Tuesday, June 30, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 23: Bahana Satu Kapal, Dua Nakhoda

Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam. Demikianlah pelbagai ragam manusia saya temui ketika pergi dan balik kerja.

Salah satu watak menarik perhatian saya ialah seorang pemandu bas yang gemar berbual-bual dengan suara yang begitu kuat bagi melawan alunan muzik radio.

Sambil bercerita, dia ketawa terbahak-bahak, terutama apabila menyentuh kisah rumah tangga. Rancak betul dia bercerita kisah rumah tangga rakan-rakannya.

Daripada kisah Si A kepada Si Z, demikianlah meleret-leret dia berbual hingga bas sampai ke destinasi.

"Si Z tipu isteri selepas balik lewat malam. Macam-macam alasannya. Ah, orang lelaki memang macam tu. Suka bohong. Tapi itu bohong sunat. Nak selamatkan rumah tangga," katanya diiringi, ketawa berdekah-dekah.

Kisah rumah tangga memang menarik perhatian. Tiada rumah tangga aman 100 peratus, kata orang lidah lagikan tergigit inikan pula suami isteri.

Rumah tangga ibarat air laut - ada kalanya tenang mempesona, ada kalanya berombak dan kadang-kadang bagaikan taufan, demikian kata seorang teman yang gemar berfalsafah.

Katanya, kebahagian dalam rumah tangga itu wujud kerana ada tolak ansur anggota keluarga, terutama suami isteri.

Sesuatu pasangan itu bahagia bukan kerana mereka tidak pernah berselisih pendapat atau bermasam muka, tetapi salah seorang daripadanya sedia mengalah.

Misalnya apabila si suami meradang, si isteri diam. Apabila si isteri merajuk, si suami pujuk; jika si isteri sudah melakukan kesalahan, dia sedia meminta maaf dan demikian pula sebaliknya.

Bagaimanapun, kata rakan saya itu, dalam sesebuah keluarga hanya perlu seorang ketua. Ketua keluarga adalah suami, kecuali dalam kes tertentu seperti si suami sudah meninggal.

Sesebuah keluarga boleh diibaratkan sebuah kapal atau kereta api. Sebuah kapal dikemudikan oleh seorang nakhoda. Jika ada dua nakhoda, binasalah kapal dan orang dalam kapal itu.

Sebuah kereta api juga mempunyai sebuah kepala (lokomotif) bagi mengheret gerabak.

Mustahil sebuah kereta yang sedang bergerak mempunyai dua kepala. Tetapi sebanyak mana gerabak yang ditarik oleh lokomotif itu tidak menjadi masalah, asalkan ia mampu, demikian kata rakan saya itu.

Senario sebuah kapal dua nakhoda atau sebuah kereta api dua kepala pernah berlaku di Kemboja. Negara itu pernah mempunyai dua orang perdana menteri - perdana menteri pertama dan perdana menteri kedua - hasil 'kahwin mutaah' yang sentiasa bergelora.

Kewujudan dua perdana menteri itu adalah berdasarkan keputusan pilihan raya umum pertama yang diadakan di negara Indochina itu pada 1992 dulu. Dalam pilihan raya itu Parti Funcinpec proraja pimpinan Putera Norodom Ranariddh menang tetapi tidak mendapat kerusi secukupnya bagi membentuk sebuah kerajaan.

Funcinpec terpaksa berkongsi kuasa dengan Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen, Perdana Menteri Kedua. Ada kalanya, Ranariddh dan Hun Sen dirujuk sebagai Perdana Menteri Bersama dan ini jelas menunjukkan kedua-duanya mempunyai kuasa yang sama dalam menradbir negara.

Sebelum wujudnya senario dua perdana menteri ini, Hun Sen berkuasa penuh sebagai perdana menteri Kemboja. Beliau menerajui Kemboja sejak 1985 dengan bantuan Vietnam.

Ketika itu beliau baru berusia 33 tahun. Hun Sen yang dulunya seorang anggota Khmer Rouge ialah antara orang paling muda menjadi perdana menteri di dunia.

Situasi sebuah negara dengan dua pemimpin ini adalah sesuatu yang luar biasa. Di negara lain, berlaku juga perkongsian kuasa tetapi kedudukan tertinggi hanya dipegang oleh seorang tokoh.

Misalnya, di Afrika Selatan selepas pilihan raya pelbagai kaum pertama pada April 1994 dulu, Nelson Mandela yang menerajui Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) menjadi pemimpin tertinggi sekalipun sebuah kerajaan perikatan terpaksa dibentuk.

Selain ANC, Kerajaan Perpaduan Kebangsaan Afrika Selatan ketika itu juga disertai oleh Parti Kebangsaan (NP) pimpinan F W de Klerk dan Parti Pembebasan Inkatha (IFP) pimpinan Mangosuthu Buthelezi.

Dalam kerajaan berkenaan ketika itu, de Klerk hanya menjadi Naib Presiden. Demikian juga dengan Buthelezi. Bagi menunjukkan ANC lebih berkuasa, Mandela melantik Thabo Mbeki sebagai Timbalan Presiden. Beliau kemudian menggantikan Mandela sebagai Presiden.

Di Thailand juga wujud kerajaan campuran yang menggabungkan pelbagai parti. Bagaimanapun, hanya seorang saja tokoh dilantik perdana menteri.

Jika Thailand yang mempunyai seorang ketua kerajaan (seperti seorang nakhoda kapal) pun sentiasa bergolak dengan kerajaannya silih berganti, perkembangan yang berlaku di Kemboja tidak lama dulu (tindakan Hun Sen menggulingkan Ranariddh) bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

Kemboja yang diterajui oleh Ranariddh dan Hun Sen adalah ibarat sebuah keluarga dengan dua ketua. Suasana dalam keluarga sentiasa tegang dan menunggu masa untuk meletup. Agak malang, 'letupan' itu berlaku ketika penangkapan pemimpin Khmer Rouge, Pol Pot, hebat diperkatakan.

Berita Pol Pot yang terkenal kejam ketika memerintah Kemboja antara 1975 hingga 1979, ditenggelami laporan laporan mengenai sengketa dan pertempuan antara tentera Ranariddh dan Hun Sen.

Jika pemerintahan Pol Pot menyebabkan rakyat Kemboja menderita, rejim Hun Sen dan konconya mungkin mengulangi perkara sama.

Jika Pol Pot menyembelih dua juta rakyat negara itu (The Killing Fields), kita boleh jangkakakan apa yang akan dibuat Hun Sen selanjutnya.

Mungkinkah ini bahananya jika sebuah keluarga itu ada dua ketua, sebuah kapal itu dua nakhoda manakala sebuah kereta api itu dua kepala?


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Monday, June 29, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 22: Antara Rela Dedah Dan Terpaksa Dedah

Apabila menaiki bas sendirian, kita tidak tahu siapa bakal duduk di sebelah kita. Saya lebih suka kerusi itu diduduki lelaki daripada wanita. Ini bukan bermakna saya antiwanita tetapi saya rasa kurang selesa terutama jika yang duduk di situ seorang wanita seksi lagi rupawan.

Sebagai 'lelaki sempurna' kadang-kadang kita rasa tercabar. Apatah lagi jika wanita itu berpakaian menjolok mata atau mengenakan 'semburan' yang semerbak baunya, mengiringi kita sepanjang perjalanan.

Ya, wanita cantik dan seksi dapat menarik perhatian serta-merta. Adalah bohong jika seseorang lelaki itu menyatakan dia tidak rasa apa-apa jika duduk bersebelahan wanita cantik yang mempamerkan 'aset'nya di samping bauan harum menusuk hidung.

Jika dengan duduk di sisi wanita seksi, seseorang lelaki itu sudah 'gelisah', apatah lagi jika orang lelaki diberi peluang menyaksikan sepuas-puasnya barisan wanita cantik memperagakan sebahagian besar tubuh masing-masing, termasuk dengan mengenakan pakaian mandi di pentas peraduan ratu cantik.

Saya membawa kisah ini bagi membuka perbincangan mengenai pertandingan ratu cantik yang hebat diperkatakan selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertindak ke atas tiga remaja Islam yang menyertai satu pertandingan di negeri berkenaan.

Pelbagai pendapat dikemukakan berhubung isu ini. Saya tidak akan menyentuh isu ini daripada aspek keagamaan kerana bukanlah layak bagi saya berbuat demikian.

Agak menyedihkan orang kerana orang awam diberikan kesempatan menyatakan pandangan masing-masing sedangkan sesuatu hujah mengenai perkara ini perlu disertakan dengan dalil al-Quran, hadis, ijmak ulama serta dalil akal dan bukan berdasarkan persepsi dan pandangan individu.

Bantahan terhadap pertandingan ratu cantik bukan perkara baru dan bukan oleh orang Islam saja. Sebahagian besar masyarakat, termasuk di Barat, melihat pertandingan ratu cantik sebagai contoh eksploitasi seks yang memalukan.

Malah 'Women's Lib (Liberation)' yang terkenal memperjuangkan hak wanita seluruh dunia itu turut membantahnya.

Pernah pada tahun 1960-an, kumpulan wanita 'Women's Lib' melontar bom gas ke dalam Albert Hall, London, bagi menggagalkan satu pertandingan ratu cantik. Ada pihak menyamakan pertandingan ratu cantik ini dengan pertandingan memilih lembu paling gemuk dan sihat.

Pertandingan Miss Universe yang diadakan di India pada 1996, juga mendapat bantahan hebat masyarakat negara itu. Selain mengadakan rapat umum, ada aktivis wanita India membakar diri hidup-hidup kerana tidak menyetujui pertandingan itu.

Bantahan dan sengketa berikutan pertandingan ratu cantik adalah seusia kemunculannya. Dipercayai pertandingan ratu cantik berasal daripada mitos Greek purba. Diceritakan dewa-dewa Greek menganjurkan pertandingan bagi memilih dewi paling cantik.

Antara dewi yang bertanding ialah Aphrodite yang dikenali orang Rom sebagai Venus, iaitu dewi cinta dan kecantikan. Dalam pertandingan itu Aphrodite yang susuk tubuhnya dikatakan berukuran 37-28-39 menang menyebabkan dewi Hera marah dan mengamuk, seterusnya mencetuskan sengketa dan perang berpanjangan.

Hari ini, dunia dipenuhi dengan pelbagai peraduan ratu cantik. Di peringkat antarabangsa, dua pertandingan paling masyhur ialah Miss Universe dan Miss World. Juara pertandingan ini kebanyakannya adalah dari Amerika Utara, Amerika Selatan dan Eropah. Jarang benar orang Asia atau Afrika dipilih pemenang.

Pada 1959 barulah wanita Asia dipilih sebagai Ratu Universe. Beliau ialah Akiko Jokima dari Jepun. Antara wanita Asia yang pernah dimahkotakan Ratu Universe ialah Apasara Hongsakui dari Thailand dan Margie Moran dari Filipina pada 1973. Akhir-akhir ini barulah beberapa ratu dari India dipilih pemenang.

Dalam pertandingan ratu cantik, tidak ada rantau lain di dunia dapat mengatasi kehebatan dan keghairahan Amerika Selatan. Selain menjadi tempat melahirkan ramai ratu dunia, Amerika Selatan menjadi medan pelbagai pertandingan ratu cantik yang namanya pun agak pelik dan diadakan hampir sepanjang tahun.

Misalnya, di Colombia ada pertandingan Miss Coffee (Kopi), Miss Cotton (Kapas), Miss Pineapple (Nanas), Miss Corn (Jagung) dan Miss Potato (Kentang). Di Panama pula ada pertandingan Miss Zona Bananera (Zon Pisang).

Selain pertandingan ratu cantik yang dikaitkan dengan pakaian kurang sopan, sukan moden juga dilihat memerlukan peserta wanita mempamerkan sebahagian besar tubuhnya. Jika dulu, ia mungkin membabitkan acara renang atau gimnastik, hari ini pelari pecut wanita juga ditonjolkan dengan pakaian dua keping yang seksi.

Jelas sekali perkembangan ini menyebabkan atlit wanita Islam semakin tersisih daripada arena antarabangsa malah di Algeria tidak lama dulu, ia mencetuskan kontroversi hebat.

Seorang pelari wanita Algeria pernah menang pingat emas di Sukan Olimpik tetapi kejayaan itu dipandang sepi oleh kumpulan aktivis Algeria yang menyatakan jagoan itu lari dalam keadaan bogel di depan jutaan penonton.

Berbeza dengan wanita ratu cantik yang dengan rela mendedahkan tubuh masing-masing, wanita Islam yang menyertai sukan mungkin dipaksa atau terpaksa berbuat demikian. Mereka mungkin tidak ada pilihan.

Jika mahu jadi perenang antarabangsa, mereka perlu mengenakan pakaian renang. Jika mahu menjadi gimnas disegani, mereka perlu mengenakan pakaian yang ditetapkan.

Begitulah adat dunia sekarang dan tidak pernah saya terbaca negara Islam bersatu hati menentang amalan ini. Jika dulu diadakan kejohanan sukan membabitkan negara Islam, kini ia lenyap begitu saja.

Jika demikian keadaannya, adakah bermakna wanita Islam tidak boleh bersukan. Bagi menjawab soalan ini, saya memetik pandangan Presiden Majlis Perpaduan Sukan Negara Islam (ICWSSC) dan juga ahli Parlimen Iran, Faezeh Rafsanjani.

Faezeh yang juga anak bekas Presiden Iran, Ali Akbar Hashemi Rafsanjani, menegaskan: "Sukan untuk wanita tidak perlu dikomersialkan melalui pakaian menjolok mata dan merendahkan maruah wanita itu sendiri.

"Wanita Islam tidak akan menyertai sukan yang mempunyai kod pakaian yang ketat seperti acara gimnastik atau olah raya yang terlalu dikomersialkan atau disalah guna.
"Masalahnya adalah soal pilihan. Ada pilihan seperti sukan menembak, memanah, menunggang kuda dan luncur ais.

"Yang penting kepercayaan kita sebagai orang Islam. Kita pegang kepada agama kita, hidup bukan sekadar untuk dunia, tetapi akhirat.

"Islam jangan diketepikan atas alasan apa sekalipun. Islam itu amalan hidup! Begitu juga jangan mengambil Islam dari sudut sempit hingga segala-galanya tidak dibolehkan!"

**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Friday, June 26, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 21: 'Kunta Kinte Afrika' Terus Menderita

Melihat gambar jaguh tinju dunia, Mike Tyson, menggigit hingga putus sebahagian cuping telinga juara Tinju Heavyweight WBA, Evander Holyfield, tidak lama dulu, mengingatkan saya mengenai pertarungan tinju antara Muhammad Ali dan George Foreman di Kinshasa, Zaire, pada 1974.

Ketika itu saya dalam darjah enam. Sebagai persiapan untuk menyaksikan pertarungan itu, pihak sekolah saya menyewa dua peti televisyen (ketika itu TV masih hitam putih) dan meletakkannya dalam dewan.

Pada hari bersejarah itu, satu sekolah (guru, murid dan pekerja), menyaksikannya. Sudah pasti sebahagian besar daripada kami adalah penyokong kuat Muhammad Ali yang berusaha merebut kejuaraan daripada tangan Foreman selepas beliau kehilangan mahkota itu pada 1967 kerana enggan pergi berperang di Vietnam.

Sekalipun, Foreman menjadi 'favorite' pertarungan itu kerana beliau sudah menewaskan Ken Norton dan Joe Frazer, Muhammad Ali berjaya memberi 'pukulan maut' kepada Foreman dalam pusingan kelapan, menyebabkan kami satu sekolah bersorak gembira.

Tidak lama dulu, nama Kinshasa dan Zaire, kembali mengisi dada akhbar. Tetapi kali ini ia tiada kaitan langsung dengan tinju. Ia berkisar kepada pergolakan politik di negara Afrika Barat itu.

Pada tahun 1997, pemimpin Zaire yang turut menyaksikan kehebatan Muhammad Ali menewaskan Foreman, Mobutu Sese Seko, digulingkan oleh ketua pemberontak, Laurent Kabila. Kabila akhirnya mati dibunuh oleh musuhnya.

Ketika mula berkuasa Kabila menukar kembali nama negara Zaire kepada Republik Demokratik Congo yang digunakan sebelum pemerintahan Mobutu. Nama Republik Zaire hanya mula digunakan pada 27 Oktober 1971 atas arahan Mobutu. Negara ini mencapai kemerdekaan pada 30 Jun 1960.

Nama Zaire atau Congo (bekas tanah jajahan Belgium) juga menimbulkan nostalgia di kalangan sejumlah askar Malaysia yang pernah berkhidmat sebagai pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Majlis Keselamatan PBB mula menghantar kontijen pengaman di Congo pada 9 Ogos 1960 dan mengakhiri misinya pada 30 Jun 1964.

Selain negara Congo dengan ibu kotanya, Kinshasa, ada sebuah lagi negara dengan nama Republik Congo dengan ibu kotanya, Brazzaville. Ia terletak di utara Congo (Zaire).

Republik Congo ini adalah bekas tanah jajahan Perancis dan mencapai kemerdekaan pada 15 Ogos 1960. Kedua-dua negara Congo ini dipisahkan oleh Sungai Congo dengan Kinshasa dan Brazzaville terletak berhadapan satu sama lain di seberang sungai berkenaan.

Selain Republik Demokratik Congo yang digegarkan dengan apa yang dinamakan perang saudara, perkembangan yang sama turut berlaku di Congo.

Pada tahun 1997, Perancis dan Amerika Syarikat melancarkan usaha bagi meyakinkan Presiden Congo, Pascal Lissouba dan pesaingnya, Denis Sassou Nguesso, mengakhiri perang saudara negara itu, sebaliknya duduk di meja rundingan.

Kebanyakan laporan media Barat mendakwa kekacauan yang melanda sebahagian besar negara Afrika Barat sekarang ini disebabkan oleh pertelingkahan etnik atau perang saudara. Jarang benar mereka mahu mendedahkan punca yang menyebabkan pertelingkahan itu.

Rasanya, tidak keterlaluan untuk menyatakan puncanya adalah daripada dasar pecah dan perintah kuasa Barat ke atas tanah jajahan dan dalam kes ini Afrika Barat.

Selama berabad-abad orang Perancis, Belgium, Portugis, Inggeris, Sepanyol dan sebagainya menjarah bumi Afrika Barat. Mereka bukan saja mengangkut segala kekayaan rantau ini tetapi juga menyemaikan api permusuhan antara suku kaum.

Perang saudara yang digambarkan oleh Barat itu bukan saja berlaku di Congo dan Republik Demokratik Congo tetapi hampir semua negara Afrika Barat. Hampir saban masa dunia disajikan dengan keganasan di Liberia, Sierra Leone, Nigeria, Niger, Angola dan sebagainya.

Malah, seluruh benua Afrika dilaporkan dilanda keganasan. Hampir tiada negara Afrika dilaporkan aman. Semuanya bergolak. Dari Afrika Selatan ke Algeria di utara dan dari Liberia di barat ke Somalia di timur semuanya digambarkan sedang bergolak hebat dan menuju kehancuran.

Agak menyedihkan pihak Barat termasuk media merujuk keganasan yang berlaku di negara Afrika ini sebagai perang saudara. Kata mereka, di Algeria beribu-ribu orang mati kerana perang saudara. Di Mesir ramai mati kerana perang saudara.

Di Somalia, pembunuhan berlaku kerana perang saudara. Di Liberia juga berlaku perang saudara.

Jika tafsiran ini betul, nampaknya hampir seluruh bumi Afrika dilanda perang saudara.
Bagaimanapun begitu mendukacitakan pihak Barat tidak pernah mahu mengaku bahawa merekalah penyebab kepada perang saudara itu. Baratlah yang menjajah benua berkenaan, memecah-belahkan penduduk dan mengangkut balik segala kekayaannya.

Mereka bukan saja menjarah hasil kekayaan bumi Afrika, khasnya Afrika Barat tetapi orangnya sekali.

Ketika kemuncak kekuasaan mereka, beribu-ribu orang kulit hitam, dtangkap dan dihumbankan dalam kapal untuk dijadikan hamba di benua baru (Amerika) dan Eropah.

Pendedahan Alex Haley melalui watak 'Kunta Kinte' yang nenek moyangnya berasal dari Afrika Barat dalam 'Roots' sudah cukup untuk menggambarkan bangsa yang cukup rakus dan zalim itu.


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Thursday, June 25, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 20: Usah Biar Sejarah Penjajahan Berulang

"Papa, are you a Christian?" Terkejut besar saya apabila diajukan soalan itu oleh seorang lelaki daripada satu rombongan yang kemudiannya saya ketahui datang dari Macau.

Ketika itu saya sedang bersiar-siar, melayan kerenah anak dan anak buah di pinggir laut berdekatan Medan Portugis di Ujung Pasir.

Segera saya menjawab, tidak, menyebabkan lelaki itu hilang minat untuk berbual dengan saya. Saya sedar mengapa pelancong itu mengemukakan soalan berkenaan.

Ketika itu saya memakai ketayap. Mungkin dia menyangka saya seorang paderi kerapa paderi juga memakai 'ketayap' di kepala. Mungkin menyangka saya seagama dengannya, pelancong itu membuka mulut bertanya khabar.

Kunjungan pelancong itu mengingatkan saya bahawa ada ikatan sejarah antara Macau dan Melaka. Demikian juga dengan Goa dan Timor Timur. Semuanya adalah bekas tanah jajahan Portugis. Macau adalah tanah jajahan terakhir kuasa Barat di Asia yang diserahkan kembali kepada China pada tahun 1999.

Melaka merdeka dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, Goa menyertai India pada 1962 manakala Timor Timur diduduki Indonesia pada 1975 dan kemudian mengisytiharkan sendiri kemerdekaannya.

Goa adalah yang pertama diduduki Portugis. Ia ditawan oleh Alfonso de Albuquerque pada 1510 dan pada 1530 diisytiharkan sebagai ibu kota Empayar Portugis Timur.

Ketika penyerahan Hong Kong kepada China pada 30 Jun 1997 dulu, ada penganalisis politik Barat cuba membandingkannya dengan peristiwa Goa menjadi wilayah India.

Tentera New Delhi memasuki wilayah kecil di pantai barat India itu pada 16 Disember 1961. Pihak Portugis hanya memberikan sedikit tentangan kerana mereka sudah hilang taring selepas menjajah wilayah itu selama empat setengah abad.

Bagi sesetengah penduduk Goa peristiwa ini adalah 'pembebasan' tetapi bagi yang lain ia adalah 'pencerobohan'. Beberapa tahun kemudian Mahkamah Agung India memutuskan bahawa peristiwa itu adalah 'penaklukan'.

Pada 1962, perdana menteri India ketika itu, Jawaharlal Nehru menegaskan bahawa India mahu Goa mengekalkan identitinya kerana ia mempunyai sejarah berasingan selama 400 tahun.

Bagaimanapun, penduduk Goa yang bercakap dalam bahasa ibunda yang dipanggil Konkani dan juga fasih bahasa Portugis, mendapati mereka terpaksa menerima segala perkembangan yang berlaku di India.

Selama berdekad-dekad jirannya di utara, negeri Maharashtra, cuba memaksa wilayah yang diperintah kerajaan persekutuan itu, bergabung dengannya.

Kumpulan yang mahukan gabungan itu, cuba menanamkan api permusuhan antara penduduk Goa yang beragama Katolik dan Hindu. Mereka menuduh penduduk Goa yang menentang gabungan itu sebagai pro-Portugis.

Melalui pungutan suara bersejarah pada 1967, majoriti penduduk Goa mengundi mengekalkan status mereka yang berasingan. Sekalipun demikian, isu status Goa masih diperkatakan sehingga kini.

Goa ditadbir Portugis sehingga 1961, Timor Timur sehingga 1975 manakala Macau sehingga 1999. Becakap mengenai penjajahan, tidak dapat dibayangkan jika Melaka masih dalam tangan Portugis. Kita wajar bersyukur kerana ini tidak berlaku.

Sekalipun demikian, kadang-kadang hati rasa terharu mengenangkan nasib bangsa yang dijajah lebih 400 tahun di tangan kuasa Barat, biarpun bukan oleh Portugis secara berterusan.

Empat ratus tahun bukan satu jangksa masa singkat. Saya terbayangkan nasib orang yang hidup dalam era penjajahan ini. Sejak dilahirkan dan sampai ke detik kematian, dia hanya berpeluang menyaksikan orang asing 'meratah dan menjajah' tanah airnya.

Ketika Hong Kong dikembalikan kepada China pada 1997 dulu, pihak Barat menggembar-gemburkan pelbagai kemungkinan tidak enak akan berlaku ke atas tanah jajahan British sejak 1842 itu. Sekali lagi pihak Barat cuba memperkecilkan kemampuan orang Timur.

Bagi mereka, orang rantau ini tidak tahu dan tidak layak mentadbir sekalipun tanah air mereka sendiri. Kerap benar mereka mempersoalkan kewibawaan pemerintah kerajaan bukan saja di rantau Timur tetapi di seluruh dunia.

Tidak cukup dengan itu, mereka cuba campur tangan pula. Lihat saja tindakan mereka di negara-negara Afrika Barat seperti Liberia, Congo, Republik Demokratik Congo (Zaire), Sierra Leone dan Angola.

Kebangkitan negara rantau Timur tidak pernah disenangi pihak Barat. Mereka menggembar-gemburkan ketakutan sendiri sedangkan hakikatnya sepanjang sejarah tiada kuasa Timur yang bercita-cita apatah lagi meluaskan wilayah taklukannya di Barat.

Cuma yang berjaya berbuat demikian ialah bangsa Mongol, itu pun ketika Eropah masih dalam Zaman Kegelapan.

Selain orang Mongol, Eropah juga pernah digegarkan dengan kuasa Turki Uthmaniyah dan orang Islam di Andalusia (Sepanyol dan Portugal). Bagaimanapun, ia bukanlah kuasa kerajaan Timur dalam erti sebenar-benarnya.

Kebimbangan Barat kepada China tidak berasas. Sepanjang sejarahnya, China tidak pernah meluaskan taklukannya melampaui empayarnya. Demikian juga dengan kerajaan lain di rantau sebelah Timur.

Sejarah membuktikan orang Timurlah yang menjadi mangsa kerakusan kuasa Barat dan bukan sebaliknya. Kembalinya Hong Kong dan Macau kke tangan China sewajarnya dijadikan iktibar kepada penduduk rantau Timur supaya mereka lebih berhati-hati dan tidak leka, kerana tersilap langkah mereka akan dipersenda sekali lagi.


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Tuesday, June 23, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 19: Cegah Hamil Belum Tentu Atasi Pembuangan Bayi

Ketika pergi dan balik kerja, saya melewati Hospital Melaka. Ada kalanya saya terkenang pengalaman menjaga seorang anak yang dimasukkan ke wad kanak-kanak hospital itu. Saya terpaksa bergilir-gilir dengan isteri menemani anak itu hampir seminggu lamanya.

Saya dapati layanan di wad kanak-kanak hospital itu memuaskan. Selain wad kanak-kanak, saya turut mengamati wad bersalin. Saya percaya perkhidmatan di wad berkenaan juga baik.

Bercakap mengenai wad bersalin ini, saya tertarik dengan satu laporan Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), baru-baru ini berhubung kehamilan.
UNFPA dalam laporannya itu mendakwa seorang wanita mati setiap minit di dunia berkaitan kehamilan kerana kurangnya pengawasan kesihatan pada tahap minimum.

Katanya, di sebalik usaha meningkatkan mutu dan memperbanyak kemudahan penjagaan kesihatan berkaitan kehamilan, wujud diskriminasi dan keganasan terhadap wanita yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kematian itu.

Pengarah Eksekutif UNFPA, Dr Nafis Sadik, berkata berdasarkan ini, kebanyakan wanita hari ini mempunyai anak yang kurang berbanding generasi ibu bapa mereka.

Beliau juga mendakwa jika wanita dan pasangan mereka diberikan hak lebih baik untuk membuat pilihan, akan wujud keluarga lebih kecil di seluruh dunia.

Ketua UNFPA itu mendakwa perkembangan ini akan membantu sesebuah negara itu mengusahakan keseimbangan antara penduduk dan sumber mereka.

Laporan UNFPA itu menyatakan disebabkan penduduk awam dinafikan hak mereka, kira-kira 585,000 wanita mati setiap tahun berhubung kes kehamilan. Ini bersamaan dengan satu kematian pada setiap minit.

Hampir semuanya berlaku di negara membangun - kebanyakannya di Sahara Kecil Afrika dan Asia Selatan, dakwa UNFPA.

Selain itu, katanya, jumlah wanita yang hilang keupayaan disebabkan kesan melahirkan anak adalah beberapa kali lebih tinggi daripada kes kematian berkaitan kehamilan.

UNFPA berkata jika wanita diberikan lebih banyak suara dan hak ke atas tubuh masing-masing, ia akan membantu mengekalkan penduduk dunia pada tahap sesuai.

Ketika ini ada 5.8 bilion penduduk di seluruh dunia dan anggaran bagi tahun 2025, berkisar daripada angka 7.7 bilion hingga 20 bilion orang.

UNFDA berkata penduduk dunia boleh dihadkan kepada lapan bilion orang pada 2025 jika semua pihak bekerja keras bagi melaksanakan segala program yang dirangkanya.

Dalam satu persidangan antarabangsa di Kaherah pada 1994, 180 negara bersetuju bahawa maklumat dan perkhidmatan kesihatan kehamilan sewajarnya boleh diperolehi oleh semua orang pada tahun 2015.

UNFPA bersetuju membelanjakan AS$17 bilion setahun menjelang tahun 2000 bagi meningkatkan penjagaan penjagaan kesihatan kehamilan tetapi belanjawan sekarang kurang daripada sasaran, terutamanya kerana negara maju tidak menunaikan tanggungjawab mereka.

Laporan UNFPA juga menyatakan kira-kira 200,000 ibu mati setiap tahun kerana kurang atau tiada langsung perkhidmatan dan bantuan pencegahan kehamilan.

Katanya, 150 juta wanita yang mahu menjarakkan tempoh kehamilan tidak mempunyai cara berbuat demikian.

UNFPA berkata kira-kira 75 juta kehamilan tidak dikehendaki dan ini menyumbangkan kepada 45 juta pengguguran.

Laporan itu juga menyatakan sejumlah 120 juta wanita melakukan amalan atau dipaksa merosakkan alat kelamin mereka (termasuk bersunat), manakala dua juta budak perempuan berusia lima hingga 15 tahun memasuki pasaran industri seks setiap tahun.

Laporan UNFPA yang mendedahkan penderitaan wanita hamil dan bersalin, bagaimanapun kurang disenangi sesetengah pihak. Ini kerana mereka berpendapat pihak terbabit mengambil kira perspektif sejagat secara umum tanpa menghiraukan faktor seperti keagamaan dan setempat.

Misalnya dalam isu membabitkan kehamilan tidak dikehendaki, adalah tidak munasabah pihak berkenaan menyediakan jalan keluar dengan memberi bantuan pencegahan kehamilan sewenang-wenangnya kepada sesuatu pasangan tanpa menyelidiki status mereka.

Kepada kita, isu kehamilan tidak dikehendaki ini amat menarik perhatian ketika kita semakin kerap digemparkan dengan berita pembuangan dan penderaan bayi dan kanak-kanak.

Adakah dengan berupayanya seseorang atau sesuatu pasangan itu, menghindari kehamilan tidak dikehendaki (dengan mudahnya mendapat alat pencegahan kehamilan), kita berupaya mengurangkan jumlah kes pembuangan dan penderaan bayi ini?

Jika jawapannya ya, mengapa pula isu ini turut hebat diperkatakan di negara Barat yang memberi peluang seluas-luasnya kepada rakyat masing-masing menggunakan alat dan kaedah pencegahan kehamilan sehingga tercetusnya idea penubuhan 'bank bayi' bagi menampung kanak-kanak terbuang?


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Monday, June 22, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 18: Fatahillah, Pembakar Semangat Perjuangan

Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Nyawa dan badan saya serahkan.

Demikian saya teringat serangkap pantun lama apabila terlihat sebuah papan tanda menyatakan Melaka bersiap sedia menyambut penubuhannya yang ke-600 tahun tidak lama dulu.

Ketika Melaka menyambut ulang tahunnya yang ke-600, kota raya Jakarta di Jawa pula merayakan ulang tahunnya yang ke-470 (pada tahun 1997). Jika kota Melaka roboh, dihancurkan oleh armada Portugis pada 1511, kota Jakarta pula didirikan selepas kejayaan rakyat tempatan mengusir Portugis pada 22 Jun 1527.

Sekalipun tiada hebahan di negara kita mengenai ulang tahun ke-470 kota Jakarta, peristiwa penubuhannya amat penting diketahui bagi menyemarakkan semangat perjuangan anak bangsa menghadapi kerakusan penjajah.

Kota Jakarta asalnya sebuah pelabuhan kecil di kuala Sungai Ciliwung dengan nama Sunda Kelapa yang masih wujud sampai sekarang.

Selepas menawan Melaka, Portugis meluaskan pengaruhnya di Nusantara termasuk membina sebuah kota di Sunda Kelapa pada 1522. Bagaimanapun, mereka tidak disenangi oleh penduduk tempatan dan selepas berlaku pertempuran hebat pada 1527, angkatan Portugis yang gagah perkasa itu akhirnya ditewaskan oleh angkatan perang seorang pemerintah Islam bernama Fatahillah.

Sempena kejayaan itu, Fatahillah menamakan kota itu Jayakarta, yang kemudian terkenal dengan nama Jakarta sehingga hari ini. Kisah Fatahillah ini sudah difilem dan ditayangkan di Indonesia dan Malaysia.

Ketika berada di Jakarta tidak lama dulu, saya sempat melawat pelabuhan Sunda Kelapa yang terletak di utara ibu kota Indonesia itu.

Pelabuhannya kecil tetapi sibuk. Ia dipenuhi tongkang dan kapal layar. Barangan utama yang diperdagangkan di sini ialah kayu-kayan yang diperolehi dari Sumatera dan Kalimantan. Kayu-kayan ini dieksport ke pelbagai negara seperti Jepun dan Korea Selatan.

Air di muara Sungai Ciliwung di mana terletaknya Sunda Kelapa ini kotor dan hanyir. Bagaimanapun, air sungai yang mengalir perlahan ini sebenarnya menyaksikan jatuh bangun anak bangsa di tangan penjajah - Portugis dan Belanda.

Kejayaan Fatahillah menewaskan Portugis adalah pembakar semangat kepada perjuangan anak watan. Ia membuktikan bahawa bangsa Asia adalah setaraf bangsa Eropah yang menjajah dan memporakperandakan kehidupan mereka.

Selepas beratus-ratus tahun dijajah, semua wilayah di rantau Asia sudah merdeka - ada melalui perang dan pertumpahan darah manakala sesetengahnya secara rundingan dan perjanjian.

Pada detik 12 tengah malam 30 Jun 1997, dunia menyaksikan satu peristiwa bersejarah, menandakan berakhirnya keangkuhan satu lagi bangsa Barat ke atas rantau Asia. Hong Kong akhirnya diserahkan kembali ke tangan China oleh penjajah British selepas menguasainya sejak 1842. British akhirnya terpaksa akur bahawa 'cahayanya di Timur sudah padam'.

Selain British yang terpaksa 'angkat kaki' dari rantau Timur, Portugis juga berbuat demikian apabila ia menyerahkan Macau kepada China pada 1999. Penyerahan Macau bermakna semua wilayah di rantau Asia bebas daripada cengkaman penjajah.

Sekalipun penjajahan Barat sudah lenyap dari bumi Asia, hakikatnya rantau ini masih terbelenggu dengan ideologi Barat. Negara Barat masih meneruskan penjajahan mereka di rantau ini - tetapi kini bukan dengan dasar pecah dan perintah tetapi dalam bentuk baru.

Penjajahan minda adalah antara contoh pendekatan baru dunia Barat. Sekalipun sudah bebas dari segi fizikal, masyarakat rantau ini terus disogokkan segala bentuk kehidupan Barat.

Jika dulu, China tewas kerana rakyatnya ketagihan candu yang dibawa oleh British, tidak memeranjatkan apabila negara di rantau Asia tewas sekali lagi jika penduduknya hanyut dibuai kelekaan yang didatangkan oleh Barat.

Seperti kepahlawanan Fatahillah yang menewaskan penjajah Portugis lebih 570 tahun lalu, kita mengharapkan kelahiran lebih ramai tokoh berwibawa sepertinya yang dapat menghancurkan penjajahan bentuk baru ini, seterusnya menyelamatkan rantau Asia daripada menanggung malu buat sekian kalinya.


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Friday, June 19, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 17: Kepentingan Ikatan Keluarga, Serantau, Sejagat

Baru-baru ini saya bercuti. Selain mengunjungi saudara-mara, saya sempat menganjurkan hari keluarga yang disertai ibu bapa dan keluarga adik beradik.

Matlamat utama pertemuan adalah untuk mengeratkan lagi ikatan persaudaraan. Melalui pertemuan itu, semua anggota keluarga diundang.

Pada saya, pertemuan sesama anggota keluarga amat penting. Ia boleh disamakan dengan amalan ziarah menziarahi yang amat digalakkan oleh agama.

Hari keluarga juga sudah menjadi amalan tahunan kebanyakan jabatan dan firma. Pada kesempatan itu, kakitangan berpeluang beramah mesra antara satu sama lain, termasuk keluarga masing-masing.

Jika pada hari lain, kakitangan terlalu sibuk melaksanakan tugas, pada hari keluarga mereka boleh melega atau bertukar-tukar fikiran, menikmati juadah serta mengambil bahagian dalam permainan yang disediakan.

Hari keluarga sesebuah firma atau keluarga itu membabitkan semua anggotanya - tanpa mengira pangkat, kedudukan, harta atau darjat seseorang itu. Jika sesebuah keluarga itu menganjurkan hari keluarga, hampir pasti semua anggotanya dijemput. Tidak timbul persoalan si polan tidak dijemput kerana dia jahat, sombong dan segala sikap negatif lain.

Demikian juga hari keluarga sesebuah jabatan atau firma. Tidak timbul persoalan, pekerja berkenaan tidak diundang kerana dia malas, kaki mengumpat, kaki ampu dan sebagainya.

Pendeknya dalam masyarakat kita, sejahat mana seseorang itu, dia masih diterima menyertai pertemuan yang dianjurkan keluarga ataupun firma tempat dia bekerja.

Selain menjadi anggota sesebuah keluarga, jabatan atau firma (tempat mencari rezeki), kita juga adalah rakyat negara ini manakala negara ini adalah anggota pelbagai pertubuhan serantau seperti Asean atau sejagat, misalnya Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) atau pun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Memandangkan Asean sudah menjadi tumpuan dunia, saya berusaha membincangkan keputusan pertubuhan ini menerima semua negara di Asia Tenggara sebagai anggotanya. Negara terakhir yang menjadi anggota Asean ialah Laos, Kemboja dan Myanmar.

Sama seperti sesebuah keluarga, Asean iaitu singkatan bagi 'Association of South East Asian Nations' (Pertubuhan Negara Asia Tenggara) juga mempunyai anggotanya.

Jika dilihat dari segi namanya saja, semua negara Asia Tenggara secara automatik adalah anggota Asean. Ini bermakna jika takrif ini diguna pakai, Myanmar, Laos dan Kemboja adalah juga anggota Asean. Oleh itu tidak timbul keraguan sama ada Myanmar, Laos dan Kemboja layak menyertai Asean seperti diheboh-hebohkan kerajaan dan media Barat.

Di Asia Tenggara ada 10 negara dan sewajarnya semuanya menjadi anggota Asean.
Sama seperti sesebuah keluarga atau firma yang kadang-kadang terdapat anggotanya yang bermasalah, pertubuhan serantau seperti Asean juga tidak terlepas daripada kemelut ini.

Jika sesebuah keluarga itu berkemungkinan besar tidak tergamak menyingkirkan anggotanya yang bermasalah, demikian juga dengan Asean. Jika ibu bapa adalah tempat berlindung dan bermanja seseorang anak itu, Asean adalah payung kepada semua negara Asia Tenggara.

Jika dalam sesebuah keluarga, ibu dan bapa akan menasihati anak yang menyeleweng, demikian juga peranan yang boleh dimainkan oleh Asean. Sekalipun terkenal dengan dasar tidak campur tangan dalam urusan negara anggota lain, Asean sebagai payung tentulah disegani oleh pihak terbabit.

Seseorang anak dalam sesebuah keluarga itu hampir pasti akan memberontak jika diasingkan, demikian juga masalah yang akan dihadapi oleh Asean jika ia enggan menerima negara bermasalah seperti Myanmar atau Kemboja sebagai anggotanya.

Saya berpendapat membaiki sesuatu keburukan dari dalam lebih berkesan daripada berada di luar. Seseorang anak itu berkemungkinan besar akan menerima nasihat ibu bapanya berbanding orang lain.

Peri laku rejim Myanmar yang dikatakan menindas orang Islam Rohingya, misalnya boleh diperbaiki sesudah Yangon menyertai Asean. Tidak lama dulu, ada pihak di negara kita seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), meminta kerajaan mengkaji semula kemasukan Myanmar dalam Asean kerana tindakannya yang kurang menyenangkan itu.

Saya berpendapat bantahan, tunjuk perasaan dan sebagainya tidak langsung membantu menyelesaikan masalah ini. Lebih baik kita merelakan kemasukan Myanmar dalam Asean dan selepas itu mengorak langkah membantu umat Islam di sana.

Hubungan baik antara negara kita dengan Myanmar sudah pasti sedikit sebanyak memberi manfaat kepada penduduk negara itu, termasuk orang Islam Rohingya. Ini kerana ada contoh membuktikan bahawa hubungan baik negara kita dengan negara lain, dapat dimanfaatkan oleh umat Islam.

Misalnya, jika dulu umat Islam Cham di Kemboja teraniaya, kini mereka semakin mendapat perhatian, termasuk bantuan yang mencurah-curah dari Malaysia. Malah, pembinaan masjid utama mereka juga dibiayai oleh pihak tertentu dari Malaysia.

Ini semua dapat dilakukan sesudah wujud hubungan erat antara Kuala Lumpur dan Phnom Penh.

Jika pada 1995 dulu, kemasukan Vietnam dalam Asean dikecam oleh media dan kerajaan Barat, hal yang sama berulang apabila keanggotaan Myanmar, Laos dan Kemboja disahkan.

Penyertaan Vietnam ternyata berupaya menyelesaikan pelbagai masalah termasuk isu orang hanyut yang sekian lama menjadi duri dalam daging negara serantau, oleh itu tiada sebab mengapa kemasukan Myanmar, Laos dan Kemboja perlu digembar-gemburkan hanya sebagai sikap angkuh Asean kononnya untuk mencabar kuasa besar Barat!


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Thursday, June 18, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 16: Remaja Perlu Ruang Lepas Geram

Masitah 60-an; Skin Head; Punk Oi!; Herman 'n' Baby; Angah 'n' Zurah; Angah 'n' Efy; Rafidah 'n' Ridzwan dan Mat 'luv' Timah - demikian antara contengan (graffiti) yang saya terbaca di bahagian belakang tempat duduk sebuah bas ketika dalam perjalanan ke pejabat.

Selain itu, ada kalanya saya ketemui gambar rajah dan perkataan yang terlalu lucah untuk dituliskan di sini.

Saya percaya graffiti itu dilakukan oleh anak-anak muda yang mahu meluahkan perasan masing-masing. Agak menghairankan kerana mereka tidak rasa bersalah melakukan perbuatan tidak senonoh itu.

Perbuatan merosakkan harta benda awam (vandalisme) nampaknya semakin lumrah di kalangan masyarakat kita. Kerusi bas, pondok telefon, balai raya malah tandas menjadi tempat untuk anak-anak muda melepaskan geram.

Menurut satu laporan tidak lama dulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menanggung kerugian RM10 juta pada tahun 1996 akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab merosakkan harta benda awam seperti lif dan kemudahan di taman rekreasi.

Berhubung perbuatan anak-anak muda melakukan graffiti, saya tertarik dengan laporan sebuah agensi asing tidak lama dulu yang menyatakan pihak berkuasa di negeri Brandenburg di Jerman, sanggup bersusah payah mengadakan satu festival graffiti bagi menampung keghairahan anak-anak muda menunjukkan bakat mereka di tembok.

Kos bagi mengadakan pesta yang dinamakan Festival Graffiti Eropah Pertama yang dikongsi bersama oleh kerajaan Brandenburg dan Kesatuan Eropah (EU) itu adalah sebanyak 40,000 mark Jerman (RM56,000).

Dalam pertandingan ini, belia dari Itali, Sweden, Ireland Utara, Belgium dan Jerman mengambil bahagian. Peserta dibenarkan menconteng tembok sesuka hati mereka. Dalam pertandingan itu ada yang menggunakan cat penyembur bagi memudahkan tugas.

Jika di negara Barat diadakan pertandingan khas untuk mereka yang tangannya sentiasa gatal, saya percaya ia juga boleh dibuat di sini. Ini bagi membolehkan remaja menyalurkan pemikiran kreatif secara sihat dan tidak mencuri-curi melakukannya dalam bas, tandas dan tempat awam lain.

Selain graffiti, ada penumpang bas melakukan perbuatan lebih biadap. Saya pernah terlihat kusyen tempat duduk bas yang ditoreh. Dinding bas juga dilakar dengan gambar rajah dan tulisan lucah.

Selain itu, kita juga sering menatap laporan mengenai tindakan samseng remaja seperti membakar pondok telefon dan harta awam lain.

Saya berpendapat perbuatan seperti ini tidak boleh dibiarkan berleluasa. Sewajarnya pihak berkuasa menghukum seberat-beratnya mereka yang melakukan perbuatan ini.

Di Singapura tidak lama dulu, heboh dengan kisah Michael Fay, seorang belia Amerika yang ditahan dan dikenakan hukuman sebat kerana merosakkan harta awam di republik itu.

Sekalipun pelbagai pihak di Amerika mengecam hukuman yang dikenakan pihak berkuasa Singapura, kerajaan negara pulau itu tidak berganjak.

Berdasarkan kisah Michael Fay ini, saya berpendapat mereka yang didapati bersalah merosakkan harta benda awam perlu dihukum seberat-beratnya.

Bagaimanapun, selain daripada mengenakan hukuman, kita perlu menyediakan ruang kepada anak-anak muda untuk melepaskan perasaan dan gian mereka.

Mungkinkah sesuai bagi kita mencontohi langkah pihak luar seperti mengadakan pertandingan graffiti di mana remaja boleh menunjukkan bakat terpendam mereka?


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Tuesday, June 16, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 15: Antara Mitos Masa Berkualiti Dan 'Super-mom'

Ketika dalam bas ke tempat kerja tidak lama dulu, saya terdengar satu pasangan suami isteri meleteri anak mereka yang agak saya dalam usia lima tahun supaya berhenti menangis.

"Diamlah!" kata si bapa. Kanak-kanak itu bukan diam, sebaliknya menangis lebih kuat lagi. Mungkin kerana bimbang penumpang lain akan terganggu, si bapa meninggikan lagi suaranya.

"Aku kata diam, diamlah. Tadi suruh tinggal kat rumah, tak nak."

Penumpang lain buat-buat tidak nampak 'drama' itu. Mungkin mereka berpendapat tidak berfaedah untuk menjaga tepi kain orang lain. Biarlah pasangan itu menyelesaikan sendiri masalah mereka.

Saya memasang telinga saja. Sebagai bapa beberapa orang anak kecil, saya faham benar tingkah-laku anak-anak. Ada kalanya mereka mengada-ngada secara berlebihan.

Itu tidak kena, ini tidak kena. Pendeknya, mereka benar-benar menguji kesabaran kita. Sekali-sekala kesabaran kita hilang dan tanpa disedari tangan kita sudah hinggap di batang tubuh si anak.

Saya percaya kelakukan si anak yang berlebih-lebihan termasuk tidak mengikut kata, adalah antara faktor yang menyebabkan ada ibu bapa atau orang dewasa lain tergamak mendera kanak-kanak.

Bagaimanapun, jarang benar kita bertanya mengapa anak-anak kita itu tidak mengikut kata atau dengan menggunakan bahasa kasar 'degil'.

Berhubung perkara ini saya tertarik dengan sebuah rencana dalam majalah Newsweek bertarikh 19 Mei 1997 dengan tajuk 'The Myth of Quality Time' (Mitos Mengenai Masa Berkualiti).

Rencana ini mempersoalkan sikap ibu bapa bekerjaya yang berpendapat mereka boleh membentuk anak masing-masing dalam ruang waktu singkat, di luar masa bekerja, jika mereka memanfaatkan waktu itu sepenuhnya.

Misalnya, jika seseorang ibu dan ayah itu bekerja hingga jam 5 petang dan sampai ke rumah jam 7 petang, masanya untuk berinteraksi dengan anak ialah antara selepas 7 petang hinggalah waktu tidur. Masa singkat yang dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengambil tahu hal anak-anak inilah yang dinamakan masa berkualiti.

Bagaimanapun, kini semakin ramai ibu bapa sedar dan mula mempersoalkan sama ada masa berkualiti yang diperuntukkan kepada anak-anak itu mencukupi.

Ramai ibu bapa di Amerika Syarikat meragui masa yang dikhaskan kepada anak-anak boleh ditetapkan pada satu ruang waktu singkat sama seperti temu janji perniagaan yang memakan waktu singkat dengan si pelanggan yang jelas menunjukkan minat.

Sehubungan itu, tidak menghairankan semakin ramai ahli psikologi dan pendidik mahu menghapuskan sama sekali pandangan mengenai masa berkualiti itu.

Seorang pakar psikologi di Sekolah Perubatan Harvard, Ronald Revant, berpendapat masa berkualiti itu adalah satu cara untuk menyedapkan hati kita berhubung kurangnya tumpuan dan kasih sayang yang diberikan kepada anak-anak.

"Kanak-kanak perlulan tumpuan dan perhatian hampir sepanjang waktu. Adalah satu khayalan untuk berpendapat mereka boleh menepati jadual waktu anda dan anda boleh berkata: "Baiklah, kita ada masa setengah jam, apa masalah sayang?"

Jika di Amerika ibu bapa mulai bimbang mengenai nasib anak masing-masing, di Malaysia sesetengah ibu bapa mempunyai sikap sebaliknya.

Saya selalu terbaca ada ibu dengan bangganya berkata bukannya berapa banyak waktu yang mereka dapat bersama anak-anak yang penting, tetapi bagaimana mereka memanfaatkannya.

Ada yang mendakwa mereka 'super mother' (super-mom), yang boleh berjaya di pejabat dan di rumah. Pendeknya, mereka percaya pada masa berkualiti itu.

Mereka percaya anak-anak dapat dididik dan sedia untuk mengikut kata sekalipun waktu interaksi si anak dengan ayah atau ibu singkat sekali.

Selain itu ada ibu bapa mendabik dada, mendakwa mereka boleh memberi perhatian sepenuhnya pada si anak pada hari minggu. Mereka tidak pula bertanya pada waktu mereka bertungkus-lumus di pejabat, dengan siapa anak mereka berinteraksi.

"Salah satu fungsi ibu bapa ialah mengawas. Anda mengawas kerja rumah mereka, rakan mereka dan apa yang mereka lakukan pada waktu lapang," kata Jeanne Brooks-Gunn, seorang pakar psikologi di Universiti Columbia.

Bagi ibu bapa yang sayangkan anak dan kerjaya mereka, ada sebuah buku bertajuk 'The Times Bind' oleh Arlie Hochschild, yang diterbitkan di Amerika, bagi menyedarkan mereka.

Pendedahan Hochschild yang paling kurang menyenangkan ialah bahawa kita sebenarnya bersubahat dalam menafikan hak anak-anak kita.

Masalah tiada perhatian kepada anak-anak inilah yang menyumbangkan kepada gejala sosial yang diperkatakan sekarang. Pakar psikologi dan pendidik Amerika berkata masalah disiplin dan pelajar melakukan gangguan di kelas semakin menjadi-jadi.

Pakar ini berpendapat ibu bapa tidak lagi meluangkan waktu yang cukup untuk anak-anak mereka. Kebanyakan ibu bapa pula sebenarnya sudah letih apabila pulang daripada kerja bagi memberi perhatian kepada anak-anak mereka.

Laporan Newsweek mengenai masa berkualiti itu juga memetik kekesalan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datin Paduka Zaleha Ismail (kini bekas Menteri), di bawah tajuk 'Suffering In Silence' bahawa ibu bapa yang keluar rumah menyuruh pembantu rumah mendukung anak mereka atau membawa botol susunya.

Katanya, jika ini berterusan ikatan antara ibu bapa dengan anak-anak akan hilang buat selama-lamanya.

Apabila disebut nama Zaleha, teringat saya satu laporan tidak lama dulu yang memetik beliau sebagai berkata pendapatan seorang suri rumah sepenuh masa, jika ditaksirkan adalah antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

Jika ada pihak yang sanggup membayar suri rumah sepenuh masa ini, saya berpendapat adalah lebih baik untuk ibu-ibu terus berada di rumah supaya dapat mendidik anak mereka sepenuh masa.

Bagaimanapun, masalahnya, pihak mana atau siapa mahu membayar suri rumah berkenaan?


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Monday, June 15, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 14: Berjumpa, Bermesra, Berpisah Adat Manusia

Saya rasa kurang selesa menaiki bas ketika pulang pada hari Ahad malam Isnin. Ini kerana bas sentiasa penuh, menyebabkan saya tidak dapat bersandar atau tidur sesuka hati.

Melalui pengamatan dan perbualan dengan penumpang, akhirnya saya memahami mengapa bas penuh pada malam berkenaan.

Ini kerana sebahagian penumpang adalah pekerja di Melaka. Mereka perlu balik pada malam itu untuk bertugas pada keesokan harinya.

Penumpang berkenaan pulang selepas menghabiskan cuti hujung minggu di Kuala Lumpur, sama ada bersama-sama isteri, suami atau pun keluarga masing-masing.

Senario ini menunjukkan bahawa sebahagian daripada anggota sesebuah keluarga di negara kita hidup berasingan. Misalnya, ada suami yang tinggal dan bekerja di Ipoh sedangkan isterinya menetap dan bertugas di Kuala Lumpur.

Hidup berasingan atau terpisah daripada orang yang dikasihi bukanlah suatu perkara baru atau luar biasa. Ia dialami oleh hampir setiap orang, tanpa mengira kedudukan, bangsa, agama atau negara.

Berhubung perkara ini, saya tertarik dengan satu laporan berita luar negara mengenai kisah keluarga Presiden (kini bekas Presiden) Amerika Syarikat, Bill Clinton pada 1997.

Clinton dan isterinya, Hillary, ketika itu terpaksa akur bahawa anak tunggal mereka, Chelsea sudah besar panjang. Chelsea tidak dapat berterusan hidup di bawah ketiak mereka.

Perpisahan dalam keluarga Clinton tidak dapat dielakkan selepas Chelsea (ketika itu berusia 17 tahun), membuat pilihan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Stanford yang terletak di Palo Alto, California.

Sebagai anak dara tunggal mereka, tentulah Clinton dan Hillary risau. Lebih-lebih lagi Chelsea berada lebih 3,000 kilometer dari kediaman presiden (Rumah Putih) yang terletak di Washington D.C.

Hillary yang pernah melawak bahawa dia mahu menjadi teman sebilik Chelsea di kolej, tentulah sedih dengan perpisahan itu. Dia mati-matian mahukan anaknya melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Washington.

Bagaimanapun, Clinton cuba menyembunyikan perasaannya dengan berkata: "Tak mengapa, ada kapal terbang ke sana. Ada hubungan telefon ke sana. Kita juga boleh menghantar e-mail. Jadi tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan."

Jika dalam kes keluarga Clinton ini, perpisahan berlaku disebabkan cita-cita si anak di bidang pelajaran, banyak lagi faktor menyebabkan anggota sesebuah keluarga terpaksa berpisah atau hidup berasingan.

Saya percaya penyebab utama perpisahan ketika ini ialah perang dan konflik yang melanda banyak kawasan dunia.

Misalnya, perang selama tiga setengah tahun di Bosnia, menyebabkan lebih dua juta penduduk negara itu menjadi pelarian, malah ada daripadanya terpaksa mendapatkan perlindungan di negara kita yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya.

Demikian juga dengan keganasan Russia di Chechnya ataupun pemberontakan di Zaire yang sampai ke kemuncaknya apabila pemimpin pemberontak, Laurent Kabila siap sedia memasuki Kinshasa dan menggulingkan Presiden Mobutu Sese Seko.

Sudah pasti dalam usaha menyelamatkan diri ketika puak bermusuhan bertempur, ada suami terpisah daripada isteri masing-masing, anak terpisah daripada ibu bapa dan sebagainya.

Malah ribuan orang mati dalam konflik yang seolah-olah tiada kesudahan ini.
Tragedi alam juga boleh menyebabkan perpisahan. Perpisahan akibat bencana ini mengharukan kerana ia membabitkan perasaan mangsa terselamat terhadap yang terbunuh.

Di Iran misalnya, gempa bumi yang melanda timur negara itu pada 1997 dan menyebabkan hampir 2,000 orang terkorban, sudah pasti meninggalkan kesan mendalam dan berkekalan di hati penduduknya.

Dalam tragedi itu, ada anak kehilangan ibu atau bapa, ada bapa kehilangan anak, ada isteri kehilangan suami, ada suami kehilangan isteri dan ada orang kehilangan kekasihnya.

Demikianlah perpisahan tidak dapat dielakkan. Setiap orang pasti menempuhnya, sama ada perpisahan sementara waktu atau buat selama-lamanya. Kata orang berjumpa, bermesra dan kemudian berpisah adalah adat manusia.


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Friday, June 12, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 13: 'Kondomisasi' Penawar Aids?

Dalam perjalanan pulang pada suatu malam, saya singgah di sebuah kedai 24 jam. Di kaunter bayaran, saya terlihat satu rak penuh dengan kondom pelbagai jenama.

Segera terlintas di fikiran saya mengenai bantahan sesetengah pihak di negara kita mengenai keburukan penjualan kondom secara terbuka.

Ada yang berpendapat apabila kondom mudah diperolehi, terutama di kalangan generasi muda, ia boleh menyumbangkan kepada gejala sosial yang kini hebat diperkatakan.

Pihak berkenaan mendesak kerajaan mengharamkan penjualan kondom secara terbuka kerana berpendapat jika alat pencegahan kehamilan itu tidak dikawal penggunaannya, ia akan menjerumuskan masyarakat ke jurang kehancuran.

Sama seperti sesetengah masyarakat Malaysia yang meragui penggunaan kondom sebagai kaedah berkesan dalam menangani Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (Aids), sentimen itu dikongsi oleh masyarakat negara jiran.

Di Indonesia misalnya, sekalipun ketika ini hebat diperkatakan mengenai 'kondomisasi', ia tidak dapat diterima oleh masyarakat dan kerajaan.

Apakah makna 'kondomisasi' itu? Ia bermaksud kempen menggalakkan penggunaan kondom secara besar-besaran di kalangan masyarakat.

Sebenarnya perkataan 'kondomisasi' itu tiada dalam kamus bahasa Indonesia. Demikian juga halnya dalam kamus bahasa Melayu.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, perkataan ini mula digunakan secara meluas oleh pihak tertentu di sana.

'Kondomisasi' kini kerap muncul dalam perbahasan berhubung program pencegahan 'Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan Aids di negara jiran itu.

Sekalipun masyarakat disogokkan dengan 'kondomisasi', kerajaan Indonesia berpendirian bahawa kempen menggalakkan penggunaan kondom tidak akan diadakan di Indonesia. Pendeknya, 'kondomisasi' adalah sesuatu yang pantang dalam masyarakat negara itu.

Pihak berkuasa Singapura juga tidak membesar-besarkan penggunaan kondom sebagai kaedah paling berkesan bagi mengawal Aids.

Kementerian Kesihatan Singapura tidak lama dulu mengeluarkan nasihat meminta penduduk negara itu setia kepada suami atau isteri masing-masing bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti HIV.

"Kementerian mahu menekankan bahawa satu-satunya kaedah bagi mengelakkan Aids ialah setia kepada pasangan masing-masing dan mengelak daripada melakukan hubungan seks rambang atau dengan pelacur," katanya.


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Thursday, June 11, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 12: Seronok Cari Penyakit, Tempah Maut

Semakin dilarang, semakin tinggi kemahuan seseorang itu untuk melakukannya. Tanda atau notis seperti 'Dilarang Merokok Di Sini', 'Merokok Membahayakan Kesihatan', 'Dilarang Melintas Di Sini' dan 'Judi Adalah Haram Di Sisi Agama Islam', nampaknya tidak menakutkan sesetengah orang. Malah, mungkin ada yang rasa bangga kerana dapat melakukannya.

Ketika dalam perjalanan pulang baru-baru ini, saya perasan ada sekumpulan pemuda mencuri-curi menghisap rokok di bahagian belakang bas ekspres.

Bau dan asap rokok dalam bas ekspres berhawa dingin tentulah tidak ke mana-mana. Ia berlegar-legar dalam bas, menyebabkan pembantu pemandu bas bingkas bangun dan segera ke belakang.

Bagaimanapun pemuda berkenaan bertindak pantas. Saya tidak tahu bagaimana mereka membuang puntung rokok dengan begitu pantas sehingga pembantu itu gagal menemui bukti kukuh bahawa mereka menghisap rokok. Mungkinkah mereka menelan rokok itu?
Selepas gagal menangkap pemuda terbabit, pembantu pemandu bas itu meluahkan kemarahannya.

"Kau orang hisaplah lagi! Kalau aku dapat tangkap kau, aku suruh kau turun di 'highway'. Biar kau orang jalan kaki dalam gelap tu!"

Saya hanya mendiamkan diri. Kejadian ini tidak membabitkan saya, oleh itu saya tidak mahu cari pasal. Bagaimanapun saya tertarik untuk membicarakan isu berkaitan keburukan merokok selepas terbaca beberapa laporan luar negara mengenainya.

Menurut beberapa penyelidikan, merokok dan penggunaan tembakau dalam sebarang bentuk dihubungkaitkan secara langsung dengan barah. Secara keseluruhannya, merokok menyebabkan 30 peratus daripada semua kematian berkaitan barah.

Risiko mengalami barah paru-paru adalah 10 kali ganda lebih tinggi di kalangan perokok berbanding bukan perokok.

Kadar risiko daripada merokok bergantung kepada jumlah dan jenis rokok yang anda hisap, berapa lama anda sudah merokok, dan berapa dalam anda menyedut asap rokok itu.
Perokok juga lebih berkemungkinan besar menghidap barah mulut, kerongkong, tenggorok, pankreas dan buah pinggang. Kini bukti semakin kukuh menunjukkan merokok boleh menyebabkan kanser perut dan pangkal rahim.

Penggunaan tembakau 'tanpa asap' (mengunyah atau menyedut serbuk tembakau), meningkatkan risiko barah mulut dan tekak. Sebaik saja anda berhenti merokok atau menggunakan tembakau tanpa asap, risiko anda menghidap kanser berkurangan masa itu juga.

Sekalipun menyedari kesan buruk akibat merokok, masyarakat negara kita belum lagi sampai ke tahap meminta firma rokok membiayai kos rawatan bagi penyakit berkaitan.

Hal ini berlainan sekali di negara maju, terutama Amerika Syarikat. Tidak lama dulu, lima senator Demokrat Amerika Syarikat meminta Peguam Negara, Janet Reno memfailkan saman terhadap beberapa firma pengeluar rokok bagi membayar ganti rugi kos kerajaan persekutuan merawat penyakit berkaitan merokok.

Dalam sepucuk surat kepada Reno, senator berkenaan menganggarkan kerajaan membelanjakan kira-kira AS$20 bilion setahun melalui Medicare, Medicaid dan lain-lain program kesihatan persekutuan berkaitan belanjawan yang berhubung-kait dengan tembakau.

Mereka mendesak Reno menyertai 23 peguam kerajaan negeri yang sudah mengemukakan saman terhadap firma tembakau bagi menampung sendiri kos bagi merawat penyakit seumpama itu.

"Kami menulis kepada anda mendesak anda mengikuti langkah 23 peguam kerajaan negeri dalam usaha mereka mendapatkan ganti rugi kira-kira AS$20 bilion dalam kos rawatan kesihatan berkaitan tembakau yang terpaksa ditanggung oleh pembayar cukai persekutuan setiap tahun," menurut surat itu.

"Kerajaan sewajarnya tidak melepaskan peluang ini untuk memaksa idustri tembakau membayar ganti rugi kerana menjejaskan kesihatan dan masa depan rakyat Amerika," kata Senator Tom Harkin, seorang tokoh Demokrat dai Iowa.

Berdasarkan tekanan ini, firma rokok gergasi giat mengatur strategi bagi menghadapi kemungkinan dipaksa membayar ganti rugi itu. Menurut laporan, pengeluar rokok akan 'bersandar' kepada perokok bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Sehubungan itu, firma tembakau tidak akan teragak-agak menaikkan harga rokok. Penganalisis menganggarkan harga rokok akan meningkat antara AS$0.40 hingga US$0.50 sekotak di Amerika dalam tempoh terdekat.

Berdasarkan laporan mengenai keburukan merokok dan harganya yang terus meningkat, saya percaya tiada apa-apa kebaikan untuk seseorang itu merokok.

Bagaimanapun, agak menghairankan mengapa semakin ramai orang, berterusan merokok. Mungkinkah tanda amaran 'Merokok Membahayakan Kesihatan' itu dianggap satu cabaran untuk orang merokok?


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Monday, June 8, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 11: Merasai Korban Kemajuan Ketika Aidiladha

Perjalanan pulang pada malam Aidiladha (Hari Raya Korban) pada malam hari tahun 1997 meresahkan saya. Saya terasa rimas sekalipun penghawa dingin bas dipasang pada tahap maksimum.

Ini kerana bas yang saya naiki terperangkap dalam kesesakan ribuan kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan dari pusat bandar raya Kuala Lumpur hingga susur keluar Seremban.

Saya ingatkan kesesakan berlaku pada waktu petang dan awal malam tetapi rupa-rupanya ia berlarutan hingga pagi Aidiladha.

Berdasarkan kesesakan kenderaan di lebuh raya, saya mengandaikan Kuala Lumpur melalui terlalu banyak perubahan dalam tempoh terdekat ini. Jumlah penduduknya meningkat dengan pantas dan ini secara langsung menyumbangkan kepada jumlah kenderaan yang semakin banyak.

Kemajuan kota Kuala Lumpur khasnya, dan Malaysia amnya amat pesat sehingga kadang-kadang kita terasa sudah ketinggalan kerana tidak berupaya mengikuti arus yang dinamakan pemodenan ini.

Sekalipun Kuala Lumpur yang kini didiami 1.2 juta penduduk, mengalami perubahan mendadak, masalah yang dihadapinya belum seburuk beberapa kota raya Asia lain.

Kuala Lumpur yang kita katakan sesak sekarang, sebenarnya masih terlalu kerdil untuk dibandingkan dengan kota negara Asia lain.

Menurut laporan Bank Pembangunan Asia (ADB) tidak lama dulu, ada sembilan bandar raya mega (penduduk lebih 10 juta orang) di Asia sekarang.

Bandar raya itu ialah Beijing, Mumbai (Bombay), Calcutta, Jakarta, Osaka, Seoul, Shanghai, Tianjin dan Tokyo.

ADB melaporkan jumlah bandar raya mega di Asia akan bertambah lebih dua kali ganda kepada 20 buah menjelang tahun 2025.

Katanya, Bangkok, Dhaka, Karachi dan Manila akan menyertai senarai bandar raya mega tidak lama lagi. Ia akan diikiti bandar raya Bangalore, Hyderabad, Lahore, Chenai (Madras), New Delhi, Shenyang dan Yangon.

Pertambahan penduduk bandar raya di Asia membawa bersamanya pelbagai masalah seperti kesesakan dan peningkatan kejadian jenayah.

ADB berkata faktor utama peningkatan penduduk kota ini bukan berpunca daripada kelahiran, sebaliknya penghijrahan penduduk dari kawasan luar bandar.

Sejak 30 tahun lalu, jumlah penduduk bandar di Asia meningkat hampir tiga kali ganda kepada 1.1 bilion orang sekarang berbanding 400 juta ketika itu. Pada tahun 2025 pula, dianggarkan 2.5 bilion penduduk Asia tinggal di bandar.

Menurut laporan ADB, dilema besar yang melanda perbandaran Asia ialah cara menggunakan sumber secukupnya bagi memastikan mutu hidup yang sewajar dan berkekalan di bandar raya yang sesak itu.

Ia menganggarkan bahawa sebanyak AS$20 bilion hingga AS$40 bilion, akan diperlukan setiap tahun dalam dekad ini bagi membekalkan perkhidmatan yang mencukupi di semua bandar raya besar di Asia.

"Sukar untuk meramalkan apa akan berlaku jika timbul masalah dari segi membiayai pertumbuhan dan pengurusan bandar raya mega," lapor ADB.

Bagi kita di Kuala Lumpur, kesesakan di jalan raya adalah antara pengorbanan yang terpaksa dibayar bagi mengejar kemajuan. Kita terpaksa mengorbankan keselesaan (buat sementara waktu?) bagi membolehkan projek raksasa seperti sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel jajar Kuala Lumpur dibangunkan.

Tidak lama dulu, kita mungkin rasa selesa kerana kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur tidaklah seburuk kota Jakarta atau Bangkok.

Bagaimanapun, ia tinggal sejarah kerana ketika ini kesesakan Kuala Lumpur hampir menyamai dua kota besar Asean ini.

Menurut anggaran 1994, jumlah kenderaan setiap kilometer jalan raya di Kuala Lumpur ialah 620 buah, berbanding 695 buah di Bangkok dan 840 buah di Jakarta. Bagi Hong Kong pula ialah 266 buah manakala Singapura 214 buah.

Ketika ini pelbagai pendekatan dikemukakan bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur. Antaranya ialah meminta penduduk kota menggunakan perkhidmatan kenderaan awam, mengurangkan petak letak kereta dan terbaru menggalakkan penggunaan motosikal dan basikal.

Semua kaedah ini mempunyai kebaikan dan keburukannya. Bagi pihak berkuasa adalah mudah untuk mengemukakan sesuatu syor tetapi yang terpaksa mengharunginya adalah rakyat, terutama yang berpendapatan rendah.

Berhubung perkara ini, kita tertanya-tanya apa kesudahan kempen berkongsi kereta yang diheboh-hebohkan tidak lama dulu? Adakah ini bermakna sesetengah daripada kita hanya bijak membuat perancangan dan selepas itu lepas tangan?


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Saturday, June 6, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 10: Gejala Sosial: Cakap Biar Serupa Bikin

Seperti biasa, sebaik saja menaiki bas untuk perjalanan pulang malam itu, saya cuba melelapkan mata bagi merehatkan diri selepas seharian berada di pejabat.

Baru saja mata mahu terlelap, satu suara nyaring mengejutkan saya.

"Hah! Buat apa tu?" terdengar suara dari bahagian depan bas. Rupa-rupanya pemandu bas 'mengamuk' kerana terlihat sepasang teruna dara bercengkerama melalui cermin di atas kepalanya.

"Mahu 'buat projek' pun, tunggulah sampai rumah!" laung pemandu bas. Dia terus-terusan 'menyembur' pasangan itu yang saya liat membatukan diri.

Saya mengaggak tentulah pasangan ini bukan suami-isteri. Sebabnya, jarang suami-isteri mempamerkan 'keintiman' di khalayak ramai. Yang 'membuat perkara tidak senonoh' seperti itu biasanya pasangan yang belum ada ikatan sah.

Pasangan ini menjadikan tempat awam seperti dalam bas, pawagam atau pun taman bunga melepaskan geram. Kebanyakan pasangan ini tidak menghiraukan orang ramai - mereka hanyut dalam dunia ciptaan sendiri.

Gelagat teruna-dara berasmara di khalayak ramai bukanlah sesuatu yang asing di negara kita. Tetapi. Kini mereka semakin berani - ada yang berpeluk-pelukan dan tidak kurang yang berkucupan - tanpa mempedulikan orang sekeliling.

Menurut laporan agensi berita asing, gelagat teruna dara Asia kini hampir menyamai apa yang berlaku di dunia Barat.

Di Singapura aksi pasangan teruna-dara berpeluk cium di khalayak ramai termasuk kenderaan awam seperti MRT (Mass Rapit Transit) semakin menjadi-jadi. Demikian juga di kota besar lain seperti Bangkok, Manila atau Tokyo.

Gejala sosial ini bukan lagi terhad di dunia Barat tetapi sudah menular di negara sebelah Timur yang selama ini bangga dengan sikap taksub kepada budaya masing-masing.

Perunding Kanan Jabatan Perubatan Pembiakan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kandang Kerbau (KK) Singapura, V Aputharajah baru-baru ini menjelaskan sekurang-kurangnya seorang daripada lima gadis belasan tahun Singapura akan hilang dara menjelang usia 19 tahun, bagi membuktikan betapa seriusnya gejala sosial di negara pulau itu.

"Kebanyakan wanita Amerika pula hilang kegadisan mereka menjelang usia 16 tahun manakala gadis Perancis dan British dalam usia 17 tahun," kata Aputharajah yang menulis buku bertajuk 'Sexual Behaviour of Women in Singapore' (Tingkahlaku Seksual Wanita di Singapura).

Dr Lim Su Min, sukarelawan dari Persatuan Keibubapaan Terancang Singapura, pula berkata pasangan muda kini lebih berani dalam perkara berkaitan seks.

Ketua-dua petugas perubatan Singapura ini mengakui kombinasi sikap liberal, pengaruh Barat, kurangnya kawalan ibu bapa ke atas anak dan bertambah mudahnya mendapat alat perancang, menyumbang kepada sikap lebih terbuka pasangan muda-mudi terhadap seks.

Kelakuan lucah pasangan muda-mudi sekarang tidak sukar difahami. Ini kerana mereka sentiasa terdedah kepada perlakuan tidak senonoh itu. Misalnya, dalam bas ekspres pun mereka boleh menyaksikannya.

Sebahagian bas ekspres menayangkan video bagi memikat penumpang. Ada antara filem yang ditayangkan berunsur lucah atau sekurang-kurangnya mengandungi 'adegan panas'.

Adegan berkucup bukan saja terdapat dalam filem Inggeris tetapi juga filem Hindustan, Cina dan Indonesia.

Maka semua penumpang bas itu - tidak kira budak hingusan, wanita atau orang tua yang kata orang 'rumah kata pergi, kubur kata mari' - berpeluang menontonnya.

Kebelakangan ini pelbagai hujah diketengahkan berhubung keruntuhan akhlak muda-mudi.

Ada pihak menyalahkan media massa terutamanya televisyen. Kini dengan penyebaran maklumat tanpa batasan seperti Internet, bertambah mudahlah pengaruh luar, sama ada yang baik atau buruk meresapi masyarakat.

Sebahagian besar iklan dan program jualan langsung melalui televisyen dilihat sebagai negatif dan menyumbangkan kepada peningkatan gejala sosial di kalangan muda-mudi. Malah ada daripadanya sudah keterlaluan yang saya percaya tidak perlu menunggu lama untuk 'melihat akibatnya'.

Tidak lama dulu, ketika bersiap-siap ke masjid untuk solat Jumaat (kira-kira jam 1 tengah hari), saya terpegun melihat satu rancangan jualan langsung di televisyen membabitkan barangan untuk wanita.

Saya 'mencuri-curi' melihat aksi peragawati di kaca televisyen kerana isteri saya turut menonton. Saya lihat pengacara rancangan itu menunjukkan alat dan kaedah membesarkan buah dada.

Selepas itu, ditunjukkan barisan peragawati yang mempamerkan sebahagian buah dada mereka, sebelum dan selepas menggunakan alat itu. Juga ditunjukkan aksi peragawati berkenaan menanggalkan baju luar masing-masing perlahan-lahan bagi mendedahkan kemontokan buah dada masing-masing, sekali gus membuktikan keberkesanan alat itu.

Saya hairan bagaimana bagaimana rancangan ini boleh disiarkan untuk tatapan umum, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang siap sedia menuju masjid untuk solat Jumaat.

Saya berpendapat agak malang untuk kita bercakap mengenai gejala sosial sedangkan pada masa yang sama minda masyarakat terutama anak muda kita diracuni dengan rancangan seperti ini.

Tidak malukah nanti jika kita diibaratkan bagai ketam cuba mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan ia sendiri berjalan senget?


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Friday, June 5, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 9: Siakap, Senohong, Gelama Dan Duri...

Kata orang malang tidak berbau. Kemalangan, termasuk di jalan raya boleh berlaku bila-bila masa tanpa diduga.

Beberapa hari menjelang Aidilfitri lalu (1997), saya terbabit dalam satu kemalangan jalan raya.

Ketika dalam perjalanan pulang, kenderaan yang saya naiki dilanggar oleh sebuah bas yang gagal berhenti di sebuah persimpangan jalan.

Saya bernasib baik kerana tidak cedera tetapi kenderaan saya rosak sedikit. Saya menemui pemandu bas itu, memintanya membayar ganti rugi.

Saya hanya mahukan dia membayar kos membaiki kenderaan itu berdasarkan bil yang dikeluarkan oleh pihak bengkel.

Pemandu bas itu bersetuju. Apabila kenderaan itu siap dibaiki, saya pun menyerah bil padanya.

Jumlahnya tidak banyak, tetapi pemandu bas itu merayu supaya ditangguhkan pembayarannya. Dia berjanji membayarnya pada akhir bulan.

Saya tidak mendesaknya menyegerakan pembayaran. Saya faham gaji pemandu bas tidak sebanyak mana dan dia mungkin menghadapi masalah kewangan.

Sudah pasti dia memerlukan wang lebih daripada biasa bagi menyambut Aidilfitri, lebih-lebih lagi jika sudah berkeluarga dan mempunyai ramai anak.

Malangnya, pemandu itu tidak menunaikan janjinya. Malah, kelibatnya tidak lagi saya lihat.

Dia juga tidak menghubungi saya sedangkan nombor telefon sudah diberi. Pemandu ini tidak amanah. Ringkasnya, dalam bahasa kasar, dia seorang pembohong.

Berhubung perkara ini, saya tertarik dengan satu laporan agensi berita dari London baru-baru ini yang menyebut setiap orang secara puratanya, berbohong sekali setiap lapan minit atau 200 kali sehari.

Menurut laporan itu, satu kajian ke atas 200 orang yang dipasang dengan mikrofon di Southern California University, mendapati pembohong paling besar adalah mereka yang paling banyak membuang hubungan sosial atau yang terpaksa membuat tuntutan terhadap orang lain, seperti mendapatkan maklumat.

Antara jawapan yang disenaraikan adalah pembantu kedai, penyambut pesakit doktor, ahli politik, wartawan, peguam, wakil jualan dan ahli psikologi.

"Biasanya kita bercakap mengenai penipuan kecil, tetapi pada hakikatnya ia tetap penipuan," kata ahli psikologi, Jerald Jellison, yang mengendalikan penyelidikan itu.

"Satu komen biasa ialah 'sebenarnya saya sebenarnya tidak mahu mengganggu awak', sedangkan pada hakikatnya mereka tidak pedulikan semua itu.

"Seseorang itu mungkin menyalahkan lalu-lintas jika tiba lewat, sedangkan dia sendiri tidak berusaha untuk sampai tepat pada waktunya," kata Jellison.

Bagaimanapun ahli psikologi itu merestui perbuatan menipu dengan alasan ia penting bagi memastikan kelancaran fungsi masyarakat yang normal.

Sebagaimana manusia biasa, kita tidak terlepas daripada berbohong. Kebanyakan daripada kita dapat memaafkan kesalahan berbohong dalam perkara kecil dan dilakukan sekali-sekala, tetapi ia kerap dilakukan dan membabitkan sesuatu yang penting, orang yang melakukannya sengaja menempah bala.

Kita mungkin biasa dengan istilah 'putar alam' atau 'kaki belit'. Ia merujuk kepada orang yang suka berbohong. Selalunya ia membabitkan soal wang.

Saya juga pernah terperangkap dengan 'permainan' si putar alam ini. Biasanya dia meminta kita meminjamkan sejumlah wang dengan janji akan membayar secepat mungkin.

Bagaimanapun, pada tarikh ditetapkan dia minta tangguh. Dia berterusan meminta tangguh sehingga kita pula malu dan bosan untuk meminta dia jelaskan hutang itu. Akhirnya 'si putar alam; itu menghaibkan diri.

Kanak-kanak pun tidak terlepas daripada sindrom bohong ini. Adalah biasa bagi seseorang murid menyatakan dia sakit perut sedangkan pada hakikatnya dia tidak mahu ke sekolah.

Sekalipun berbohong tidak disenaraikan antara gejala keruntuhan akhlak yang hebat diperkatakan sekarang, hakikatnya ia adalah permulaan kepada perlakuan yang buruk seperti berzina, rasuah, minum arak, berjudi dan pelbagai perbuatan buruk lain.

Ini kerana jika suami sudah pandai bohong isteri, si isteri membohongi suami, anak bohongi ibu bapa, pelajar bohongi guru, pekerja membohongi majikan, pemimpin membohongi rakyat, ulama mengkhianati ilmu dan seumpamanya, masyarakat tidak akan aman.

Pendeknya, kehancuran pasti berlaku jika pembohongan sudah berleluasa dalam masyarakat dan manusia sebagai hamba sudah berani membohongi Tuhannya.

Kanak-kanak berbohong berdasarkan pemerhatian terhadap orang lain, terutama orang dewasa. Jika ibu bapa suka berbohong, hampir pasti si anak mengikuti jejak mereka.

Sehubungan itu adalah penting bagi masyarakat terutama ibu bapa dan pendidik menghayati ungkapan ini - siakap, senohong; gelama dan duri; mula-mula cakap bohong; lama-lama mencuri!

**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Thursday, June 4, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 8: 'Spiderman' Dipuja, Hang Nadim Dibunuh

Gila - demikian kata seorang rakan apabila saya memberitahunya saya bekerja di Kuala Lumpur tetapi berulang-alik setiap hari ke Melaka kerana rumah saya di sana.

Saya diam saja, memikirkan hujah bagi menangkis tanggapannya itu.

Dalam masyarakat kita, adalah biasa seseorang itu dikatakan gila kerana melakukan sesuatu kelainan ataupun memperkenalkan pemikiran baru.

Namun begitu, hanya segelintir daripada kita menyedari bahawa kehadiran sesetengah individu yang dianggap gila ini, menyinari hidup orang lain, malah dunia ini.

Sebagai contoh, sebahagian pereka besar yang membantu mencorak dunia dengan usaha gigih mereka, dianggap gila oleh masyarakat sezamannya.

Thomas Edison yang mencipta mentol elektrik dianggap gila kerana melakukan beribu-ribu ujian tanpa bosan.

Demikian juga dengan Alexander Graham Bell, pereka telefon. Selain dikatakan gila, dia juga ditubuh berhubung dengan syaitan melalui alat ciptaannya itu.

Pelayar Christopher Columbus yang berkhidmat kepada Raja Sepanyol, turut dianggap gila kerana belayar menghala barat untuk ke negara China sedangkan tokoh lain sezamannya menyusuri benua Afrika untuk ke timur.

Ternyata 'kegilaan' Columbus yang tidak mengikuti kebiasaan pelayar sezamannya, membawa keuntungan berlipat-ganda dengan penemuan Dunia Baru (Amerika).

Bagaimanapun ketika ini orang Barat sudah berubah pandangan mereka terhadap orang yang dianggap gilanya.

Sumbangan 'orang gila' ini dihargai dan itulah sebabnya 'kegilaan' saintis dan pakar mereka membuat penyelidikan tidak lagi dipandang serong tetapi diberi sokongan dan bantuan.

Dr Ian Wilmut (saintis di Institut Roslin di Edinburgh, Scotland) yang berjaya mencipta klon biri-biri pertama di dunia yang diberi nama 'Dolly', sebenarnya sudah melakukan 277 percubaan sebelum itu.

Pendeknya, jasa orang yang dianggap gila itu dihargai manakala penemuan dan rekaan mereka menjadi sebahagian catatan sejarah keagungan peradaban bangsa dan dunia.

Malangnya, pengiktirafan kepada 'orang gila' ini boleh dikatakan hampir tiada di kalangan masyarakat negara kita, terutama di kalangan orang Melayu.

Dalam kebanyakan kes, 'orang gila' dalam masyarakat kita disisih malah 'dibunuh' bakatnya kerana orang di sekeliling bimbang dengan pengaruh atau buah fikirannya.

Sikap tidak senang masyarakat terhadap 'orang gila' ini terpancar melalui watak Hang Nadim dalam kisah Singapura dilanggar todak.

Hang Nadim, selepas melihat ramai penduduk Singapura mati kerana 'menayangkan' paha dan betis mereka bagi mempertahankan pulau itu daripada serangan ikan todak, mengesyorkan supaya dibuat benteng daripada batang pisang.

Apabila todak menerjah, muncungnya tersekat di batang pisang. Oleh itu senanglah orang Singapura membunuh musuh itu.

Kebijaksanaan Hang Nadim mencemaskan pembesar Singapura. Jika masih budak-budak, Hang Nadim sudah menunjukkan kehebatannya, apa pula akan dilakukannya apabila besar nanti.

Sehubungan itu, mereka membuat fitnah, mengadukannya pada Raja dan akibatnya Hang Nadim dibunuh.

Walaupun kisah Hang Nadim belum pasti kebenarannya, pengajaran ceritanya perlu dihayati. Demikian juga dengan peribahasa, kera di hutan disusui, anak dikendong mati kelaparan.

'Orang gila' seperti Hang Nadim muncul sekali dalam tempoh tertentu bagi meningkatkan martabat bangsanya. Malangnya, sebahagian besar daripada mewarisi sifat keji pembesar Singapura pada zaman Hang Nadim.

Secara sedar atau tidak, kita membunuh bakat dan juga 'orang gila; itu. Misalnya, jika ada orang Melayu cuba buat helikopter, kapal terbang atau kapal selam, kita katakan dia gila.

Jika ada orang mahu keliling dunia dengan basikal, kita cakap dia tidak waras.
Tetapi jika orang putih buat begitu, kita sanjung mereka. Jika 'minah salih' telanjang bulat di pantai negara kita, kita tidak anggap mereka gila, sebaliknya menyifatkan mereka paling 'up-to-date'.

Apabila seorang mat salih sesat dari Perancis bernama Alain Robert alias 'Spiderman', 'Madman', 'Human Fly' dan 'Big Little Man' cuba panjat bangunan tertinggi di dunia (Menara Berkembar Petronas) setinggi 452 meter, kita tidak kata dia gila, sebaliknya kita sanjung dan berikan dia publisiti paling meluas seolah-olah dia wira yang perlu dicontohi anak-anak muda kita.

Pernahkah kita bertanya apa akan berlaku jika ada seorang anak muda Malaysia terutama orang Melayu mahu memanjat Empire State Building di New York atau Sears Tower di Chicago?

Adakah orang Amerika akan beri liputan meluas, memujanya atau mereka akan tangkap pemuda itu dan humbankannya ke dalam penjara?

**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

Tuesday, June 2, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 7: Rahsia Istimewa Seorang Wanita

Begitu istimewa dan bertuah menjadi seorang wanita - demikian satu ungkapan dalam sebuah rencana, menarik perhatian ketika saya menatap akhbar dalam perjalanan ke tempat kerja pada suatu hari.

Ungkapan itu benar-benar memikat. Malangnya tiada huraian mengenainya. Hati saya tertanya-tanya mengapa penulis menyatakan betapa istimewa dan bertuahnya dilahirkan sebagai seorang wanita.

Sebagai seorang lelaki, saya tertanya-tanya apakah tidak istimewa dan bertuah dijadikan seorang lelaki.

Lama saya termenung memikirkan maksud penulis itu, seorang wanita.

Puas saya merenung pemandangan di luar bas. Ladang kelapa sawit dilewati, kemudian ladang getah dan selepas berpuluh-puluh kilometer jauh perjalanan, saya masih tidak menemui jawapannya.

Saya teringat apa yang saya baca dalam buku agama mengenai wanita. Antaranya, isteri mudah masuk syurga dengan syarat tunaikan ibadah (sembahyang, puasa dan sebagainya) dan mematuhi suaminya.

Saya termeung lagi. Saya teringat wanita berwibawa dalam sejarah Islam seperti Saidatina Khadijah dan 10 lagi isteri Rasulullah yang semuanya bergelar 'Ummal almukminin' yang bermaksud ibu bagi umat Islam.

Kemudian saya teringat wanita masyhur ketika ini yang menjadi pemimpin dunia Antaranya, Presiden Sri Lanka, Chandrika Kumaratunga dan ibunya, Perdana Menteri (kini mendiang) Srimavo Bandaranaike serta Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed.

Selain itu ada beberapa lagi tokoh wanita yang terkenal dalam arena politik antarabangsa. Mereka termasuklah Madeleine Albright sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat (sehingga Januari 2001) dan Sadako Ogata sebagai Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Pelarian (UNHCR).

Tidak kurang hebatnya ialah Hillary Rodham Clinton, Wanita Pertama Amerika (sehingga 20 Januari 2001) yang dikatakan banyak mencorak pentadbiran suaminya, Presiden Bill Clinton; Cherie Blair, isteri Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan Katharine Graham yang menguasai akhbar 'Washington Post' dan majalah 'Newsweek'.

Selain itu ada tokoh wanita yang terus masyhur sekalipun tidak lagi menerajui kerajaan. Mereka seperti bekas perdana menteri Pakistan, Benazir Bhutto; bekas perdana menteri Britain, Margaret Thatcher dan bekas presiden Filipina, Corazon Aquino.

Mungkinkah wanita-wanita masyhur ini memanfaatkan keistimewaan diri mereka sebagai wanita untuk ke puncak kuasa? Ini mungkin ya dan mungkin tidak.

Bagi kebanyakan wanita yang menjadi pemimpin negara Asia Selatan, perkara ini kelihatan benar. Disebabkan rasa simpati rakyat selepas sesuatu tragedi menimpa keluarga mereka, tokoh wanita itu dipilih untuk menerajui kerajaan atau negara.

Benazir misalnya, menjadi perdana menteri selepas bapanya Zulfikar Ali Bhutto digulingkan daripada kedudukannya sebagai perdana menteri dan dibunuh.

Demikian juga laluan oleh Sheikh Hasina selepas bapanya, Sheikh Mujibur Rahman dibunuh. Perkara yang sama juga berlaku kepada Chandrika Kumaratunga.

Selain dipilih menjadi pemimpin, ada tokoh negara Asia Selatan ini dapat melanjutkan pemerintahan mereka beberapa kali.

Misalnya, Benazir menjadi perdana menteri dua kali (1988-1990) dan (1993-1996). Sirimavo Bandaranaike menjadi perdana menteri sebanyak tiga kali manakala Indira Gandhi menjadi perdana menteri India sebanyak dua kali.

Sekalipun fikiran saya hangut mengingati tokoh-tokoh wanita ini, ia tidak dapat menjawab persoalan mengapa dikatakan begitu istimewa dan bertuah dijadikan seorang wanita.

Akhirnya, saya teringatkan ibu. Ya, daripada berbilion wanita di dunia, kita hanya mempunyai seorang ibu, dan ibu kita adalah seorang wanita.

Saya mengagak tentulah ungkapan 'begitu istimewa dan bertuahnya dijadikan seorang wanita' itu mempunyai kaitan dengan seorang ibu. Yalah, mana ada lelaki yang mengandung dan melahirkan anak.

Ibu dan anak mempunyai pertalian amat rapat. Mengikut ajaran agama, anak wajib taat kepada ibu bapanya. Anak lelaki hendaklah mengutamakan ibu bapa lebih daripada isterinya. Isteri pula perlu mentaati suaminya lebih daripada ibu bapanya.

Ini membuatkan kedudukan seseorang wanita yang bergelar ibu begitu istimewa. Anak yang terdidik, tidak akan melupakan ibu bapanya, lebih-lebih lagi ibu. Tetapi kasih ibu lebih hebat kerana ia tiada penghujung.

Jika ibu memasak makanan yang sedap-sedap dan disukai si anak, dia akan teringat masakan ibunya sampai bila-bila, tidak kira sama ada dia berada beribu-ribu kilometer jauhnya di kota besar dunia seperti London, Paris atau New York.

Apabila sudah bekerja, jika si anak mahu memberikan sedikit wang kepada orang tua, kebanyakannya akan menyerahkan sumbangan mereka kepada ibu, bukan ayah.

Malah apabila sudah sampai masa untuk berkahwin, si anak dengan malu-malu berkata: "Mak saya nakkan si anu itulah!" Jarang benar anak menemui bapanya untuk menyatakan: "Ayah, saya nak kahwin!"

Sehubungan itu, menjadi seorang ibulah pada pendapat saya, menepati ungkapan 'begitu istimewa dan bertuahnya dijadikan seorang wanita!"

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

**Sekiranya pembaca ingin mengikuti ulasan mengenai buku 'Dilema Seorang Wartawan Islam' ini sila kunjungi http://talkonly.blogspot.com/ SELAMAT MEMBACA.

Monday, June 1, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 6: 'Big Brother' Awasi Tandas Awam

"Encik, boleh tolong buka tandas?" rayu seorang lelaki tua Tionghua kepada pemandu bas yang saya naiki. Lelaki itu nampaknya tidak tahan lagi untuk membuang air selepas mendapati tandas dalam bas dikunci.

"Tunggulah! Kejap lagi sampai Puduraya. Sana boleh buang!" tegas pemandu bas.
Sambil berjalan terkangkang-kangkang ke tempat duduknya, lelaki tua itu merungut: "Haiyaaa, ini macam punya bas pun ada. Gua tatak (tidak) pernah naik ini macam punya bas!"

Saya mendiamkan diri menyaksikan 'drama' itu. Biarlah pemandu bas dan lelaki itu menyelesaikan masalah mereka. Saya enggan campur tangan.

Selepas beberapa tahun menaiki bas ekspres secara kerap, saya sudah 'masak' dengan isu berkaitan tandas itu. Sebahagian besar pemandu bas bagi perkhidmatan sederhana jauh, keberatan membenarkan tandas bas digunakan.

Sekalipun mengikut undang-undang, adalah salah bagi pemandu mengunci tandas dalam bas ekspres, mereka mempunyai alasan mengapa ia tidak wajar digunakan.

Antaranya, penumpang boleh meminta pemandu bas singgah di beberapa hentian sebelah lebuh raya bagi membolehkan mereka membuang air.

Selain itu, penggunaan tandas dalam bas yang kini hampir semuanya berhawa dingin, boleh mengganggu penumpang lain. Pernah, seorang penumpang membuang air besar menyebabkan satu bas berbau kurang menyenangkan.

Bagi mengurangkan bau, terpaksalah pemandu bas menyembur pewangi, terutama di bahagian belakang bas berkenaan.

Ada kebaikan dan keburukan penggunaan tandas dalam bas ekspres. Jika tandas dapat digunakan, penumpang tidak menghadapi masalah membuang air, tetapi pada masa yang sama, ia menyusahkan orang lain.

Bayangkan tempat duduk anda di sebelah tandas itu. Anda mungkin terpaksa menutup hidung jika ada penumpang membuang air besar dalam tandas itu.

Kadang-kadang selepas digunakan, tandas tidak dipam dan ada kalanya air tidak cukup untuk membersihkan segala najis yang ada.

Ini menyebabkan anda terpaksa menahan nafas dengan hidung kembang-kempis sepanjang perjalanan.

Saya percaya kerana inilah ramai pemandu bas ekspres bagi perjalanan sederhana jauh, mengunci tandas. Ini kerana tugas mereka memandu bas dan bukan mencuci tandas.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah sikap orang ramai ketika menggunakan tandas awam.

Ramai yang tidak menjaga kebersihan ketika menggunakan tandas, termasuk tidak mengepam selepas membuang air besar. Masuklah ke sebarang tandas awam di negara kita. Kecuali tandas di hentian sebelah lebuh raya, sebahagian lagi tandas cukup kotor dan menjijikkan.

Di Singapura misalnya, jika anda terlupa mengepam selepas membuang air besar, anda boleh didenda.

Demikian juga jika anda kencing di tempat sebarangan seperti dilakukan sesetengah pengguna jalan raya. Mereka memberhentikan kenderaan sesuka hati dan membuang air dalam semak.

Hukuman berat ke atas mereka yang tidak berdisiplin dalam tandas awam di Singapura bermula pada penghujung tahun 1980-an dulu atas daya usaha Kementerian Alam Sekitar negara itu.

Berdasarkan satu undang-undang yang dikuatkuasakan 1 Julai 1989, pengguna tandas yang terlupa mengepam boleh didenda sehingga S$1,000.

Pesalah pertama akan didenda sehingga S$150, bagi kesalahan kedua denda sehingga S$500, manakala bagi kesalahan ketiga dan seterusnya denda sehingga S$1,000.

Kementerian Alam Sekitar Singapura berkata hukuman berat itu diperkenalkan selepas ia mendapati tandas awam terlalu kotor kerana orang ramai tidak mengepam selepas membuang air besar.

Kementerian itu mendefinisikan tandas awam sebagai yang digunakan oleh orang ramai, termasuk di hotel, pasar raya, pawagam dan restoran.

Kerajaan Singapura mula melancarkan kempen memastikan tandas awam bersih sejak 1983 tetapi mendapati orang ramai tidak mempedulikannya termasuk amaran yang diberikan sehingga ia memperkenalkan denda itu.

Selain mengenakan hukuman keras terhadap mereka yang mengotorkan tandas, pihak berkuasa Singapura juga menghukum penduduk yang meludah sesuka hati, membuang sampah dan kencing dalam lif.

Bagi mereka fikir dapat mengelakkan diri daripada dikenakan hukuman selepas mengotorkan tandas dan tempat awam lain, mereka silap kerana pihak berkuasa memasang kamera pengintip di tempat strategik.

Pendeknya, kelakuan seseorang ketika dalam tandas awam sentiasa diawasi. Sekalipun, di sesetengah tempat tiada kamera pengintip, orang ramai sentiasa ditakut diawasi, seolah-olah 'Big Brother' yang digambarkan oleh George Orwell dalam novelnya, 'Nineteen Eighty Four' sentiasa memerhatikan mereka.

Apakah kita di Malaysia juga memerlukan 'Big Brother' bagi memastikan tandas awam termasuk dalam bas ekspres, bersih?

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

**Sekiranya pembaca ingin mengikuti ulasan mengenai buku 'Dilema Seorang Wartawan Islam' ini sila kunjungi http://talkonly.blogspot.com/ SELAMAT MEMBACA.