada perasaan ingin tahu ini, saya berusaha mendapatkan maklumat sebanyak mungkin mengenai SAR terutama bagi menjawab permasalahan yang dilontarkan oleh sahabat Sikh saya itu.

Seorang guru sekolah agama yang saya temui, akhirnya dapat memberikan jawapan memuaskan berhubung perkara ini.

Katanya, tidak betul untuk menyatakan pelajar sekolah agama berada dalam dunia terasing dan tidak berinteraksi dengan anggota masyarakat daripada kaum lain.

Perhubungan antara pelajar sekolah agama dan masyarakat luar sudah lama terjalin dan jika kita jujur dalam usaha memajukan institusi ini, skopnya boleh diluaskan dan lebih menyeluruh, katanya.

Beliau berkata sekolah agama sejak sekian lama menganjurkan kegiatan membabitkan pelajarnya dengan pelajar sekolah lain seperti kokurikulum dan pelbagai pertandingan termasuk sukan.

Guru itu berkata pelajar bukan saja berinteraksi dengan pelajar Islam lain tetapi bukan Islam dan hasilnya sebahagian besar pelajar tidak menghadapi masalah menyesuaikan diri sebagai anggota masyarakat majmuk apabila mereka dewasa.

Demikianlah, dalam permasalahan yang kecil ini pun (hubungan pelajar agama dengan dunia luar) kita mempunyai tanggapan salah, bagaimana pula kita mahu menjawab permasalahan lebih besar seperti ‘sekolah agama tidak mengajar Islam sebenar?’

Apa yang hendak ditekankan di sini ialah kewajipan seseorang itu menjalankan tugas setakat yang mampu dilakukannya. Ada kisah bagi mengukuhkan hujah ini.

Ketika Nabi Allah Ibrahim a.s. di bakar oleh Namrud, seekor burung kecil begitu sibuk berulang-alik, mengisi air dalam paruhnya dan kemudian mencurahkannya ke atas unggun api yang besar itu.

Seekor burung lain ketawa melihat senario itu, tetapi dijawab tegas dan yakin oleh si burung kecil: “Aku hanya menjalankan kewajipanku. Aku takut kemurkaan Allah!” Saya dan anda bagaimana?

Saturday, February 27, 2010

Judi adalah HARAM di sisi agama Islam, TETAPI...

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
“Ketika anak cucu Adam meninggal, maka amalnya akan terputus kecuali tiga perkara; sedekah jariah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya.” (HR. Muslim daripada riwayat Abu Hurairah)
***

“JUDI adalah haram di sisi agama Islam. Orang-orang Islam, mereka yang berumur di bawah 21 tahun, atau murid-murid sekolah yang berpakaian seragam tidak dibenarkan memasuki premis/ruang ini.”

Saya melihat notis ini tertera di dinding tiga kedai Sports Toto yang terletak sebelah menyebelah ketika membuat tinjauan pada kira-kira jam 3 petang suatu Sabtu.

Saya berada di depan kedai itu selama lima minit, melihat-lihat siapa yang keluar masuk. Sungguh terkejut saya kerana hampir separuh yang masuk dan membeli nombor ramalan, berkulit sawo-matang seperti saya. Ramai yang melindungi wajah dengan memakai topi keledar.

Suatu ketika pula saya melewati bangunan Magnum dekat Hentian Puduraya, saya terpandang beberapa pemuda Melayu beruniform bertugas sebagai pemandu van syarikat berkenaan. Nampaknya mereka tidak berasa apa-apa bekerja dengan syarikat judi.

Apabila membuka laman-laman web syarikat perjudian yang tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSL), ditemui pula nama-nama individu Islam (tokoh ternama) mengepali syarikat-syarikat judi ini.

Pembabitan orang Islam Islam dalam kegiatan perjudian ini, sama ada secara langsung atau tidak, mengingatkan saya dakwaan seorang tokoh masyarakat Islam dalam sebuah rancangan TV tempatan tidak lama dulu bahawa kononnya kewujudan pusat-pusat maksiat ini khas untuk orang bukan Islam.

Jika dilihat apa yang berlaku, dakwaan itu ternyata salah kerana sebahagian pengunjung pusat-pusat ini adalah orang Islam sekalipun sudah ditulis notis – “orang Islam dilarang memasuki premis (tempat berjudi) ini."

Satu perkara yang perlu diperhalusi lagi, adakah benar dakwaan kononnya pusat hiburan (perjudian) ini adalah khas untuk orang bukan Islam kerana tidak menjadi kesalahan untuk mereka berjudi atau terbabit dalam kegiatan seumpama ini.

Memandangkan perkara ini membabitkan masyarakat bukan Islam, golongan ini perlu ditanya sama ada dakwaan ini betul atau rekaan saja oleh sesetengah pihak bagi membolehkan mereka berjudi.

Satu lagi perkara menjadi tanda tanya berhubung perjudian ini ialah mengapa ada istilah ‘halal’ dan ‘haram’ dalam industri ini dalam konteks negara kita. Kita ingin tahu apakah yang ‘halal’ dan apa yang ‘haram’ sedangkan dalam Islam judi itu sudah jelas keharamannya sepert sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memfardukan beberapa perkara lalu, janganlah kamu melalaikannya, Allah juga telah mengharamkan banyak perkara, maka janganlah kamu mencerobohnya.” (Riwayat Darul Qutni, hadis Hasan)

Seperkara lagi yang ingin diketahui ialah bagaimana kedudukan wang hasil kegiatan perjudian seperti cukai industri ini di sisi negara dan agama. Bagi menjawab persoalan ini, tentulah kita memerlukan penjelasan ulama dan tokoh berautoriti dalam bidang ini.

Kemudian kita ingin bertanya, apakah industri judi ini subur di kalangan orang Melayu/Islam kerana pengusaha akhbar-akhbar Melayu begitu ghairah menyiarakan keputusan empat nombor ekor dan SMS mengenainya dalam akhbar-akhbar mereka.

Demikianlah, semua orang mengakui bahawa judi adalah HARAM di sisi agama Islam, TETAPI...

Friday, February 26, 2010

'Hidup Antara Duri' lambang kerukunan Melayu-Cina

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Darda' r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (akhirat) daripada budi pekerti yang mulia." (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
***
PADA cuti panjang Tahun Baru Cina, saya menggunakan kesempatan itu menyelongkar khazanah ilmu (buku-buku) lama yang saya simpan dalam setor. Salah sebuah buku yang menarik perhatian adalah novel 'Hidup Antara Duri' karya Chong Chee Seong yang diterbitkan pada tahun 1969.

Inilah novel pertama dalam bahasa Melayu yang ditulis oleh seorang bukan Melayu. Watak-watak utama dalam novel ini menujukkan kerukunan kehidupan Melayu dan Cina, sekali gus mengangkat karya ini ke depan sekalipun dihasilkan lebih 40 tahun lalu.

Ketika menulis novel ini, Chong adalah Naib Yang Dipertua Persatuan Bahasa Kebangsaan Malaysia. Kerana cintanya terhadap bahasa Malaysia, Chong bersusah payah menulis novel dalam bahasa Melayu ini. Chong yang pernah berkhidmat sebagai wartawan di Straits Times, turut menyumbangkan rencana di Berita Harian dan menurut beliau, pengarang berpengaruh Kumpulan New Straits Times, A Samad Ismail banyak membantu beliau dalam menyiapkan novel ini.

'Hidup Antara Duri' mengisahkan kehidupan di sebuah perkampungan nelayan. Melalui novel ini, Chong cuba menggambarkan bagaimana golongan nelayan pelbagai kaum saling bantu membantu dalam menjalani kehidupan. Semangat kerjasama antara mereka terbukti apabila mereka menghadapi ancaman lanun di perairan berhampiran perkampungan mereka.

Mengikut cerita watak utama, Ang Chow dijadikan tebusan oleh lanun. Mereka meminta tebusan $3,000 (ketika itu RM belum dipakai) yang mesti diserahkan dalam masa seminggu daripada rakan Ang Chow, seorang nelayan Melayu bernama Hitam. Nelayan kampung yang diketuai oleh Penghulu Samad melancarkan derma kilat dan berjaya mengumpul wang sebanyak yang dikehendaki itu.

Selepas dibebaskan, Ang Chow bekerjasama dengan polis untuk menghancurkan kegiatan lanun-lanun itu.

Novel ini cuba membuktikan bahawa masyarakat pelbagai kaum di negara ini dapat hidup dengan aman jika mereka saling faham memahami antara satu sama lain. Antara contohnya, Penghulu Samad mengadakan majlis kesyukuran selepas Ang Chow diselamatkan. Semua keluarga nelayan daripada pelbagai kaum di kampung itu menghadirinya.

Walaupun kelancaran novel ini sekali-sekala terganggu dari segi bahasa manakala kisahnya seolah-olah ditulis untuk penuntut yang sukakan kisah pengembaraan, usaha Chong patut mendapat pujian kerana beliau merintis jalan yang agak kelam itu. Sesungguhnya bagi menghasilkan novel bahasa Melayu oleh seorang bukan Melayu amat menuntut ketabahan.

Chong belajar bahasa Malaysia secara persendirian ketika bertugas sebagai kerani di Majlis Bandaran Muar. Beliau menerima pendidikan di Sekolah St Andrew dan Sekolah Tinggi Muar sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Australia melalui Biasiswa Rancangan Colombo.

Yang Dipertua Persatuan Bahasa Kebangsaan Malaysia ketika itu, Woo Seng Hwa dalam kata pengantar novel itu menulis: "Hidup Antara Duri adalah novel Melayu yang pertama dikarang oleh seorang novelis bukan Melayu. Oleh demikian, terbukalah lembaran baru dalam sejarah perkembangan Kesusasteraan Melayu.

"Saya yakin percubaan berani ini akan menggalakkan pengarang bukan Melayu yang lain untuk berkecimpung dalam lapangan novel yang setakat ini hanya diperkayakan oleh karya-karya novelis Melayu.

"Tema karya ini berkisar kepada keharmonian, saling hormat menghormati dan cinta akan kaum-kam di Malaysia. Dari kaca mata susunan masyarakat Malaysia yang mengandungi pelbagai kaum, karya ini patut diberi penghargaan yang tinggi dan tempat yang penting kerana usaha pengarang untuk mencapai dan memupuk perpaduan kaum dan kehidupan aman damai bagi rakyat Malaysia.

"Tambahan pula, karya ini banyak mengandungi ciri-ciri kebudayaan Cina seperti 'Wu' dan 'Tong Su' dalam kepercayaan dan agama Cina. Pengarang bertujuan memperkenalkannya kepada pembaca-pembaca Melayu supaya mereka dapat memahaminya dengan lebih mendalam lagi."

Kini selepas 40 tahun kisah saling bantu membantu Ang Chow dan Penghulu Samad ditulis Chong melalui novelnya, Hidup Antara Duri, berlaku kerjasama paling rapat dan usaha paling hebat dalam faham memahami antara kaum.

Demikianlah Chong telah melihat ke depan akan pentingnya kerukunan hidup semua bangsa yang hasilnya sedang dan insya-Allah akan dinikmati dan tuai dengan lebih baik lagi pada masa depan. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Chong Chee Seong dan novel hebatnya ‘Hidup Antara Duri’.

Thursday, February 25, 2010

Pemikiran kreatif (Akhir): Konsep 'siapa dulu makan garam' matikan pemikiran kreatif

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)." (Al-A'raaf Ayat 26)

***


SELAMA beberapa siri, ruangan ini memperkatakan mengenai pemikiran kreatif dan kelebihan seseorang (terutama pelajar) yang memilikinya. Pemikiran begini sukar diterapkan di kalangan pelajar pusat pengajian tinggi apatah lagi di sekolah.

Di kebanyakan dewan kuliah, bilik darjah dan sebagainya, pelajar bersikap pasif, teragak-agak menjawab soalan guru dan pensyarah, enggan mengemukakan pendapat atau bertanya.

Jika dihalusi, setiap orang mempunyai pandangan dalam sesuatu perkara itu tetapi kebanyakannya tidak berupaya meluahkannya kepada orang lain. Ertinya pandangan itu tersimpan dalam diri seseorang, tidak pernah diluahkan.

Andai kata seseorang itu berupaya meluahkan pandangannya, timbul masalah juga kerana tidak semua pandangan itu dapat dikemukakan dengan tepat dan menepati apa yang dimaksudkannya.

Hal ini memang amat membingungkan kerana apa yang ingin dikemukakan, lain pula ditafsirkan orang.

Sikap seseorang itulah yang selalunya mempengaruhi dirinya untuk membentuk pendapat. Ini kerana kita selalunya merujuk kepada kejadian dialami serta pengalaman kita apabila mengeluarkan sesuatu pendapat itu.

Demikian juga dengan peristiwa yang kita dengar tetapi tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Kerana hal-hal ini, pendapat kita selalunya menjadi berat sebelah.

Kita yakin kita benar sedangkan kita tidak tahu kejadian di sebaliknya.

Kadang-kadang kepercayaan kita atau orang di sekeliling mempengaruhi diri kita dalam mengemukakan pendapat.

Misalnya, jika terdapat pantang larang (taboo) dalam sesebuah masyarakat, individu dalam kumpulan tersebut tidak akan melawan kehendak masyarakatnya walaupun kadang-kadang mereka ingin mengemukakan pendapat yang bertentangan dengan adat bangsa mereka.

Pendeknya kita bukannya bebas untuk mengemukakan pendapat kerana kita masih tebal dengan kepercayaan dan adat bangsa kita. Kata-kata 'siapa makan garam dulu, dialah lebih tahu' jelas membayangkan yang masyarakat kita memegang konsep siapa lebih tua dialah yang bijak atau pendapatnya yang layak diterima.

Demikianlah betapa sukar jika kita cuba mengubah pemikiran golongan lama yang berpegang kepada falsafah kononnya hanya Umnolah yang dapat menyelamat dan membangunkan rakyat, sesuai dengan slogan 'dulu, kini dan selamanya'.

Apabila golongan ini berhujah 'aku hanya mengikut adat warisan datuk nenekku', maka tahulah kita jawapan itu mematikan apa saja yang kita perjuangkan - pemikiran kreatif.

Sebab itulah golongan ini masih mempertahankan adat-adat lapuk yang bertentangan dengan ajaran agama Islam seperti pemujaan ulik mayang, main pantai, menurun, bersanding, joget lambak (cak kun cak) dan wayang kulit bercampur lelaki perempuan. - TAMAT

Wednesday, February 24, 2010

Mengaku cintai Rasul, tetapi dustai ajarannya

***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Q.S. Al-Anbiyak ayat 35)
***
BERSYUKUR ke hadrat Illahi kita dipanjangkan usia dan insya-Allah berkesempatan bersama-sama menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah s.a.w pada tanggal 12 Rabiulawal (26 Februari) ini.

Mengenang kelahiran, seterusnya mengimbau sirah baginda termasuk pahit getirnya menyerukan Islam, akan terasa betapa dekat diri ini padanya. Namun demikian itu hanya perasaan, hakikatnya kita semakin hari semakin jauh daripada kekasih Allah SWT itu. Apa tidaknya, kita cukup bimbang mulut kita saja berkomat-kamit menyebut nama Rasulullah dalam majlis-majlis seperti berzanji dan sambutan Maulidur Rasul sedangkan cara hidup kita tersasar daripada sunnah baginda.

Memang betul, pada majlis-majlis khas itu, kita begitu terbawa-bawa dalam memuji-muji Rasulullah, malangnya dalam banyak kes kehidupan, secara kita sedar atau tidak kita sebenarnya menghina Islam yang didakwahkan sepenuh jiwa oleh Rasulullah dan sahabat-sahabatnya itu.

Semua peraturan hidup termasuk hukum-hakam yang perlu diikuti oleh manusia sudah termaktub dalam kitab al-Quran dan hadis, tetapi apakah kita termasuk pemerintah, mengikuti atau berusaha bersungguh-sungguh melaksanakannya? Atau kita bermain-main terhadap apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w., mengikuti apa yang kita fikirkan sesuai untuk diri dan menolak apa yang difikirkan tidak sesuai?

Dalam perkembangan semasa di negara kita, kita amat dukacita apabila kes seperti dakwaan liwat dibicarakan luar daripada konteks kehendak Islam. Jelas sekali dalam menangani kes seperti ini Islam tidak diperlukan, lantas apakah maknanya kita meluangkan kecintaan kita kepada Rasululullah s.a.w. pada majlis-majlis khas seperti Maulidur Rasul? Saban tahun pada majlis-majlis seperti ini pemimpin akan beretorik, mengucapkan pesanan penuh syahdu seperti 'teladanilah Rasulullah s.a.w., nescaya kita akan selamat' atau pun 'Rasul adalah contoh ikutan'.

Dengan mengetepikan hukum-hakam Islam, dan kemudian membabitkan diri dalam membuka keaiban orang dalam suasana paling jijik dalam sejarah, tidak malukah kita untuk terus mengaku bahawa kita cintakan Rasulullah s.a.w.? Pada ketika kita begitu hebat melakukan maksiat dengan menghina ajaran Rasul yang pada anggapan kita tidak layak membicara kes seperti liwat ini, bagaimana mulut kita boleh berkomat-kamit menyebut dan memuji-muji Rasul?

Tanyalah diri kita secara jujur, apakah perbicaraan dalam kes liwat ini mengikut kehendak Rasul? Andainya Rasul hidup dan menyaksikan apa yang berlaku ini, apakah baginda akan bersenang hati mendengar puji-pujian kita pada majlis Maulidur Rasul sebaliknya apa yang diajarkan baginda tidak diamalkan dalam kehidupan umatnya? Apa kata Rasul jika diberitahu ada pemimpin mengaku Islam tidak mahu kes ini dibicarakan mengikut undang-undang Islam. Malah mereka menghalangnya daripada dibicarakan di mahkamah syariah.

Kemudian dalam kehidupan kita sendiri di mana kedudukan ajaran Rasul? Misalnya media massa, mengapakah diperincikan kejelekan seseorang yang belum pun didapati bersalah oleh mahkamah sekular. Apakah membuka keaiban seseorang, menelanjanginya itu ajaran Rasul?

Sebenarnya, kita adalah hipokrit paling besar; mendabik dada mengaku cintakan Rasul, tetapi sebenarnya kita penghina ajaran baginda. Ramai daripada kita adalah kaki rasuah, perompak harta negara, pengamal riba dan pemakan duit haram daripada sumber judi dan arak, tetapi sungguh aneh pada sambutan Maulidur Rasul, kita terhegeh-hegeh menjerit memberitahu satu dunia bahawa kita cintakan Rasul.

Contohilah Rasul, jerit pemimpin tetapi merekalah yang ke depan memboloti harta negara, sedangkan Rasul jauh daripada kesenangan dunia. Rumah Rasul terlalu daif, biasanya dapurnya tidak berasap selama beberapa hari. Hari baginda berlalu tanpa tidak berlapar, pakaiannya bertampal, perabot beliau hanya katilnya yang kasar dan apabila meninggal dunia tidak meninggalkan harta. Tidakkah jeritan pemimpin membayangkan kemunafikan mereka!

Tuesday, February 23, 2010

Umat Islam perlu banyak bertindak daripada cakap

***
Dengan nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
JANGAN BERSUMPAH SEMBARANGAN: Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah kalian bersumpah dengan nama-nama ayah-ayahmu, dengan nama ibu-ibu, juga janganlah kamu bersumpah dengan nama-nama dewa. Dan janganlah kamu bersumpah dengan nama Allah, kecuali kalian orang-orang yang benar." (HR. Abu Daud dan Nasa'i)
***

BAYANGKAN senario hari minggu ini. Sebaik saja bangun pagi kita bergegas ke bilik air. Gosok gigi dengan ubat gigi Darlie. Mandi dan kemudian sarungkan baju Camel dan seluar Levis. Tengah hari apabila terasa lapar kita bergegas ke restoran Kentucky Fried Chicken. Sudah kenyang mata mengantuk. Raba poket, keluarkan rokok Winston. Untuk hilangkan bosan, langkah ke hayun ke pawagam. Tengok filem Avatar.

Tanda sedar sebahagian besar barangan dan perkhidmatan yang kita gunakan sebenarnya datang dari jauh. Dari Amerika. Biasanya pada ketika tekanan ke atas umat Islam amat hebat seperti serangan ganas ke atas rakyat Palestin atau penghinaan ke atas Nabi Muhammad s.a.w., kita bercakap hebat untuk memulaukan barangan keluaran atau bercirikan Amerika dan Israel.

Gesaan atau kempen memulaukan barangan Amerika mungkin didorong daripada semangat berkobar-kobar untuk membalas apa yang dianggap ketidakadilan ke atas ummah, tetapi setakat mana kesungguhannya atau mungkinkah usaha itu hanya mampu hidup pada ketika krisis tetapi semakin lama semakin dilupakan.

Satu perkara begitu mendukacita yang melanda umat Islam dalam menangani masalah membabitkan ummah terutama dari aspek antarabangsa, adalah dengan gaya menunjuk-nunjuk (tunjuk perasaan, bantahan, mogok, pemulauan dan sebagainya). Amat sedikit sekali usaha dilakukan untuk menyelami punca masalah dan mencari jalan menyelesaikannya.

Hakikatnya umat Islam mesti kuat, mereka mesti keluar daripada kepompong pergantungan kepada kuasa besar dunia. Dewasa ini, hanya sebuah negara Islam yang mampu melakukannya iaitu Iran. Disebabkan ini, ia menjadi pusat cemburu kuasa besar Barat yang menunggu saja masa untuk menghancurkannya. Tetapi itu tidak semudah itu sebab pemimpin dan rakyat Iran mempunyai jati diri yang amat kuat.

Oleh itu, sewajarnya umat Islam belajar membangun dan memajukan diri sendiri. Masanya belum terlambat dan biarlah kita merangkak daripada tidak berbuat apa-apa. Kung Fu-Tze pernah berkata, 1,000 langkah bermula daripada langkah pertama. Umat Islam perlu mengakhiri sikap menyalahkan orang lain. Salahkah Amerika dan kuasa besar lain. Kutuk Amerika, kutuk Britain dan kutuk Rusia. Hantar memorandum meminta belas kasihan kepada pemimpin dunia seperti Barak Obama, tetapi seperti biasa ia tidak membantu ummah.

Walaupun Obama berjanji akan meningkatkan hubungan pihaknya dengan dunia Islam (malah dalam langkah terbarunya Obama telah melantik seorang wakil ke Pertubuhan Persidangan Islam, OIC), umat Islam terus dizalimi. Mereka yang gelar kumpulan fundamentalis Islam seperti Taliban diburu macam anjing kurap yang tiada nilai langsung.

Umat Islam perlu bangun daripada tidur yang lama. Sedar daripada mimpi. Kita sering bercakap mengenai keagungan zaman lampau. Zaman keemasan Islam ketika pemerintahan Umaiyah, Abasiyah atau pun zaman Uthmaniyah. Kita bangga dengan tokoh-tokoh seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Ulugbek, Ibnu Battuta dan sebagainya. Tetapi mengapa tidak pula mahu bercakap mengenai zaman keemasan Islam pada masa depan?

Mengapa kita tidak ubah sikap daripada memperkatakan sesuatu yang sudah berlaku kepada perkara yang berlaku? Misalnya sepatutnya kita bangga kerana Iran sebagai sebuah negara Islam telah berjaya memajukan loji nuklear sebagai sumber tenaga tetapi mengapa tidak sebuah pun negara Islam berani menghantar kawat tahniah? Pendeknya negara dan umat Islam terus diburu ketakutan, bimbang dikerjakan oleh kuasa besar dunia. Iraq dan Afghanistan (Taliban) sudah merasakan akibatnya, tentunya negara umat Islam lain tidak mahu menanggung risikonya.

Setiap umat Islam mesti ada wawasan memajukan diri. Jika umat itu maju, sekali gus Islam akan maju dan berupaya menjadi saingan dan digeruni oleh pihak musuh. Jika tidak umat Islam akan berada pada tahap sekarang. Sering di perkotak-katikkan oleh kuasa besar dan kita tidak berupaya untuk menentang dalam erti kata sebenarnya selain daripada hanya mengutuk, membantah, memulau dan sebagainya.

Sewajarnya pada tempoh yang dikatakan era kebangkitan Islam ini, cendekiawan Islam sudah ke depan dengan pelbagai rekaan dan ciptaan yang dapat membimbing umat ke zaman keemasannya semula.

Tetapi ini hampir tidak berlaku dan kita masih ditenggelami dengan tokoh-tokoh Barat dengan aneka macam ciptaan mereka. Kita masih agung-agungkan Ibnu Sina tetapi kita tidak mampu melahirkan banyak lagi ‘Ibnu Sina’ pada zaman baru ini. Sedangkan dunia Barat sudah melahirkan ramai ‘Thomas Eva Edison’ yang baru sesuai dengan zaman ini.

Untuk mencipta sesuatu ia ibarat panggang daripada api. Dunia dan umat Islam masih khayal dengan sengketa sesama mereka sedangkan dunia Barat sudah melakukan pelbagai langkah penyatuan misalnya penggunaan mata wang Euro untuk seluruh Eropah. Orang sudah menjejakkan kaki ke bulan sedangkan kita bagaikan pungguk masih ternanti-nanti kekasihnya yang tak kunjung tiba. Kita katakan ‘orang kita’ (Syeikh Muszaphar) sudah ke angkasa lepas, tetapi mana langkah susulannya? Adakah kita sudah memajukan teknologi roket dan seumpamanya?

Negara Islam masih terbelenggu. Terhimpit oleh masalah sendiri. Rakyatnya pula terpaksa memikirkan periuk nasi masing-masing daripada memikirkan sesuatu kemajuan untuk ummah. Untuk mengisi perut, bantuan asing diperlukan, jadi di manakah mereka mempunyai kekuatan untuk memikirkan nasib saudara seagama mereka.

Hanya dengan kembali ke Islam sepenuhnya termasuk perpaduan sesama ummah, barulah dapat ummah kembali ke zaman kegemilangannya. Tetapi apakah ia boleh berlaku dalam tempoh terdekat jika dilihat kelakuan umat Islam sendiri? Lihatlah di sekeliling, anda akan dapati berapa ramai anak-anak generasi muda orang Islam hanyut dalam budaya Barat khasnya, Amerika.

Anak-anak muda termasuk gadisnya dibalut pakaian jenama Amerika, jeans Levis dan sebagainya yang ketat sedangkan si lelaki terjepit rokok jenama Amerika juga. Mereka makan ‘fast food’ cara Amerika juga, malah restoran Kentucky Fried Chicken atau MacDonald’s bukan saja menjadi pemandangan biasa di negara umat Islam seperti Malaysia tetapi juga di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Sesungguhnya orang Islam sekarang, terutama generasi mudanya sudah ‘dibeli’ oleh Amerika, pengaruhnya dalam kehidupan hampir mencecah 100 peratus, jadi apa yang hendak diharapkan daripada generasi yang otaknya yang sudah berkiblat ke arah gaya hidup Amerika ini. Oleh itu, kepada mereka yang mendakwa sebagai pejuang Islam, bertindaklah segera sebelum golongan muda dikuasai sepenuhnya oleh budaya Amerika; ummah perlu banyakkan bertindak daripada bercakap!

Monday, February 22, 2010

Siri Pemikiran Kreatif (9): Pembaharuan (reformasi) menuntut pengorbanan

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Abdullah bin Amruy r.a. berkata: "Bersabda Rasulullah s.a.w. 'Sungguh untung orang yang masuk Islam dan rezekinya cukup dan merasa cukup dengan apa-apa pemberian Allah kepadanya'. (bersifat qanaah, tidak tamak)" (HR Muslim)
***

SUATU hari ketika berbual-bual persoalan agama dengan seorang penumpang bas di sebelah saya, beliau memberitahu dia berpuasa tiga bulan berturut-turut – sepanjang bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan.

Saya kagum dengan kegigihannya. Sebagai insan kurang arif, saya pun bertanyakan seorang ustaz mengenai amalan itu.

Kata ustaz berkenaan, mana ada amalan berpuasa berturut-turut sepanjang tiga bulan itu. Nabi tidak melakukannya. Ertinya pelakunya terikut-ikut dengan amalan orang lain yang ternyata bukan sunnah.

Demikianlah pendapat kita berkenaan pantang larang, soal-soal agama, perkara-perkara yang tidak sopan, kengerian (seperti takutkan hantu) dan bermacam-macam lagi, sebahagian besarnya adalah hasil daripada sogokan masyarakat sekeliling yang sama jahil dan tidak rasional macam kita dan bukannya terbentuk daripada penguasaan ilmu dan pemikiran yang benar-benar masak dan jitu.

Misalnya, masyarakat sesebuah kampung yang tidak tahu bahawa ‘kenduri arwah’ itu sebenarnya tidak diwajibkan dalam Islam, akan terus mengadakannya walaupun terpaksa berhutang dan bergolok gadai.

Kita juga berbangga apabila terdapat usaha untuk menunjukkan negara kita sebagai negara Islam contoh seperti mengadakan ujian tilawah (dulunya musabaqah dan pertandingan) membaca al-Quran tetapi kita buat-buat tidak peduli banyak binaan untuk majlis itu seperti pintu gerbang dan pentas dibina oleh orang bukan Islam.

Kita begitu ghairah untuk berarak dan berhimpun sempena Maulidur Rasul tetapi kita lupa papan tanda dan kain rentang yang kita arak itu dibikin oleh orang bukan Islam.

Kebanyakan pegangan mengenai agama ini langsung tidak boleh dipersoal kebenarannya. Ia ibarat lembu suci (sacred cow). Slogannya adalah seperti – lakukan, jika tidak berdosa. Itu saja kata-katanya, tetapi sudah cukup untuk membunuh kemampuan berfikir seseorang.

Kadang-kadang jika bernasib baik akan muncullah ‘Hang Nadim’ dan ‘Hang Jebat’ (sebagai lambang saja) yang berusaha mengubah apa yang kita fikirkan benar itu. Malangnya usaha mereka ini dipatahkan oleh orang yang mempunyai kuasa, kepentingan dan pengaruh.

Jika ada orang cuba menyatakan yang kenduri arwah itu tidak ada dalam Islam, orang seperti Pengerusi JKKK, Tok Imam, Tok Lebai dan ‘apa-apa Tok lagi’ (maaf bukan semuanya bersikap begini), akan menentang habis-habisan.

Apa yang peliknya orang tiada duit untuk membuat kenduri arwah pun menyebelahi Tok Imam yang seolah-olah mewajibkan kenduri arwah.

Mereka bukan menyokong membabi-buta tetapi takut dipulaukan masyarakatnya sendiri. Yang akhirnya mati adalah ‘Hang Nadim’, yang cuba membuat pembaharuan (reformasi) dalam masyarakatnya. ‘Hang Nadim’ yang muncul sekali sekala membawa agenda pembaharuan ini mungkin dipecat, diasing atau dihumbankan ke dalam penjara.

Dalam menghadapi masalah seharian, kebanyakan kita masih terlalu bergantung kepada ‘bisikan’ (pendapat) insan sekelompok dengan kita tanpa mengambil kira faktor lain. Kita tidak mengkaji sesuatu perkara itu, tetapi berkecenderungan membuat kesimpulan sendiri.

Dengan belajar mengenal diri, mengenal pasti sebab-sebab sebenar kita berpegang kepada pendapat kelompok dan mengenal pasti punca prasangka, tohmahan dan ‘bias’ kita (psychological reasons) sedikit sebanyak diharap dapat merombak kebuntuan emosi terhadap realiti.

Walaupun prosesnya panjang, sekurang-kurangnya kita sudah mula bergerak ke arah pembangunan dan kematangan berfikir. Bukankah Confucius pernah berkata, 1000 langkah (ke arah pembaharuan – reformasi) bermula dengan langkah pertama. – BERSAMBUNG

Sunday, February 21, 2010

Siri Pemikiran Kreatif (8): Memikul peti sejuk mendaki Gunung Everest

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan jangan sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain; dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya), maka merekalah orang-orang yang zalim. (Al-Hujurat: 11)
***

SETIAP tahun umat Islam memperingati dan menyambut Israk Mikraj. Sebahagian besar pengurusan surau dan masjid meneruskan tradisi iaitu menganjurkan ceramah atau pengkisahan semula perjalanan Rasulullah s.a.w. itu.

Salah satu kisah ialah Rasulullah s.a.w. menyaksikan segolongan manusia yang menambah pikulan demi pikulan sekalipun bebanan ditanggung sudah terlalu berat.

Ini membayangkan manusia itu cinta, gila dan tamakkan harta, pangkat, kedudukan, pengaruh, kuasa dan sebagainya sedangkan mereka tahu tanggungan tidak lagi terpikul oleh bahu mereka.

Bagaimanapun kisah ini hanya didengar saban tahun tetapi sebahagian besar manusia tidak mengambil iktibar apatah lagi berubah. Sebagai contoh ramai yang berebut-rebut jawatan di masjid, merampas pentadbiran masjid dan surau daripada AJK lama yang dilantik kariah dan menghalang kegiatan keagamaan di masjid.

Perebutan jawatan dan kuasa ini bukan berlaku dalam institusi masjid tetapi lebih parah lagi dalam pejabat, kampung, parti, negeri dan negara. Kebanyakan manusia berebutan jawatan sekalipun sedar bebanan sudah terlalu berat tetapi mereka ikutkan nafsu untuk berkuasa.

Manusia berwawasan adalah insan terpuji. Kebanyakannya mahu bahagia di dunia dan akhirat. Untuk mencapai matlamat tersebut, pendakian ke arahnya perlu dilakukan secara bijaksana dengan berpandukan ajaran Rasul.

Namun dalam pendakian tersebut, ramai yang 'membawa barangan tidak diperlukan' - ibarat seorang pendaki yang mahu ke puncak Gunung Everest tetapi dia memikul peti sejuk.

Dalam kehidupan, perkara seperti ini kerap berlaku. Misalnya, pelajar diamanahkan untuk belajar dengan matlamat untuk lulus cemerlang. Tetapi ramai yang memikul peti sejuk. Beban-beban itu adalah seperti bermain api cinta, menagih dadah, menyertai geng mat rempit atau yang paling mudah enggan belajar.

Untuk berjaya dalam hidup, tidak perlu bagi kita menggalas peti sejuk untuk ke puncak Everest. Seorang bijak pandai memberikan contoh mudah ini. Jika anda memasang lampu hadapan basikal anda dalam kegelapan malam, sudah tentu keadaan di depan anda terang.

Apa kata anda sengaja mencari pasal dengan memasang lampu-lampu lain di sekeliling basikal anda. Sudah tentu cahaya di depan menjadi malap menyebabkan kita hilang panduan menuju matlamat.

Jika sudah terlalu banyak perkara yang terpaksa kita fikirkan sedangkan ia tidak perlu, kita akan gagal dalam mengejar cita-cita kita. Kita perlu ingat bahawa otak kita hanya satu dan ia bukan mesin yang boleh bekerja 24 jam. Kita perlu rehat (tidur) bagi memastikan mesin itu bergerak lancar.

Mungkin kita bernasib baik pada satu-satu masa, ertinya kita bertuah. Bertuahnya diri kita bukannya sepanjang masa atau adanya kelebihan pada diri kita. Tiada orang yang bertuah sepanjang hayatnya. Ada kalanya bernasib tidak baik, seperti terbabit dalam kemalangan.

Dalam mengejar cita-cita, tentulah kegagalan sentiasa mengekori kita. Ditakdirkan kita gagal sedangkan kita sudah berusaha, ia dapat dijadikan teladan membangunkan usaha dan cita-cita kita.

Namun jika kita gagal kerana tidak dapat berfikir dengan matang, atau kita sudah tahu kelakuan kita itu tidak akan mendatangkan sebarang faedah pada diri kita, ia menunjukkan ketidaksempurnaan fikiran kita. Jika kita tahu api itu panas, buat apa kita hulurkan tangan, membakar diri.

Jika kita sudah tahu keadaan di puncak Everest keadaannya membeku, buat apa kita pikul peti sejuk ke sana. - BERSAMBUNG

Saturday, February 20, 2010

Siri Pemikiran Kreatif (7): Kebenaran tidak semestinya menang, kemenangan tidak semestinya benar

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Mula dan akhirnya Islam itu asing: Ibnu Umar r.a. menyatakan, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Islam itu mula-mula asing, dan akan kembali asing seperti semula. Dia akan kembali kepada dua masjid sebagaimana ular kembali ke sarangnya." (HR. Muslim)
Nota: Hanya orang yang benar-benar mendapat hidayah yang menyedari bahawa ajaran Islam sepenuhnya mengandungi kebenaran dan dia akan mempertahankan kebenaran Islam itu walaupun orang ramai mempertikaikan dan meremehkan ajaran-ajaran Islam yang diamalkan sebagaimana yang diajarkan oleh Baginda s.a.w. (HIDAYAH FEB 2010)
***

SEDANG anda memandu menghampiri sebuah persimpangan berlampu isyarat, anda terdengar bunyi siren. Anda pun mengerakkan kereta anda ke tepi, memberi laluan kenderaan yang anda sangkakan sebuah ambulans.

Bagaimanapun andaian anda salah. Kenderaan yang melepasi anda itu sebenarnya membawa orang besar dan berkuasa. Pegawai pengiring mengarahkan anda ke tepi dan kemudian konvoinya berdesup sekalipun lampu isyarat berwarna merah.

Demikianlah contoh menunjukkan bahawa ada orang lebih hebat daripada undang-undang. Mereka mengatasi undang-undang. Kisah 'The Emperor's New Clothes' (Pakaian Baru Raja) menceritakan bagaimana seseorang yang berkuasa itu sentiasa dikatakan betul sekalipun dia tidak betul (raja berbogel tetapi dikatakan berpakaian paling cantik dan hebat).

Anda benar kerana anda berkuasa. Yang penting di sini bukannya lojik sesuatu perkara itu tetapi siapa yang mengutarakan pendapat atau kata-kata tersebut.

Kata-kata seorang pengemis atau tukang sapu sampah mengenai politik sudah tentu tidak akan dipandang dengan sebelah mata walaupun apa yang mereka katakan itu ada kebenaran dan lojiknya.

Keadaan sebaliknya akan berlaku jika seorang raja atau mengemukakan pandangan. Walaupun kadang-kadang hal itu tidak masuk akal, disebabkan begitu berpengaruhnya orang tersebut, maka hal itu diterima juga orang awam kerana masing-masing terpaksa atau dipaksa mengakuinya.

Situasi ini berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Kita tidak lepas bebas kerana ada pihak yang mengikat diri kita. Dalam dunia hari ini, di mana terdapat aneka kemudahan dan penciptaan, dikatakan kehidupan kita semakin aman, hakikatnya mungkin tidak begitu.

Kita semakin takut, takut akan bayang-bayang kita sendiri dan juga takut kepada orang di atas kita kerana bagi mereka segala yang mereka utarakan kepada orang bawahan itu mereka anggap benar walaupun tidak benar.

Kisah pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat dalam dunia lama Melayu mungkin boleh dijadikan contoh mengenai apa yang didakwa betul dan tidak betul. Pada mulanya, Sultan mendapati Hang Tuah tidak betul dan perlu dihukum.

Hang Tuah disembunyikan Bendahara Tun Perak di Ulu Melaka. Selepas Hang Jebat mengamuk dan Hang Tuah diperlukan untuk menghapuskannya, Hang Tuah dikatakan tidak bersalah pula. Hari ini Hang Tuah bersalah, esok Hang Jebat pula bersalah yang yang sentiasa betul adalah Sultan.

Sultan akan sentiasa betul kerana baginda mempunyai kuasa. Kerana kuasa di tangan baginda, orang bawahan tiada hak untuk menyatakan sesuatu itu betul atau sebaliknya.

Dunia ini memang aneh. 'Kebenaran' dapat dibeli dengan wang ringgit. Dengan itu siapa yang banyak wang dan berkuasa, dialah yang 'benar'. Dan orang yang membenarkannya mempunyai kepentingan sendiri.

Bagaimanapun 'kebenaran' yang dibeli dengan wang ringgit ataupun yang ada udang di sebalik batu tidak bertahan lama.

Dalam kisah 'The Emperor's New Clothes' sendiri memperlihatkan kebijaksanaan seorang budak yang dapat mengalahkan raja; memang raja bersalah dan tidaklah payah untuk diselindungkan keaiban raja seperti dilakukan menteri-menterinya.

Mengenai kebenaran dan kemenangan, bijak pandai mengungkapkan "kebenaran itu tidak semestinya menang, dan kemenangan itu tidak semestinya benar." - BERSAMBUNG

Friday, February 19, 2010

Siri Pemikiran Kreatif (6): Indoktrinasi gagal bentuk masyarakat madani

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Abu Hurairah r.a. berkata: “Datanglah seseorang kepada Nabi s.a.w. dan bertanya: Siapakah yang berhak aku layani dengan sebaik-baiknya? Jawab Nabi s.a.w.: Ibumu. Kemudian siapa? Jawab Nabi: Ibumu. Kemudian siapa? Jawab Nabi: Ibumu. Lalu siapa lagi? Jawab Nabi: Ayahmu.” (HR. Bukhari, Muslim)
***

HANYA Umno-BN saja mampu buat itu dan ini. Hanya Umno-BN saja yang mampu perintah negara - demikian antara lain kita disogokkan dengan slogan berbentuk indoktrinasi.

Sejak kecil sehingga dewasa dan seterusnya tua, kita menerima apa saja yang disogokkan tanpa kita berusaha menyelidiki kebenaran atau hakikat sesuatu perkara itu.

Sebagai contoh ramai daripada kita diajar hal ehwal agama semasa kecil tanpa memahami apa yang sebenar kita pelajari.

Ramai orang mengaji (membaca al-Quran) tetapi sangat sedikit daripadanya memahami maksud ayat yang dibaca apatah lagi mengamalkannya.

Orang dewasa menyuruh kita sembahyang tetapi ramai daripada kita tidak faham apakah tujuan kita berbuat demikian dan pengertian ayat yang kita baca ketika solat.

Ketika kecil, ramai daripada kita dipaksa menyerap dan menanam fahaman dan ajaran ke dalam diri kita secara bulat-bulat tanpa dapat mempersoalkan apa yang kita lakukan.

Apabila dewasa dan tiada lagi pihak berkuasa (ibu bapa sudah jauh dari mata) mengawasi dan memaksa kita melakukan ibadat tersebut (seperti sembahyang), sebahagian daripada kita secara perlahan-lahan meninggalkan atau melakukannya hanya sebagai satu kebiasaan saja.

Mereka yang melakukan ibadat tersebut, sebahagiannya hanya mengharapkan pahala (balasan baik) dan dijauhkan daripada seksaan api neraka.

Hal yang sama berlaku tatkala kita dewasa. Kita dipaksa menerima fahaman-fahaman yang ternyata kita sendiri tidak faham tetapi kita juga tidak mempunyai hak mempersoalkannya.

Orang lain cuba mengambil kesempatan daripada kelemahan kita untuk menanamkan fahaman-fahaman dan kepercayaan ini.

Dari segi jangka pendek, indoktrinasi kelihatan berkesan tetapi dari segi jangka panjang pula, amalan jenis ini tidak dapat diterima kerana manusia mempunyai naluri untuk memikirkan fahaman serta ajaran apa yang mereka fikirkan baik apabila mereka diberi kebebasan.

Ambillah iktibar indoktrinasi fahaman komunis yang selama 70 tahun membelenggu rakyat Soviet Union dan negara Eropah Timur, akhirnya hancur begitu saja.

Secara lojiknya, seseorang itu berhak memikirkan apakah sebenarnya tujuan dirinya menganuti sesuatu fahaman atau ajaran itu. Jika tidak, maka tidak gunalah manusia dikurniakan akan oleh Allah SWT.

Kemungkinan amalan indoktrinasi ini digunakan oleh pihak yang gagal mendapatkan pengikut dan penyokong menyebabkan mereka bertindak memaksa orang lain menerima fahaman mereka itu.

Apabila cara ini digunakan seolah-olah ia menyekat sama sekali kebebasan manusia berfikir, otak manusia dipaksa menerima apa yang tidak dapat difikirkan dari seggi lojiknya.

Perlu diingat manusia boleh berubah-rubahh cara pemikiran dan tindak-tanduknya. Seseorang yang dikerahkan setiap kali untuk melakukan sesuatu kerja akan bergantung kepada kerahan untuk membolehkan dia melakukan kerja.

Jika diberi kebebasan, hampir pasti orang ini akan sukar menggunakan daya pemikirannya dan tidak dapat berbuat apa-apa dalam kehidupan bebas. Hanya dengan perintah dan kerahan saja, dia boleh melakukan kerja.

Dengan mengamalkan indoktrinasi, daya pemikiran kita tidak berkembang sepatutnya, tetapi menurut apa yang dipaksakan ke dalam jiwa kita.

Kita menerimanya bukan kerana kita rela tetapi dipaksa. Lama kelamaan kita mungkin akan sebati dengan ajaran ini, tetapi ternyata kita terus tidak mempunyai keyakinan pada diri kita sendiri kerana segala yang kita lakukan, bukanlah dengan hati yang rela.

Selepas membaca penjelasan ini, bukalah gedung hati kita seluas-luasnya dan fikir-fikirkanlah sama ada slogan dan indoktrinasi ‘Hanya Umno-BN saja yang boleh buat itu ini’ atau ‘Hanya Umno-BN saja boleh perintah negara’ adalah betul atau mengarut saja! - BERSAMBUNG

Thursday, February 18, 2010

Laksana diat cegah nahas jalan raya

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Khonsa binti Khidam r.a. menyatakan; "Ketika dia sudah menjanda, ayahnya menikahkannya (dengan seorang lelaki pilihan ayahnya). Dia tidak menyukai hal tersebut, maka menghadaplah dia kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda membatalkan pernikahannya." (HR, Bukhari dan Abu Daud)
***

KINI, apabila orang ramai berpusu-pusu balik kampung sempena cuti panjang Tahun Baharu Cina, isu kemalangan jalan raya kembali panas.

Biasanya, bagi menghadapi permasalahan nahas jalan raya ini, kaedah penyelesaian ditawarkan bersifat konvensional seperti menyemarakkan kempen, mengadakan operasi khas dan meningkatkan mutu jalan raya tetapi tidak pernah dilihat kebarakahan kehidupan berdasarkan undang-undang Islam.

Kita berpendapat sudah sampai masanya pihak berkuasa melihat isu kemalangan jalan raya ini dari sudut Islam termasuk diat (pampasan) akibat daripada jenayah pembunuhan. Antara kitab boleh dirujuk adalah Bahru Mazi syarahan Syeikh Idris Marbawi.

Hukum jenayah Islam terbahagi kepada hukum hudud, qisas dan ta’zir. Hukum qisas yang dari segi bahasanya bermaksud memotong dan dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. kerana kesalahan-kesalahan melibatkan hak individu.

Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mata, hidung dan telinga.

Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya.” (Surah al-Maidah ayat 45)

Sementara itu diat adalah denda yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas. Kadar diat dikira mengikut bilangan unta iaitu harta yang paling bernilai. Kadar penuh diat 100 ekor unta.

Bagi jenayah membunuh dengan sengaja, ada dua hukuman iaitu qisas dan diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Pemerintah tidak ada kuasa dalam pengampunan.

Pembunuhan separuh sengaja dikenakan diat 100 ekor unta manakala pembunuhan tidak sengaja dihukum membayar pampasan 100 ekor unta. Hukuman bagi jenayah pembunuhan separuh sengaja dan pembunuhan tidak sengaja adalah diat sahaja. Qisas tidak dikenakan.

Sementara itu diat jenayah kerana mencederakan anggota ada pelbagai kategori seperti 100 ekor unta untuk anggota tunggal seperti terputusnya lidah, hilang akal, menyebabkan lumpuh seluruh anggota badan dan hilang keupayaan bersetubuh.

Pampasan 50 ekor unta dikenakan untuk anggota berpasangan, jika kedua-duanya terlibat maka diatnya 100 unta. Ia melibatkan salah satu daripada kaki atau tangan, mata dan telinga. Demikianlah ada pampasan lebih rendah jika membabitkan kecederaan lebih ringan.

Kita mengesyorkan dikaji jika berlaku sesuatu kemalangan jalan raya membabitkan mangsa yang terbunuh apakah si pelanggar atau orang mengakibatkan nahas itu perlu membayar diat.

Jika si pelanggar sengaja melakukannya; seperti dia sudah mengenal mangsa dan berhajat membunuhnya dengan melanggarnya bererti dia sudah melakukan satu pembunuhan, hukumannya adalah qisas bunuh. Dia akan dihukum mati.

Kalau si pelanggar tadi, tidak sengaja dan mangsa dilanggarnya mati; bererti dia membunuh secara tidak sengaja. Apabila ini berlaku dia perlu membayar diat 100 ekor unta. Dan apabila si pelanggar tadi, mengakibatkan orang dilanggarnya cedera, dia boleh dikenakan membayar diat 100, 50 ekor unta dan seterusnya.

Demikianlah dalam Islam, hukumnya yang datang daripada Allah SWT adalah menyeluruh; menyentuh soal kematian dan kecederaan termasuk dalam nahas jalan raya. Apabila hukum qisas dan diat dilaksanakan termasuk di atas jalan raya, tentulah pengguna jalan raya gementar dan berhati-hati memandu. Kita yakin kemalangan dapat dikurangkan mengikut undang-undang Allah ini.

Wednesday, February 17, 2010

Siri Pemikiran Kreatif (5): Hentikan budaya pak turut dengan ‘copycat’

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Wasiat Nabi Ibrahim a.s.: Allah SWT berfirman: “Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian juga Ya’qub. Ibrahim berkata, ‘Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk Islam’.” (Al-Baqarah: 132)
***

DALAM kehidupan seharian, ramai manusia suka menjadi pak turut (tidak payah berfikir kerana berfikir itu bukannya mudah). Mereka menyokong bentuk-bentuk pemikiran sedia ada seperti belajar secara menghafal (gaya burung kakatua), menyokong membabi buta slogan 'dulu, kini dan selamanya' dan menganggap cara-cara yang ada sebagai sesuatu paling ideal.

Pengamal budaya ini gagal berfikir bahawa dunia ini sentiasa berubah, sebagai contoh, dulunya dia muda tetapi kini sudah tua; dulu dia gagah sekarang dia sudah lemah.

Jika ada pihak atau individu yang cuba membawa perubahan, tanpa soal selidik, mereka akan dipandang serong atau dianggap menyongsang arus. Orang yang tidak ingin melihat perubahan akan cukup puas dengan keadaan di sekelilingnya yang kelihatan begitu ‘natural’ seolah-olah itu saja yang diperlukan dalam hidupnya.

Dia gagal mengaitkan apa yang ‘natural’ pada anggapannya itu. Hakikatnya adalah berdasarkan perubahan-perubahan yang berlaku semalam, kelmarin, seminggu, sebulan atau setahun lalu.

Mereka yang lahir dan membesar dalam keadaan serba moden tidak menyedari buku yang dibacanya, lampu yang menyinari biliknya atau komputer yang digunakan untuk menaip artikel ini, adalah berpunca daripada mereka yang mempunyai fikiran kreatif.

Daripada perasaan ingin tahu dan digabungkan dengan pemerhatian terhadap alam sekeliling, dapatlah individu atau kumpulan yang kreatif, menghasilkan alat-alat yang berfaedah kepada manusia.

Untuk mengamalkan pemikiran binatang bukannya susah sangat. Seekor lembu yang berada dalam kandang moden, misalnya, tidak perlu mengambil tahu siapa dan bagaimana kandangnya dibuat.

Seekor kucing kesayangan tuannya yang menjilat susu dari piring, tidak perlu tahu daripada apa piring itu diperbuat. Seorang manusia yang memakai baju tidak perlu mengambil tahu bagaimana bajunya dibuat – kalaulah manusia itu hendak menyamakan pemikirannya dengan apa yang dimiliki binatang!

Hakikatnya manusia enggan disamakan pemikirannya dengan binatang . Kita seronok bersiar-siar dengan Mercedes Benz, kita berbual-bual dengan menghantar SMS kepada kekasih, kita tunggang Kris untuk pergi kuliah, kita pakai lipstik dan mekap untuk menarik perhatian lelaki pujaan hati – tanpa sedikit pun rasa malu kerana tidak langsung memikirkan ruang lingkup pengetahuan serta pemprosesan bagi menghasilkan benda-benda yang kita gunakan.

Bahkan, jika ada yang berusaha mengambil tahu siapa dan bagaimana sesuatu barangan itu dihasilkan, pengetahuannya hanyalah setakat itu saja. Jarang benar seseorang itu berusaha ‘pergi’ lebih jauh lagi.

Sewajarnya kita melanjutkan pengetahuan (perasaan ingin tahu) untuk menghasilkan benda lebih baik daripada yang yang kita gunakan. Inilah namanya perubahan dalam pemikiran kreatif yang sudah menjadi budaya sesetengah bangsa maju.

Orang Jepun terkenal sebagai ‘copycat’ paling hebat di dunia. Hasil kerja (barangan) dari Eropah, mereka ‘modified’ untuk kegunaan masyarakat Asia dan hari ini terbukti usaha gigih mereka membuahkan hasil lumayan.

Sebut saja apa saja barangan, daripada kereta kepada peralatan rumah – kebanyakannya tertera perkataan ‘Made in Japan’. Bukankah ini menunjukkan betapa besarnya manfaat jika seseorang mempunyai pemikiran kreatif? - BERSAMBUNG

Tuesday, February 16, 2010

Siri Pemikiran Kreatif (4): Enggan berubah kerana mahu ambil hati nenek moyang?

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Orang Miskin Yang Sebenarnya: Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Yang disebut orang miskin itu bukanlah peminta-peminta yang diberi satu atau dua biji kurma, atau sesuap dua makanan. Tetapi orang miskin sesungguhnya, ialah orang yang tahu menjaga diri daripada meminta-minta. Jika engkau mahu bacalah firman Allah SWT: “…mereka tidak meminta-minta kepada orang banyak dengan mendesak…(Al-Baqarah: 273).” – (HR. Muslim)
***

KEMATIAN mengingatkan kita bahawa manusia itu perlu bersedia berubah (berhijrah) ke kedudukan yang lebik baik.

Bagaimanapun, hakikatnya, ramai manusia tidak bersedia berubah. Masih ramai yang berpegang kepada amalan nenek moyang walaupun menyedari perbuatan itu salah. Apakah ini bermakna kita enggan berubah kerana tidak mahu mengecilkan hati nenek moyang kita?

Kita nampak wajah kita tidaklah secantik mana dalam cermin. Kita juga tahu kita tidaklah sebijak mana. Kita selalu berasa rendah diri melihat orang lebih berjaya dan pandai daripada kita.

Kita tidak suka akan diri kita dan mula membayang-bayangkan diri kita sebagai orang lain pula. Sepatutnya kita berusaha untuk membaiki kelemahan yang ada pada diri kita dan seterusnya bersedia untuk berubah.

Kalau kita tidak sepandai orang lain, cari sebab musababnya. Tanya diri sendiri, adakah aku sudah belajar secukupnya atau betulkah cara aku belajar itu.

Namun lebih ramai manusia lebih gemar membuat perbandingan dirinya dengan orang lain seterusnya mengambil pendekatan negatif.

Langkah memencilkan diri adalah salah satu daripadanya. Memang benar dengan memencilkan diri, akan kuranglah perhubungan kita dengan orang lain. Orang ini hanya mementingkan egonya saja.

Hatinya tidak sakit (hati biasanya sakit apabila berhubungan sesama manusia), tetapi dengan memencilkan diri, apa yang dapat kita sumbangkan kepada masyarakat?

Orang yang suka menjatuhkan kewibawaan diri sendiri adalah ibarat bangkai yang menjadi makanan burung nasar (vulture). Seperti bangkai, manusia bersifat ini, membiarkan dirinya sebagai mangsa.

Ramai daripada kita mempunyai sifat patut mematut kepada ego sendiri. Perlakuan ini seolah-olah membayangkan diri kita sungguh lemah sekali – belum pun orang lain mengatakan kita lemah, kita terlebih dahulu mengaku yang diri kita lemah. Belum pun berjuang, kita sudah mengaku kalah. Daripada membenarkan orang lain mengkritik, kita merendahkan diri terlebih dahulu.

Sikap memandang rendah kepada diri sendiri mungkin berpunca daripada pengalaman masa kita kecil. Sebagai budak, banyak daripada perlakuan kita adalah salah. Abang, kakak, ibu dan bapa, semuanya marah, tegur dan kritik kita.

Akibatnya, harga diri kita retak. Kita menerima saja kekurangan, kebodohan dan kejahilan kita sebagai kenyataan yang tidak boleh diubah.

Selama tiada orang memberitahu kita, selama itulah kita mengikut pendapat jahil kita yang kita sangkakan benar itu.

Hakikatnya, perkara seperti kepandaian, kebolehan berkawan, kebolehan kreatif dan daya penarik boleh berubah.

Namun tahun demi tahun, kita hanya menerima diri kita sebagai diri kita yang lama dan berterusan mengeluh kerana kurang berpuas hati dengan diri sendiri.

Namun sampai bilakah kita boleh bertahan dengan amalan karut tidak boleh berubah ini? Lambat-laun kita akan sedar bahawa kita perlu berubah ke arah kebaikan. Keadaan fizikal kita pun berubah. Dulu kita muda, sekarang kita sudah tua. Dulu kita cantik, sekarang kulit pun sudah berkedut.

Jika ramai manusia berhijrah sudah berjaya, apakah kita masih mahu terus berada dalam kepompong ‘dulu, kini dan selamanya’. Ulat dalam kepompong pun sudah keluar, malah sudah terbang menjadi rama-rama.

Bersedialah untuk mengucapkan selamat jalan kepada slogan lapuk ‘dulu, kini dan selamanya’. Apabila kita membuka jendela hati kita, bermakna kejayaan sudah berada dalam jangkauan. – BERSAMBUNG

Monday, February 15, 2010

Siri Pemikiran Kreatif (3): Berani kerana ramai, bukan kerana benar

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
“Takutlah kamu akan hari yang akan dikembalikan kamu pada hari itu kepada Allah, kemudian disempurnakan (balasan) tiap-tiap orang apa usahanya, sedang mereka itu tiada teraniaya.”
***

KITA bakar pejabat…demikian antara lain kata-kata garang seorang pemimpin. Seseorang yang kreatif tidak akan membiarkan ancaman ini berlalu begitu saja tanpa menganalisisnya.

Pemimpin berkenaan berani membuat hasutan berkenaan kerana dia berada dalam kumpulan orang ramai atau pengikutnya. Jika keseorangan hampir pasti dia tidak akan berani berbuat demikian. Jika dia menjerit ketika itu (berseorangan), orang lain akan mengecopnya sebagai gila.

Seseorang yang kreatif akan mengaitkan lagak pemimpin itu dengan sikap manusia yang dikenali sebagai ‘collective behaviour’ (tindak-tanduk bersama).

Kelakuan manusia berbeza sama sekali apabila di bersendirian atau berada dalam sesebuah kumpulan (beramai). Kelakuan beramai mempunyai ciri tertentu yang membolehkan kita mengenal pasti dan mengkaji tingkah-laku manusia dalam situasi itu.

Perlakuan manusia semasa beramai mempunyai sifat-sifat tidak tersusun , spontan, emosional dan tidak dapat diramalkan (unpredictable).

Individu yang termasuk dalam keramaian, bertindak kepada sesuatu perangsang (stimulus) yang berupa orang, peristiwa atau apa-apa saja yang boleh menimbulkan emosi rancak.

Contoh ‘collective behaviour’ adalah seperti satu perhimpunan, rusuhan, orang berlari menuju ke sesuatu sasaran atau lari daripada punca bahaya, sekumpulan orang yang mengikuti perkembangan fesyen, sekumpulan penonton di padang bola, mereka yang berpegang kepada falsafah pak turut (seperti pengamal slogan ‘dulu, kini dan selamanya’) dan budak-budak sekolah atau gadis kilang yang bertempik beramai-ramai kerana kononnya ternampak hantu.

Seseorang yang bersendirian akan mengamalkan sifat-sifat yang asli pada dirinya – jika dia seorang yang baik, maka dia akan menunjukkan kelakuan yang baik, sebaliknya apabila berada dalam sesebuah kumpulan, perlakuannya boleh berubah dalam sekelip mata.

Seseorang yang berperangai baik, tiba-tiba saja menunjukkan perubahan dalam sesuatu majlis seperti pesta dansa atau perhimpunan. Kelakuan biasanya yang penuh sopan santun, tiba-tiba menjadi liar di majlis tersebut kerana di sana orang melakukan ‘collective behaviour’. Atas alasan orang lain pun melakukannya, seseorang itu tidak berasa bersalah apabila berkelakuan liar.

Bukankah ada falsafah yang mengibaratkan kekuatan manusia itu dengan lidi penyapu. Jika hanya sebatang, ia akan mudah patah tetapi apabila lidi itu disimpul menjadi penyapu, ia akan bermanfaat kepada manusia.

Demikianlah juga dengan sifat manusia – apabila bersendirian dia adalah lemah dan penakut – ibarat seekor tikus yang sentiasa takut akan bayang-bayang kemampuannya, jauh daripada takutkan bayangkan kucing. Sebenarnya kucing tidak wujud, tikus hanya takut pada dirinya saja.

Namun apabila berkumpulan, barulah manusia berani dan lantang. Berani bercakap berapi-api dan latang termasuk untuk ‘membakar itu dan ini’ kerana dia yakin mendapat sokongan dan akan dibela oleh ribuan bahkan jutaan pak turut di belakangnya.

Apabila kembali dan duduk bersendirian dalam biliknya, dia akan sedar bahawa dia amat lemah dan kemudian akan kembali memikirkan mengenai diri dan kepentingan dirinya saja.

Bagi seseorang yang insaf pula, akan berfikir betapa lemahnya dia nanti dalam kubur menghadapi balasan baik dan jahat, juga secara bersendirian. – BERSAMBUNG

Sunday, February 14, 2010

Siri Pemikiran Kreatif (2): ‘Hang Nadim’ dibunuh demi mengekalkan kuasa

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
“Katakanlah, jika kamu menyintai Allah maka ikutilah aku (rasul) nescaya Allah akan mengasihanimu…” (Q.S. Ali Imran: 31)
***

BANJIR di Kuala Lumpur tidak lama dulu pasti membuatkan seseorang yang kreatif, berfikir keras. Mereka termasuklah tauke bengkel kenderaan yang bakal untung besar.

Sudah banyak jaminan dibuat bagi mengatasi banjir, tetapi hasilnya tidak seberapa. Usaha paling akhir ialah membina ‘longkang pintar’ yang kini dinamakan ‘Terowong Smart’. Tetapi jangan terkejut dan marah apabila banjir Lumpur sekali sekala melanda Kuala Lumpur kerana namanya pun membayangkan keadaan tempatnya.

Keupayaan dan ketidak-upayaan seseorang untuk membuat analisis, memisahkan antara mereka yang boleh berfikir secara kreatif ataupun tidak. Penulis-penulis kreatif seperti Sherlock Holmes dan di tanah air kita seperti Allahyarham Usman Awang mempunyai sifat penelitian ini.

Kebanyakan orang memandang sesuatu perkara itu secara datar sahaja. Hal ini tidak akan membawa seseorang itu berfikir secara kreatif. Disebabkan tidak dapat berfikir secara kreatif, maka tidak ada perkara baru yang dapat disumbangkan kepada masyarakat untuk manfaat bersama.

Mereka yang tidak membuka mata dan hati dengan luas – hanya memikirkan mengenai perkara yang berkaitan dirinya saja, tidak akan tajam pemerhatian mereka. Misalnya seorang pelajar yang hanya memikirkan gred mata pelajarannya dan hal berkaitan peribadinya saja, tidak akan dapat melihat dan menganalisis peristiwa yang berlaku di depan matanya.

Jika dia nampak pun peristiwa tersebut, kerana tidak mempunyai pemerhatian yang tajam, dia akan gagal memahami peristiwa tersebut kerana tidak berkeupayaan untuk mengaitkannya dengan perkara-perkara lain.

Perasaan ingin tahu akan melahirkan persoalan seperti mengapa, bagaimana, apa puncanya, betulkah begitu dan apa sebabnya. Kerana naluri ingin tahu inilah manusia berfikir dan pemikiran inilah titik permulaan pemikiran kreatif.

Persoalan-persoalan yang bermain dalam kepala adik beradik Wright adalah, bolehkah manusia itu terbang? Berdasarkan pemerhatian teliti mereka terhadap keupayaan burung terbang, akhirnya dapatlah mereka mencipta kapal terbang.

Newton juga dapat menggariskan ‘Newton’s Law of Gravity’ setelah mengaitkan persoalan dalam kepalanya dengan kejadian epal jatuh dari pokok. Malangnya Newton sendiri tidak tahu nama beliau digunakan untuk menerangkan satu teori!

Usaha untuk memperluaskan penggunaan daya pemikiran kreatif, walaupun akhirnya mendatangkan manfaat kepada individu, masyarakat, negara dan manusia sejagat, pada permulaannya akan mendapat penentangan hebat daripada hampir semua pihak.

Pihak yang memegang kuasa sudah tentu tidak akan membiarkan perkara ini berlaku kerana mereka lebih berminat mempertahankan keadaan sedia ada supaya kedudukan dan kepentingan mereka tidak tergugat.

Kajilah sejarah bagaimana seorang budak bijak bernama Hang Nadim berjaya mematahkan serangan ikan todak ke atas pulau Singapura dengan menggunakan batang pisang. Cemas dengan kebijaksanaan budak ini, akhirnya dia difitnah dan dibunuh.

Demikianlah hari ini ramai ‘Hang Nadim’ dibunuh bagi membolehkan pihak tertentu termasuk penguasa paling besar meneruskan kerakusan mereka. Tetapi sampai bila mereka dapat memdabik dada kerana pemerintah besar seperti Firaun dan Namrud pun akhirnya tersungkur dim amah bumi! – BERSAMBUNG

Saturday, February 13, 2010

Siri Pemikiran Kreatif (1): Kembangkan pemikiran kreatif untuk kepentingan bersama

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
“Kamu telah dilalaikan oleh perlumbaan (memperbanyakkan harta benda dan anak-anak).” (Q.S. At Takatsur: 1)
***

PRASARANA dunia maju tetapi mentaliti pemimpin dunia ketiga – demikian seorang pemimpin negara mengungkapkan sikap rakyat baru-baru ini.

Rakyat yang pasif akan menerima saja dakwaan ini tetapi seseorang yang kreatif akan memikir-mikirkan dakwaan itu.

Misalnya, benarkan prasarana negara bertaraf ‘world class’? Pemikiran kreatif inilah yang perlu dikembangkan di kalangan rakyat agar mereka tidak bersikap jumud dan mengagung-agungkan secara membabi-buta slogan ‘dulu, kini dan selamanya’.

Ini kerana desakan ingin tahu, Newton akhirnya berjaya menggariskan 'Newton’s Law of Gravity'. Keupayaaan dan ketidak-upayaan seseorang itu mengaitkan desakan ingin tahunya dengan pemerhatiannya terhadap alam semula jadi, memisahkan antara mereka yang boleh mengambil manfaat daripada pemikirannya atau sebaliknya.

Kebanyakan daripada kita mengambil manfaat daripada sesuatu ciptaan itu tanpa berfikir penat lelah orang di belakang penciptaan tersebut. Orang cipta komputer, malah kaedah komunikasi seperti blog ini, kita hanya tahu memakainya tetapi tidak pernah berusaha mengenal penciptanya.

Pemikiran kreatif adalah berpunca daripada desakan ingin tahu manusia. Tidak ramai insan mempunyai kemampuan untuk berfikir secara kreatif. Ini kerana tanpa pemikiran ini pun seseorang itu masih dapat hidup dalam keadaan aman sentosa. Ertinya, ia tidak menggugat kepentingan seseorang.

Sudah menjadi lumrah, manusia lebih cenderung berfikir mengenai perkara-perkara yang mendatangkan kepentingan kepada dirinya serta memfokuskan peribadi orang lain.

Pepatah Inggeris ada menyatakan ‘curiosity kills the cat’, namun bukanlah kucing kita jadikan teladan sebagai pegangan kita tetapi ia dijadikan landasan perasaan ingin tahu kita itu.

Perasaan ingin tahu kita itu hendaklah dapat menolong kita dan manusia sejagat. Daya ingin tahu yang mendatangkan manfaat ini dipanggil ‘idle curiosity’.

Selalunya apabila menaiki bas untuk perjalanan jauh, kita mengelamunkan perkara-perkara yang berkisar mengenai diri kita, kawan kita, keluarga kita dan sebagainya.

Lebih-lebih lagi perjalanan tersebut adalah untuk pulang ke kampung halaman setelah lama di perantauan – terbayanglah wajah-wajah orang tersayang di depan mata kita. Kita ingin segera sampai, tetapi realitinya masa adalah tetap sama – ia tidak akan cepat atau lambat sesaat pun.

Hanya segelintir manusia yang dapat menumpukan perhatian kepada penumpang lain secara ‘detail’, seterusnya membuat kesimpulan-kesimpulan bertingkat.

Demikian halnya apabila pertama kali masuk ke sesebuah bilik atau pejabat. Sesetengah orang berkeupayaan memerhatikan keadaan di dalam bilik atau pejabat tersebut – susunan barang-barang dan perhiasannya – seterusnya membuat penilaian watak pemiliknya!

Ertinya dia sudah membaca sebahagian pemikiran dan watak orang berkenaan. Tidakkah ini suatu kelebihan? – BERSAMBUNG

Friday, February 12, 2010

Terpaksa berjalan satu kilometer ke Hentian Puduraya

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Abu Hurairah r.a. berkata: bersabda Nabi s.a.w.: "Bukannya kekayaan itu kerana banyaknya harta benda, tetapi kekayaan yang sebenar adalah kaya hati. (HR. Bukhari, Muslim)
***

PAGI ini (12 Februari) saya menaiki bas ekspres Delima (Melaka-KL) jam 7.00 pagi dari Melaka Sentral. Bas menyusuri jejambat baru berhampiran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kira-kira jam 9.00 pagi. Alhamdulillah, ini kali pertama saya menggunakannya. Bersyukur kepada Illahi dan terima kasih kerajaan kerana bersusah payah untuk kesenangan rakyat.

Memasuki Jalan Pudu, bas 'tersangkut' dekat Hotel Swiss Garden. Deretan bas menuju Hentian Puduraya adalah sejauh satu kilometer. Terpaksalah penulis turun dan berjalan kaki menuju perhentian berkenaan.

Berjalan kaki memanglah riadah amat baik. Di Hentian Puduraya sesak sungguh. Orang ramai mahu balik kampung sempena cuti panjang Tahun Baru Cina.

Penulis berjalan lagi lebih kurang 300 meter ke stesen LRT Plaza Rakyat. Bagus juga berjalan kaki termasuk menaiki tangga kerana ia baik untuk kesihatan. Demikianlah nasib rakyat, terpaksa banyakkan berjalan. Bukankan kesihatan perlu dijaga. Itulah sebabnya harga gula pun telah dinaikkan 20 sen sekilogram kerana pemimpin takut rakyat terkena kencing manis.

Kini Kuala Lumpur dikuasai Pakatan Rakyat. Ini kerana 10 daripada 11 ahli Parlimennya terdiri daripada gabungan parti yang disertai KeADILan, DAP dan PAS. Hanya sebuah saja Parlimen dikuasai BN iaitu Setiawangsa melalui wakilnya Zulhasnan Rafique.

Sekalipun Pakatan Rakyat menang besar di Kuala Lumpur, kuasa dan wang masih di tangan kerajaan dan pemimpin BN.

Disebabkan hampir setiap hari penulis menaiki bas di Puduraya, jadi penulis sudah masak akan permasalahannya. Stesen bas yang dirasmikan oleh Perdana Menteri ketiga, Hussein Onn pada 2 Oktober 1976 itu, sudah terlalu nazak, tidak mampu lagi menampung kepesatan pembangunan pengangkutan awam masa kini.

Dilaporkan sebanyak 90 syarikat bas beroperasi di sini di samping perkhidmatan teksi ke Pantai Timur, Utara dan Selatan tanah air. Ada antara syarikat bas ini seperti Transnasional dan Durian Burong sudah mengorak langkah ke depan termasuk menyediakan perkhidmatan bas dua tingkat.

Bahagian bawah Hentian Puduraya tidak dapat dimasuki bas-bas ini, jadi terpaksalah diletakkan di tepi-tepi jalan bersebelahan hentian. Ini menyebabkan laluan menjadi sempit, mengakibatkan kesesakan amat teruk. Berdasarkan hujah ini saja (kemajuan dalam bidang pengangkutan awam), Puduraya tidak sesuai lagi sebagai hentian bas utama ibu kota yang sering didakwa bertaraf antarabangsa itu.

Kedua, laluan masuk bas ke bahagian bawah (tempat mengambil dan menurunkan penumpang) adalah selorong saja. Jadi pada kebanyakan masa, bas-bas berbaris panjang, kadang-kadang sampai sekilometer jauhnya dari Puduraya. Bagi pemandu bas tentulah keadaan ini mengazabkan selain menghabiskan masa. Bagi penumpang yang baru sampai, mereka terpaksa turun dan kadang-kadang berjalan sekilometer jauhnya untuk ke hentian.

Bahagian bawah yang menempatkan bas, selain begitu sempit bagi pemandu memasukkan bas (terbanyak banyak tanda-tanda tiang dilanggar), keadaan di situ begitu tercemar dengan asap dan kotoran lain. Hanya mereka yang mengalaminya dapat merasakan azabnya sedangkan menteri dan pegawai tinggi yang sesekali membuat tinjauan di Puduraya tidak merasakannya.

Banyak lagi kedaifan Puduraya, yang jika ditulis, akan berjela-jela panjangnya. Penulis tidak berminat melanjutkannya sebaliknya mengundang wakil rakyat atau menteri menjadi penumpang bas (tanpa diiringi pengawal) bagi merasai sendiri suasana berada di Puduraya.

Cuma penulis mahu menarik perhatian wakil rakyat dan menteri mengapa sehingga kini Plaza Rakyat di sebelah Hentian Puduraya yang diuar-uarkan sebagai hab pengangkutan moden tidak siap-siap sekalipun sudah lebih sedekad dibangunkan.

Kuala Lumpur kini sudah dikuasai Pakatan Rakyat, malah negeri jirannya (Selangor) sudah berkerajaan baru (Pakatan Rakyat), tetapi Plaza Rakyat tidak siap 'dulu, kini dan selama-lamanya'. Tidak lama dulu, seorang bekas Menteri Wilayah Persekutuan ketika ditanya bila Plaza Rakyat akan disiapkan, dengan yakin menyatakan tahun 2007. Kini bukan saja tidak siap, struktur asasnya pun terbiar begitu saja.

Sudah 10 tahun penulis berulang-alik antara Hentian Puduraya dan Plaza Rakyat (hanya stesen LRT yang boleh digunakan), keadaannya tetap sama, melalui susur gajah sementara yang dari sehari ke sehari semakin uzur. Dinding dan bumbung susur gajah sudah menghitam dan apabila melalui kawasan pembuangan sampah, keadaan begitu meloyakan.

Dari platform stesen LRT, boleh dilihat dengan jelas kehodohan Plaza Rakyat yang dijanjikan untuk keselesaan rakyat itu. Struktur asasnya sudah hitam, kren berkarat, besi-besi yang juga berkarat bergelimpangan, manakala kawasan terbuka menjadi lompang menakung air, mungkin menampung ribuan nyamuk. Mungkin inilah nyamuk yang menyebarkan pelbagai penyakit termasuk denggi di ibu kota! �

Ohh, alangkah sedihnya rakyat biasa yang terpaksa menanggung semua ini. Bukan sehari dua tetapi bertahun-tahun lamanya atau mungkin sepanjang hayat. Sehubungan itu, dengan rasa rendah diri, penulis merayu orang besar dan berkuasa, tolonglah rakyat awam kerana merekalah yang telah meletakkan anda ke kedudukan sekarang. �

Antara perkara perlu disegerakan - fikir, rancang dan usahakan bagaimana bas-bas boleh memasuki bahagian bawah Hentian Puduraya dengan selesa dan cepat. Memanglah selama ini kerja gila dilakukan - bas-bas yang banyak itu (ingat ada 90 syarikat bas beroperasi di Puduraya) semuanya terpaksa melalui genting (bottle neck) yang dapat dilalui sebuah bas saja!

Jika masalah ini dapat dilakukan, tidaklah lagi penulis terpaksa menaiki bas yang dijadualkan berlepas 6 petang pada 8 malam, insya-Allah. _

Thursday, February 11, 2010

Tolak pemimpin cap angguk-angguk, sumpah-sumpah

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Allah SWT berfirman, bermaksud: "Dan itulah syurga yang diwariskan kepada kamu disebabkan amal-amal yang dahulu kamu kerjakan. Di dalam syurga itu ada buah-buahan yang banyak untukmu yang sebahagiannya kamu makan." (Az-Zukhruf 72,73)
***

KETIKA di bangku sekolah (70 dan 80-an), penulis amat meminati karya-karya Hamka. Novel Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah (nama sebenar Hamka) seperti 'Tenggelamnya Kapal Van De Wijk' begitu mengasyikan. Baru-baru ini ketika ke sebuah kedai buku, penulis sengaja mencari buku Hamka.

Akhirnya selepas membelek-belek buku di ruang berabuk kedai itu, penulis berjaya menemui sebuah buku Hamka bertajuk 'Lembaga Hikmat' terbitan Pustaka Dini. Habuk-habuk pada buku itu penulis kebas-kebaskan dan segeralah mutiara dalamnya digali penulis.

Membaca kisah-kisah dalam buku itu, ternyata Hamka (1908-1981) seorang penulis merentasi sempadan bangsa, negara dan agama. Beliau menceritakan kisah penderitaan batin bangsawan di Eropah (bab Kehidupan Batin dari Orang Besar), kehidupan rahib-rahib Hindu (Babeek dan Fakir Hindi) sehingga ke istana zaman pra-Islam (Jabatan Perisik Zaman Dahulukala).

Dalam bab 'Jabatan Perisik Zaman Dahulukala' dengan tajuk kecil 'Kerana Tanganku, Bukan Kerana Tangan Amer', antara lain Hamka menulis: "Demi surat Maharaja Puteri sampai ke tangan baginda, - baginda mesyuaratkanlah dengan segenap wazir-wazir dan orang-orang besar kerajaan. Wazir cap ANGGUK-ANGGUK tentu menerima akur saja, segala titah patik junjung, apa yang baik kata raja itu adalah WAHYU dari langit, yang tak dapat dibantah."

Demikianlah betapa pemikiran Hamka jauh ke depan. Hari ini ada ramai pemimpin cap angguk-angguk. Apa saja daripada pemimpin atasan mereka iyakan. Jika pemimpin atasan berkata; "ihsan bukan royalti" maka pemimpin cap angguk-angguk menghebohkan “ihsan bukan royalti.” Jika pemimpin atasan berkata "liwat", mereka pun menjerit "liwat."

Selain pemimpin cap angguk-angguk ini, ada satu lagi jenis pemimpin iaitu cap SUMPAH-SUMPAH. Pemimpin jenis ini berubah-rubah pendiriannya, dia ibarat sumpah-sumpah yang boleh bertukar warna. Kalau pokok warna kelabu, dia berwarna kelabu; kalau dahan berwarna hitam, dia pun berwarna hitam. Dia juga boleh menjadi juara lompat katak.

Orang yang suka menukar-nukar wajah ini boleh diibaratkan sesumpah (sumpah-sumpah) yang boleh menukar warna berdasarkan persekitarannya. Dulu ketika saya belajar di IPT pada tahun 80-an, perangai sesumpah ini jelas pada segelintir pelajar perempuan (maaf, saya beri contoh saja bukan mahu mengata). Jika memasuki kelas Pengajian Islam, semua bertudung, walaupun ada yang ternampak jambulnya.

Apabila ustaz atau ustazah keluar, meninggalkan kelas; mereka mencampakkan tudung dalam laci. Bye, bye pada tudung. Pada mereka kewajipan pakai tudung hanya pada kelas pengajian ustaz, yang lain tidak perlu.

Demikian betapa ramai daripada anggota masyarakat bersifat dan berperangai macam sumpah-sumpah. Mereka ingat akan agama berhubung perkara berkaitan ibadat khusus seperti solat, puasa dan hal-hal di masjid saja.

Apabila pergi masjid dan solat, semua ikuti peraturan; bertudung litup tetapi keluar saja masjid, tudung sudah terbang entah ke mana. Dalam masjid aje perangai baik, luar masjid sudah jadi lain kes. Kalau ke Makkah buat umrah, aduh bertudung litup, balik ke tanah air, tudung sudah terbang.

Itulah ada ustaz menyindir, sesetengah orang Melayu ini ambil agama pada tiga situasi saja. Pertama masa kelahiran; kedua masa nak kahwin (itu sebab ramai artis dan anggota masyarakat bertudung litup ketika nikah) dan ketiga masa meninggal. Mengenai bab ini, Ustaz Abd Ghani Abdul Rahman (Pesuruhjaya PAS Melaka) ada berkata, kalau bab solat jenazah, masyarakat seboleh-boleh mahukan orang seperti dia (ustaz) jadi imam, tetapi dalam bab lain terutama kepimpinan, ustaz tidak diperlukan. Sebab itu Ustaz Ghani tak menang pilihan raya di Melaka.

Perangai pemimpin cap sumpah-sumpah mudah dilihat masa pilihan raya. Sesetengahnya tunjuk aksi pandai tunggang motosikal, basikal, naik becalah, masuk bawah kolong rumah oranglah dan masuk bendanglah. Adegan ini masa meraih undi saja, lepas mereka jadi wakil rakyat, jadi YB jangan haraplah mereka buat kerja itu. Nanti dikatakan YB gilakah masuk bawah rumah orang?

Itulah namanya, banyak orang sudah jadi sumpah-sumpah. Binatang jenis sesumpah ini berlakon saja. Berlakon baik apabila diperlukan baik, dan berlakon jahat apabila diperlukan jahat. Itu depan orang, belakang orang siapa tahu? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Kalau dah tahu begitu tak baiknya spesies sesetengah calon, buat apalah dipilih pemimpin jenis sesumpah ini? Banyak orang kata, mereka mengikut saja. Orang undi pemimpin itu, aku pun undilah. Ketua kampung, imam kampung, pengerusi JKKK dan tok siak kampung pilih dia maka aku pun pangkahlah. Orang kata Pak Loh tu baik, aku pun pangkah Pak Loh.

Orang yang jenis ikut-ikut ini hendaklah takut akan ayat-ayat Allah, seperti Al-A'Raaf ayat 38-39 ini yang bermaksud: "...berkata golongan akhir (pengikut) mengenai golongan pertama (ketua) "Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang menyesatkan kami, oleh itu berilah azab seksa yang berlipat ganda dari neraka." Allah berfirman "kamu masing-masing disediakan azab seksa yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui." Dan berkata golongan ketua di antara mereka kepada golongan pengikut "Jika begitu tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami." Allah berfirman "rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang telah kamu usahakan."

Demikianlah, janganlah dipilih pemimpin sumpah-sumpah ini. Jangan fikir kita boleh terlepas tangan dengan perbuatan zalim dan kesesatan mereka (melesenkan arak, menggalakkan judi, pub dan disko, konsert sana konsert sini seperti Sure...) yang dilakukan sesetengah pemimpin ini sedangkan kita relakan tangan kita mengundi mereka. Oleh itu berfikirlah sebelum memilih pemimpin cap sumpah-sumpah atau angguk-angguk!

Wednesday, February 10, 2010

Isu rasuah: Hanya jauhari mengenal manikam

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan besar." (Q. Fushilat: 35)
***

AKHIR-AKHIR ini, saya kerap mendengar kuliah dan membaca artikel berkenaan rasuah. Khutbah Jumaat yang saya ikuti di sebuah masjid di Kuala Lumpur pada 9 Oktober membicarakan rasuah, kemudian pada kuliah subuh di masjid kampung saya pada 12 Oktober menyentuh soal sama, malah majalah Hidayah (keluaran Oktober 2009) ada membicarakan hal rasuah.

Dalam ruangan Mutiara, Hidayah, ditulis; - “Pelaku rasuah masuk neraka: Abdullah bin ‘Amr bin Ash menceritakan, bahawa dulu ada seorang dalam pasukan perang Rasulullah s.a.w. seorang lelaki yang digelar ‘karkaroh’. Orang tersebut meninggal, lalu Nabi s.a.w. bersabda: “Ia masuk neraka.” Pada sahabat pergi melihat orang tersebut, ternyata mendapati orang itu melakukan rasuah dengan mengambil rampasan perang.” (Hadis riwayat Bukhari)

Hadis di atas menegaskan sesiapa pun yang melakukan rasuah kelak ia akan masuk neraka. Tidak peduli ia seorang pegawai kerajaan atau tokoh masyarakat yang banyak berjasa kepada masyarakat dan negara. Apalagi pegawai sudah dibayar gajinya dan menerima pelbagai kemudahan daripada negara.

Seorang yang turut berjuang dengan Rasulullah s.a.w. tanpa digaji saja, setelah terbukti rasuah dihukum masuk neraka. Mudah-mudahan hadis ini membangkitkan keinsafan kita untuk berhati-hati dalam mencari wang.

Dalam kuliah Subuh seorang ustaz membicarakan bab qisas berdasarkan kitab Badru Madzi iaitu berkenaan dengan hadis Termizi yang disyarahkan oleh Syeikh Idris Marbawi. Ilmuan dari Perak ini adalah satu-satunya ulama berketurunan Melayu yang mensyarahkan hadis-hadis.

Ustaz itu membawakan kisah khianat (pecah amanah, rasuah) berdasarkan sebuah hadis mengenai ghanimah iaitu harta rampasan perang. Katanya, hadis daripada Sayidina Umar al-Khattab ini menceritakan seorang lelaki yang pecah amanah dengan menyembunyikan jubah (ada menyatakan sehelai sapu tangan) bagi tujuan kegunaannya sebelum dilakukan pembahagian dibuat ke atas harta rampasan perang itu.

Hukum bagi orang khianat ini ialah dibakar semua harta bendanya manakala dirinya menempah tempat di neraka. Ustaz bertanya jika seorang khianat dengan hanya menyembunyikan sehelai sapu tangan atau jubah dihukum begitu, apa agaknya balasan bagi orang mengkhianati amanah atau melakukan rasuah jutaan ringgit atau ratusan juta ringgit seperti zaman sekarang?

Berdasarkan perkembangan kini, keadaan begitu membimbangkan apabila masyarakat mengambil ringan perkara rasuah sehingga ada tokoh yang disabitkan dengan kesalahan seumpama ini masih diberi kepercayaan untuk memimpin mereka.

Perkara ini cukup bahaya; satu isyarat kecemasan telah diberikan bahawa masyarakat mengundang kemurkaan Allah SWT dengan memilih dan melantik seseorang yang tidak layak ke jawatan tinggi. Apa yang dibimbangkan, apabila berlaku khianat dalam pemilihan pemimpin, manusia seolah-olah menunggu hukuman daripada Allah SWT.

Ustaz menerangkan bahawa masyarakat kini hancur gara-gara manusia tidak berhukum dengan undang-undang Allah SWT. Katanya, hukum-hakam Allah SWT adalah kehidupan tetapi manusia hari ini berlagak lebih pandai daripada Sang Pencipta.

Katanya, jika sesebuah kereta rosak, untuk membaikinya perlulah dirujuk kepada si pembuat atau pakarnya (mekanik) kerana dia yang tahu selok belok mengenai kenderaan itu. Allah sebagai Pencipta manusia (dan seluruh makhluk) tahu segala hal mengenai ciptaan-Nya, jadi mengapa manusia dengan bongkak menolak bulat-bulat undang-undang-Nya?

Ustaz bertanya, jika pembeli kereta boleh patuh kepada ‘manual’ (buku panduan) kereta, kenapa mereka enggan saja mengikuti ‘manual’ yang disediakan oleh Allah SWT. Jelas sekali manusia sombong dan bongkak, berlagak lebih tahu daripada Pencipta mereka.

Satu persoalan penting, mengapa rasuah terus berleluasa sedangkan ia kerap disyarahkan? Ia seolah-olah sama seperti gejala arak dan judi; sekalipun hebat disyarahkan akan akibat buruk dan dosanya, tetapi kegiatan ini berterusan menular dalam masyarakat.

Ustaz berkata, sebab utama perkara ini terjadi kerana manusia tidak mengambil hukum-hakam Allah SWT dalam kehidupan mereka. Sebaliknya mereka mengambil undang-undang manusia, apabila tidak berhukum dengan undang-undang Allah SWT, mereka sengsara dan sesat dalam kehidupan.

Sekarang ini hampir setiap hari berlaku jenayah bunuh, merompak, merogol dan sebagainya. Menurut Ustaz apabila hukum-hakam Allah SWT tidak dilaksanakan, tiada barakah dalam kehidupan sebaliknya masyarakat dan negara menjadi huru-hara dan menuju kehancuran.

Kemajuan dan kemodenan yang dilihat dan diuar-uarkan sekarang ini adalah kemewahan material sedangkan pembangunan insaniah semakin lama semakin merosot. Lihatlah semakin banyak masjid-masjid hebat didirikan tetapi isinya, ternyata kosong; ia bagaikan hampas.

Masjid hebat tetapi golongan muda semakin menjauhkan diri. Jenguklah masjid-masjid di luar bandar; kadang-kadang untuk mendirikan solat jemaah pun sukar; golongan tua saja yang hadir sekali-sekala sedangkan orang muda entah ke mana lesapnya.

Berhubung pemilihan tokoh yang disabitkan dengan kesalahan rasuah sebagai pemimpin, dikhuatiri perkembangan ini akan menjadi kes rujukan yang menyeramkan kepada generasi masa depan. Ini kerana masyarakat akan beranggapan tidak ada apa-apa dengan rasuah, sogokan dan aneka kejahatan lain; seterusnya menjadikan mereka tidak kenal apa itu hak dan yang batil.

Demikianlah apabila hukum-hakam Islam tidak terlaksana; undang-undang dan harga diri boleh dibeli dengan wang ringgit. Falsafahnya mudah, ada wang semua boleh jadi, tiada wang merempatlah kau sendiri. Apabila majoriti orang kini berkiblat atau bertuhankan wang ringgit, pangkat dan kuasa, kebenaran akan terhumban ke dalam lumpur.

Kini, alangkah beratnya untuk menggali kebenaran atau permata dalam lumpur itu; hanya dengan iman, ilmu dan amal yang dapat menyelamatkan seseorang itu daripada hanyut; bukankah perpatah Melayu ada menyebut, hanya jauhari (orang berilmu) mengenal manikam!

Tuesday, February 9, 2010

Fundamentalis Islam tidak gentar ugutan Barat

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Muhasabah diri
Umar r.a. berkata: "Cukuplah bagi seseorang jika dia melakukan tiga macam;
1. Mencela perbuatan orang padahal dia berbuat seperti itu.
2. Melihat kesalahan orang lain dan tidak melihat kesalahan diri sendiri.
3. Dan mengganggu kawannya dengan perbuatan yang tidak penting baginya.
***

SEKALIPUN Amerika mengerahkan ratusan ribu lagi askarnya ke Afghanistan, pejuang Taliban tidak tergugat sebaliknya meningkatkan serangan ke atas pasukan tentera asing dan juga askar kerajaan.

Taliban dianggap salah sebuah kumpulan fundamentalis Islam, mereka berpegang teguh kepada asas Islam, sekali gus perjuangan mereka tidak akan padam, inilah yang ditakuti oleh Barat termasuk Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang telah menggandakan askar masing-masing.

Di seluruh dunia walaupun golongan fundamentalis Islam ini dipersalahkan dalam banyak konflik terutama di negara umat Islam sendiri, perjuangan mereka tetap konsisten. Kelihatan mereka begitu istiqamah sekali. Mengapa begitu?

Berdasarkan perkembangan ini, adalah menarik untuk kita mengkaji siapakah golongan fundamentalis ini. Mengapa kumpulan ini dikatakan mendatangkan ancaman sehinggakan banyak tokoh Barat kerap memberi ingatan mengenainya.

Sebagai contoh, seorang penganalisis kanan Amerika Syarikat, Ian Lesser sedikit masa dulu, membentangkan bahawa kebangkitan kumpulan fundamentalis Islam di Afrika Utara dan Timur Tengah mendatangkan ancaman keselamatan baru kepada dunia Barat selepas berakhirnya Perang Dingin.

Lesser, seorang penganalisis dasar kanan untuk Rand Corporation, mendakwa kawasan bergolak dan mungkin dilanda kekacauan merentangi Afrika Utara melalui Aegean, Turki, Balkan, Caucasus dan Asia Tengah.

Kebangkitan golongan fundamentalis Islam semakin hebat, sebahagiannya kerana kegagalan kerajaan memenuhi keperluan rakyat, dakwanya.

Algeria dan Mesir kini berperang dengan golongan fundamentalis sehinggakan pada pilihan raya Algeria pada dekad 90-an yang hampir pasti dimenangi oleh Barisan Penyelamat Islam (FIS) dibatalkan dan tentera mengambil alih kuasa dengan sokongan kuasa Barat sedangkan merekalah yang mendakwa sebagai pejuang demokrasi.

Demikianlah betapa takutnya dunia Barat kepada apa didakwa ancaman golongan yang mereka sifatkan sebagai fundamentalis. Siapakah sebenarnya fundamentalis itu? Kerana ungkapan ini bikinan Barat, eloklah diteliti pandangan cerdik pandai mereka.

Salah seorang cendekiawan Barat yang termasyhur mengenai hal-ehwal sejarah dan kebudayaan Islam ialah Bernard Lewis. Beliau pernah menjadi Profesor Emeritus Cleveland F Dodge, Pengajian Timur Dekat, Universiti Princeton.

Beliau yang disifatkan oleh The New York Times Book Review sebagai doyen (tokoh kanan) Pengajian Timur Tengah, melalui koleksi eseinya bertajuk ‘Islam and The West’, mempersembahkan pemerhatian mendalam mengenai Islam yang dianggap sebagai agama paling penuh rahsia dan paling kurang difahami di dunia.

Lewis, penulis lebih dua dozen buku, termasuk ‘The Arab in History’, ‘The Emergence of Modern Turkey’, ‘The Political Language of Islam’ and ‘The Muslim Discovery of Europe’ berkongsi pandangan mengenai fundamentalis Islam dan perkembangan di Timur Tengah.

Fundamentalis Islam dilihat sebagai kumpulan ganas dan bersedia menghancurkan rundingan damai Israel dan Palestin. Dalam satu wawancara, Lewis berkata: “Menggunakan istilah fundamentalis bagi menggambarkan pergerakan Islam adalah mengelirukan.”

Katanya, ungkapan fundamentalis boleh disanggah berdasarkan dua sebab. Sebab pertama pada asalnya ia adalah satu perkataan yang begitu spesifik (khusus). Ia berkaitan orang Amerika dan Protestan. Ia mula digunakan pada kira-kira 1910 sebagai lambang sesetengah gereja Protestan Amerika yang mahu membezakan mereka dengan gereja Protestan kumpulan utama.

Ia satu panggilan bagi merujuk kepada mereka berdasarkan satu siri risalah yang mereka terbitkan dan dipanggil ‘The Fundamentals’. Soal yang menyebabkan mereka berbeza daripada kumpulan utama Protestan berkisar kepada dua perkara.

Satu ialah penentangan mereka kepada teologi liberal dan satu lagi ialah bantahan terhadap gerakan mengkritik Bible. Sehubungan itu, kata Lewis, adalah mengelirukan untuk menggunakan ungkapan ini kepada pergerakan Islam.

Pertama, kerana mereka berbeza dengan golongan Protestan Amerika, terutama yang berkaitan persoalan 1910. Sebab kedua, kata Lewis, mengapa ungkapan fundamentalis boleh disanggah penggunaannya ialah kerana ia merendahkan martabat.

Malangnya, seperti banyak sarjana Barat lain, Lewis berkata ungkapan itu adalah yang terbaik untuk menggambarkan golongan orang Islam yang ‘tersasar’ daripada kumpulan utama.

Kepada kebanyakan sarjana Barat, golongan fundamentalis dilihat gagal dalam perjuangan mereka walaupun mempunyai semangat berkobar-kobar. Mereka melihat kerajaan Iran dan Sudan sebagai contoh. Misalannya, Lewis mengemukakan hujah ini – kumpulan fundamentalis sudah memerintah Iran sejak sekian lama tetapi yang jelas mereka tidak berupaya membaiki tahap penghidupan rakyat awam. Keadaan menjadi lebih buruk dengan ekonominya merosot.

Lewis seolah-olah menyindir golongan fundamentalis. Katanya, sesetengah orang Islam sering bercakap bahawa dengan kembali kepada ajaran Islam termasuk perundangannya, semua masalah dapat diatasi. Iran sudah melaksanakannya manakala Sudan dalam peringkat awal. Persoalan yang ditimbulkan, benarkan semua permasalahan berkaitan di negara terbabit sudah dapat diatasi.

Sesungguhnya Barat semakin berani mencabar dunia Islam. Mereka sengaja mencipta istilah yang bertujuan memecah-belahkan kesatuan ummah. Istilah fundamentalis sengaja direka-reka bagi merealisasikan impian mereka.

Hakikatnya, kerajaan umat Islam apatah lagi gerakan Islam tidak mendatangkan ancaman besar kepada kuasa Barat. Pergerakan apa didakwa kumpulan fundamentalis Islam tidak bermatlamat untuk menentang kuasa besar Barat seperti Amerika yang begitu takut selepas Tragedi 911 (serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia, WTC).

Pergerakan seperti Taliban, FIS di Algeria, Hamas di Palestin dan Ikhwanul Muslimin di banyak negara termasuk Mesir dan Jordan menentang ketidakadilan di negara masing-masing.

Pejuangnya tetap istiqamah sekalipun dinafikan hak untuk memerintah sekalipun selepas menang pilihan raya (satu bentuk penyataan demokrasi yang diagungkan Barat) seperti yang menimpa FIS dan Hamas. Ternyata golongan digelar fundamentalis Islam tidak gentar sama sekali dengan ancaman Barat; perjuangan mereka menegakkan Islam akan bersinar sepanjang zaman.

Monday, February 8, 2010

Berhijrah dengan mengkoreksi diri, keluarga

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal mereka (yang baik). Mereka tidak diberikan balasan (pada hari akhirat) melainkan (bagi) apa yang telah mereka kerjakan (daripada perbuatan kufur dan maksiat)." (Al-A'raaf: Ayat 147)
***

JUMAAT nanti (12 Rabiulawal 1431, 26 Februari 2010), umat Islam akan menyambut Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Tidak lama dulu (18 Disember 2009) kita sudah menyambut tahun baru 1431 Hijrah. Tahun baru bermakna semakin kuranglah umur kita - diri kita semakin hampir untuk menemui Allah SWT.

Sempena ulang tahun keputeraan junjungan dan tahun baru ini, alangkah eloknya kita bermuhasabah diri, merenung apa yang telah dilakukan sepanjang tahun lalu dan sebelumnya serta berusaha untuk melakukan yang terbaik sekarang ini, selagi hayat masih dikandung badan.

Bijak pandai membahagikan masa kepada tiga keadaan - semalam, hari ini dan esok. Semalam sudah menjadi sejarah, esok hanya Dia yang mengetahuinya. Apa yang ada pada kita adalah hari ini, itulah modal kita yang perlu digunakannya semaksimum mungkin untuk mencipta bahagia pada hari muka.

Sebagai makhluk-Nya yang lemah, dalam mengharungi kehidupan kita memerlukan panduan-Nya. Panduan itu telah pun disampaikan kepada kekasih-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Daripada sinilah kita dapat mengukur sama ada kehidupan kita berada di jalan benar atau sudah terpesong jauh kerana Nabi s.a.w. pernah mengungkapkan bahawa jika kita berpandukan al-Quran dan hadisnya kita tidak akan sesat selama-lamanya.

Bagi memulakan muzakarah, eloklah kita mulai menyemak diri sendiri dan keluarga kita. Disebabkan dalam dunia moden ini, hampir semua orang bercakap mengenai pendapatan (anak-anak muda sekarang menamakannya wang masyuuk), bertanyalah kepada diri sendiri secara jujur apakah sumber perolehan kita halal.

Berdasarkan pengamatan kita, ramai juga orang Islam tidak peduli akan sumber halal/haram pendapatan mereka. Ada yang terbabit dalam maksiat secara nyata seperti merompak, melacurkan diri, terbabit dalam operasi najis minuman keras, dadah dan perjudian tetapi sejumlah lagi walaupun mempunyai pekerjaan mulia seperti pemimpin negara, ahli politik, pegawai kerajaan, ahli perniagaan, ketua kampung, malahan guru, ustaz dan penulis juga terbabit dalam amalan keji seperti rasuah, menerima wang haram, menyalahgunakan kedudukan dan sebagainya.

Jika rezeki kita daripada sumber yang haram bagaimana kita mahu membina keluarga bahagia atau istilah polular sekarang, rumahku syurgaku? Pada peringkat ini saja kita sudah sangkut, jadi usahlah sibuk untuk melahirkan anak-anak yang cemerlang sekali gus anak soleh yang doanya akan menjadi dambaan ibu bapa apabila kita berada dalam kubur nanti jika kita masih bergelumang, bermati-matian mencari rezeki di lubuk yang haram.

Kemudian marilah kita mengkoreksi keluarga kita, adakah kehidupan yang kita jalani menepati jalan hidup Rasulullah s.a.w. Kita ambil bab paling penting iaitu solat. Jika ibu bapa liat untuk solat, bagaimana anak-anak mahu solat? Ambil waktu subuh sebagai contoh. Ada pak haji boleh bangun awal untuk ke masjid, tetapi anak siapakah itu yang masih dibuai mimpi bersama syaitan sehingga matahari sudah tersembul di langit? Apakah pak haji seorang saja mahu masuk ke syurga sedangkan anak-anak dibiarkan mencari jalan ke neraka?

Mak aji juga bagus, dapat bersolat subuh awal waktu, tetapi bagaimana anak-anaknya? Mak aji ketika ke bandar, berpakaian tudung labuh, bagus tetapi siapakah anak gadis di sisinya yang berpakaian seluar sendat dengan baju-T tanpa lengan dengan rambutnya berwarna bulu jagung (diwarnakan)? Apakah mak aji sahaja mahu ke syurga, anak dibiarkan menempah laluan ke neraka?

Selain koreksi diri, koreksilah si anak-anak, apakah mereka solat lima waktu sehari? Jawapannya sangat mendukacitakan, satu kajian menunjukkan hanya 20 peratus anak-anak muda solat, bakinya bagaimana? Kemudian periksa rukun Islam lain, sudah disempurnakan oleh kita dan anak-anak?

Bagaimana puasa kita, bagaimana zakat kita; sudah hajikah kita? Apakah kita tergolong dalam jenis orang yang sudah ke London, Paris, New York dan Hatyai tetapi ke Makkah saja saya belum?

Sesudah puas kita mengkoreksi diri sendiri dan keluarga, renunglah rumah jiran kita. Apakah kita hidup berjiran berpandukan ajaran Rasul. Apakah kita daripada jenis yang makan kenyang, jiran kelaparan kita tidak 'ambil pot'? Ataupun kita tidak langsung kenal jiran kita, ataupun kita jenis suka berkelahi dengan jiran membabitkan hal-hal seperti rumput karpet, pokok, bunyi bising dan binatang peliharaan.

Kemudian tanyalah diri sendiri sama ada kita jenis yang tidak boleh kalah dengan jiran. Jika jiran pakai Kancil kita pakai Rusa; jika jiran pakai Wira kita pakai Perdana; jika jiran berperabot jati, kita order perabot dari Itali. Persaingan ini memerlukan wang yang banyak, jika wang gaji tidak cukup, kita pun 'bedal' wang rasuah, wang pelincir, wang ihsan dan sebagainya.

Demikianlah manusia dilahirkan tamak, tidak akan puas sehingga tanah memasuki hidung dan mulut (berada dalam kuburlah) atau sudah diberikan satu gunung emas, dia mahu tiga atau empat lagi. Sehubungan dengan nafsu jahat diri saya dan tuan puan ini, sempena tahun baru Hijrah 1431, marilah melakukan muhasabah dengan mengkoreksi diri dan keluarga sendiri dulu sebelum terjun ke gelanggang masyarakat, bangsa, negara dan ummah.

Sunday, February 7, 2010

Usah berbohong dalam isu royalti minyak

***
DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Maha Agung." (Al-Waaqi'ah 56: 76 dan 96)
***

BERSYUKUR kita ke hadrat-Nya, kita dipanjangkan usia, yang mana umur berbaki yang singkat itu dapat digunakan untuk faedah diri sendiri dan malu untuk kita katakan ia mendatangkan manfaat kepada anak bangsa apatah lagi sejagat. Akuilah kita tersangat lemah, apa yang upaya dan tidak upaya kita lakukan adalah atas kehendak-Nya jua.

Tanggal 31 Januari lalu, kita dihadapkan dengan dua tajuk utama muka depan akhbar yang saling berlawanan antara satu sama lain. Akhbar Berita Minggu memaparkan tajuk besar 'Dolak-dalik Ku Li' manakala Harakah (keluaran 1-3 Februari), dengan tajuk 'Ku Li sokong Tok Guru'. Berita Harian pada keesokan harinya (1 Februari) membawa tajuk 'Ku Li buang masa'. Kasihan Tengku Razaleigh Hamzah, berdasarkan laporan akhbar ini beliau berhadapan dengan tuduhan besar iaitu berbohong, tetapi benarkah demikian?

Jika kita merujuk kepada dunia Barat (masyarakat suka berkiblatkan Barat bagi membicarakan hal ketamadunan seperti demokrasi), pembohongan adalah sesuatu yang tidak dapat dimaafkan. Lihatlah dalam perkembangan terbaru bagaimana bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dihadapkan ke sebuah lembaga penyiasat untuk di'grill' (ditanya secara terperinci) mengenai pembabitkan askar Britain ke Iraq berdasarkan laporan perisikan negara kononnya Presiden Iraq ketika itu, Saddam Hussein mempunyai senjata pemusnah secara besar-besaran.

Jika Barat mementingan kebenaran dan tidak dapat menerima sama sekali pembohongan, bagaimana diri kita yang mengaku Islam? Tentunya dalam kes royalti minyak ini, ada pihak termasuk akhbar (media massa) bercakap benar dan ada pihak bercakap bohong atau memutarbelitkan fakta.

Sama seperti Blair yang membuka mulut sendiri apabila kena ‘grill’ oleh lembaga penyiasat tentunya kenyataan tuan empunya diri (Ku Li) adalah lebih cermat dan tepat berbanding laporan semberono berdasarkan sumber lain termasuk mempamerkan komentar tokoh itu mengenai royalti minyak di Terengganu kira-kira 10 tahun lalu.

Mengapa takut menyiarkan apa yang diperkatakan Ku Li sebagai Pengerusi Petronas yang pertama pada perhimpunan raksasa pada 28 Januari di Kota Bharu itu? Majlis itu bukan dibuat secara semberono sebaliknya oleh gabungan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar). Gegar pula adalah gandingan Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan (Gabungan) dengan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat).

Media sewajarnya menghormati pandangan Tengku Razaleigh sebagai antara pengasas Petronas, bukannya menuduh beliau sebagai pembohong (berdolak-dalik) dan membuat penambahan sendiri kononnya ahli Parlimen Gua Musang itu menyarankan supaya royalti minyak dirujuk ke mahkamah.

Antara lain Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata (tetapi tidak disiarkan media arus perdana): “Sebagai orang yang terlibat dalam penubuhan Petronas dan berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum, saya tahu kerajaan negeri sememangnya berhak untuk menerima royalti sebanyak lima peratus walaupun pada kawasan bertindih dengan Thailand.”

Jika Tengku Razaleigh berbohong, wajarlah BEKAS Pengerusi Petronas itu kena ‘grill’ seperti yang berlaku kepada Blair sebagai BEKAS Perdana Menteri Britain. Ini tidak, beliau siang-siang lagi dianggap pembohong (berdolak dalik) dengan fakta yang dikemukakannya digelapkan sebaliknya ulasan mengenainya menjadi mainan media.

Antara dua pihak ini, satu bercakap benar dan satu lagi bohong. Tidak boleh kedua-duanya bercakap benar sebab apa yang dikemukakan itu bertentangan antara satu sama lain. Kini rakyat sedang menyaksikan, siapa di pihak benar dan siapa yang bijak bermain lidah, memutar-belitkan kata-kata.

Rakyatlah yang akan menjadi hakim. Sewajarnya pengalaman lalu memberi kesedaran kepada rakyat dalam mereka menjadi hakim. Mereka perlu insaf siapa yang sudah membakar jambatan tetapi menjilat balik perbuatannya dan siapa yang konsisten, sama seperti ungkapan yang tidak lagi keramat itu – dulu, kini dan selamanya!