Thursday, July 30, 2009

Pemikiran Khatijah Sidek: Rakyat jadi mangsa pemerintah Umno

Khatijah Sidek adalah pemimpin Muslimat PAS pertama menyertai pilihan raya. Allahyarham antara lain menyatakan kebimbangan mengenai penjajahan mental ke atas orang Melayu. Khatijah yang juga bekas Ketua Kaum Ibu Umno juga mendedahkan taktik Perikatan-warisan Barisan Nasional (melalui propanda / dakyah), menakut-nakutkan rakyat supaya tidak mengundi PAS dalam pilihan raya.

Pandangan Khatijah amat relevan dengan perkembangan politik semasa. Ikuti ulasan penulis mengenai perkara ini berdasarkan sebuah buku memoir Khatijah yang ditertbitkan oleh UKM tidak lama dulu.

Serangan hebat BN melalui media massa yang ditunggangi semakin teruk, buruk dan jijik.

BN bukan saja melakukan serangan dengan menggunakan media cetak tetapi turut mengerahkan media elektronik.

Mereka memberi amaran dan mengugut rakyat mengenai kezaliman yang akan dilakukan jika BN tidak diberi mandat untuk memerintah negara ini. Gabungan parti pembangkang digambarkan sebagai menunggu masa menuju kehancuran kerana pemimpin-pemimpinnya mempunyai hala tuju berlainan.

Taktik BN ini sebenarnya bukanlah baru dalam sejarah politik negara, malah dunia. Propaganda menjadi agenda terpenting pihak-pihak berkepentingan dalam menjayakan matlamat mereka. Dalam sejarah dunia moden, Nazi Jerman terkenal dengan propaganda-progandanya bagi menaikkan bangsa Jerman pimpinan Hitler sebaliknya menekan golongan tertentu seperti kaum Yahudi.

Pada zaman pertengahan pula, ketika Perang 100 Tahun Inggeris-Perancis, pihak Inggeris menggunakan propaganda kononnya gadis Perancis, Joan of Arc yang membakar semangat tentera Perancis sebenarnya adalah seorang tukang sihir.

Kelicikan parti pemerintah digambarkan dalam buku Memoir Khatijah Sidek - Puteri Kesateria Bangsa (UKM) 1995.


Dalam Bab 12 -Malaya Merdeka, ditulis:

Di peringkat Parlimen pula dalam pilihan raya umum 1959, kami (PAS) memperolehi 13 kerusi. Akan tetapi Setiausaha Agung PAS, Othman Abdullah, keluar daripada PAS dan melompat ke pihak kerajaan. Kerana itu tinggal 12 kerusi PAS di Parlimen.

Tuanku Abdul Rahman menghantar Othman naik haji ke Makah untuk menaikkan namanya di kalangan rakyat. Untuk menjadi lebih popular. Dia juga membuat kajian tentang kapal haji yang setiap tahun membawa jemaah haji Malaya ke Makkah.

Setelah pulang dari Makkah, dia menyerang kami, dengan hebat sekali. Dia menuduh Yang Dipertua kami, Dr Burhanuddin, sebagai komunis, kerana pada masa Darurat pada 1948, beliau secara terbuka menyeru orang Melayu jangan menyerang kaum gerila Cina yang berjuang melawan British di dalam hutan, dan British telah menggunakan ini sebagai alasan untuk memenjarakannya.

Sekarang Othman membangkitkan semula cerita lama untuk menuduh Dr Burhanuddin sebagai komunis.

Kami dalam PAS tidak menduga akan memenangi Kelantan dan Terengganu pada 1959 itu sungguhpun kedua-dua negeri itu kuat dari segi agama. Kerajaan Perikatan pimpinan Tuanku Abdul Rahman memang sangat kuat dan mereka menggunakan banyak wang sumbangan tauke besar Cina untuk menentang kami, sebuah parti orang Melayu yang daif.

Kami hanya bersandar pada orang kampung yang miskin yang untuk menyewa sebuah mikrofon pun mereka tidak mampu. Sering kali kami terpaksa buat ucapan tanpa mikrofon dan pembesar suara. Bukan saja kerajaan Umno yang menghalang kami; peniaga Cina juga buat begitu. Sekalipun kami dapat mikrofon, kami tak dapat pinjam bateri untuk alat pembesar suara. Kami tak dapat kereta untuk kempen pilihan raya.

Dalam pilihan raya 1959, semua menteri Umno dan Perikatan menyerang kami sehebat-hebatnya, menuduh kami komunis untuk menakut-nakutkan orang kampung. Dakyah ini berjaya, akibatnya kami gagal di Perlis, sebuah kubu kuat PAS; dan rakyatnya kuat beragama. Kami bahkan lebih yakin dapat menawan Perlis daripada mana-mana negeri lain di Persekutuan.

Tapi kerajaan menggunakan sepucuk surat yang ditulis oleh Dr Burhanuddin semasa pemerintahan BMA (Pentadbiran Tentera British - selepas tamat Perang Dunia Ke-2 pada 1945 hingga pertengahan 1946) sebagai senjata sulitnya. Pada masa itu beliau terlibat dalam penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) untuk memperjuangkan hak orang Melayu dan kemerdekaan Malaya.

Semboyan mereka ialah 'merdeka' dengan landasan berjuang bersama Indonesia bagi penubuhan Melayu Raya, iaitu sebuah gagasan besar terdiri daripada Malaya, Filipina dan Indonesia serta menyatukan seluruh Nusantara. PKMM diharamkan pada 1948.

Semua pemimpin PKMM ditahan dan dipenjara. Ahmad Boestamam, pemimpin sayap pemuda API, Ishak Haji Muhammad anggota Socialist Front, dan Dr Burhanuddin Helmi, Yang Dipertua PAS, semuanya dipenjarakan bersama anggota lain, khasnya ahli jawatankuasa.

Pihak kerajaan membuat salinan surat yang dikatakan ditulis oleh Dr Burhanuddin; kemudian pada pukul 4.00 hari mengundi, orang Umno pergi mengetuk pintu rumah orang kampung menunjukkan surat itu kepada penghuni sambil memberi amaran: "Kalau kamu undi PAS, bererti kamu undi komunis dan akan masuk penjara serta-merta."

Orang kampung sangat takut. Mereka tak ada masa untuk datang kepada kami bagi mendapatkan nasihat kerana hari itu hari mengundi dan ada beberapa jam saja lagi sebelum membuang undi.

Kami juga tak ada masa untuk mengambil langkah menentangnya; kerana itu, kami kalah teruk di Perlis tanpa mendapat satu kerusi pun. Kedah juga terpengaruh oleh dakyah ini; maka kami hanya memenangi dua buah negeri, iaitu Terengganu dan Kelantan."

Tuesday, July 28, 2009

Malu jika bahasa Melayu (Malaysia) terpinggir!

Sarjana Iran, Dr Ali Syari'ati dalam bukunya, 'Tentang Sosiologi Islam', menulis: "Profesi (kerjaya) saya adalah seorang guru (pensyarah), dan ketika mahasiswa saya menanyakan buku-buku mengenai masalah tertentu, saya tidak dapat menjawab mereka. Karena (kerana) tidak ada buku-buku mengenai masalah-masalah itu dalam bahasa Persia (Parsi). Ini sungguh memalukan."

Pandangan Syari'ati ini (bukunya diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia bukan bahasa Malaysia, tidakkah kita malu dengan hakikat ini sedangkan bahasa kebangsaan adalah bahasa Malaysia atau Melayu?), dikemukakan lama sebelum Revolusi Islam yang membawa kepada kejatuhan Shah Iran. Syari'ati mengingatkan kepentingan ilmu dan disebabkan masyarakatnya adalah Parsi, adalah mustahak memartabatkan bahasa Parsi termasuk memperbanyakkan buku ilmiah dalam bahasa itu.

Saya utarakan pandangan Syari'ati ini bagi menarik perhatian mengenai perbahasan langkah sesetengah pusat pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) menghendaki pelajarnya menduduki ujian sepenuhnya dalam bahasa Inggeris kecuali Bahasa Melayu dan Agama Islam. Perbahasan juga membabitkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Seorang pelajar UiTM dalam suratnya kepada penulis, mengalu-alukan langkah itu, termasuk menegaskan penguasaan bahasa Inggeris membolehkan seseorang graduan menjadi pilihan majikan swasta dan mudah pula melanjutkan pelajaran ke seberang laut.

Jika mendapat pekerjaan bagus dengan gaji besar menjadi matlamat terakhir, tidak perlulah dilanjutkan perbahasan ini, tetapi apakah itu sebenarnya matlamat pendidikan?

Tugas manusia sebagai khalifah sudah tentu melampaui matlamat untuk mendapat kerja baik dan gaji besar. Seseorang yang berilmu bertanggungjawab menyedarkan masyarakatnya, tidak kiralah ilmu apa yang dikuasainya.

Kalau dia menguasai ilmu perakaunan, dia wajib menyebarkan ilmunya kepada anak bangsa yang dahagakan ilmu itu dan demikian juga bagi yang mengetahui bidang komunikasi, dia boleh manfaatkan ilmunya untuk menyedarkan rakyat terbanyak melalui tulisan dan penerbitan yang dihasilkannya.

Sesuatu bangsa yang berjaya tidak boleh tidak, bahasanya menjadi bahasa ilmu. Sejarah mengesahkan perkara ini. Pada awal kebangkitan Islam, orang Arab diangkat martabatnya kerana al-Quran yang diturunkan dalam bahasa mereka adalah sumber ilmu teragung. Orang Arab kemudiannya menterjemahkan karya-karya Parsi, Yunani dan Latin ke dalam bahasa Arab manakala orang Eropah menterjemah karya Arab ke dalam bahasa mereka.

Selepas orang Arab alpa, kelebihan ilmu dipegang kaum lain. Orang Parsi, Turki, India, Mongol dan sebagainya mengambil peranan itu dan kemudian ilmu dikuasai pula oleh orang bukan Islam. Pada zaman moden ini, bahasa Inggeris menjadi sumber rujukan ilmu dan sebab itulah cerdik pandai kita memberi penekanan kepada bahasa ini.

Memang benar adalah amat penting untuk pelajar, guru dan pensyarah kita menguasai bahasa Inggeris dan bahasa ilmu lain seperti Arab dan Perancis. Ini bagi membolehkan mereka menceduk ilmu-ilmu dalam bahasa-bahasa ini untuk diterjemahkan ke dalam bahasa kita. Jika proses ini tidak berlaku, percayalah orang Melayu tidak akan jadi masyarakat berilmu.

Persoalannya, bagaimana kita mahu memindahkan/menterjemahkan ilmu-ilmu ini jika keseluruhan sistem pembelajaran di pusat pengajian tinggi kita (bukan terhad kepada UiTM saja) adalah dalam bahasa Inggeris? Memang benar cendekiawan kita menjadi terlalu rapat dengan sumber ilmu tetapi apakah yang akan terjadi dengan masyarakat kita?

Jika ini berlaku, khazanah ilmu dalam bahasa kita tidak bertambah. Dikhuatiri tiada kertas kerja, diskusi ilmu, tiada tesis, tiada ujian di pusat pengajian tinggi kita dijayakan dalam bahasa Melayu. Jika ada pun ia bersangkutan dengan ilmu bahasa Melayu itu sendiri. Hatta ditakuti suatu hari kelak untuk mendiskusi bahasa Melayu pun kita terpaksa menggunakan bahasa Inggeris!

Cendekiawan negara kita perlu sedar bahawa ilmu adalah untuk masyarakat dan bukannya untuk disimpan dan dibicarakan secara eksklusif di gedung universiti. Di sini falsafah Islam itu perlu dihalusi kerana Islam dan ilmu itu tidak dapat dipisahkan.

Islam diturunkan bukan untuk golongan tertentu tetapi untuk keseluruhan lapisan umat manusia.

Islam adalah untuk dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat dan bukannya disimpan di tempat eksklusif. Sebab itulah dibina masjid di tengah-tengah masyarakat (kota dan desa) sedangkan tempat-tempat ibadat agama lain dibina di puncak atau lereng bukit dan boleh dicapai golongan tertentu saja seperti pendeta dan rahib.

Renungilah khutbah Jumaat. Ia disampaikan dalam bahasa yang difahami majoriti jemaah. Jika ramai orang Melayu, khutbah adalah dalam bahasa Melayu. Jika di Tanah Arab, khutbah adalah dalam bahasa Arab. Di Masjid Pakistan, khutbah disampaikan dalam bahasa Urdu.

Berbalik kepada soal bahasa di universiti tadi, cendekiawan kita perlulah mencari jalan keluar supaya tidak merugikan sebarang pihak. Ilmu perlu dikembangkan kepada anak bangsa kita tidak kira dalam apa bahasa pun tetapi pada masa yang sama kita tidak mahu cendekiawan kita gagal memperkayakan khazanah ilmu bangsa, sekali gus gagal mengubah nasib kaumnya.

Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra'd, ayat 11 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaannya sendiri."

Jika keseluruhan sistem pembelajaran di universiti dibuat dalam bahasa Inggeris, hampir pasti tidak ada pihak yang sanggup memindahkan ilmu itu dalam bahasa Melayu. Ini kerana tugas berkenaan amat berat tetapi apakah kita mahu berlepas tangan saja? Sebagai contoh, istilah dalam pelbagai bidang ilmu perlu dimantapkan penggunaanya dalam bahasa Melayu dan pihak manakah yang akan membincang dan membahaskannya selain daripada cendekiawan di universiti jua sebelum ia boleh diguna pakai orang awam?

Apakah kita mahu serahkannya kepada orang seberang (Indonesia) saja. Jenguklah buku-buku ilmiah berkaitan agama (termasuk buku Syari'ati), sebahagian besarnya adalah dari seberang. Di manakah cendekiawan kita?

Sesungguhnya tanpa arahan formal penggunaan bahasa Melayu (seperti untuk menjawab peperiksaan, pembelajaran dan diskusi) amatlah sukar untuk kita menyuburkan bahasa kita. Kerja-kerja memindahkan ilmu dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu adalah amat berat dan tidak upaya dipikul oleh segelintir cendekiawan atau diharapkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) saja.

Tanyalah pelajar pasca siswazah dan pensyarah, terutama dalam bidang teknologi, jika diberi pilihan, bahasa apa akan digunakan untuk membuat kertas kerja atau tesis. Sebahagian besar akan menjawab bahasa Inggeris. Ini kerana lebih mudah menyalin rujukan asal (atau memuat turun, harap-harap tidak) untuk dimasukkan dalam kertas kerja dan tesis mereka daripada bersengkang mata menterjemah, mencari istilah Melayu dan menghuraikannya dalam bahasa itu!

Perkara ini berlaku kerana hampir tiada sumber rujukan termasuk tesis siswazah terdahulu dalam bahasa Melayu. Insafi kelemahan ini! Apakah kita mahu perkara ini berterusan tanpa sedikit pun rasa malu seperti yang dialami oleh Ali Syari'ati berdekad-dekad lalu?

Demikian juga dalam dunia pekerjaan, adalah lebih mudah menyelesaikan sesetengah tugasan dengan menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Sebagai wartawan yang pernah membuat liputan sidang-sidang antarabangsa, saya amati petugas media berbahasa Inggeris dapat menyiapkan tugasan mereka dengan cepat sedangkan wartawan akhbar Melayu terkial-kial membuat terjemahan dan mencari makna perkataan tertentu. Bagi sesetengah wartawan akhbar Inggeris, tidak sukar membuat berita berdasarkan ucapan, ambil saja teksnya, kemudian mulakan, ‘He says…’ dan tulis apa diucapkan.

Berdasarkan hujah di atas, adalah penting untuk cendekiawan kita menguasai bahasa asal sesuatu ilmu itu dan juga bahasa Melayu. Saya berpendapat tidak ada jalan lain kecuali menggunakan kedua-dua bahasa berkenaan.

Misalnya, untuk tujuan ujian, 50 peratus soalan boleh dibuat dan dijawab dalam bahasa Inggeris dan 50 peratus lagi dalam bahasa Melayu! Perkara ini perlukan pengorbanan besar, tetapi Confucius pernah berkata: "Seribu langkah bermula daripada langkah pertama!"

Monday, July 27, 2009

Semakin ramai ‘jantan tak berguna’

Penulis seorang lelaki tetapi kali ini mahu mengutuk golongan sejenis. Kini semakin ramai lelaki termasuk dalam ‘spesies tidak berguna’ – misalnya di sekitar kediaman penulis, ada beberapa bujang terlajak yang enggan bekerja, ada yang menghisap dadah dan ada pula yang hanya tahu makan, minum dan tidur saja.

Di persekitaran pejabat penulis, ada juga beberapa lelaki ‘tidak berguna’. Bahasa yang penulis pakai memang kesat, maafkan penulis, tetapi itu adalah hakikatnya.

Seorang pemuda yang penulis kenali sebagai Ramli, suka sangat duduk, baring dan tidur di sebuah masjid berhampiran (Balai Islam). Kerja bujang terlajak dalam usia kira-kira 35 tahun ini, meminta-minta wang daripada pengunjung. Kadang-kadang dia mengorek-gorek tabung derma. Dalam meminta-minta itu, kerap juga dia merokok.

Sudah berbuih mulut penulis menasihatkan dia agar mencari kerja. Kalau tidak dapat kerja, cari dan kumpulkanlah kertas, kadbod, besi buruk atau bekas tin minuman untuk dijual. Itu lebih baik untuk menampung diri daripada berterusan meminta-minta, kata penulis padanya.

Suatu hari penulis lihat Ramli bekerja di sebuah gerai. Tetapi kejap saja. Katanya, dia tidak sesuai bekerja. Kerja penat, katanya. Saya katakan kepadanya mana ada kerja yang tak penat. Dia tidak peduli. Maka tidur baringlah dia di masjid sepanjang hari dan untuk makan minum, dia meminta-minta daripada pengunjung.

Saya katakan kepada dia, lebih baiklah dia keluar mencari kayu api (berdasarkan hadis Nabi s.a.w.) daripada duduk ‘berlingkar’ dalam masjid. Dia buat tidak tahu; jadi lebih baiklah saya tutup mulut daripada menasihatinya lagi.

Demikianlah semakin ramai lelaki yang ‘tidak menjadi’ berbanding perempuan dewasa ini. Di universiti, di tempat kerja; kebanyakannya dikuasai perempuan. Orang lelaki sudah hilang, ke mana agaknya mereka? Agaknya perempuan sibuk ke universiti mereka sibuk ke pusat serenti.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Profesor Ibrahim Abu Shah mengakui siswi melebihi pelajar lelaki dalam jumlah yang besar. Kementerian Pendidikan Tinggi menganggarkan nisbah pelajar lelaki/perempuan di IPT adalah 40:60 manakala ada pihak meletakkannya 35:65, malah 30:70.

Apabila semakin ramai warga perempuan mendapat pendidikan tinggi dan memenuhi pelbagai profesion pekerjaan, sedangkan semakin ramai lelaki ‘tidak menjadi’, tentulah ia mendatangkan pelbagai natijah buruk kepada masyarakat. Kini anak gadis semakin sukar mendapat pasangan hidup yang sekufu kerana lelaki ‘tidak berguna’ semakin banyak di pasaran.

Penulis tidak berhajat mengulas ketandusan lelaki berkualiti untuk dijadikan suami oleh wanita yang semakin ramai berpendidikan tinggi, tetapi lebih berminat memberi perangsang kepada lelaki yang sengaja memasukkan diri mereka dalam kategori ‘jantan tak berguna’.

Ini kerana lelaki dalam kumpulan inilah yang semakin bertambah dalam masyarakat. Ada yang mahu membujang sampai mati sebab tidak mahu bertanggungjawab (kalau kahwin kena sara keluarga), ada yang sudah hanyut dalam dunia dadah (asyik suntik diri sendiri), ada yang malas tidak mahu bekerja dan ada pula yang mahu orang lain menanggungnya.

Ramai lelaki kecewa, tidak mahu ambil ‘pot’ akan kehidupan mereka, seolah-olah tidak mahu hidup lagi. Kehadiran mereka kononnya tidak membawa erti kepada sesiapa pun. Ini tidak benar kerana seorang bijak pandai mengingatkan bahawa seekor nyamuk pun boleh menggugat kehidupan seseorang apatah lagi seseorang manusia, dia mempunyai peranan besar dalam kehidupan orang lain.

Dalam saya merenung-renung akan kehidupan ‘jantan tidak berguna’ yang berada di persekitaran saya, saya ketemui sebuah artikel dalam risalah Suara Al-Azim (Masjid Negeri Melaka) bertarikh 10 April 2009 sangat menarik yang mungkin dapat merangsang orang yang berasakan diri mereka tidak berguna lagi.

Antara lain dalam rencana ‘Demikianlah Masa Menceritakan Kepada Kita’, ditulis: “Makhluk yang paling rendah dan hina di alam ini adalah adalah manusia yang hidup sehariannya hanya makan, minum dan tidur. Sumber manfaat dalam dirinya sudah tidak mengeluarkan air lagi, lembah kebaikannya sudah kering, oleh itu kewujudannya berhak untuk tidak dianggap kerana ia telah menghapus namanya dari daftar kehidupan, menghapus nombornya dari papan pencatat karya dan pengorbanan.

“Ia umpama berada dalam kematian, perbezaannya bahawa ia masih makan dan minum. Ia pun telah berada di alam kubur, perbezaannya ia masih tertawa dan tidur. Orang-orang seperti ini mempunyai peranan yang besar dalam kenaikan harga barang keperluan utama, kerana banyaknya makanan yang ia santap. Ia juga memiliki peranan yang besar dalam mengakibatkan terjadinya kekeringan, kerana banyaknya air yang ia minum.”

Saya mengamati-amati apa yang ditulis ini, dan tidak dapat mengelakkan daripada mencari persamaan dalam cara hidup ‘jantan tak berguna’ yang semakin ramai sekarang ini. Ya, berhampiran rumah dan pejabat saya ada jantan jenis ini; kerjanya makan dan tidur pada siang hari dan keluar pada waktu malam. Ada yang ‘berlingkar’ macam ular sawa di masjid pada ketika orang sedang sibuk bekerja dan apabila lapar, tanpa segan akan meminta-minta kepada pengunjung.

Akhir sekali, harap-harap penulis tidak termasuk dalam kategori ‘jantan tidak berguna’ ini kerana ‘bercakap atau menulis tidak serupa bikin’ atau kata orang, ‘nyamuk di sebarang lautan nampak, gajah di depan mata tidak nampak’.

Penulis sedar siapa diri ini untuk menyatakan seseorang itu berguna atau tidak berguna kerana hakikatnya Allah SWT yang tahu nilai seseorang itu. Lagi pun penulis tidak tahu sama ada diri ini bernilai atau tidak di sisi manusia lain apatah lagi di sisi Allah SWT. Untuk itu penulis memohon seribu kemaafan, apa yang ditulis hanya berdasarkan luaran (fizikal) untuk mengingatkan diri sendiri dan pembaca agar tidak tergolong dalam kumpulan ‘jantan tak berguna’.

Friday, July 24, 2009

Memang ‘mereka’ lebih teruk daripada lembu…

Di tepi jalan menuju Crystal Bay di Alai, Melaka (berdekatan sebuah taman perumahan) ada sebuah papan tanda besar ditulis perkataan; “Lembu-lembu dilarang masuk.” Anak saya yang berada di tahun satu, ketawa terkekeh-kekeh membacanya lantas bertanya: “Ayah, lembu tahu membaca ke?”

Saya pasti lembu tidak tahu membaca. Tetapi saya tidak pasti sama ada seseorang perokok itu tahu membaca atau tidak. Beberapa hari lalu saya tertendang satu kotak rokok terbuang. Disebabkan sudah lama tidak merokok (hampir 10 tahun), teringin saya tahu apa ditulis di atas kotak rokok sekarang ini. Jadi saya pun ambil dan menelitinya.

Pada zaman saya ‘rock’ dulu (kaki hisap rokok), apa ditulis pada kotak rokok adalah, “Amaran Kerajaan Malaysia. Merokok membahayakan kesihatan.” Tulisannya kecil, pada sisi kotak berkenaan. Saya bukan tidak faham mesej itu tetapi tetap merokok kerana mahu mempertahankan imej ‘rock’ dan ‘cool’ saya kononnya. Saya terus merokok walaupun sudah jelas dinyatakan merokok itu membahayakan kesihatan. Bodoh juga saya masa itu.

Itu kisah dulu; lain ulu lain parang, lain dahulu lain sekarang. Sepuluh tahun lalu, saya berkawan dengan mereka yang sebahagiannya berkopiah dan berserban yang tidak merokok, jadi saya rasa malu sendiri, lama-lama tabiat itu dapat dihentikan. Itulah untungnya berkawan dengan mereka ini, ada sebuah hadis menyebut kalau kita berkawan dengan penjual minyak wangi, keharumannya kita dapat; dan jika kita berkawan dengan tukang besi bau busuknya pun hinggap di badan kita.

Lagi pun saya sudah naik haji dan berkopiah. Nampak tidak manis orang berimej begini menyedut asap dan menghembuskannya. Kelihatan macam jin dalam buku kanak-kanak. Lama-lama kelamaan saya pun berhenti; apatah lagi sekarang ini orang kerap memanggil ‘haji’ atau ‘tuan haji’. ‘Status’ dan perangai kenalah jaga; hasilnya alhamdulillah, sudah hampir 10 tahun saya tidak menghisap rokok.

Sekarang ini kempen tidak merokok begitu meluas. Di kebanyakan kawasan masjid ada dipasang papan tanda yang menyatakan pengharaman merokok oleh Majlis Fatwa sedangkan dulunya kebanyakan orang difahamkan merokok itu hukumnya makruh bukan haram.

Kerajaan pun sudah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk kempen ‘Tak Nak’nya, manakala kawasan larangan merokok semakin banyak, tetapi sungguh aneh jumlah perokok bukan berkurangan, mungkinkan sudah menjadi tabiat manusia perkara dilarang itulah yang mahu dilakukannya.

Selepas begitu lama tidak memegang kotak rokok, terperanjat besar saya ketika membelek kotak rokok yang saya jumpa itu. Pada kotak itu di bawah perkataan AMARAN, ada gambar besar leher seorang pesakit kanser. Teruknya penyakit itu. Ngeri saya melihatnya. Leher itu berlubang, kemerah-merahan dan bernanah. Kebanyakan bahagiannya kehitaman. Ada benjolan di sana sini. Di bawah gambar itu ada perkataan: “Rokok Penyebab Kanser Leher.”

Di sisi kotak itu ditulis: “Produk ini mengandungi lebih 4,000 bahan kimia termasuk tar, nikotina dan karbon monoksida yang membahayakan kesihatan.” Ada juga perkataan, “Dilarang Jual Kepada Orang Bawah Umur 18 Tahun.”

Saya membelek sebuah lagi kotak rokok yang tertera gambar paru-paru kehitam-hitaman dan berlubang-lubang dengan perkataan “Rokok Penyebab Kanser Paru-Paru.” Pada plastik di kotak rokok 20 batang itu dinyatakan harganya RM8.60. Disebabkan sudah lama tidak menghisap rokok, terperanjat saya melihat harganya, dulu semasa saya menghisap rokok harganya tidak sampai $4.00 sekotak.

Melihat gambar dan tulisan amaran pada kotak rokok itu sudah cukup untuk menakutkan seseorang. Manusia bukan lembu, jadi sudah pasti kebanyakannya (sekalipun kalau tidak boleh membaca) tahu mesejnya. Tentulah perokok mampu mengira kos yang diperlu ditanggungnya daripada ‘hobi’ itu.

Mari kita kira berapa dibelanja dan apa didapati seseorang perokok. Sekotak rokok 20 batang berharga RM8.60. Kalau dalam sehari dia menghisap sekotak, dalam sebulan dia membelanjakan RM258.00. Dia perlu membeli mancis atau pemetik api. Sekotak mancis berharga 20 sen, dalam sebulan kos mancis RM6.00.

Dalam sebulan seorang perokok membelanjakan RM264.00. Dalam setahun RM3,168.00. Katakan dia sudah menghisap rokok 10 tahun, jadi dia membelanjakan RM31,680.00 untuk memenuhi hobi ‘rock’ dan ‘cool’nya itu. Kalau 20 tahun, jumlahnya RM63,360.00.

Apa yang boleh dibuat dengan wang RM63,000.00? Dia boleh membeli sebuah rumah agak selesa, sudah boleh pergi haji, dan sebagainya. Itu baru menghisap satu kotak rokok sehari selama 20 tahun; jika dia merokok dua kotak sehari selama 20 tahun, jumlah ‘dihanguskan’ RM126,000.00.

Ini sangat besar; tetapi apakah hasil didapati seseorang perokok selain nikmat menyedut dan menghembus asap? Jawapannya sudah diberikan di atas kotak rokok itu; kanser paru-paru, kanser leher, kanser mulut dan sebagainya. Apabila diserang penyakit ini (termasuk sakit jantung), kos rawatannya cukup tinggi; membazirkan masa doktor dan jururawat untuk merawat mereka di hospital selama berbulan-bulan malah bertahun-tahun.

Demikianlah seseorang perokok itu membayar puluhan malah ratusan ribu ringgit untuk mendapat pelbagai jenis penyakit termasuk kanser dan masalah-masalah lain. Jadi bijakkah orang ini? Oleh itu amat tepatlah untuk Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perangai perokok sebagai lebih buruk daripada lembu.

Jika lembu memasuki kawasan berpapan tanda “Lembu-Lembu Dilarang Masuk” itu memang selayaknya sebab lembu tidak tahu membaca (tiada akal, tidak ke sekolah), yang perlu dipersalahkan adalah tuan punya lembu; tetapi jika manusia yang mengerti apabila melihat gambar apatah lagi tahu membaca kerana bersekolah, berperangai macam lembu; tentulah dia lebih teruk daripada lembu!

Thursday, July 23, 2009

Sebelum nikmat-Nya ditarik balik…

Baru-baru ini, penulis membawa ibu dan bapa melawat abang ayah (bapa saudara penulis) yang terlantar di wad Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Beliau yang berumur lebih 70 tahun, menghidap diabetes; jari kakinya sudah dipotong, kini kerana sukar bernafas, lehernya ditebuk, menyebabkan peti suaranya gagal berfungsi.

Melihatnya terlantar di katil cukup menginsafkan; apabila nikmat bercakap ditarik Allah SWT, dia hanya mampu memandang; pengunjung dan dia tidak dapat berkomunikasi. Suatu ketika air mata meleleh di pipinya, ibu penulis menyatakan dia mendengar perbualan pelawat tetapi tidak mampu menunjukkan reaksi sama ada melalui mimik muka apatah lagi pergerakan anggota dan percakapan.

Demikianlah manusia akan hilang apa dia nikmati. Kebanyakan orang tidak menyedari nikmat dicurahi Illahi yang dianggap biasa seperti kemampuan bercakap, melihat dan berjalan sehingga ia ditarik balik. Manusia menang tidak menginsafinya sehinggalah ‘mulut mereka dipenuhi tanah’ (maksudnya sudah berada dalam kubur). Sesudah mati barulah diketahui nikmat hidup.

Seorang ustaz dalam kuliah mingguannya di masjid berhampiran rumah penulis ketika membentangkan permasalahan nikmat ini menarik perhatian penulis. Katanya, nikmat itu hanya dapat dirasai apabila berlaku perkara bertentangan; misalnya nikmat sihat dirasai apabila seseorang itu sakit; nikmat berjalan selepas kaki tiada; nikmat kaya selepas jatuh miskin; dan nikmat berkeluarga selepas bercerai-berai.

Ustaz itu berkata nikmat Allah SWT tersangat banyak, tidak terhitung manusia. Beliau membawa kisah seorang lelaki bani Israil yang beribadat ratusan tahun, kemudian mendakwa dia memasuki syurga kerana banyaknya amalannya. Allah memerintahkan ditimbang amalan dia dengan nikmat sebelah matanya; ternyata timbangan mata itu lebih berat menyebabkan dia dilemparkan ke dalam neraka.

Seorang Muslim perlu menyedari nikmat terbesar Allah SWT kepadanya adalah Islam, iman dan tergolong umat Nabi Muhammad s.a.w. Kata ustaz tidak guna menjadi kaya atau berkuasa seperti Presiden (kini bekas) George W Bush yang jelas tidak termasuk tiga kategori ini. Katanya, umat Nabi Muhammad s.a.w. sangat beruntung kerana nabi-nabi pun mahu menjadi umat rasul akhir zaman tetapi tidak terlaksana.

Pembaca boleh mengikuti perbahasan mengenai nikmat ini dalam kitab-kitab agama atau tazkirah, jadi penulis tidak berhajat melanjutkan perbahasan mengenainya tetapi mahu menjurus kepada antara perkara dinikmati penulis sekarang ini.

Nikmat pertama adalah kehadiran ibu bapa serta ibu dan bapa mentua di sisi sedangkan sebahagian besar rakan seusia, orang tua mereka sudah meninggal dunia. Orang yang masih ada ibu bapa tidak menyedari nikmat ini sehinggalah mereka tiada.

Seorang rakan memberitahu dia tersangat rindukan ibu bapanya. Malangnya mereka sudah tiada. “Apabila hari raya, berhajat jua pulang ke kampung tetapi untuk apa? Ayah dan ibu sudah tiada, jadi saya tidak terpanggil untuk pulang,” katanya sayu.

Demikianlah apabila tiada, barulah terasa nikmat itu. Kedua-dua orang tua saya masih ada, dan nikmat bersama merekalah yang penulis hendak nyatakan. Sudah pasti perkara yang hendak dinukilkan itu terlalu banyak, kerana keterbatasan ruang, cukuplah saya nyatakan satu dua saja.

Ayah saya sudah 15 tahun pencen daripada pekerjaannya sebagai tukang kebun sekolah. Tentulah wang pencennya tidak seberapa. Tetapi hampir setiap hari ada saja buah tangan (sarapan seperti roti canai dan nasi lemak) dibelikannya untuk anak-anak saya (rumah saya dan rumahnya sebelah menyebelah).

Kemudian pada setiap petang Rabu, apabila ada jualan pasar malam, dia tidak pernah lupa membelikan kuih-muih untuk kami. Saya menjadi malu sendiri, sepatutnya saya yang melakukan perkara itu, tetapi perkara sebaliknya berlaku. Saya terasa begitu sebak, kerana tidak puas-puas orang tua membiayai saya sejak daripada bayi dulu sampailah diri saya yang sudah beruban!

Ibu saya pula tidak jemu-jemu membimbing saya; dulu masa kecil dia mengajar saya membaca al-Quran, kemudian kelima-lima anak saya juga diajarnya. Empat sudah khatam di tangannya, seorang masih belajar, merangkak-rangkak mengenal huruf. Oohh, cukup besar jasanya yang tidak putus-putus daripada dulu sampai sekarang.

Jadi, apakah yang dapat saya lakukan; hanya ucapan terima kasih tidak terhingga dan memanjatkan doa kepada mereka; “Ya Allah Kau kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku semasa aku kecil dulu.”

Kemudian Allah SWT berikan isteri yang terlalu baik kepada saya. Nikmat pemberian-Nya dalam bentuk isteri atau suami jarang dihebahkan manusia termasuk oleh pasangan masing-masing. Jarang orang melihat kecantikan, kehebatan dan kemuliaan pasangan sendiri; selalunya mereka melihat isteri atau suami orang lebih cantik, lebih hebat.

Atas nikmat kurnia-Nya, penulis mengucapkan terima kasih kepada isteri yang telah menghadiahkan lima cahaya mata (setakat ini) dan tentulah derita mengandung, melahir serta membesarkan mereka, dia lebih mengetahui dan merasainya lebih daripada saya.

Terima kasih wahai isteri yang telah berkorban dan bersusah payah kerana diriku ini. Kaulah yang mengurus makan minum dan pakaianku. Terima kasihlah banyak-banyak kerana makananku sudah tersedia di atas meja, atau sudah dimasak dalam periuk dan kuali; manakala pakaianku sudah siap bersterika kemas dalam almari. Dan sempena ulang tahun kelahiranmu ke-45, baru-baru ini, aku ucapkan Selamat Hari Jadi, terima kasih atas kasih sayang dan pengorbananmu.

Atas semua jasa dan pengorbanan insan-insan ini serta adik-beradik, saudara-mara, guru, sahabat dan semua; penulis sebagai menghargai dan mensyukuri nikmat-Nya, mengucapkan ribuan terima kasih, semoga Allah SWT membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran. Inilah antara perkara yang dapat penulis lakukan sebelum nikmat-Nya ditarik balik. Sekali lagi, terima kasih semua!

Tuesday, July 21, 2009

Iktibar daripada kisah berani gagal

Hampir setiap hari saya menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dan sekali sekala Lebuhraya KL-Karak. Antara lokasi menarik perhatian saya adalah beberapa lereng yang cerunnya sentiasa dilakukan kerja-kerja pembaikan. Ringkasnya kerja-kerja landskap lereng tidak pernah selesai.

Sebaik saja kerja mengukuhkan lereng itu siap dan rumput ditanam, hujan lebat memusnahkannya, menyebabkan tanah runtuh. Tembok batu yang dibina, kadang-kadang berjaring, juga tidak berkesan.

Plastik besar yang digunakan bagi menutup kawasan tanah terdedah, tidak banyak membantu. Tebing bukit yang dipotong bagi membuat lebuh raya di kawasan berkenaan kerap runtuh.

Apa yang mengkagumkan penulis adalah kegigihan pihak terbabit bagi memastikan tebing itu dalam keadaan baik. Mereka mungkin terdiri daripada pasukan jurutera, pakar landskap dan buruh. Mereka seolah-olah tidak mengenal putus asa.

Apabila tebing itu runtuh, mereka baikinya. Runtuh lagi, mereka berusaha memulihkannya. Runtuh lagi, mereka tetap menjalankan tanggungjawab. Apabila rumput yang ditanam tercabut dan dihanyutkan air hujan, mereka menanam yang baru.

Selama bertahun-tahun mereka melakukan kerja yang sama tanpa jemu. Mungkin perkataan bosan tidak ada dalam kamus mereka. Kegigihan mereka membuahkan hasil. Ada lereng menjadi mantap, dipenuhi rumput menghijau. Tanah di lereng bukit kelihatan kukuh dan mampat.

Ertinya selepas bertahun-tahun membanting tulang dan memerah tenaga, usaha mereka akhirnya berhasil.

Kegigihan, kesabaran dan usaha berterusan tanpa mengenal jemu adalah rahsia kejayaan. Kelebihan ini juga membantu menjulang nama pemimpin termasyhur dunia. Tanpa kesabaran mereka tidak akan berada di kedudukan tinggi itu.

Salah seorang tokoh itu adalah Nelson Mandela yang menjadi Presiden Afrika Selatan selama lima tahun saja (1994-1999), sekalipun beliau boleh memegang jawatan itu buat tempoh lebih lama. Kesabaran Mandela yang merengok 27 tahun dalam penjara, membolehkan beliau menjadi orang paling berkuasa di Afrika Selatan selepas pilihan raya pelbagai kaum pertama negara itu pada April 1994.

Mandela adalah antara tahanan paling lama di dunia. Bukan calang-calang orang boleh bersabar selama 27 tahun dalam penjara seperti yang ditunjukkan oleh bekas Presiden Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) itu.

Ramai tahanan tidak dapat mengawal diri, melakukan tindakan merugikan seperti membunuh diri. Semangat gigih ditunjukkan oleh Mandela itu akhirnya menyebabkan penindasan orang kulit putih ke atas orang kulit hitam dan berwarna Afrika Selatan selama beratus-ratus tahun dapat diakhiri.

Sekalipun Mandela bukan satu-satunya tokoh yang bertanggungjawab meruntuhkan sistem aparteid; kesabaran, kegigihan dan semangat tidak putus asanya, memberikan perangsang kepada orang lain.

Semangat tidak berputus asa adalah langkah pertama menuju kejayaan. Bagi menikmati kejayaan, seseorang itu perlu berani mencuba sekalipun kurang pengetahuan dan tidak pula takut menghadapi kegagalan.

Pepatah Melayu ada menyebut, belakang parang diasah lagikan tajam; batu yang keras jika sentiasa dititiskan air, akan berlubang juga akhirnya.

Thomas Eva Edison yang masyhur itu pun dikatakan gagal beratus-ratus kali dalam percubaannya untuk menghasilkan ‘api dalam kaca’ (mentol elektrik). Demikian juga pereka masyhur lain di Barat. Mereka sanggup melakukan beratus-ratus ujian sebelum menemui kejayaan.

Pelayar Itali yang berkhidmat untuk Raja Sepanyol, Christopher Columbus, menemui benua Amerika selepas pergi ke dunia Timur dengan menuju arah Barat, bertentangan dengan laluan pelayar sebelumnya Putera Henry atau pun Vasco Da Gama. Pendeknya semua tokoh ini tidak takut menghadapi kegagalan dalam menjayakan cita-cita mereka.

Di negara kita pun ramai orang dan pihak berjaya selepas banyak kali gagal. Tetapi mereka terus mencuba. Misalnya DAP sudah banyak kali gagal dalam ‘Projek Tanjung’ (merampas Pulau Pinang) sebelum mencapai kejayaan besar dan mengejutkan di bawah pimpinan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang kini Ketua Menteri Pulau Pinang.

Begitu juga PAS Kedah di bawah Pesuruhjayanya, Ustaz Azizan Abdul Razak yang akhirnya berjaya membentuk sebuah kerajaan buat pertama kalinya di negeri Jelapang Padi. Tentunya orang PAS tidak patah semangat setiap kali gagal, tetapi bangkit, mencuba dan terus mencuba.

Berhubung semangat tidak berputus asa ini, saya tertarik dengan penulis ‘Dare to Fail’ (Berani Gagal), Billy Lim yang saban pilihan raya bertanding di kawasan Parlimen Bukit Bintang. Billy tidak pernah menang pun, tetapi tetap gigih bertanding dan terus bertanding.

Bagi Billy kegagalan adalah satu nikmat dan kelebihan. Orang yang tidak mahu dan tidak dapat menerima hakikat kegagalan adalah mereka yang tidak mencuba pun. Mana lebih baik, mencuba dan gagal atau tidak melakukan sesuatu apa pun?

Pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat yang dijadualkan November lalu, dapat dilihat bagaimana calon Demokrat, Hillary Clinton dan Barack Obama sudah berbulan-bulan bertarung tetapi belum ada keputusan siapa yang layak mewakili parti itu bagi melawan John McCain daripada Republikan.

Berdasarkan ini, tentulah Hillary dan Obama bukan orang yang cepat patah semangat kerana perjuangan ke Rumah Putih memerlukan stamina dan kekuatan luar biasa.

Akhirnya Obama mencatat sejarah sebagai Presiden Amerika pertama daripada orang kulit hitam.

Monday, July 20, 2009

Tafsiran sejarah berubah jika Pakatan berkuasa?

Sewaktu berada di sekolah rendah dulu (1969-1974), penulis begitu meminati subjek Tawarikh (kini dikenali Sejarah). Mata pelajaran ini adalah bagi pelajar Darjah Empat, Lima dan Enam.

Dalam bab tokoh pejuang digambarkan kehebatan pemimpin seperti Robert Clive (askar British yang merintis jalan kepada kemasukan British ke India), Francis Light (kononnya pembuka Pulau Pinang), Stamford Raffles (kononnya pembuka Singapura) dan sejumlah Residen British di Tanah Melayu seperti JWW Birch (Perak), Frank Swettenham (Selangor) dan Hugh Clifford (Pahang).

Pelajar juga diajar menyanjungi peneroka dan pelayar Eropah seperti Vasco da Gama, Marco Polo, Magellan, David Livingstone dan memperakui kehebatan srikandi seperti Joan of Arc dan Florence Nightingle.

Sanjungan terhadap tokoh-tokoh ini difahami kerana ketika itu negara kita masih pada peringkat awal pencarian identiti dan jati diri tetapi melalui masa, apabila semakin ramai sejarawan dan cendekiawan tempatan dilahirkan, maka tafsiran sejarah juga mengalami perubahan.

Sejarah tidak pernah berubah, cuma tafsirannya berbeza mengikut zaman. Misalnya, jika dulu anak-anak sekolah diajar betapa berjasanya Birch, Swettenham, Low, J P Rodger dan sebagainya tetapi mengkelaskan Mat Kilau, Dol Said, Mat Saleh, Rosli Dhoby, Tok Bahaman dan Tok Janggut sebagai petualang, tetapi apabila merdeka, soal siapa pengkhianat dan siapa pembela bangsa terserlah sudah.

Demikian juga sanjungan kepada kehebatan Barat melalui pelayar seperti Marco Polo, Livingstone, Magellan dan da Gama semakin pudar sebaliknya yang dekat di hati rakyat atas kepentingan tertentu seperti agama, maka nama-nama seperti Ibnu Battuta dan Cheng Ho menghiasi buku sejarah.

Jika pada zaman persekolahan penulis dulu, tidak dihiasi dengan kisah kehebatan pejuang kemerdekaan Tanah Melayu (kini Malaysia), tetapi hari pada peringkat sekolah rendah lagi anak-anak sudah diperkenalkan dengan tokoh seperti Onn Jaafar, Tuanku Abdul Rahman Putra, Ismail Abdul Rahman, Razak Hussein, Hussein Onn; malah membawa kepada pemimpin pada dekad baru iaitu Mahathir Mohamad, dan Abdullah Ahmad Badawi.

Ini satu perkembangan yang positif yang dapat menarik minat anak-anak kepada pejuang tempatan, tetapi disebabkan tafsiran sejarah negara yang berpaksi kepada komponen parti pemerintah Umno-BN; yang ditonjolkan adalah pemimpin-pemimpin ini saja sedangkan ada ramai lagi pejuang kemerdekaan tetapi nama dan kisah mereka disebut secara ringkas (seperti Ibrahim Yaakob, Ishak Muhammad, Ahmad Boestamam dan Dr Burhanuddin Helmi) dan ramai lagi tidak disebut langsung.

Jika dulu Umno-MCA-MIC dikaitkan dengan kemerdekaan negara secara terlalu hebat sedangkan pihak lain kononnya tidak berperanan atau tidak berjasa langsung (ingat sambutan Hari Kemerdekaan tidak lama dulu yang hanya menunjukkan pemimpin-pemimpin parti ini sebagai pejuang kemerdekaan), kini dengan kemenangan Pakatan Rakyat di empat negeri melalui pilihanraya umum 2008, kecenderungan itu mulai diketepikan.

Misalnya, PAS yang sejak berpuluh-puluh tahun dilihat sebagai tidak berperanan penting, mulai diberi tempat dalam catatan sejarah dan tidak mustahil jika Pakatan Rakyat menang pada pilihanraya umum ke-13 seterusnya menguasai kerajaan Persekutuan, tafsiran baru terhadap sejarah kemerdekaan negara dan Malaysia akan dibuat sejarawan dan cendekiawan.

Demikianlah tafsiran sejarah dibuat berdasarkan pihak yang memegang kuasa. Pada peringkat global, sebagai contoh, sesetengah sejarawan Barat menggambarkan Islam sebagai ancaman utama mereka, oleh itu mereka menafsirkan sejarah Islam sebagai penuh dengan keganasan tetapi apabila tokoh hebat seperti wartawan Yvonne Ridley yang melihat dan mengalami kemuliaan Islam, tentunya mereka tidak lagi membuat catatan (lama kemudian tentunya ia menjadi catatan sejarah) bahawa penganut Islam itu ganas.

Berdasarkan tafsiran sejarah yang berubah, di negara kita, bagi sesetengah penulis ada rasional bagi mereka memperjuangkan agar tidak dihukum berat tokoh seperti Chin Peng kerana zaman serta suasana perjuangan mereka adalah amat berbeza dan sudah banyak berubah berbanding sekarang.

Seorang daripadanya menulis: "Chin Peng mungkin tersalah jurusan apabila memilih lapangan dalam keghairahan untuk melempiaskan kobar semangat patriotiknya.

"Tetapi janganlah pula kita generasi hari ini juga tersalah jurusan dalam menafsir sejarah dan menobat wira. Mereka yang pernah menentang penjajah sama ada dari atas padang atau dari dalam hutan, tetap seorang patriot, bukanlah hanya satu pihak (Umno) yang paling layak untuk bercakap tentang patriotisme bangsa merdeka."

Pandangan itu adalah hak penulis berkenaan. Bagaimanapun, diulangi sejarah tidak pernah berubah, cuma tafsirannya berbeza mengikut zaman. Tetapi ramai daripada kita hanya mencatat dan membaca sejarah tetapi tidak belajar daripadanya.

Misalnya kita 'menangisi' pemergian Hang Nadim, P Ramlee dan ramai lagi wira, tanpa kita sedari betapa ramainya tokoh-tokoh seumpama mereka yang masih hidup, kita 'kambing-hitamkan' semata-mata bagi memuaskan nafsu kita sama ada dari segi politik, pangkat, kuasa, kekayaan dan seumpamanya.

Jadi biarlah masa dan masyarakat menentukan kedudukan seseorang tokoh itu, sama ada dia pejuang atau pun pengkhianat bangsa dan tanah airnya.

Thursday, July 16, 2009

Apa guna hidup 1,000 tahun, kalau tak sembahyang

SABTU, 8 November tahun lalu adalah antara hari paling sibuk bagi saya sekeluarga.

Ada tiga majlis membabitkan sekolah anak-anak yang perlu dihadiri. Semuanya pada pagi. Anak tingkatan lima ada majlis graduasi, anak tahun lima ada majlis motivasi manakala si kecil, ihtifal Pasti.

Selepas berbincang, saya ke ihtifal Pasti, isteri ke majlis graduasi. Majlis motivasi dikorbankan. Si anak menarik muka masam, tetapi selepas dipujuk, dia kelihatan ok, tetapi dalam hati siapa tahu.

Si ibu memberikan rasional, pada tahun depan si abang tiada lagi di sekolah berkenaan, si adik pun tiada di Pasti tetapi si anak tahun lima tetap berada di sekolah sama untuk mengambil UPSR.

Demikianlah betapa cepat masa berlalu, sesi persekolahan 2008 sudah melabuhkan tirai. Dalam tempoh 50 hari, ‘kitab’ 2008 ditutup, usia bertambah, hakikatnya kita semakin mendekati penghujung hayat.

Pada majlis Pasti, terhibur saya melihat karenah dan keletah anak-anak. Mereka begitu bertenaga, berlari ke sana sini, kemudian menunjukkan kebolehan menghafaz doa dan membaca al-Quran, mempersembahkan nasyid dan bercerita.

Selepas sejam di kerusi, terasa sengal-sengal badan. Saya bangun, beredar ke padang seterusnya ke jalan raya. Dari kejauhan saya menyaksikan aktiviti berlangsung.

Melihatkan anak-anak cergas mengambil bahagian dalam acara di padang, saya terkenang zaman kanak-kanak. Sudah lebih 40 tahun berlalu ketika saya sibuk-sibuk bersedia ke darjah satu seperti anak saya yang akan menamatkan zaman pra-sekolahnya, tetapi saya rasakan seperti baru semalam.

Bagi kebanyakan orang semalam dan hari ini terlalu hampir. Tetapi bagi bijak pandai, semalam adalah terlalu jauh, semuanya sudah menjadi sejarah. Tidak mungkin semalam berpatah balik, menangisi air mata darah sekali pun, semalam mustahil menjadi hari ini.

Seorang ustaz kerap mengingatkan jemaah bahawa perkara sudah berlalu itu (semalam) biarkanlah, apa yang penting isikan waktu sekarang dengan amal sekuat mungkin.

Katanya, waktu ada tiga - semalam, sekarang dan esok. Semalam sudah menjadi sejarah, esok belum tentu, jadi maksimumkan masa sekarang untuk melakukan kebaikan.

Seorang ustaz lain pula mengingatkan dalam melakukan kebaikan itu bergantung kepada kemampuan seseorang. Katanya, dalam tahfiz al-Quran misalnya, bukan semua orang boleh menjadi hafiz atau hafizah, tetapi setiap orang boleh ‘membeli saham’.

Orang ada ilmu dan mampu mengajar, dia boleh jadi guru atau ustaz; yang pandai mengurus boleh mentadbir sekolah atau tahfiz; orang berharta boleh mengusahakan pembinaan dan pembiayaan sekolah. Ertinya setiap orang menyumbang berdasarkan kemampuan masing-masing.

Individu berkemampuan menulis, boleh menyumbang dalam bentuk penulisan, kata ustaz itu, membuatkan saya tersentak, mungkinkah ustaz itu merujuk kepada saya? Fikiran saya melayang jauh, apakah benar saya sudah berusaha berdakwah melalui penulisan?

Bagi menambah ilmu, adalah penting mengikuti kelas-kelas pengajian di masjid dan surau. Selain itu bagi sesetengah insan, ada peristiwa mendorongnya mendapat taufik dan hidayah-Nya. Ibu saya salah seorang daripadanya dan dia menceritakan perkara itu kepada saya tidak lama dulu.

Pada tahun 1970-an dulu, ibu saya terlalu sibuk menguruskan hal ehwal anak-anak seramai lapan orang sehingga jarang benar berkesempatan menghadiri kelas pengajian. Ibu berkemampuan membaca al-Quran, malah mengajar sendiri anak-anaknya mengaji tetapi tidak memahami maksud ayat-ayat berkenaan.

Suatu hari ketika cuti sekolah, ibu terbaca buku teks agama tingkatan dua yang saya bawa pulang dari asrama, yang pada bahagian al-Quran ada disertakan Surah Al-Ashr, maksud ayat dan pengajarannya. Terjemahan surah pendeknya adalah; “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang beriman dan beramal salih, dan berwasiat (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Ibu termenung kaku membaca terjemahan ayat-ayat itu. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian…orang itu ada kita sendiri, kita yang membanting tulang mencari sesuap nasi, kita yang membanting tulang membesar dan menyekolahkan anak-anak, kita yang membanting tulang membuat rumah, berkebun dan sebagainya, semuanya dalam kerugian kecuali mereka yang bersifat seperti dinyatakan Allah SWT.

Tidak ada ertinya bekerja ‘macam nak mati’ tetapi tidak beriman dan beramal salih. Dan tidak bolehlah seseorang itu beramal seorang diri sebaliknya dia perlu berdakwah, memberi nasihat kepada orang lain dan mengamalkan sikap sabar dan menyuruh orang lain beramal dengannya.

Sejak disedarkan dengan Surah Al-Ashr itu, ibu berusaha meningkatkan pengetahuannya terutama dalam memahami maksud ayat-ayat al-Quran. Al-Quran itu adalah panduan kepada manusia dalam menjalani kehidupan, tetapi ramai yang tidak mengetahui maksud walaupun boleh membacanya.

Ada bijak pandai mengumpamakan al-Quran itu surat/memo Yang Maha Berkuasa kepada hamba-Nya untuk dilaksanakan perintah di dalamnya. Bagaimana rasa hati seorang ketua pejabat yang mengedarkan surat pekeliling kepada anak buahnya jika mereka menyanyi-nyanyikannya tetapi tidak melaksanakan arahannya?

Tentulah ketua itu naik berang kerana perkara disuruh tidak dibuat, sebaliknya dinyanyikan. Surah Al-Ashr telah menyedarkan ibu saya bahawa hidup ini sia-sia jika hidup tidak berpandukan apa diajarkan Allah dan Rasul melalui Kitab-Nya.

Saya tersedar daripada lamunan apabila mendengar anak-anak Pasti mendendangkan nasyid ‘Sepohon Kayu’ yang antara lain berbunyi; “Apa guna hidup 1,000 tahun jika tak sembahyang, apa guna hidup 1,000 tahun jika tak sembahyang…” Demikianlah, apa erti hidup lama jika tiada bakti di dunia ini.

Tuesday, July 14, 2009

Jangan terpedaya permainan media perdana

Pada Muktamar PAS beberapa tahun lalu, penulis mengikuti sidang akhbar Ketua Muslimat PAS yang baru dipilih, Kalthom Othman. Seorang wartawan arus perdana menyoal isu liwat isteri yang heboh ketika itu. Penulis yang duduk di depan, mendengar Kalthom berkata dalam hukum hudud tiada dinyatakan perkara itu.

Keesokan harinya akhbar berkaitan melaporkan pemimpin PAS membenarkan liwat isteri sendiri. Laporan yang dibuat secara besar-besaran itu disertakan ulasan pemimpin Umno khususnya ketua-ketua Wanita termasuk Azalina Othman yang mengutuk PAS, kononnya membenarkan liwat isteri. Hakikatnya, mana ada PAS halalkan liwat isteri, PAS kata itu bukan hukum hudud, kes melibatkan keluarga ada kes takzir.

Perkara itu berbangkit daripada kritikan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelatan pada masa itu, Zaid Ibrahim berhubung dengan Perkara 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 yang berkaitan dengan hukuman bagi kes liwat. Perkara 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 itu menjelaskan: “Liwat ialah sesuatu yang merupakan persetubuhan di antara lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain isterinya yang dilakukan diluar tabii atau melalui dubur.”

Maka terpaksalah Muslimat PAS menerangkan, antara lain: “Adapun perkataan ‘selain isterinya’ itu tidak pula bermakna bahawa Kerajaan PAS membenarkan seorang suami meliwat isterinya. Tetapi ia lebih menjelaskan bahawa hukuman hudud tidak boleh digunakan ke atas si suami yang mempunyai ikatan perkahwinan yang sah dengan isterinya dalam kes tersebut atau dengan perkataan lain peruntukan hukuman ke atas suami yang meliwat isteri bukanlah hudud tetapi dalam peruntukan takzir.

Penulis yang mendengar betul-betul apa yang dikatakan oleh Kalthom itu, benar-benar terperanjat dengan permainan media massa perdana. Mereka bukan saja sudah melampau, tetapi terlalu jahat agenda mereka. Mereka bukan mahu melaporkan apa diperkatakan Kalthom (atau pemimpin PAS, dan dalam konteks hari ini Pakatan Rakyat) tetapi menyiarkan secara besar-besaran ulasan pemimpin BN atau Umno mengenai perkara.

Kini bukan saja ahli parti dalam Pakatan Rakyat dan penyokongnya tidak mempercayai apa dilaporkan media arus perdana, kepimpinan Umno-BN sendiri pun sudah hilang kepercayaan mereka. Sebagai contoh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menegur akhbar berkenaan manakala Presiden MIC, Samy Vellu mengugut akan bertindak ke atas pihak berkaitan.

Berdasarkan perkembangan ini adalah diharapkan pemimpin, ahli dan penyokong parti dalam Pakatan Rakyat terutama dalam konvensyen atau muktamar mereka dapat berhati-hati dalam permainan busuk dan licik media perdana ini. Usahlah melihat atau mahu menjadikan media ini tempat untuk mendapat publisiti (atau mencurah perasaan) lebih-lebih lagi menyelar atau bertelagah pendapat sesama sendiri; media perdana berkemungkinan besar akan membuat ‘spinning’ yang mengeruhkan parti dan Pakatan Rakyat.

Permainan kotor media arus perdana atau lebih tepat lagi pengampu Umno-BN amat jelas pada pilihanraya kecil Penanti pada 31 Mei lalu. Pada hari penamaan calon, media ini hanya melaporkan peristiwa itu bagaikan ‘berita penyendal’ saja, seolah-olah tidak berlaku pilihanraya. Apa yang berlaku sebenarnya, adakah pilihanraya itu tidak tercatat sebagai peristiwa penting bagi Malaysia dan rakyatnya? Keputusan pilihanraya pun tidak dipedulikan sama, apakah pengamal media Malaysia tidak tahu lagi apa itu nilai berita (news value)?

Adakah sesuatu hanya menjadi ‘event’ (acara penting) atau ada ‘news value’ jika membabitkan Umno-Barisan Nasional? Kalau begitulah penilaiannya, buat apa media ini begitu sibuk dalam melaporkan demonstrasi rakyat di Thailand, kebangkitan rakyat di Indonesia, penentangan rakyat termasuk sami Buddha di Burma (Myanmar) kerana semua ‘event’ ini tidak langsung membabitkan Umno-Barisan Nasional?

Sikap media tempatan yang menepati peribahasa ‘bangkai nyamuk di seberang lautan nampak, bangkai gajah di depan mata tidak nampak ini’ jelas daripada laporan mereka mengenai Perhimpunan 100,000 Rakyat Membantah PPSMI pada 7 Mac lalu dan juga Perhimpunan Bersih pada akhir tahun 2008. Mereka memperkecil-kecilkan perhimpunan ini, mereka mengangkat aspek negatif yang diulang-ulang seperti tunjuk perasaan ini menakutkan pekadai dan perhimpunan ini menjejaskan industri pelancongan.

Namun kata bijak pandai ‘masakan bangkai gajah dapat ditutup dengan nyiru’ menyebabkan media massa arus perdana menempah kematiannya sama seperti parti politik Umno dukungannya serta parti komponen BN yang lain.

Jika pemimpin Umno-BN sendiri tidak menyakini laporan akhbar yang selama ini suara hati mereka, apakah rakyat yang semakin celik sekarang ini masih mahu terpedaya? Demikian juga apakah pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat mahu terus mencari publisiti melalui mereka yang hampir pasti membuat laporan berbentuk ‘spinning’ yang dikhuatiri akan menjejaskan hubungan akrab Pakatan yang sedang bercambah itu?

Monday, July 13, 2009

Kisah Seorang Wartawan Islam / Penutup

Pengalaman adalah guru sebenar dunia kewartawanan. Segala ilmu dan teori yang dipelajari dalam dewan kuliah dan bengkel kewartawanan tidak berupaya menandingi kehebatan pengalaman.

Insan yang berjaya adalah mereka yang belajar daripada pengalamannya. Malahan Rasulullah s.a.w. mengingatkan dengan sabda baginda yang bermaksud; "Orang yang beriman tidak akan disengat (jatuh) dua kali dalam satu lubang." - Riwayat Bukhari.

Demikianlah pengalaman mengajar saya erti dunia kewartawanan. Pengalaman mendedahkan saya kepada pelbagai kebaikan dan keburukan dalam dunia ini. Semuanya mematangkan saya dalam membuat penilaian, termasuk dalam menilai kerjaya ini.

Wartawan dan penulis bertanggungjawab sepenuhnya ke atas karya mereka. Namun hari ini, dapat kita saksikan betapa semakin ramai wartawan yang tidak boleh dipertanggungjawabkan dengan amanah ini. Semakin ramai muncul sebagai penulis upahan yang melacurkan dunia penulisan dengan harapan mendapat sedikit ganjaran.

Pendustaan dalam dunia kewartawanan bukanlah perkara baru. Allah sendiri telah menjelaskan hal ini dalam al-Quran dengan firman-Nya yang bermaksud: "Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan kecelakaan kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." - Ayat 6, Surah Al-Hujurat.

Pengalaman yang dipaparkan dalam buku ini, selain memberi gambaran sebenar dunia kewartawanan, diharap dapat dijadikan tarikan untuk orang ramai menjadikan pembacaan sebagai aktiviti menyeronokan.

Kisah-kisah benar yang dipaparkan adalah untuk menarik minat pembaca yang sebahagian besarnya tidak sukakan bahan bacaan berat, apatah lagi laporan mengenai hal ehwal luar negara, terutamanya politik.

Saya berpendapat cara ini adalah satu pendekatan baru dalam dunia kewartawanan tanah air dan memerlukan kajian lanjut. Diharapkan ia dapat dijadikan sumbangan dalam kita membina khazanah ilmu dan tamadun negara.

Syukur, Alhamdulliah, selepas mendapat cahaya keinsafan di Makam Imam Bukhari, kini saya menjalani kehidupanan yang lebih tenang, termasuk sudah mampu membaca al-Quran. Inilah antara kebahagiaan yang gagal saya temui ketika menjalani kehidupan sibuk sebagai seorang wartawan.

Sesungguhnya masa yang ada amat berharga dan bukanlah untuk dihabiskan mengejar hal ehwal duniawi semata-mata termasuk dalam dunia kewartawanan. Istilah 'hamba dunia kewartawanan' atau 'hamba seni' sebenarnya tidak ada, yang ada hanya 'hamba Allah SWT'.

Berhubung perkara ini, saya teringat nasihat seorang imam ketika saya mahu mewancaranya untuk mendapatkan bahan untuk ruangan 'Masjid-Masjid di Malaysia' ketika saya mula-mula menjejaki dunia kewartawanan. Sebagai 'wartawan muda' semangat saya ketika itu berkobar-kobar, menyebabkan saya tidak pedulikan langsung nasihatnya.

Katanya: "Dunia ini (kewartawanan) penuh dengan penipuan. Sekarang awak 'interview' saya, awak balik nanti, awak tulis lain. Orang lain baca nanti, dia buat penafsiran lain pula. Orang yang menyampai berita, selalunya menokok-tambah untuk menyedapkan cerita.

"Kerana sayangkan awak, saya nasihatkan awak usahlah 'interview' saya. Lagi baik kalau awak tinggalkan saja kerja tu. Carilah kerja lain, kalau boleh!"

Sekarang barulah saya teringat nasihatnya. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, saya sedar dunia kewartawan sekular masa kini hanya banyak menghabiskan usia seseorang itu dalam perkara yang sia-sia, sedangkan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Pergunakan lima perkara sebelum datang lima perkara. Hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, lapangmu sebelum sibukmu, zaman mudamu sebelum tuamu, dan masa kayamu sebelum papamu." - Riwayat Al-Baikahi daripada Ibnu Abbas.

Kulit Belakang

Roslan Hamid (LANH) dilahirkan di bandar Melaka pada 17 Februari 1962. Beliau menerima pendidikan asas di Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Hilir (2), Melaka. Kemudian melanjutkan pelajaran menengah di Kolej Melayu, Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Tinggi Melaka.

Di peringkat pengajian tinggi, beliau mempelajari ilmu komunikasi dan kewartawanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan di Berita Harian pada tahun 1986. Pada bulan Mac 1991, bersama kira-kira 10 petugas lain, beliau membantu menerbitkan Harian Metro iaitu akhbar petang berbahasa Melayu yang pertama di tanah air.

Beliau adalah antara wartawan Asean pertama ke Russia dan republik Asia Tengah bekas Soviet Union (USSR) seperti Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenistan selepas gergasi komunis itu dibubarkan pada 1991.

Selain itu, beliau adalah satu-satunya wartawan dari Malaysia yang membuat liputan pilihan raya pelbagai kaum pertama Afrika Selatan pada tahun 1994 selepas dilantik Pengarang Luar Negara, Berita Harian.

Pada tahun 1998, beliau meletakkan jawatan dengan gaji lebih RM4,000 sebulan dan kemudian menubuhkan sebuah pusat tuisyen dengan mengenakan bayaran RM1.00 setiap kali seseorang pelajar mengikuti pengajian) bagi membantu pembelajaran bahasa Inggeris murid sekolah rendah di kampungnya - Semabok, Melaka.

Kolum beliau di Berita Harian (seperti Celoteh Dunia, Duniaku dan Kisah Antara Dua Kota) dengan nama pena LANH mendapat sambutan sedikit masa dulu. Buku 'Dilema Seorang Wartawan' ini ditulis berdasarkan pengalaman suka dukanya dalam dunia kewartawanan selama 12 tahun.

****Sekian terima kasih, tamat sudah paparan buku 'Dilema Seorang Wartawan Islam'. Terkurang, terlebih, tersentuh, terasa, harap dimaafkan. Apa yang kurang adalah kelemahan penulis, yang baik adalah daripada Allah SWT. Wassalam.

Friday, July 10, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 29: Perjuangan Kita Belum Selesai

Menjelang hari ulang tahun kemerdekaan negara, seperti ribuan warga lain, saya memasang dan mengibar bendera di luar rumah. Bagaimanapun, sehari dua kemudian, bendera itu hilang. Yang tinggal hanya talinya dengan kesan dipotong.

Saya percaya bendera itu dilarikan oleh remaja nakal yang mungkin seusia anak saya. Sebahagian besar remaja di negara kita sekarang adalah anak generasi pertama yang lahir selepas merdeka. Ringkasnya mereka adalah generasi kedua selepas merdeka.

Jika generasi pertama yang lahir selepas merdeka kini berusia dalam lingkungan 40-an, generasi kedua adalah anak-anak mereka di sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi.

Masalah sosial yang hebat diperkatakan sekarang melanda generasi kedua ini. Pelbagai alasan dikemukakan mengapa kanak-kanak dan remaja sekarang menghadapi masalah disiplin yang serius.

Saya lebih cenderung mengaitkan permasalahan itu dengan apa yang dilalui oleh generasi pertama. Ini kerana saya termasuk golongan generasi pertama dan percaya pengalaman yang dilalui dapat dijadikan iktibar dalam kita merangka dasar, terutama yang membabitkan pendidikan pada saat negara di ambang menjadi negara maju pada tahun 2020.

Berdasarkan pengalaman, saya berpendapat sistem pendidikan pada tahun 1960-an dan 70-an yang diikuti oleh generasi pertama dulu tidak menjurus untuk melahirkan warganegara berakhlak seperti ditekankan dalam tema hari kebangsaan tahun 1997 - 'Akhlak Mulia Masyarakat Jaya'.

Dalam sistem pendidikan ketika itu, penekanan diberi bagi melahirkan seberapa ramai golongan profesional secepat mungkin. Pengajian agama tidak mendapat tempat. Ibu bapa berebut-rebut untuk menghantar anak mereka ke sekolah Inggeris (kemudiannya ditukar kepada sekolah kebangsaan).

Ada sekolah dengan 1,000 murid mempunyai seorang guru agama saja. Malah banyak sekolah yang tiada langsung guru agama. Tulisan dan bacaan jawi langsung tidak diajar.

Murid ditekankan untuk lulus peperiksaan akademik. Bagi pelajar cemerlang, dalam usia 12 tahun, mereka sudah dihantar ke sekolah berasrama penuh.

Di sekolah ini, penekanan juga diberi juga diberikan kepada akademik. Hal-hal berkaitan agama, terus disisihkan. Semakin tinggi seseorang pelajar itu mendaki tangga kejayaan, semakin jauh dia daripada agama.

Dalam usia mentah (18 tahun), sebahagian besar pelajar cemerlang ini sudah berada di negara-negara Eropah, Australia dan Amerika Utara bagi menyambung pelajaran masing-masing.

Dengan asas agama yang begitu lemah, anak muda ini menghadapi pancaroba yang begitu hebat.

Daripada sistem pendidikan 1960-an dan 70-an ini, lahirlah golongan profesional Melayu daripada generasi pertama selepas merdeka.

Mereka mungkin hebat dalam bidang kerjaya tetapi miskin dari segi pegangan agama.

Mereka masih tercari-cari pedoman hidup tetapi pada masa yang sama sudah berumah tangga dan mempunyai anak yang kini menjadi generasi kedua selepas merdeka.

Betapa longgarnya pegangan dan pendidikan agama generasi pertama ini diakui oleh pemimpin kita. Mereka mengaku ramai daripada golongan ini buta al-Quran, buta jawi dan jahil dalam soal-soal agama.

Malah generasi pertama selepas merdeka ini juga mengaku betapa ceteknya pengetahuan agama mereka.

Pada tahun 1994 dulu, kita terharu dengan pengakuan seorang profesional muda Melayu yang menyatakan dia tersilap langkah memasuki kumpulan Al-Arqam kerana tiada pihak yang membimbingnya ke jalan kebenaran.

Katanya, dari segi kerjaya, dia berjaya tetapi dari segi agama, dia benar-benar miskin dan memerlukan petunjuk. Yang sedia memberi 'jalan', kepadanya adalah Al-Arqam dan itulah sebabnya dia terbabit dalam kumpulan berkenaan.

Gejala negatif dalam masyarakat seperti rasuah, menyalahgunakan kuasa dan seumpamanya kini mula menular di kalangan generasi pertama ini.

Kita dapat saksikan bagaimana seorang demi seorang golongan profesional dalam usia 30-an dan 40-an diheret ke muka pengadilan atas tuduhan rasuah dan jenayah lain.

Secara logiknya, jika generasi pertama yang dilahirkan selepas merdeka ini hidup terumbang-ambing dari segi pegangan agama, anak-anak mereka iaitu generasi kedua (kini berada di sekolah dan universiti) akan melalui zaman yang lebih gelap (saya berdoa ini tidak berlaku).

Jika ibu bapa (kumpulan generasi pertama) tidak lancar pembacaan al-Quran, cetek dalam ilmu agama, bagaimana mereka dapat mendidik anak mereka pada zaman penuh cabaran ini? Bagaimana ketam dapat mengajar anaknya berjalan betul sedangkan ia sendiri berjalan senget?

Kepincangan inilah pada, pada pendapat saya, menyumbangkan kepada masalah keruntuhan moral yang hebat melanda remaja sekarang.

Perkara ini diharap dijadikan iktibar oleh ibu bapa, pendidik dan pemimpin kita sekarang. Kita mungkin membuat kesilapan dalam sistem pendidikan suatu ketika dulu, tetapi tidak rugi untuk kita mengaku salah di samping berganding bahu membaikinya.

Usaha memajukan anak watan dalam semua bidang perlu diteruskan, seperti kata seorang pemimpin, 'perjuangan kita belum selesai'. Malahan, 'perjuangan kita sebenarnya tidak pernah selesai'.

Thursday, July 9, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 28: Antara Zheng Ho, Columbus Dan Ibnu Batutta

Ketika melalui Jalan Laksamana Cheng Ho dan melewati Perigi Puteri Hang Li Po (Perigi Raja), saya teringat pesanan seorang tokoh negara bahawa rakyat negara dan rantau sebelah sini perlu mendalami sejarah bangsa mengikut pemahaman dan pandangan sendiri.

Kata tokoh berkenaan, ini bertujuan mengelak pemesongan fakta dan pendapat disebabkan sejak sekian lama penduduk rantau ini memperolehi maklumat mengenai sejarah ketamadunan bangsa melalui pengkaji Barat.

"Disebabkan itulah kanak-kanak di rantau ini lebih mengenali pelayar Christopher Columbus dan bukannya Zheng Ho (Cheng Ho) yang lebih awal menempa kejayaan sebagai pelayar," katanya ketika merasmikan Pameran Peringatan Zheng Ho di Kuala Lumpur tidak lama dulu.

Pesanan itu tepat sekali. Mata pelajaran Sejarah yang diajar di sekolah suatu ketika dulu penuh dengan kisah kegemilangan orang Barat.

Saya turut terpengaruh dengan apa yang dipelajari ketika di bangku sekolah rendah pada 1970-an dulu.

Kisah tokoh terkenal dunia menarik minat saya, tetapi jika difikirkan kembali, ia hanya bertujuan mengagung-agungkan tamadun Barat sebaliknya mewujudkan rasa rendah diri kepada anak tempatan.

Bayangkan dalam usia mentah, kita disogokkan dengan kisah Joan of Arc, gadis Perancis yang membantu bangsanya menewaskan orang Inggeris dalam Perang 100 Tahun. Joan of Arc dikatakan mendengar suara ghaib, menyuruhnya memerangi orang Inggeris.

Demikian juga kisah orang ternama lain seperti Robert Clive (askar Inggeris yang membuka jalan kepada penaklukan India), David Livingstone (peneroka British di benua Afrika), George Washington (presiden pertama Amerika Syarikat) ataupun Bartholomew Diaz dan Vasco da Gama (pelayar Portugis).

Mengenai sejarah tempatan pula, kita diajar supaya mengagung-agungkan tokoh seperti James Birch (residen pertama British di Perak), Sir Frank Swettenham (residen British di Selangor), Sir Hugh Low (residen British di Perak) dan Sir Hugh Clifford (residen British di Pahang).

Mata pelajaran Sejarah di sekolah hari ini tidak lagi mengagung-agungkan tokoh dan tamadun Barat tetapi ditulis mengikut perspektif anak bangsa dan wawasan negara kita. Bagaimanapun hal ini terbatas.

Di luar sistem pendidikan, terdapat beribu-ribu buku dan sumber maklumat lain yang mengagung-agungkan orang Barat sebagai pencetus tamadun dunia. Jarang benar kejayaan orang di Timur dicatatkan dalam sejarah.

Tataplah sebarang ensiklopedia, jurnal dan penerbitan lain. Kebanyakannya mencatatkan orang Barat sebagai pencipta itu dan pencipta ini. Misalnya dalam 'The World Almanac' senarai nama pencipta dimonopoli tokoh dari Amerika, Britain, Jerman, Perancis dan negara Barat lain.

Benarkah bangsa kita khasnya, atau orang bukan Barat lain amnya, tidak menyumbangkan sesuatu kepada kemajuan dunia?

Sukar menjawab pertanyaan ini tetapi saya akan membawa kisah tokoh bukan Barat yang mencatat kejayaan tetapi sejarah kegemilangan mereka seolah-olah dilupakan.

Orang lebih mengenali Columbus daripada Zheng Ho. Demikian juga orang lebih mengenali Marco Polo daripada Ibnu Batutta, seorang pengembara Arab Islam dari negara yang kini dikenali Maghribi.

Jika kisah Marco Polo ke China ketika pemerintahan Kublai Khan diketahui ramai (kini ada pihak meragui sama ada beliau benar-benar sampai ke negara itu), tidak ramai yang tahu bahawa Ibnu Batutta melakukan perjalanan tiga kali ganda jauhnya berbanding pengembara dari Venice itu.

Ibnu Batutta atau nama sebenarnya Syeikh Abu Abdullah Muhammad ibnu Abdullah ibnu Ibrahim al-Lawati mengembara sejauh 120,000 kilometer dan singgah di 44 negara di dua benua (Afrika dan Asia).

Ibnu Batutta mengembara selama 29 tahun, memulakan perjalanan dari Tangier, Afrika Utara pada 13 Jun 1325. Pencapaian Ibnu Batutta begitu luar biasa dan sewajarnya namanya diabadikan dalam sejarah tetapi ini tidak berlaku.

Disebabkan kebanyakan kawasan Afrika Utara dijajah oleh Perancis, manuskrip catatan Ibnu Batutta dirampas dan disembunyikan. Ia disimpan di Bibliotheque Nationale, Paris, menyebabkan bangsanya sendiri tidak dapat menghargai pencapaiannya.

Hari ini orang Arab terus kerdil bagi menghadapi ancaman dan ugutan dari dalam dan luar rantau mereka sekalipun bangsa Arab melahirkan ramai tokoh berjiwa besar seperti Ibnu Batutta.

Sekalipun, penduduk dunia Arab berjumlah 200 juta dengan lebih 20 negara tetapi mereka tidak mampu menghadapi ancaman negara kecil Israel yang terletak di tengah-tengah rantau mereka.

Israel yang wujud pada 1948 dengan bantuan kuasa besar Barat terus menunjukkan belang sedangkan sebahagian besar penduduk Arab ditanam rasa rendah diri dan memandang hebat kepada segala sesuatu dari Barat.

Tidak hairanlah jika ada jutawan dan orang ternama Arab sanggup menghamburkan wang dan menjual maruah, memburu cinta puteri, aktres dan model Barat.

Mereka berkiblat kepada Barat tanpa menyedari suatu ketika dulu anak watan rantau itu termasuklah Ibnu Batutta, mencatat kejayaan gemilang yang ditiru oleh Barat.

Suatu ketika dulu ketika Maharaja Frank (Perancis), Charlemenge hairan dengan tulisan yang diperkenalkan kepadanya, cendekiawan Khalifah Harun Al-Rasyid di Baghdad sudah pun mempunyai kepandaian mengukur garisan lintang dan bujur Bumi.

Hari ini keadaannya sudah terbalik ibarat dunia yang sentiasa bertukar. Ketika orang Baghdad bermati-matian berusaha mendapatkan sesuap makanan disebabkan sekatan yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), orang Barat sudah ke angkasa lepas dan menjelajah angkasa raya.

Tuesday, July 7, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 27: Menghayati Kemerdekaan Jiwa dan Raga

Ogos adalah bulan kemerdekaan. Selain Malaysia yang menyambut hari kebangsaan pada bulan ini, beberapa negara lain turut meraikan kemerdekaan masing-masing.

Singapura menyambut ulang tahun kemerdekaan pada 9 Ogos, Indonesia pada 17 Ogos, Pakistan pada 14 Ogos manakala India pada 15 Ogos. India dan Pakistan sudah menyambut ulang tahun ke-50 tidak lama dulu.

Sambutan jubli emas kemerdekaan Pakistan dan India begitu bererti bagi rakyat kedua-dua negara yang bersaing hebat bagi membuktikan mereka adalah jaguh Asia Selatan.

Kedua-dua negara sudah terbabit dalam tiga peperangan, dua daripadanya membabitkan isu Kashmir.

Selain itu, Islamabad dan New Delhi juga didakwa bersaing memajukan senjata nuklear. Perkembangan ini kurang disenangi oleh Amerika Syarikat yang sudah pun bertindak ke atas Pakistan.

India juga diancam dikenakan tindakan selepas ia menguji peluru berpandu Prithvi.
India dikatakan lebih berjaya berbanding Pakistan dalam tempoh lima dekad sejak benua kecil itu merdeka. Ini berdasarkan satu tinjauan yang dibuat oleh majalah 'Far Eastern Economic Review' membabitkan 300 eksekutif.

Sembilan puluh lima peratus responden berkata India mempunyai kerajaan lebih demokratik berbanding Pakistan. India juga dilihat lebih stabil dari segi politik, lebih ke depan dalam pengurusan ekonomi dan lebih baik bagi membuat pelaburan.

Sekalipun isu Kashmir sering dikatakan sebagai punca ketegangan India-Pakistan, kedua-dua negara sebenarnya menghadapi pelbagai masalah dalaman yang boleh menjejaskan masa depan benua kecil itu.

Pakistan menghadapi pelbagai krisis puak, misalnya antara militan Syiah dan Sunnah yang menjejaskan keharmonian di wilayah Punjab dan Sindh. Sekalipun 97 peratus daripada 125 juta penduduk negara ini beragama Islam, perbezaan mazhab mencetuskan krisis yang mengamcam negara.

India pula menghadapi masalah berpunca daripada perbezaan agama penduduknya. Daripada satu bilion penduduk India, 83 peratus beragama Hindu, 11 peratus beragama Islam, tiga peratus Kristian dan dua peratus Sikh.

Kemuncak perbalahan antara penduduk Hindu dan Islam ialah tindakan militan Hindu membakar Masjid Babri (didirikan oleh Maharaja Moghul, Babur, pada abad ke-16) pada 1992 dulu.

Rusuhan yang berlaku selepas peristiwa itu dan pergaduhan di Bombay menyebabkan beratus-ratus orang terbunuh.

Berbanding rakyat India dan Pakistan, penduduk negara kita lebih beruntung. Di negara kita tidak berlaku rusuhan, sebaliknya penduduk pelbagai kaum dan agama dapat hidup dalam suasana harmoni walaupun sekali-sekala berlaku pergeseran yang biasanya dapat dipadamkan dengan segera.

Setiap tahun, suasana meriah bagi menyambut ulang tahun kemerdekaan terasa apabila bendera Malaysia dan negeri mula dipasang dan dikibarkan di merata tempat.

Selain bangunan kedai dan pejabat, bendera dipasang di kenderaan dan rumah kediaman.

Suasana ini mungkin menggambarkan peningkatan semangat patriotik rakyat tetapi pengisian kemerdekaan bukan setakat mengibarkan bendera yang jika dihalusi menguntungkan pihak tertentu. Ia lebih daripada itu.

Kemerdekaan bukan hanya membabitkan negara tetapi juga masyarakat dan individu. Bagi saya, tidak bererti negara sudah merdeka tetapi anak bangsa masih dibelenggu dan terpenjara dalam pemasalahan masyarakat yang sukar diatasi.

Demikian perasaan yang membuak di dada ketika saya duduk sebentar di bangku panjang stesen bas ekspres Melaka pada suatu hari sebaik saja tiba dari Kuala Lumpur ketika embun jantan mulai menitik.

Kerana keletihan, saya tertidur sepanjang perjalanan dan duduk sebentar di bangku itu bagi menghilangkan rasa kebingungan. Rupa-rupanya sebahagian bangku di situ berpenghuni.

Sebahagian daripadanya adalah pengembara terkandas manakala yang lain 'penghuni setia'nya. Mereka terdiri daripada golongan tidak siuman, pengemis, kutu rayau dan penagih.

Tong sampah di tempat itu sudah penuh menyebabkan sampah-sarap bertaburan, berbau dan menjijikkan.

Bosan dengan pemandangan itu, saya meneruskan perjalanan. Saya terserempak dengan dua wanita berpakaian seksi keluar dari sebuah pusat hiburan. Mereka berbual dalam bahasa Melayu sambil ketawa nyaring dan kemudiang menghilang entah ke mana.

Kemudian saya melewati sebuah pusat permainan video. Pengunjungnya masih ramai sekalipun waktu sudah awal pagi.

Mereka terus hanyut dalam keseronokan yang dicipta sendiri tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.

Berhampiran sebuah pawagam, saya lihat seorang wanita (mungkin pondan) berdiri, seperti menunggu seseorang. Saya amati hampir setiap malam dia menanti (pelanggan?) dengan setia di situ. Di belakang deretan kedai dekat stesen bas tempatan juga terdapat beberapa pondan berkumpul.

Sekumpulan anak muda bermotosikal memecah keheningan malam. Mereka sengaja membunyikan enjin motosikal kuat-kuat, memecut dan berlumba sebaik saja lampu isyarat bertukar hijau.

Di kaki lima jalan, seorang lelaki tidur (mabuk?) dengan lengannya dijadikan bantal.
Fikiran saya kacau menyaksikan senario tengah malam itu. Terfikir saya apakah ertinya kemerdekaan bagi insan ini jika jiwa dan raga belum lagi merdeka?


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Monday, July 6, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 26: Nasib Si Hidup Lebih Utama Daripada Si Mati

Dalam perjalanan pergi dan balik kerja, bas yang saya tumpangi melewati sebuah tanah perkuburan lama orang Cina yang terletak berhampiran Kolej Yayasan Melaka (dulunya Seri Bendahara - kediaman rasmi Ketua Menteri).

Jalan raya yang menghubungkan Ayer Keroh dan bandar ini sedang dilurus dan dipertingkatkan (1997).

Sebatang jalan raya pintas dibina melalui tanah perkuburan berkenaan menyebabkan beberapa kubur lama terpaksa dibongkar.

Dari dalam bas, saya perhatikan dua buah kubur sudah dikorek. Tanah merah dari liang lahad, berlonggok di atas kubur.

Sekalipun liang lahad kubur sudah dikorek, binaan batunya belum diusik.

Agaknya, pihak terbabit menghadapi kesukaran memecahkan kubur itu kerana binaannya kelihatan begitu kukuh sekalipun saiznya sederhana saja.

Saya perhatikan ada banyak kubur di situ yang binaannya lebih kukuh dan besar - ada yang seluas tapak sebuah rumah kecil.

Selain tanah perkuburan dekat Kolej Yayasan Melaka itu, saya pernah menemui beberapa kubur lain dengan binaan besar di atasnya.

Terdapat kubur yang begitu hebat binaannya, siap dengan patung singa, naga dan binatang lain, kononnya untuk menjaga 'tuannya'.

Jika dulu, boleh dikatakan tiada pihak mempersoalkan saiz kubur, kini pelbagai pihak mengemukakan pandangan termasuk yang mahu keluasan sesebuah kubur diseragamkan.

Ini kerana saiz kubur yang besar dilihat sebagai menafikan hak orang yang hidup meneruskan penghidupan dengan selesa.

Ketika ini tanah kosong untuk menjayakan pelbagai projek pembangunan seperti perumahan, pertanian dan perindustrian semakin berkurangan dan terhad.

Saya berpendapat adalah lebih bijak mengutamakan orang hidup memajukan tanah kosong yang masih ada daripada 'menyimpan mayat' di kubur besar dan hebat binaannya.

Membina kubur besar hanya membazirkan tanah sedangkan orang hidup memerlukan tanah berkenaan.

Di negara kita ketika ini kerap ditimbulkan masalah tanah perkuburan yang semakin sesak dan sempit, terutamanya di ibu kota. Ada tanah perkuburan lama yang terletak di kawasan strategik dan berpotensi mahu dihapuskan (contohnya tanah perkuburan Islam di Brickfields).

Masalah berkaitan tanah perkuburan bukan saja berlaku di Malaysia. Di sesetengah negara, diwujudkan kubur bertingkat bagi menjimatkan tanah.

Ada negara mengenakan bayaran tinggi bagi keluarga si mati mendapatkan lot kubur manakala ada yang menetapkan sewa bulanan atau tahunan.

Di sesetengah negara pula, pihak berkuasa menggalakkan mayat dibakar dan abunya ditabur ke dalam laut atau sungai.

Berhubung perkara ini, saya tertarik dengan satu laporan agensi berita asing mengenai tindakan kerajaan China menetapkan pembakaran mayat menggantikan amalan pengkebumian biasa dan mengharamkan pembukaan tanah perkuburan baru.

Langkah ini diambil bagi mengelak lebih banyak kawasan peladangan dan kepentingan orang awam lain dari segi ekonomi, menjadi pupus.

Peraturan itu, yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Awam China, Yang Yanyin, adalah usaha terbaru dalam kempen yang bermula pada 1950-an untuk menamatkan pengkebumian tradisional.

Ramai penduduk di kawasan penempatan padat memilih untuk membakar mayat, tetapi kubur besar lebih popular di wilayah yang sedikit jumlah penduduknya.

Kewujudan tanah perkuburan baru di China memerlukan kelulusan kerajaan, manakala kubur dilarang diwujudkan di hutan simpan, tanah perbandaran serta dekat kawasan tadahan air.

Kubur besar yang ada di tempat terbabit akan dipindahkan, kecuali kubur yang mempunyai nilai sejarah, seni dan saintifik.

Media China juga menghebohkan langkah bekas pemimpin tertinggi negara itu, Deng Xiaoping yang sebelum meninggal dunia pada Februari 1997, meminta mayatnya dibakar, bertujuan menggalakkan orang lain mencontohinya.

Selepas dibakar abu mayat Deng ditaburkan ke Laut China Selatan dari sebuah pesawat oleh balu dan anaknya sendiri bagi membuktikan bahawa Deng lebih mengutamakan masa depan 1.2 bilion rakyatnya daripada dirinya sendiri.

Jika China, sebuah negara besar dengan keluasan 3,696,100 batu persegi, mengambil langkah drastik bagi menjimatkan ruang tanah perkuburan, saya berpendapat tiada sebab untuk negara lain tidak mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah kekurangan tanah.

Dunia semakin sempit dan tidak mampu memberi ruang yang begitu besar kepada orang yang sudah mati. Nasib orang hidup perlu diutamakan daripada terlalu memikirkan nasib mereka yang sudah mati.


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Friday, July 3, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 25: Bagaimana Acuan, Begitulah Kuihnya

Ada yang gemar memandu dalam suasana sunyi. Sebahagiannya suka berborak dan ada yang gemar mengikuti siaran radio atau memasang kaset nyanyian. Selain itu ada yang suka memasang video - sudah pasti bukan untuk ditontonnya tetapi bagi keselesaan penumpang.

Demikianlah gelagat sebahagian pemandu bas yang menarik perhatian saya dalam perjalanan pergi dan balik kerja. Bagi saya tingkah laku pemandu ini sama dengan gelagat anggota masyarakat lain, tidak kira apa bidang pekerjaan mereka.

Sekalipun ada pihak memandang remeh tugas pemandu bas, di tangan merekalah terletak nasib penumpang (tanpa mengetepikan hakikat Allah yang menentukan nasib seseorang).

Jika pemandu cuai, bukan saja dia menanggung akibatnya, penumpang juga terkena bahananya.

Misalnya, jika seorang pemandu itu kecewa dalam hidup dan berhajat membunuh diri dengan melanggarkan basnya, semua penumpang dalam bas itu akan menerima padah.

Dalam sesebuah bas, pemandu bagaikan 'tuan' dan boleh dikatakan tidak ada penumpang yang berani menegur tindak-tanduknya.

Berdasarkan pengamatan, saya dapati ada pemandu yang terlalu taksub kepada penyanyi tertentu. Dia akan memasang kaset nyanyian artis itu daripada permulaan perjalanan sampailah ke destinasi.

Seorang pemandu berminat betul dengan penyanyi Julie Remie menyebabkan semua penumpang terpaksa mendengar lagu nyanyian artis tahun 80-an ini berulang kali sepanjang perjalanan.

Ada seorang pemandu pula cenderung kepada lagu nasyid dan dakwah. Maka sepanjang perjalanan, penumpang disajikan lagu-lagu nyanyian kumpulan Raihan, Rabbani dan banyak lagi yang saya tidak ketahui.

Tidak cukup dengan itu, kadang-kadang dia memasang video klip kumpulan ini. Saya perhatikan ada penumpang 'Mat Salih' menunjukkan minat pada lagu ini. Terhangguk-hangguk kepala 'Mat Salih' berkenaan mengikut rentak lagu dakwah itu.

Saya mengutarakan kisah pemandu bas ini bagi menunjukkan bagaimana tingkah laku pemimpin begitulah menjadi ikutan rakyatnya.

Pemandu bas boleh diibaratkan pemimpin manakala penumpang adalah rakyat. Jika pemandu memilih untuk menyiarkan lagu rock, maka semua penumpang akan mendengarnya.

Sebaliknya jika dia menyiarkan lagu dakwah, penumpang juga terpaksa mendengar dan mengikutinya, kecuali yang boleh pekakkan telinga dan tidur.

Kata orang bagaimana acuan begitulah kuihnya. Jika seseorang pemimpin itu berwibawa dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan diri, sudah tentu rakyat akan mencontohinya.

Sebaliknya jika seorang pemimpin itu korup, hampir pasti rakyatnya juga korup dan negara akan dilanda huru-hara.

Keadaan masyarakat sesebuah negara itu adalah cermin pemimpinnya. Jika masyarakat itu huru-hara bermakna ada yang tidak kena dengan pemimpinnya.

Jika maksiat berleluasa dengan moral anak-anak muda semakin teruk, bermakna adalah yang silap di peringkat kepemimpinan.

Kejatuhan dan penghinaan yang diterima diktator dunia adalah bukti betapa pemimpin korup memporakperandakan masyarakat negaranya. Di Zaire, Presiden Mobutu Sese Seko yang berkuasa secara kuku besi selama tiga dekad, menyebabkan rakyat memberontak seterusnya mencetuskan huru-hara dalam negara.

Beribu-ribu rakyat dilaporkan terbunuh sebelum pemimpin pemberontak, Laurent Kabila dapat menguasai Kinshasa seterusnya menggulingkan Mobutu. Kabila pula kemudiannya dibunuh oleh musuh beliau.

Demikian juga yang berlaku di Filipina ketika pemerintahan diktator Ferdinand Marcos. Selama beberapa puluh tahun Marcos dan isterinya, Imelda, mengumpul harta dan melonggokkannya di luar negara menyebabkan rakyat yang semakin menderita, memberontak.

Marcos akhirnya terpaksa melarikan diri, tinggal dalam buangan seterusnya mati dengan penuh penghinaan di luar tanah air.

Shah Iran, Reva Pahlavi, juga mati penuh penghinaan di luar negara selepas dia disingkirkan oleh pemimpin agama, Ayatollah Ruhollah Khomeini yang dihalaunya ketika dia berkuasa.

Kepincangan yang berlaku di Iran ketika pemerintahan Pahlavi adalah cermin perilakunya sendiri yang gemar mengumpul harta di luar negara selain mempunyai perempuan simpanan.

Cara hidup masyarakat Barat hari ini pula adalah cermin perilaku pemimpinnya. Jika amalan homoseksual diterima oleh masyarakat mereka, ia bermakna kemungkinan besar pemimpinnya terbabit sama.

Perkara ini bukan sesuatu yang luar biasa kerana ketika ini beberapa pemimpin negara Barat dan kuasa besar dunia dihadapkan ke muka pengadilan dengan dakwaan melakukan gangguan seksual dan seumpamanya.

Kita juga dihidangkan dengan berita sesetengah pemimpin Barat tidak lagi malu dengan skandal seks mereka. Misalnya, pewaris takhta Britain, Charles tidak peduli langsung tanggapan orang ramai berhubung skandal seksnya.

Dia tidak pedulikan Gereja England apatah lagi pandangan pihak lain. Charles adalah cermin masyarakat Barat hari ini yang sarat dengan masalah dan permasalahannya.

Bagaimanapun, kita tidak perlu pergi jauh untuk mencari contoh kepincangan masyarakat. Masalah moral yang melanda negara kita sekarang adalah cermin diri kita sendiri.

Tidak sukar menjawab persoalan ini dan tidak payahlah kita tuding sesiapa kerana ada pepatah berbunyi - bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

Ibu bapa, pendidik dan media massa adalah pemimpin anak-anak dan merekalah bertanggungjawab memikul sebahagian daripada bahana kepincangan ini.

Perlakuan buruk anak-anak adalah cermin ibu bapa dan pemimpin masyarakat. Bagaimanapun rasanya belum terlewat untuk kita bertindak mengorak langkah membetulkan keadaan, kerana kata Confucius, seribu langkah bermula daripada langkah pertama.


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Thursday, July 2, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 24: Gemuk Bukan Tanda Sihat, Bahagia

Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan - demikian satu peribahasa lama yang mempengaruhi ramai bapa.

Sama ada peribahasa ini masih sesuai dengan perkembangan semasa tidak dapat dipastikan tetapi yang jelas semakin ramai lelaki meninggalkan isteri manakala semakin ramai anak didera ibu bapa.

Saya tertarik untuk membicarakan nasib anak-anak selepas melihat seorang kanak-kanak dibiarkan membesar dalam persekitaran yang tidak sesuai dengan perkembangan jiwanya.

Dalam perjalanan ke tempat kerja, kadang-kadang saya terserempak dengan kanak-kanak itu di kaki lima kedai. Saya agak usianya dalam lingkungan lima tahun.

Disebabkan ibunya sibuk menguruskan kedai, budak itu dan adik-adiknya dibiarkan merayau-rayau di kaki lima kedai. Saya amati tubuhnya besar, tidak sepadan usianya.

Sekalipun bertubuh besar, anggota badannya lembik dan menggelebeh manakala perutnya boyot. Bentuk fizikal kanak-kanak itu mungkin disebabkan amalan pemakanannya.

Disebabkan berada hampir sepanjang hari di kedai, makanan ringan tidak lepas daripada mulutnya. Bungkusan demi bungkusan makanan ringan menjadi teman akrabnya dari pagi hingga malam.

Menurut pakar, pengambilan makanan ringan dan segera secara berlebihan serta makanan tidak seimbang dilihat sebagai penyumbang utama masalah kegemukan yang menimpa sebahagian besar mayarakat dunia kini.

Di Singapura tidak lama dulu, hangat dengan berita kebimbangan pemimpinnya kerana semakin ramai golongan muda gemuk disebabkan pergantungan kepada makanan ringan dan segera, selain bersifat malas (tidak gemar bersenam) sebaliknya menghabiskan sebahagian besar masa di depan televisyen.

Pemimpin Singapura berpendapat peningkatan jumlah penduduk muda yang gemuk dan malas akan menjejaskan masa depan negara itu.

Masalah kegemukan bukan masalah sesebuah negara tetapi sejagat.

Menurut laporan, seorang daripada 10 penduduk India mengalami masalah kegemukan. Ini bermakna sehingga 86 juta penduduk negara ini mungkin mengalami masalah kegemukan.

Perkembangan di India ini agak menghairankan kerana kegemukan biasanya dikaitkan dengan negara mewah.

Di Amerika Syarikat dianggarkan 30 peratus rakyatnya nengalami masalah kegemukan manakala di Jerman, kadarnya adalah 26 peratus.

Berhubung masalah kegemukan ini, saya tertarik dengan satu laporan agensi berita asing baru-baru ini mengenai seorang ibu, Marlene Corrigan, 47, didakwa melakukan jenayah mendera anaknya, Christina Corrigan, 13, dengan membiarkan si anak terlalu gemuk sehingga menyebabkan kematiannya.

Kejadian luar biasa ini berlaku di El Cerrito, San Francisco, Amerika Syarikat. Marlene dilaporkan anaknya mempunyai berat badan sehingga 310 kilogram dan tinggal dalam suasana kotor sebelum dia mati kerana jantungnya gagal berfungsi.

Ketika polis memeriksa tempat Christina mati, mereka mendapati ia dipenuhi bekas kosong makanan ringan dan segera. Mayat Christina ditemui dalam keadaan berkudis dan berlumuran air kencing dan tahi di sebuah bilik yang memualkan.

Seorang ahli patologi merumuskan budak itu mati disebabkan saluran jantungnya tersumbat kerana tubuhnya terlalu gemuk. Katanya, budak itu dibiarkan mempunyai berat badan berlebihan dalam jangka masa singkat.

Pendakwa raya menyaman Marlene bukan saja disebabkan si anak dibiarkan tinggal dalam keadaan yang begitu kotor tetapi juga membenarkan dia menjadi terlalu gemuk.

Mayat Christina ditemui di atas permaidani yang terlalu kotor. Ketinggian budak itu 1.6 meter manakala satu pahanya mempunyai ukuran lilit 1.35 meter.

Polis diberitahu budak itu menghabiskan kebanyakan masanya di depan televisyen di ruang tamu. Ibunya tidak melakukan sebarang usaha untuk membendung kegemukan anaknya yang semakin menjadi-jadi.

Budak itu kali terakhir menemui pakar pemakanan ketika berusia tujuh tahun manakala dengan doktor pada Jun 1995.

Kematian Christina mendedahkan satu perkembangan menakutkan di Anerika - sebahagian ibu bapa tidak mempedulikan anak-anak mereka. Si anak diberi makanan ringan dan segera yang mudah diperolehi tetapi tidak berzat.

Ibu bapa tidak mempunyai banyak masa untuk melayan kerenah anak-anak. Si ibu tidak lagi berminat menyediakan makanan berzat dan seimbang kepada anak-anak.

Mereka juga tidak gemar berada di dapur, memasak makanan yang sesuai untuk anak-anak. Makanan ringan dan segera menjadi jawapan kepada masalah kepada ibu bapa yang semakin sibuk hari ini.

Amalan mengambil makanan ringan dan segera juga semakin diterima oleh masyarakat Malaysia. Tetapi disebabkan wujud dakwaan bahawa ia boleh memudaratkan kesihatan, adalah bijak untuk orang ramai berwaspada. Ini kerana sudah pasti kita tidak mahu kes menimpa Christina berlaku di sini.