Menjelang hari ulang tahun kemerdekaan negara, seperti ribuan warga lain, saya memasang dan mengibar bendera di luar rumah. Bagaimanapun, sehari dua kemudian, bendera itu hilang. Yang tinggal hanya talinya dengan kesan dipotong.
Saya percaya bendera itu dilarikan oleh remaja nakal yang mungkin seusia anak saya. Sebahagian besar remaja di negara kita sekarang adalah anak generasi pertama yang lahir selepas merdeka. Ringkasnya mereka adalah generasi kedua selepas merdeka.
Jika generasi pertama yang lahir selepas merdeka kini berusia dalam lingkungan 40-an, generasi kedua adalah anak-anak mereka di sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi.
Masalah sosial yang hebat diperkatakan sekarang melanda generasi kedua ini. Pelbagai alasan dikemukakan mengapa kanak-kanak dan remaja sekarang menghadapi masalah disiplin yang serius.
Saya lebih cenderung mengaitkan permasalahan itu dengan apa yang dilalui oleh generasi pertama. Ini kerana saya termasuk golongan generasi pertama dan percaya pengalaman yang dilalui dapat dijadikan iktibar dalam kita merangka dasar, terutama yang membabitkan pendidikan pada saat negara di ambang menjadi negara maju pada tahun 2020.
Berdasarkan pengalaman, saya berpendapat sistem pendidikan pada tahun 1960-an dan 70-an yang diikuti oleh generasi pertama dulu tidak menjurus untuk melahirkan warganegara berakhlak seperti ditekankan dalam tema hari kebangsaan tahun 1997 - 'Akhlak Mulia Masyarakat Jaya'.
Dalam sistem pendidikan ketika itu, penekanan diberi bagi melahirkan seberapa ramai golongan profesional secepat mungkin. Pengajian agama tidak mendapat tempat. Ibu bapa berebut-rebut untuk menghantar anak mereka ke sekolah Inggeris (kemudiannya ditukar kepada sekolah kebangsaan).
Ada sekolah dengan 1,000 murid mempunyai seorang guru agama saja. Malah banyak sekolah yang tiada langsung guru agama. Tulisan dan bacaan jawi langsung tidak diajar.
Murid ditekankan untuk lulus peperiksaan akademik. Bagi pelajar cemerlang, dalam usia 12 tahun, mereka sudah dihantar ke sekolah berasrama penuh.
Di sekolah ini, penekanan juga diberi juga diberikan kepada akademik. Hal-hal berkaitan agama, terus disisihkan. Semakin tinggi seseorang pelajar itu mendaki tangga kejayaan, semakin jauh dia daripada agama.
Dalam usia mentah (18 tahun), sebahagian besar pelajar cemerlang ini sudah berada di negara-negara Eropah, Australia dan Amerika Utara bagi menyambung pelajaran masing-masing.
Dengan asas agama yang begitu lemah, anak muda ini menghadapi pancaroba yang begitu hebat.
Daripada sistem pendidikan 1960-an dan 70-an ini, lahirlah golongan profesional Melayu daripada generasi pertama selepas merdeka.
Mereka mungkin hebat dalam bidang kerjaya tetapi miskin dari segi pegangan agama.
Mereka masih tercari-cari pedoman hidup tetapi pada masa yang sama sudah berumah tangga dan mempunyai anak yang kini menjadi generasi kedua selepas merdeka.
Betapa longgarnya pegangan dan pendidikan agama generasi pertama ini diakui oleh pemimpin kita. Mereka mengaku ramai daripada golongan ini buta al-Quran, buta jawi dan jahil dalam soal-soal agama.
Malah generasi pertama selepas merdeka ini juga mengaku betapa ceteknya pengetahuan agama mereka.
Pada tahun 1994 dulu, kita terharu dengan pengakuan seorang profesional muda Melayu yang menyatakan dia tersilap langkah memasuki kumpulan Al-Arqam kerana tiada pihak yang membimbingnya ke jalan kebenaran.
Katanya, dari segi kerjaya, dia berjaya tetapi dari segi agama, dia benar-benar miskin dan memerlukan petunjuk. Yang sedia memberi 'jalan', kepadanya adalah Al-Arqam dan itulah sebabnya dia terbabit dalam kumpulan berkenaan.
Gejala negatif dalam masyarakat seperti rasuah, menyalahgunakan kuasa dan seumpamanya kini mula menular di kalangan generasi pertama ini.
Kita dapat saksikan bagaimana seorang demi seorang golongan profesional dalam usia 30-an dan 40-an diheret ke muka pengadilan atas tuduhan rasuah dan jenayah lain.
Secara logiknya, jika generasi pertama yang dilahirkan selepas merdeka ini hidup terumbang-ambing dari segi pegangan agama, anak-anak mereka iaitu generasi kedua (kini berada di sekolah dan universiti) akan melalui zaman yang lebih gelap (saya berdoa ini tidak berlaku).
Jika ibu bapa (kumpulan generasi pertama) tidak lancar pembacaan al-Quran, cetek dalam ilmu agama, bagaimana mereka dapat mendidik anak mereka pada zaman penuh cabaran ini? Bagaimana ketam dapat mengajar anaknya berjalan betul sedangkan ia sendiri berjalan senget?
Kepincangan inilah pada, pada pendapat saya, menyumbangkan kepada masalah keruntuhan moral yang hebat melanda remaja sekarang.
Perkara ini diharap dijadikan iktibar oleh ibu bapa, pendidik dan pemimpin kita sekarang. Kita mungkin membuat kesilapan dalam sistem pendidikan suatu ketika dulu, tetapi tidak rugi untuk kita mengaku salah di samping berganding bahu membaikinya.
Usaha memajukan anak watan dalam semua bidang perlu diteruskan, seperti kata seorang pemimpin, 'perjuangan kita belum selesai'. Malahan, 'perjuangan kita sebenarnya tidak pernah selesai'.
2 comments:
Assalamualaikum,
semasa seminar blogger di Semabok, Melaka sekitar April 2008, saya tanya kepada tuan macam mana nak hantar artikel kepada Harakah, tetapi tuan tidak jawab.
Sekarang saya tanya lagi, macam mana nak hantar artikel kepada Harakah melalui ruang siber.
Sejak tidak menyumbang kepada Harakah hampir 10 tahun, saya seperti kehilangan punca untuk bagimana nak hantar artikel.
Waalaikumusalam Prof, terima kasih kerana memberi komen, Prof boleh menghantarnya ke e-mel saya Lanh14@harakah.net.my, bos (Lutfi) lutfi_detik@yahoo.com; atau taufekyahya@yahoo.com. selamat menulis
Post a Comment