Hampir setiap hari saya menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dan sekali sekala Lebuhraya KL-Karak. Antara lokasi menarik perhatian saya adalah beberapa lereng yang cerunnya sentiasa dilakukan kerja-kerja pembaikan. Ringkasnya kerja-kerja landskap lereng tidak pernah selesai.
Sebaik saja kerja mengukuhkan lereng itu siap dan rumput ditanam, hujan lebat memusnahkannya, menyebabkan tanah runtuh. Tembok batu yang dibina, kadang-kadang berjaring, juga tidak berkesan.
Plastik besar yang digunakan bagi menutup kawasan tanah terdedah, tidak banyak membantu. Tebing bukit yang dipotong bagi membuat lebuh raya di kawasan berkenaan kerap runtuh.
Apa yang mengkagumkan penulis adalah kegigihan pihak terbabit bagi memastikan tebing itu dalam keadaan baik. Mereka mungkin terdiri daripada pasukan jurutera, pakar landskap dan buruh. Mereka seolah-olah tidak mengenal putus asa.
Apabila tebing itu runtuh, mereka baikinya. Runtuh lagi, mereka berusaha memulihkannya. Runtuh lagi, mereka tetap menjalankan tanggungjawab. Apabila rumput yang ditanam tercabut dan dihanyutkan air hujan, mereka menanam yang baru.
Selama bertahun-tahun mereka melakukan kerja yang sama tanpa jemu. Mungkin perkataan bosan tidak ada dalam kamus mereka. Kegigihan mereka membuahkan hasil. Ada lereng menjadi mantap, dipenuhi rumput menghijau. Tanah di lereng bukit kelihatan kukuh dan mampat.
Ertinya selepas bertahun-tahun membanting tulang dan memerah tenaga, usaha mereka akhirnya berhasil.
Kegigihan, kesabaran dan usaha berterusan tanpa mengenal jemu adalah rahsia kejayaan. Kelebihan ini juga membantu menjulang nama pemimpin termasyhur dunia. Tanpa kesabaran mereka tidak akan berada di kedudukan tinggi itu.
Salah seorang tokoh itu adalah Nelson Mandela yang menjadi Presiden Afrika Selatan selama lima tahun saja (1994-1999), sekalipun beliau boleh memegang jawatan itu buat tempoh lebih lama. Kesabaran Mandela yang merengok 27 tahun dalam penjara, membolehkan beliau menjadi orang paling berkuasa di Afrika Selatan selepas pilihan raya pelbagai kaum pertama negara itu pada April 1994.
Mandela adalah antara tahanan paling lama di dunia. Bukan calang-calang orang boleh bersabar selama 27 tahun dalam penjara seperti yang ditunjukkan oleh bekas Presiden Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) itu.
Ramai tahanan tidak dapat mengawal diri, melakukan tindakan merugikan seperti membunuh diri. Semangat gigih ditunjukkan oleh Mandela itu akhirnya menyebabkan penindasan orang kulit putih ke atas orang kulit hitam dan berwarna Afrika Selatan selama beratus-ratus tahun dapat diakhiri.
Sekalipun Mandela bukan satu-satunya tokoh yang bertanggungjawab meruntuhkan sistem aparteid; kesabaran, kegigihan dan semangat tidak putus asanya, memberikan perangsang kepada orang lain.
Semangat tidak berputus asa adalah langkah pertama menuju kejayaan. Bagi menikmati kejayaan, seseorang itu perlu berani mencuba sekalipun kurang pengetahuan dan tidak pula takut menghadapi kegagalan.
Pepatah Melayu ada menyebut, belakang parang diasah lagikan tajam; batu yang keras jika sentiasa dititiskan air, akan berlubang juga akhirnya.
Thomas Eva Edison yang masyhur itu pun dikatakan gagal beratus-ratus kali dalam percubaannya untuk menghasilkan ‘api dalam kaca’ (mentol elektrik). Demikian juga pereka masyhur lain di Barat. Mereka sanggup melakukan beratus-ratus ujian sebelum menemui kejayaan.
Pelayar Itali yang berkhidmat untuk Raja Sepanyol, Christopher Columbus, menemui benua Amerika selepas pergi ke dunia Timur dengan menuju arah Barat, bertentangan dengan laluan pelayar sebelumnya Putera Henry atau pun Vasco Da Gama. Pendeknya semua tokoh ini tidak takut menghadapi kegagalan dalam menjayakan cita-cita mereka.
Di negara kita pun ramai orang dan pihak berjaya selepas banyak kali gagal. Tetapi mereka terus mencuba. Misalnya DAP sudah banyak kali gagal dalam ‘Projek Tanjung’ (merampas Pulau Pinang) sebelum mencapai kejayaan besar dan mengejutkan di bawah pimpinan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang kini Ketua Menteri Pulau Pinang.
Begitu juga PAS Kedah di bawah Pesuruhjayanya, Ustaz Azizan Abdul Razak yang akhirnya berjaya membentuk sebuah kerajaan buat pertama kalinya di negeri Jelapang Padi. Tentunya orang PAS tidak patah semangat setiap kali gagal, tetapi bangkit, mencuba dan terus mencuba.
Berhubung semangat tidak berputus asa ini, saya tertarik dengan penulis ‘Dare to Fail’ (Berani Gagal), Billy Lim yang saban pilihan raya bertanding di kawasan Parlimen Bukit Bintang. Billy tidak pernah menang pun, tetapi tetap gigih bertanding dan terus bertanding.
Bagi Billy kegagalan adalah satu nikmat dan kelebihan. Orang yang tidak mahu dan tidak dapat menerima hakikat kegagalan adalah mereka yang tidak mencuba pun. Mana lebih baik, mencuba dan gagal atau tidak melakukan sesuatu apa pun?
Pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat yang dijadualkan November lalu, dapat dilihat bagaimana calon Demokrat, Hillary Clinton dan Barack Obama sudah berbulan-bulan bertarung tetapi belum ada keputusan siapa yang layak mewakili parti itu bagi melawan John McCain daripada Republikan.
Berdasarkan ini, tentulah Hillary dan Obama bukan orang yang cepat patah semangat kerana perjuangan ke Rumah Putih memerlukan stamina dan kekuatan luar biasa.
Akhirnya Obama mencatat sejarah sebagai Presiden Amerika pertama daripada orang kulit hitam.
3 comments:
Salam...
Kat malaysia umno tak jemu2 dan berputus asa untuk terus memperbodohkan orang melayu demi survival politik...dan tanpa jemu dan bosan jugalah orang melayu terus mempertahankan akidah perjuangan umno sampailah hilang bulan dan bintang katanya....tapi tu kat melaka jer kot.....best,story lah pasal perkembangan dan sejarah melaka...walau bukan orang melaka,tapi dari kecil sehingga lah berkahwin dengan orang melaka,saya tak jemu2 ke A farmosa hanya untuk mengenangkan betapa bodoh raja melayu yang mempunyai penasihat si mamak india...
teruskan pak roslan....
Terima kasih Lanh.. Artikel tuk motivasi diri.
AJ juga ada Artikel motivasi bertajuk HIDUP BERANI UNTUK GAGAL
Sama-samalah kita bermotivasi diri tuk tingkatkan penggunaan minda separa sedar. :-)
Salam ukhwah dari AJ
saya telah membaca buku berani gagal...buku ni adalah satu motivasi. buku ni amat bagus dan sesuai bagi mereka yg pernah gagal...
Post a Comment