Ketika melalui Jalan Laksamana Cheng Ho dan melewati Perigi Puteri Hang Li Po (Perigi Raja), saya teringat pesanan seorang tokoh negara bahawa rakyat negara dan rantau sebelah sini perlu mendalami sejarah bangsa mengikut pemahaman dan pandangan sendiri.
Kata tokoh berkenaan, ini bertujuan mengelak pemesongan fakta dan pendapat disebabkan sejak sekian lama penduduk rantau ini memperolehi maklumat mengenai sejarah ketamadunan bangsa melalui pengkaji Barat.
"Disebabkan itulah kanak-kanak di rantau ini lebih mengenali pelayar Christopher Columbus dan bukannya Zheng Ho (Cheng Ho) yang lebih awal menempa kejayaan sebagai pelayar," katanya ketika merasmikan Pameran Peringatan Zheng Ho di Kuala Lumpur tidak lama dulu.
Pesanan itu tepat sekali. Mata pelajaran Sejarah yang diajar di sekolah suatu ketika dulu penuh dengan kisah kegemilangan orang Barat.
Saya turut terpengaruh dengan apa yang dipelajari ketika di bangku sekolah rendah pada 1970-an dulu.
Kisah tokoh terkenal dunia menarik minat saya, tetapi jika difikirkan kembali, ia hanya bertujuan mengagung-agungkan tamadun Barat sebaliknya mewujudkan rasa rendah diri kepada anak tempatan.
Bayangkan dalam usia mentah, kita disogokkan dengan kisah Joan of Arc, gadis Perancis yang membantu bangsanya menewaskan orang Inggeris dalam Perang 100 Tahun. Joan of Arc dikatakan mendengar suara ghaib, menyuruhnya memerangi orang Inggeris.
Demikian juga kisah orang ternama lain seperti Robert Clive (askar Inggeris yang membuka jalan kepada penaklukan India), David Livingstone (peneroka British di benua Afrika), George Washington (presiden pertama Amerika Syarikat) ataupun Bartholomew Diaz dan Vasco da Gama (pelayar Portugis).
Mengenai sejarah tempatan pula, kita diajar supaya mengagung-agungkan tokoh seperti James Birch (residen pertama British di Perak), Sir Frank Swettenham (residen British di Selangor), Sir Hugh Low (residen British di Perak) dan Sir Hugh Clifford (residen British di Pahang).
Mata pelajaran Sejarah di sekolah hari ini tidak lagi mengagung-agungkan tokoh dan tamadun Barat tetapi ditulis mengikut perspektif anak bangsa dan wawasan negara kita. Bagaimanapun hal ini terbatas.
Di luar sistem pendidikan, terdapat beribu-ribu buku dan sumber maklumat lain yang mengagung-agungkan orang Barat sebagai pencetus tamadun dunia. Jarang benar kejayaan orang di Timur dicatatkan dalam sejarah.
Tataplah sebarang ensiklopedia, jurnal dan penerbitan lain. Kebanyakannya mencatatkan orang Barat sebagai pencipta itu dan pencipta ini. Misalnya dalam 'The World Almanac' senarai nama pencipta dimonopoli tokoh dari Amerika, Britain, Jerman, Perancis dan negara Barat lain.
Benarkah bangsa kita khasnya, atau orang bukan Barat lain amnya, tidak menyumbangkan sesuatu kepada kemajuan dunia?
Sukar menjawab pertanyaan ini tetapi saya akan membawa kisah tokoh bukan Barat yang mencatat kejayaan tetapi sejarah kegemilangan mereka seolah-olah dilupakan.
Orang lebih mengenali Columbus daripada Zheng Ho. Demikian juga orang lebih mengenali Marco Polo daripada Ibnu Batutta, seorang pengembara Arab Islam dari negara yang kini dikenali Maghribi.
Jika kisah Marco Polo ke China ketika pemerintahan Kublai Khan diketahui ramai (kini ada pihak meragui sama ada beliau benar-benar sampai ke negara itu), tidak ramai yang tahu bahawa Ibnu Batutta melakukan perjalanan tiga kali ganda jauhnya berbanding pengembara dari Venice itu.
Ibnu Batutta atau nama sebenarnya Syeikh Abu Abdullah Muhammad ibnu Abdullah ibnu Ibrahim al-Lawati mengembara sejauh 120,000 kilometer dan singgah di 44 negara di dua benua (Afrika dan Asia).
Ibnu Batutta mengembara selama 29 tahun, memulakan perjalanan dari Tangier, Afrika Utara pada 13 Jun 1325. Pencapaian Ibnu Batutta begitu luar biasa dan sewajarnya namanya diabadikan dalam sejarah tetapi ini tidak berlaku.
Disebabkan kebanyakan kawasan Afrika Utara dijajah oleh Perancis, manuskrip catatan Ibnu Batutta dirampas dan disembunyikan. Ia disimpan di Bibliotheque Nationale, Paris, menyebabkan bangsanya sendiri tidak dapat menghargai pencapaiannya.
Hari ini orang Arab terus kerdil bagi menghadapi ancaman dan ugutan dari dalam dan luar rantau mereka sekalipun bangsa Arab melahirkan ramai tokoh berjiwa besar seperti Ibnu Batutta.
Sekalipun, penduduk dunia Arab berjumlah 200 juta dengan lebih 20 negara tetapi mereka tidak mampu menghadapi ancaman negara kecil Israel yang terletak di tengah-tengah rantau mereka.
Israel yang wujud pada 1948 dengan bantuan kuasa besar Barat terus menunjukkan belang sedangkan sebahagian besar penduduk Arab ditanam rasa rendah diri dan memandang hebat kepada segala sesuatu dari Barat.
Tidak hairanlah jika ada jutawan dan orang ternama Arab sanggup menghamburkan wang dan menjual maruah, memburu cinta puteri, aktres dan model Barat.
Mereka berkiblat kepada Barat tanpa menyedari suatu ketika dulu anak watan rantau itu termasuklah Ibnu Batutta, mencatat kejayaan gemilang yang ditiru oleh Barat.
Suatu ketika dulu ketika Maharaja Frank (Perancis), Charlemenge hairan dengan tulisan yang diperkenalkan kepadanya, cendekiawan Khalifah Harun Al-Rasyid di Baghdad sudah pun mempunyai kepandaian mengukur garisan lintang dan bujur Bumi.
Hari ini keadaannya sudah terbalik ibarat dunia yang sentiasa bertukar. Ketika orang Baghdad bermati-matian berusaha mendapatkan sesuap makanan disebabkan sekatan yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), orang Barat sudah ke angkasa lepas dan menjelajah angkasa raya.
No comments:
Post a Comment