***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: 'Tuhanku telah memuliakanku'. Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membataskan rezekinya, maka dia berkata: 'Tuhanku menghinaku'." - Maksud Ayat 15-16 Surah Al-Fajr
***
DISEBABKAN sudah beberapa kali ke Tanah Suci, tidak menjadi masalah untuk aku ke Masjid Nabawi sendirian.
Pada hari pertama di Madinah, aku tidak sempat bersembahyang fardu Subuh di masjid yang turut menempatkan makam Rasulullah s.a.w.
Untuk menunaikan fardu Zuhur, aku pergi awal ke masjid. Aku pergi ke satu sudut lengang, tidak jauh dari pintu yang aku gunakan untuk memasuki masjid.
Selepas bersembahyang sunat, aku duduk dan bersandar di pangkal tiang untuk membaca Quran.
Secara kebetulan aku ternampak sekeping wang kertas Arab Saudi bernilai 50 riyal terletak di tepi pangkal tiang tersebut.
"Wang siapakah ini?" aku bertanya diriku sendiri.
"Siapakah yang meletakkannya di sini?"
Kata orang di dalam Masjid Nabawi, di salah satu pangkal tiangnya merupakan tempat seseorang meminta sesuatu.
"Tidak...," bisik hati kecilku.
"Wang ini bukan untukku. Ada orang tercicir wang itu. Berkemungkinan pekerja masjid yang meletaknya di sini...," hati kecilku berkata lagi.
Aku dengan segera berpindah tempat duduk.
Aku mengingatkan diriku keikhlasan hatiku sedang diuji.
Aku diberi peluang menemui wang itu agar reaksiku dapat dikenal pasti. Aku percaya akan diberi ujian lagi pada hari-hari berikutnya.
Aku perlu berhati-hati. Di Tanah Suci (Madinah dan Makkah), seseorang jemaah haji atau umrah ada kalanya diuji keimanannya dengan berbagai-bagai cara.
Aku lalu memohon kepada Allah supaya diberi hidayah dan petunjuk.
Selepas beberapa hari berada di Madinah, aku dan ahli-ahli rombongan umrahku dibawa ke Makkah pula.
Pada hari terakhir aku di Makkah, selepas bersembahyang fardu Zuhur, seorang pemuda, agakku dari Pakistan mendekatiku.
Dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang mahasiswa di pusat pengajian tinggi. Dia bertutur dalam bahasa Inggeris.
Dia mendakwa kesempitan wang dan merayu bantuanku.
Pada masa itu aku mempunyai wang sebanyak 150 riyal. Aku berhasrat menyerahkan wang tersebut kepada pemuda itu.
Tiba-tiba seorang pekerja masjid berdiri tegak di hadapan pemuda tadi. Dia berbicara dalam satu asing, agakku bahasa Urdu.
Aku tidak faham apa yang mereka perkatakan. Yang lebih banyak bercakap pekerja masjid itu.
Dia berkata-kata dengan nada agak keras. Sejurus kemudian pemuda itu meninggalkan tempat itu dan terus menghilangkan diri.
Pekerja masjid itu berbicara denganku pula.
"Saya Akbar...orang Bangladesh. Saya pernah bekerja di Malaysia...di Kuala Lumpur. Encik dari Malaysia...bukan?"
"Ya," jawabku ringkas.
"Pemuda itu pembohong. Di hadapan Kaabah pun dia berbohong. Jangan percaya kata-katanya," dakwa Akbar.
"Terima kasih Encik Akbar," kataku.
Aku bangkit untuk bersembahyang sunat syukur dua rakaat. Aku bersyukur kerana ada insan memberitahu aku rahsia pemuda tersebut. - YUSOFF ISMAIL
***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN
Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’
* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.
* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).
* Blog ini juga terbuka kepada sesiapa yang mahu memanfaat ruang iklan dengan sedikit bayaran. Sila hubungi penulis. Sekarang ini, blog ini ditatapi kira-kira 100 pelayar setiap hari (sila klik pada kotak empat segi kecil berwarna hijau pada bahagian paling bawah blog untuk rujukan).
*** Nota: Tiada hak cipta. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berlipat ganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment