SABTU, 8 November tahun lalu adalah antara hari paling sibuk bagi saya sekeluarga.
Ada tiga majlis membabitkan sekolah anak-anak yang perlu dihadiri. Semuanya pada pagi. Anak tingkatan lima ada majlis graduasi, anak tahun lima ada majlis motivasi manakala si kecil, ihtifal Pasti.
Selepas berbincang, saya ke ihtifal Pasti, isteri ke majlis graduasi. Majlis motivasi dikorbankan. Si anak menarik muka masam, tetapi selepas dipujuk, dia kelihatan ok, tetapi dalam hati siapa tahu.
Si ibu memberikan rasional, pada tahun depan si abang tiada lagi di sekolah berkenaan, si adik pun tiada di Pasti tetapi si anak tahun lima tetap berada di sekolah sama untuk mengambil UPSR.
Demikianlah betapa cepat masa berlalu, sesi persekolahan 2008 sudah melabuhkan tirai. Dalam tempoh 50 hari, ‘kitab’ 2008 ditutup, usia bertambah, hakikatnya kita semakin mendekati penghujung hayat.
Pada majlis Pasti, terhibur saya melihat karenah dan keletah anak-anak. Mereka begitu bertenaga, berlari ke sana sini, kemudian menunjukkan kebolehan menghafaz doa dan membaca al-Quran, mempersembahkan nasyid dan bercerita.
Selepas sejam di kerusi, terasa sengal-sengal badan. Saya bangun, beredar ke padang seterusnya ke jalan raya. Dari kejauhan saya menyaksikan aktiviti berlangsung.
Melihatkan anak-anak cergas mengambil bahagian dalam acara di padang, saya terkenang zaman kanak-kanak. Sudah lebih 40 tahun berlalu ketika saya sibuk-sibuk bersedia ke darjah satu seperti anak saya yang akan menamatkan zaman pra-sekolahnya, tetapi saya rasakan seperti baru semalam.
Bagi kebanyakan orang semalam dan hari ini terlalu hampir. Tetapi bagi bijak pandai, semalam adalah terlalu jauh, semuanya sudah menjadi sejarah. Tidak mungkin semalam berpatah balik, menangisi air mata darah sekali pun, semalam mustahil menjadi hari ini.
Seorang ustaz kerap mengingatkan jemaah bahawa perkara sudah berlalu itu (semalam) biarkanlah, apa yang penting isikan waktu sekarang dengan amal sekuat mungkin.
Katanya, waktu ada tiga - semalam, sekarang dan esok. Semalam sudah menjadi sejarah, esok belum tentu, jadi maksimumkan masa sekarang untuk melakukan kebaikan.
Seorang ustaz lain pula mengingatkan dalam melakukan kebaikan itu bergantung kepada kemampuan seseorang. Katanya, dalam tahfiz al-Quran misalnya, bukan semua orang boleh menjadi hafiz atau hafizah, tetapi setiap orang boleh ‘membeli saham’.
Orang ada ilmu dan mampu mengajar, dia boleh jadi guru atau ustaz; yang pandai mengurus boleh mentadbir sekolah atau tahfiz; orang berharta boleh mengusahakan pembinaan dan pembiayaan sekolah. Ertinya setiap orang menyumbang berdasarkan kemampuan masing-masing.
Individu berkemampuan menulis, boleh menyumbang dalam bentuk penulisan, kata ustaz itu, membuatkan saya tersentak, mungkinkah ustaz itu merujuk kepada saya? Fikiran saya melayang jauh, apakah benar saya sudah berusaha berdakwah melalui penulisan?
Bagi menambah ilmu, adalah penting mengikuti kelas-kelas pengajian di masjid dan surau. Selain itu bagi sesetengah insan, ada peristiwa mendorongnya mendapat taufik dan hidayah-Nya. Ibu saya salah seorang daripadanya dan dia menceritakan perkara itu kepada saya tidak lama dulu.
Pada tahun 1970-an dulu, ibu saya terlalu sibuk menguruskan hal ehwal anak-anak seramai lapan orang sehingga jarang benar berkesempatan menghadiri kelas pengajian. Ibu berkemampuan membaca al-Quran, malah mengajar sendiri anak-anaknya mengaji tetapi tidak memahami maksud ayat-ayat berkenaan.
Suatu hari ketika cuti sekolah, ibu terbaca buku teks agama tingkatan dua yang saya bawa pulang dari asrama, yang pada bahagian al-Quran ada disertakan Surah Al-Ashr, maksud ayat dan pengajarannya. Terjemahan surah pendeknya adalah; “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang beriman dan beramal salih, dan berwasiat (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Ibu termenung kaku membaca terjemahan ayat-ayat itu. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian…orang itu ada kita sendiri, kita yang membanting tulang mencari sesuap nasi, kita yang membanting tulang membesar dan menyekolahkan anak-anak, kita yang membanting tulang membuat rumah, berkebun dan sebagainya, semuanya dalam kerugian kecuali mereka yang bersifat seperti dinyatakan Allah SWT.
Tidak ada ertinya bekerja ‘macam nak mati’ tetapi tidak beriman dan beramal salih. Dan tidak bolehlah seseorang itu beramal seorang diri sebaliknya dia perlu berdakwah, memberi nasihat kepada orang lain dan mengamalkan sikap sabar dan menyuruh orang lain beramal dengannya.
Sejak disedarkan dengan Surah Al-Ashr itu, ibu berusaha meningkatkan pengetahuannya terutama dalam memahami maksud ayat-ayat al-Quran. Al-Quran itu adalah panduan kepada manusia dalam menjalani kehidupan, tetapi ramai yang tidak mengetahui maksud walaupun boleh membacanya.
Ada bijak pandai mengumpamakan al-Quran itu surat/memo Yang Maha Berkuasa kepada hamba-Nya untuk dilaksanakan perintah di dalamnya. Bagaimana rasa hati seorang ketua pejabat yang mengedarkan surat pekeliling kepada anak buahnya jika mereka menyanyi-nyanyikannya tetapi tidak melaksanakan arahannya?
Tentulah ketua itu naik berang kerana perkara disuruh tidak dibuat, sebaliknya dinyanyikan. Surah Al-Ashr telah menyedarkan ibu saya bahawa hidup ini sia-sia jika hidup tidak berpandukan apa diajarkan Allah dan Rasul melalui Kitab-Nya.
Saya tersedar daripada lamunan apabila mendengar anak-anak Pasti mendendangkan nasyid ‘Sepohon Kayu’ yang antara lain berbunyi; “Apa guna hidup 1,000 tahun jika tak sembahyang, apa guna hidup 1,000 tahun jika tak sembahyang…” Demikianlah, apa erti hidup lama jika tiada bakti di dunia ini.
No comments:
Post a Comment