Thursday, November 19, 2009

Guna kesempatan sepenuhnya sebagai tetamu Allah

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Katakanlah kepunyaan siapakah apa yang di langit dan di bumi? Jawabnya: Kepunyaan Allah. Ia telah mewajibkan diri-Nya memberi rahmat." - Maksud Ayat 12 Surah Al-An-am
***

ALHAMDULILLAH, dengan rahmat Allah musim haji datang lagi. Sekali gus, ia mengingatkan saya kepada musim haji lalu (1422H) yang telah dilalui dengan penuh kesyahduan dan ketenangan.

Kepada bakal jemaah haji, diucapkan selamat berangkat ke Tanah Suci dan tahniah kerana menjadi tetamu Allah. Nikmat Allah dilimpahkan ke atas tuan-tuan sekalian yang telah terpilih menziarahi rumah suci-Nya, terpilih daripada 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Lengkapilah diri dengan ilmu agama dengan sesungguhnya sebelum melangkah kaki menuju Tanah Suci. Setiap detik masa ketika di sana amatlah berharga, sentiasalah beriktikad dalam hati bahawa segala ruang masa dapat dipergunakan untuk melakukan ibadah dengan sempurna dan diterima Allah SWT.

Selain daripada mengetahui dengan jelas segala rukun dan rahsia batin amalan haji, ketahuilah juga dengan mendalam tentang rukun dan rahsia sembahyang.

Berpegang teguhlah kepada ajaran-ajaran dalam mazhab kita iaitu mazhab Shafie. Insya-Allah, semasa melakukan manasik-manasik haji, kebanyakan mazhab adalah agak serupa.

Tetapi agak berlainan dengan sembahyang terutama menutup aurat bagi lelaki dan wanita dan juga pergerakkan jari telunjuk semasa tasyahud. Jangan samakan mazhab kita dengan mazhab lain, contohnya mazhab Hanafi yang menganggap tumit kaki tidak termasuk aurat wanita yang wajib ditutup ketika bersembahyang.

Rendahkanlah pandangan mata kita agar terlindung daripada terlihat perkara-perkara yang menimbulkan tanda tanya dan persoalan dalam hati yang membawa kepada was-was dalam ibadat.

Rapat dan luruskanlah saf ketika bersembahyang. Di tanah air, masjid kita lapang, tetapi di sana ketika musim haji, suasana amat berlainan. Jagalah tertib bersembahyang berjemaah.

Janganlah kerana tidak mahu terpisah dengan teman atau bersembahyang di sebelah jemaah lain yang bukan 'sebangsa' dengan kita, kita tidak mahu berganjak untuk mengisi kekosongan di saf hadapan sehingga saf di hadapan terputus. Ketahuilah bahawa makruh membuka saf baru sebelum saf hadapan penuh. Bergerak cergaslah ke hadapan dan ke kanan.

Sabda Rasulullah s.a.w., "Luruskan saf, setentangkan antara bahu-bahu, tutupkan celah-celah yang kosong, hendaklah bersikap lembut terhadap tangan-tangan saudara kamu dan jangan barkan ruang-ruang kosong untuk (diduduki) oleh syaitan. Sesiapa yang menyambung saf nescaya Allah akan menghubunginya (mengasihinya) dan sesiapa yang memutuskan saf nescaya Allah akan memutuskan hubungan dengannya." - Hadis riwayat Abu Daud

Sabdanya baginda lagi: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat atas orang yang menyambungkan saf atau sesiapa yang menutup ruang (saf sembahyang) nescaya Allah akan mengangkatnya dengan perbuatannya itu satu darjat." - Hadis riwayat Imam Ahmad

Di dalam Masjidil Haram, disediakan tempat berpetak khas untuk jemaah wanita. Bagaimanapun, pintu masuk adalah sama untuk jemaah lelaki dan wanita.

Bersembahyanglah di tempat yang disediakan. Bagi jemaah wanita, jangan bersembahyang bersebelahan jemaah lelaki, walaupun suami sendiri. Begitu juga sebaliknya. Haram hukumnya bersembahyang bercampur gaul di tempat terbuka dan ia juga meluputkan fadilat pahala berjemaah.

Ada jemaah wanita yang memberitahu saya, tidak mengapa (dibolehkan) bersembahyang di sebelah jemaah lelaki di dalam Masjidil Haram, tetapi tidak ditempat lain. Ini adalah tidak benar.

Jagalah tertib dan adab kesopanan ketika berada di dalam masjid, lebih-lebih lagi Masjidil Haram, masjid yang paling mulia di muka bumi Allah ini. Walau letih dan lelah bagaimanapun, jangan sekali-kali melunjurkan kaki kita ke arah kiblat dan Baitullah.

Ketika sembahyang, kita bersujud ke arahnya, selepas sembahyang, tergamakkah kita untuk melunjurkan kaki ke arah Rumah Allah yang suci itu? Ada juga yang melunjurkan kaki dengan al-Quran di hujung jari-jari kaki. Hati saya sebak dan begitu terguris, menitis air mata melihat perlakuan-perlakuan ini. Kita datang begitu jauh dan inikah adab laku kita di hadapan Rumah Allah RabbulJalil?

Kembali ke tanah air saya kemukakan kemusykilan ini kepada seorang ustaz, dan beliau menjawab, "Kalau di Malaysia melunjur kaki ke arah kiblat di dalam masjid digelar 'buruk laku', kalau di dalam Masjidil Haram, ia adalah haram hukumnya."

Sebaik-baik bekal ialah ilmu agama dan kemuliaan akhlak. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. ketika ditanya, "Siapakah antara mukmin yang paling utama keimanannya? Baginda menjawab: "Yang paling baik budi pekertinya."

Semoga tuan puan sekalian dapat melaksanakan sebaik-baik haji dan mendapat haji makbul dan mabrur. Sentiasalah sematkan di hati bahawa ini mungkin satu-satunya peluang untuk mengerjakan haji yang tidak mungkin terulang kecuali dengan izin dan rahmat Allah. Wassalam. - Nukilan HAMBA ALLAH

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.

* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).

* Blog ini juga terbuka kepada sesiapa yang mahu memanfaat ruang iklan dengan sedikit bayaran. Sila hubungi penulis. Sekarang ini, blog ini ditatapi kira-kira 100 pelayar setiap hari (sila klik pada kotak empat segi kecil berwarna hijau pada bahagian paling bawah blog untuk rujukan).

*** Nota: Tiada hak cipta. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berlipat ganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.

No comments: