***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sabarlah engkau menerima hukum Tuhanmu, sesungguhnya engkau dalam penjagaan mata Kami." - Maksud Ayat 48 Surah Al-Thur
***
SEDEKAH digalakkan dalam Islam sebagai jalan membantu mereka yang kurang berupaya. Allah SWT menjanjikan pahala kepada mereka yang menderma dengan ikhlas.
Apabila menunaikan haji di mana ibadat mendapat pahala berlipat kali ganda terutama di Masjidilharam, sudah tentu mendorong jemaah bersedekah sebagai jalan mendapat keredaan Allah SWT.
Pada musim haji tahun 2004/05 aku tidak melepaskan peluang untuk bersedekah. Ada juga sahabat di Malaysia yang mengirim duit untuk disedekahkan di Masjidilharam.
Walau bagaimanapun memberi sedekah dengan ikhlas tidaklah semudah yang disangka. Di Makkah ramai pengemis yang duduk di jalan-jalan dan di luar masjid.
Ada pengemis perempuan mengendong anak, ada yang kudung tangan, kaki atau kedua-duanya sekali dan ada juga yang cukup sifat dan kelihatan sihat. Sambil menghulur tangan mereka berkata 'sedekah' atau 'fisabilillah'.
Terdetik juga di hatiku ikhlaskah pemberian sedekah ini apabila sambil menghulur fikiran bertanya betulkah kepada yang fakir miskin wang diberi.
Ini adalah kerana ustaz yang membawa kami pernah memberi ingatan terdapat sindiket yang mengunakan perempuan dan kanak-kanak untuk mencari duit disebabkan kemurahan pengunjung masjid.
Katanya lebih baik memberi kepada tukang sapu dan tukang cuci masjid kerana mereka pun miskin.
Di dalam masjid juga ada yang meminta sedekah. Pernah ketika aku iktikaf di masjid, seorang perempuan berdiri di depan saf lelaki memukul dada sambil menangis dan menunjuk kepada bajunya yang koyak.
Tangannya dihulur kepada jemaah yang duduk dan yang simpati bangun memberi wang kepadanya. Waktu itu seorang jemaah lelaki, mungkin dari Pakistan bangun dan berkata dalam bahasa Inggeris: "Jangan beri wang kepadanya, dia datang dalam kumpulan, kelmarin dia ada di sini, jangan beri wang kepadanya."
Oleh kerana rasa was-was dan terlalu memilih kepada siapa yang patut dihulurkan sedekah satu insiden yang tidak dapat kulupakan telah aku alami. Pada pagi hari tersebut aku, isteriku dan kakak iparku sedang berjalan pulang daripada membeli-belah di kedai-kedai yang terdapat di sekitar Masjidilharam.
Sedang berjalan di celah-celah orang yang ramai, tiba-tiba lenganku dipegang oleh seorang lelaki. Dari pakaiannya dan susuk tubuhnya yang besar aku agak asal usulnya dari sebuah negara Timur Tengah.
Sambil berkata dalam bahasa yang tidak kufahami dia menggerakkan tangannya di perut dan ke mulut seolah bermaksud dia lapar dan meminta wang daripadaku, mungkin untuk membeli makanan.
Oleh kerana telah banyak kali dikerumui peminta sedekah yang sama di sepanjang jalan, aku berkata tidak kepadanya. Dia masih meminta tapi aku terus berjalan meninggalkan orang itu.
Tidak sampai 15 langkah berjalan terfikir di dalam hati kenapalah kedekut benar aku ini terhadap sesama saudara Islam.
Walaupun lelaki itu berpakaian kemas dengan janggut dan jambang dipotong rapi, mungkin dia kehilangan atau kecurian wang sehingga tidak dapat makan atau ada sebab lain.
Aku berhenti dan menyuruh isteri dan kakak iparku menunggu kerana aku ingin mencari lelaki tadi untuk memberi wang kepadanya. Aku berpatah balik dan mula mencari dia.
Namun puas kulihat di antara orang ramai di kawasan tadi namun dia tidak kelihatan.
"Ah mungkin dia masuk ke dalam kedai makan," detik hatiku.
Aku jenguk ke dalam kedai makan di situ namun lelaki tersebut tiada. Setelah hampir 10 minit mencari aku putus asa lalu kembali kepada isteriku yang menunggu.
"Itulah tadi masa orang tu minta tak nak beri, sekarang baru menyesal," kata isteriku. Aku juga pelik macam mana lelaki tadi boleh hilang begitu cepat.
Mungkin ini satu ujian buat aku di Tanah Haram, bila aku terlampau berkira untuk bersedekah dan membuat kebajikan.
Mungkin Allah SWT ingin menduga diriku untuk melihat seikhlas mana hatiku terhadap sesama makhluk-Nya.
Sememangnya manusia dijadikan oleh Allah SWT untuk beribadat kepada-Nya dan mempunyai tugas masing-masing untuk membantu sesama makhluk tanpa mementingkan diri sendiri tanpa sebarang prasangka.
Sesungguhnya kesucian diri, kemurnian hati dan keikhlasan dalam menunaikan tanggungjawap sebagai hamba Allah di muka bumi ini perlu ada bukan sahaja semasa menunaikan ibadat tetapi pada segenap perbuatan sepanjang hayat. - Nukilan SHAM
***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN
Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’
* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.
* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).
***Nota: Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment