Tuesday, February 2, 2010

Hapuskan cak gun, hamlau dan seangkatannya

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Hai manusia, sesungguhnya yang menyesatkan orang-orang yang sebelum kamu, ialah bilamana orang-orang bangsawan mencuri, mereka diamkan saja perkaranya. Tetapi kalau orang dina mencuri, bukan main teliti diselidikinya. Demi Allah, kalau Fatimah anak Muhammad mencuri, tangannya kupotong."
***

BERBUAL dengan orang lama (veteran) tidak sama bertukar pandangan dengan rakan sebaya atau generasi muda. Pada petang 1 Ogos lalu, selepas bermandi peluh menyelamatkan diri ketika tunjuk perasaan aman anti-ISA di ibu kota, saya dan salah seorang pemimpin PAS Melaka, Harun Mohamad, singgah di Restoran Yusof berhampiran Pasar Seni untuk mengisi perut.

Di sana kami menyertai Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Ustaz Kamis Saat yang sedang menjamu selera. Berbual dengan ustaz ini banyak fikiran baru mengenai bangsa Melayu dapat saya selami. Ustaz Kamis bercerita mengenai bangsa Melayu dan Islam; dan dalam perbualan hari itu beliau menegaskan bahawa orang Melayu yang taat pada Islam hanya mengutamakan tiga perkara saja iaitu solat, puasa dan haji sedangkan yang lain tidak dipedulikannya.

Itu bagi orang Melayu yang taat; bagi yang tidak taat; Islam hanya ‘laku’ ketika seseorang itu beranak, berkahwin dan mati. Selain itu, Islam tidak diperlukan dalam kehidupan. Bahkan mereka mengambil dan mengamalkan cara hidup dan budaya yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Sebagai orang Melayu Melaka, Ustaz Kamis merujuk kepada cara hidup dan budaya orang sebangsa dan senegerinya. Beliau sudah dan masih melakukan kajian mengenai orang Melayu, termasuklah asal keturunan, agama dan budayanya.

Katanya orang Melayu asalnya beragama Hindu dan Buddha. Kemudian selepas menerima Islam, bumi Melayu dijajah bangsa asing bermula dengan Portugis yang menawan Melaka pada 1511, kemudian Belanda pada 1641 seterusnya Inggeris pada 1795.

Kata Ustaz Kamis, orang Portugis dan Belanda cuba memaksa orang Melayu memeluk agama Kristian tetapi gagal. Orang Melayu lari dan berlindung di negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera.

Berlainan dengan Portugis dan Belanda, penjajah Inggeris tidak campur tangan dalam cara hidup orang Melayu termasuk agama mereka; sebaliknya menumpukan perhatian mengaut sebanyak mungkin kekayaan Tanah Melayu untuk dihantar ke Britian. Orang Inggeris membiarkan orang Melayu dengan budaya dan cara hidup mereka.

Tanpa pegangan kuat kepada Islam, sebaliknya terlalu taksub kepada budaya nenek moyang, British mendapati kebanyakan orang Melayu boleh dilekakan, mereka tidak mendatangkan ancaman kepada pihak British. Ini adalah hakikat kerana kebanyakan penentang British adalah tokoh yang berpegang teguh kepada Islam; mereka tidak rela hidup di bawah naungan British dengan undang-undangnya termasuk kaedah pengutipan cukai.

Sekalipun hidup sebagai orang Islam, kebanyakan orang Melayu tidak sedar bahawa kehidupan mereka tidak berpaksi kepada Islam. Ini dapat dikesan daripada cara hidup dan budaya orang Melayu daripada seseorang itu dilahirkan sampailah dia berkahwin dan akhir sekali meninggal dunia.

Ustaz Kamis mengambil contoh mudah amalan bukan Islam yang dilakukan dalam majlis perkahwinan orang Melayu. Adat seperti berinai kecil, berinai besar, main suap-suap, bersanding dan menepung tawar itu semuanya adalah daripada budaya Hindu.

Kemudian pada majlis perkahwinan, ada pesta-pestaan seperti ronggeng, cak gun cak dan hamlau, kata ustaz dari Bukit Rambai itu. Daripada tiga perkara disebutkan itu, penulis hanya tahu dua iaitu ronggeng dan cak gun cak. Ronggeng adalah majlis joget diiringi gesekan biola manakala cak gun cak adalah joget lambak yang diadakan pada malam selepas hari ‘berlangsung’ (majlis perkahwinan).

Ada pun ‘hamlau’ itulah pertama kali penulis mendengarnya. Apa itu ‘hamlau’, tanya penulis menyebabkan Ustaz Kamis ketawa kecil sambil menjelaskan bahawa ‘hamlau’ itu majlis joget-joget juga yang diadakan pada malam berinai besar.

Demikianlah betapa gemarnya orang Melayu Melaka berjoget pada majlis perkahwinan. Apakah roggeng, cak gun cak dan hamlau itu datang daripada ajaran Islam? Sudah tentu tidak tetapi mengapa ia begitu subur sekali di kalangan orang Melayu yang akan mengacukan parang panjang jika dikatakan mereka sudah menyeleweng daripada ajaran Islam!

Ustaz Kamis menjelaskan cak gun cak dan hamlau cukup susah dihapuskan daripada diamalkan pada majlis perkahwinan orang Melayu Melaka. Seingat penulis cak gun cak hanya dapat dihapuskan pada tahun 1970-an.

Cak gun cak dapat dihapuskan dengan usaha gigih ustaz-ustaz yang giat berceramah manakala imam-imam di Melaka membuat ugutan bahawa mereka tidak akan menikahkan pasangan pengantin jika di rumah mereka diadakan cak gun cak alias joget lambak. Tetapi kini orang kaya dan ternama termasuk artis mengadakan majlis songsang (joget lambak) di majlis-majlis perkahwinan di hotel, kononnya untuk menghidupan warisan itu.

Siapa penyambung hidup budaya songsang ini? Mereka terdiri daripada orang besar, orang ternama, orang hebat-hebat daripada sebuah kumpulan yang perjuangan mereka berpaksikan Melayu. Apa saja yang berkaitan Melayu, sama ada budaya dan cara hidupnya mereka junjung, kononnya tidak mahu warisan pupus.

Bagi Ustaz Kamis, kumpulan orang Melayu ini boleh dirujuk sebagai berfahaman Qadariah dan Jabariah. Orang Qadariah berpegang bahawa usaha memberi bekas; misalnya mereka mahu projek-projek, jika tiada projek mereka akan mati. Budaya lama seperti cak gun cak pun mereka mahu hidupkan kerana ia mengerakkan projek, seterusnya memberi laba besar sekalipun mereka tahu ia bertentangan dengan Islam.

Orang berfahaman Jabariah menyerah diri semata-mata pada takdir Mereka tidak mahu berubah kerana usaha manusia tidak berbekas. Mereka biarkan saja masyarakat berjoget lambakkah, beronggengkah, masyarakat hendak bertepung-tawarkah, mereka tidak ambil peduli. Maklumlah manusia tiada kuasa, serah diri kepada takdir semata-mata.

Bagi Ustaz Kamis, fahaman ini perlu dihapuskan. Jika tidak, selagi itulah orang Melayu terbelenggu sekalipun negara sudah 52 tahun merdeka. Inilah perkara yang perlu dihapuskan selepas orang Melayu berjaya meninggalkan cak gun cak dan hamlau. Siapa sebenar kumpulan ini, tepuk dada tanyalah selera!

No comments: